Thursday, July 30

Topeng


Memandangkan keadaan wabak yang semakin menular di sekitar Seberang Perai, sekolah kakak, SKPJ telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta ibu-bapa membekalkan anak-anak dengan topeng muka untuk ke sekolah. Kita hanya berikhtiar, sudahnya bertawakkal kepada Allah agar dihindari wabak yang semakin merebak ini. Jika rajin, klik-kliklah ke sini :

Falsafah Islam di dalam Menghadapi Penyakit
Swine Flu : Senarai Perlu Faham dan Buat


Tuesday, July 28

Doa Wabak

Ketika penularan H1N1 yang semakin meninggi bilangan kesnya, ustaz telah membekalkan kami dengan doa ketika penularan wabak. Semoga dapat diamalkan dan mohon dari Allah dijauhkan dari bencana ini (klik untuk besarkan imej doa).

Monday, July 27

Percaya atau Tidak? - 4

Syawal 2001, ketika itu saya sedang di trimester pertama mengandungkan kakak. Hari raya pertama disambut bersama suami dan keluarga mertua. Pada hari raya kedua, kami kembali ke rumah mak dan terus berkonvoi bersama kakak dan abang ipar menziarahi keluarganya di Perak. Ketika perjalanan pulang dari rumah mereka, hari sudah menjelang petang ketika melepasi Beruas.

Pada malamnya, ketika mata ingin dipejam, terbayang di mata saya, seakan-akan berada di dalam kawasan pohon getah di kiri kanan jalan serta terlihat "seorang" perempuan yang berbaju hitam serta berambut panjang. Beberapa kali bayangan tersebut muncul setiap kali mata dipejam sehingga saya tidak dapat tidur. Seram-sejuk saya dibuatnya. Setelah beberapa kali mencuba dengan beberapa ayat Qur'an untuk menenangkan diri dan tidak berjaya, akhirnya saya mengarahkan suami memanggil mak yang kebetulan masih belum tidur. Setelah mak membacakan ayat Qur'an ke dalam air dan saya meminumnya, barulah bayangan itu hilang dan saya dapat tidur.

Menjelang subuh kedengaran suara anjing menyalak panjang, seakan terpandang sesuatu. Keesokannya, mak mengatakan yang "perempuan" tersebut mengikut saya pulang ke rumah ketika kami melewati kawasan itu ketika menjelang maghrib. Alhamdulillah, "dia" hanya singgah sekejap sahaja untuk menyapa.

Pesan ustaz, jika kita tengah memandu, atau melepasi sesuatu kawasan ketika hari menjelang maghrib, berhenti dahulu dan tunggu sehingga selesai maghrib. Manalah tahu, ada penumpang lain pula yang menumpang kereta kita.

Friday, July 24

"Self Quarantine"



Cuti khas telah diberikan kepada semua staf akademik dan pentadbiran. Menurut pekeliling yang dikeluarkan, sebagai langkah tambahan kepada pengawalan penyakit berjangkit, semua staf diberikan cuti khas dan diminta menjalani "self quarantine" di kediaman masing-masing.

Sungguh tidak selesa apabila mengenakan topeng muka itu ketika mengunjungi kampus sekejap tadi. Sekejap sahaja tetapi sudah berpeluh-peluh hehehe.

Wednesday, July 22

Cuti...

Kampus terpaksa ditutup untuk seminggu sehingga 28 Julai. Jangkitan wabak Influenza A @ H1N1 nampaknya telah menular ke sini. Dari Isnin sudah ada pelajar yang dikuarantinkan dan hari ini, keputusannya jelas. Pelajar-pelajar mula beransur-ansur pulang ke rumah.

Pelajar dan staf telah dibekalkan dengan "topeng doktor" secara percuma sebagai langkah pencegahan. Nampaknya saya juga harus melakukan pemeriksaan memandangkan batuk ini berterusan tidak sembuh.

Tempat meletak motor pelajar lengang

Berita terkini : berita harian, utusan malaysia


Saturday, July 18

Curi - 2

Kejadian pecah rumah berlaku di mana-mana. Saya juga hampir-hampir menjadi mangsa kes ini. Saya tidak ingat tarikh sebenar tetapi ianya berkemungkinan penghujung tahun 2002 atau awal 2003. Kakak belum lagi berusia setahun. Ketika itu kami sekeluarga menyewa di sebuah rumah teres setingkat.

Pada malam itu suami bekerja syif malam. Lampu dapur sentiasa dibiarkan terpasang ketika tidur. Sekitar jam 3, seperti kebiasaan, kakak akan bangun untuk menyusu. Seperti biasa, saya akan ke dapur untuk membancuh susu kakak. Sebaik tiba di dapur, saya terlihat tangan, melalui tingkat nako yang telah dikopak, sedang mencapai tombol pintu belakang yang tidak dipasang grill. Di dalam keadaan yang amat panik, terus saya menyergah, "Hoi!" dengan suara yang kuat. Sebaik mendengar suara saya, mereka berdua terus lari. Dengan tangan yang menggigil yang teramat sangat, saya dapat mengunci pintu dan menutup tingkap dan dengan doa yang tidak putus-putus agar pencuri tersebut benar-benar sudah tiada. Ya Allah, jantung ini, terasa bagai hendak pecah dan badan terus-terusan menggeletar. Terus telefon dicapai dan nombor suami didail untuk memberitahu kejadian itu. Boleh suami berlawak,

"kenapa tidak katuk (ketuk) tangan itu?"
"nak katuk macammana, tengah panik, terus sergah je lah"

Alhamdulillah, ditakdirkan kejadiannya berlaku ketika saya terbangun untuk menyediakan susu kakak. Jika tidak, entahlah apa yang akan terjadi. Selepas itu mata langsung tidak dapat dilelapkan. Saya memasang telinga untuk mendengar bunyi-bunyi yang luar biasa.

Keesokan hari, saya mendapat cerita, rumah jiran sebelah juga telah dimasuki pencuri tersebut dan berjaya mendapat sebuah telefon bimbit. Saya agak perbuatan ini dilakukan oleh remaja berdasarkan tangan dan jersi yang dipakai oleh pemilik tangan tersebut.

Selepas beberapa kejadian pecah rumah itu, taman perumahan yang kami diami itu mengadakan rondaan rukun tetangga yang disertai oleh penghuni-penghuni taman itu. Rondaan dibuat di dalam beberapa syif supaya setiap penghuni yang membuat rondaan turut mendapat rehat untuk bekerja keesokan harinya.

Dan selepas kejadian itu, tuan rumah juga memasang grill di bahagian belakang rumah yang kami sewa. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana melindungi kami sekeluarga dari bencana ini. Namun, selepas kejadian itu, saya menjadi fobia apabila suami bekerja syif malam. Ketika suami bekerja malam, mak akan datang untuk temankan kami berdua dan pulang keesokan harinya.

Selepas beberapa tahun mendiami rumah lain, sekali-sekala saya tetap terjaga di tengah malam apabila mendengar bunyi-bunyi yang agak aneh. Saya juga akan mengintai-intai dari dalam rumah untuk melihat keadaan di luar. Dan sekarang, saya semakin tenang kerana suami tidak lagi perlu bekerja syif malam. Sebenarnya, saya ini, di dalam berani, ada takutnya hehehe.

Friday, July 17

Curi

Petang tadi di kampus, Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) menganjur bengkel pencegahan jenayah. Pembimbing Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) menyampaikan ceramah berkaitan jenayah serta saranan-saranan untuk mengelakkan jenayah seperti ragut dan rogol bagi perempuan.




Demonstrasi bagaimana untuk mempertahankan diri turut dipamerkan kepada peserta sebagai persediaan untuk menghadapi saat cemas itu.

Ketika menghadiri bengkel ini, teringat kisah yang saya alami sekitar 1996 - 1997 (tidak ingat tarikh sebenar). Peristiwa yang sudah berlaku lebih 10 tahun itu masih segar di ingatan saya. Satu persatu saya ceritakan pada rakan sekerja. Ketika itu saya belum berkereta dan pengangkutan utama saya adalah bas. Saya terpaksa menukar 2 buah bas untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Ketika sampai di perkarangan Pertama Kompleks ketika balik kerja, sudah masuk waktu maghrib. Saya putuskan untuk bersolat maghrib dahulu di surau di atas Pertama Kompleks. Handbag saya dimasukkan ke dalam beg kerja saya dan saya berlalu untuk mengambil wuduk di luar dari ruang solat. Sewaktu menunaikan solat, beg diletakkan di tepi. Ketika bersolat, entah kenapa, hati menjadi berdebar-debar. Selesai solat, saya hampiri beg dan terlihat zip beg kerja saya seperti dibuka orang. Darah menyirap ke muka saya. Hati semakin berdebar. Ya Allah! Mana handbag saya? Airmata tidak dapat ditahan-tahan. Bukan menangisi kehilangan duit atau sebagainya, tetapi memikirkan bagaimana saya hendak pulang ke rumah. Hari sudah malam. Pada hari itu, kakak akan pulang ke kampung mertua bersama dengan abang ipar. Ya Allah! semakin laju airmata mengalir. Ada beberapa adik/kakak (saya tidak dapat lagi tumpukan perhatian) yang melihat keadaan saya bersimpati. Mereka menghulurkan not RM10 kepada saya tetapi saya menolak dan hanya menerima beberapa not sebagai tambang bas. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka yang saya tidak kenali (dan tidak sempat bertanya nama kerana buntu). Sehingga kini apabila terkenangkan peristiwa ini, airmata pasti mengalir memikirkan bagaimana kerdilnya saya ketika itu, seperti pengemis! Mungkin ketika itu saya terlalu naive dan tidak berperasangka yang kejadian seperti itu akan berlaku di sebuah surau! Ternyata saya silap!

Sewaktu menghampiri pondok telefon awam, telefon siling tidak dapat digunakan. Bagaimana jika kakak sudah pulang ke kampung mertuanya? Ketika itu, penggunaan telefon bimbit masih belum begitu meluas. Saya tidak punya sesiapa di KL. Sedih sangat, teramat sedih! Saya tidak peduli lagi orang yang melihat atau berpandangan pelik pada saya. Abang di sebelah yang kebetulan menggunakan telefon kad bertanyakan saya, dengan bercucuran airmata, saya menceritakan hal yang sebenarnya. Abang yang baik hati itu membenarkan saya menggunakan kad telefonnya untuk menghubungi kakak. Sambil mendail, hati berdoa agar kakak masih ada di rumah.

"Hello", suara kakak kedengaran, makin bercucuran airmata saya. Alhamdulillah....
"Kak...beg kena curi"
"Di mana?"
"Pertama Kompleks"
"Nanti akak sampai..tunggu tau!"

Abang yang baik hati itu menunggu saya selesai menggunakannya kadnya sambil bertanyakan samada saya OK atau tidak. Saya beritahunya saya sudah hubungi kakak dan mereka akan datang. Seorang lagi insan yang berhati mulia yang ditemui ditengah-tengah ribuan manusia di KL. Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan. Ternampak kelibat kakak dan abang ipar, airmata semakin deras mengalir. Dengan esakan yang masih berbaki, saya ceritakan kejadian yang baru berlaku kepada mereka. Laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi, menurut pegawai polis berkenaan, sudah banyak kes yang berlaku di surau tersebut.

Saya pulang ke rumah dengan hati yang berkecamuk. Ya Allah, ada juga manusia yang menggunakan tempat ibadat untuk melakukan perbuatan mungkar.

Pengajaran untuk saya supaya tidak lagi membiarkan barang berharga berada di luar pengamatan saya. Sehingga kini, ketika bersolat di mana-mana surau, handbag sentiasa di dalam penglihatan saya. Saya juga sentiasa berpesan kepada sesiapa yang leka meninggalkan handbag mereka untuk mengambil wuduk supaya membawanya bersama jika tiada orang/teman untuk memerhatikannya. Berhati-hatilah, terdapat "mata" yang sentiasa memerhatikan kelekaan anda untuk mengambil kesempatan.

Wednesday, July 15

Keropok Lekor

lekor yang belum digoreng

Selepas balik dan sampai di rumah, adik bertanya,

"Umi, mana keropok lekor? Umi tak beli ye..."

Dengan suara yang tenggelam timbul, saya memberitahu, keropok lekor yang dipesan berada di dalam beg saya. Cepat-cepat diselongkar beg kerja saya untuk melihat keropok lekor itu. Habis keropok lekor 6 keping dimakan oleh adik dan kakak. Keropok lekor menjadi kegemaran kami seisi keluarga. Jika ternampak keropok lekor, pasti mereka akan memesannya. Kebetulan, warung makan di kampus ini ada menjual keropok lekor, bekalan senang diperolehi. Bukan tidak pernah cuba untuk menggoreng lekor basah, tetapi ketika menggoreng, ianya meletup, habis lantai dan dapur dipenuhi minyak. Itupun saya sudah mengelar sedikit lekor berkenaan. Mungkin ada cara lain yang saya tidak tahu untuk mengelakkan lekor berkenaan dari meletup ketika menggoreng.

sewaktu bercuti ke Cherating, terus ke Kuala Kemaman

Tuesday, July 14

"Silent Mode"

Dari semalam tekak saya terasa sangat perit. Pagi ini, saya bangun dalam keadaan "silent mode", suara saya semakin hilang. Bagaimana saya hendak menyampaikan kuliah kepada pelajar? Memaksa suara untuk keluar dari rongga kerongkong terasa amat payah dan meletihkan. Alhamdulillah, setelah meneguk jus kurma + madu, suara kedengaran sedikit.

Beberapa tahun lalu saya pernah mengalami keadaan "silent mode" ini, kehilangan suara untuk hampir seminggu. Kuliah terpaksa dibatalkan, bagaimana mungkin saya mengendalikan kuliah tanpa suara? Dengan bahasa isyarat atau tulisan sahaja. Mujur hari ini, cuma kelas tutorial yang perlu dihadiri, penggunaan suara dapat dikurangkan. Terasa nikmat bersuara apabila kita "kehilangan"nya walaupun untuk seketika. Agaknya perlu kurangkan bebelan agaknya... he he he.

Sunday, July 12

Rindu

Saya merindui musim-musim ketika belajar di peringkat ijazah pertama. Sewaktu menghadiri kursus tempohari, para penceramah mencadangkan supaya menyambung PhD di luar negara. Terbayang-bayang musim yang silih berganti di sana. Seronoknya bermain salji, indahnya dikelilingi bunga berwarna-warni, terpegun dengan dedaunan yang kuning kejinggaan. Cemburu (barangkali) dengan teman-teman yang sedang berjuang di luar negara untuk mendapatkan kelayakan tertinggi di dalam akademik. Betapa masa telah berlalu dengan begitu pantas. Adakah mungkin saya dapat lalui kesemua itu lagi?

Musim sejuk di Randall

Musim bunga di Capitol


Musim luruh di perkarangan Fakulti

Saturday, July 11

Alahai....

Dalam minggu ini, tiap-tiap pagi adik agak keberatan ke taska. Menangis-nangis tidak mahu turun kereta. Ada ketika terpaksa mendukung adik yang sudah mencecah 20kg masuk ke dalam taska setelah pujukan demi pujukan tidak berhasil. Semalam, begitu juga. Puas dipujuk, adik enggan masuk ke sekolahnya. Cikgu datang berbisik pada saya, cikgu bertanyakan adik,

"Kenapa Siti menangis pagi-pagi?"
"Siti takut umi pergi kursus"

Alahai... dia merajuk agaknya kerana saya tinggalkannya sewaktu kursus tempohari. Pagi itu, seperti biasa saya menghantarnya ke taska. Saya sudah beritahu anak-anak tentang kursus yang perlu dihadiri. Kakak faham. Sewaktu suami mengambil mereka dari Taska, adik bertanya tentang saya,

"Kenapa tak ambik umi di sekolah umi" suami memberitahu saya di dalam telefon.

Keesokannya sewaktu suami menghantar mereka ke sekolah, adik menangis-nangis di dalam kereta. Apabila ditanya,

"Adik ingat abah nak ambik umi, adik nak ikut"

Susahnya apabila anak-anak sudah besar yang perlu ditinggalkan apabila terpaksa memenuhi tuntutan kursus dan latihan yang terpaksa dihadiri.

Friday, July 10

Kopi

Saya tidak minum kopi dan tidak pandai menyediakan kopi. Sewaktu berbual dengan teman sepejabat tentang minuman panas, terkeluar topik tentang kopi. Jika Pak Cik saya berkunjung ke rumah mak, tugas menyediakan kopi akan diserahkan kepada kakak yang arif membancuh kopi yang pekat dan "kaw-kaw". Pak Cik sentiasa memuji kopi yang disediakan kakak.

Sewaktu belajar ijazah pertama dahulu, teman-teman serumah sentiasa menyediakan kopi sebagai teman mereka untuk mengulangkaji pada lewat malam. Kata mereka, kopi dapat menghilangkan mengantuk mereka. Sewaktu sama-sama mengulangkaji pelajaran bersama teman-teman serumah, saya mencuba secawan kopi. Jam 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi, mata teramat pedih kerana menahan ngantuk yang teramat sangat. Saya tidak dapat mengulangkaji dan juga tidak dapat tidur. Hasilnya, saya kepeningan keesokan harinya. Itulah penangan kopi yang sentiasa melekat di dalam ingatan saya apabila "kopi" menjadi topik perbualannya.

Wednesday, July 8

Percaya atau Tidak? - 3

Sudah agak lama si pengacau tidak mengganggu hidup saya. Ketika tinggal menyewa bersama kakak, tiada kejadian “seram” yang berlaku. Tetapi setelah berpindah ke rumah sewa yang lain bersama teman-teman, pengganggu misteri itu muncul kembali. Yang peliknya, kawan-kawan yang sudah lama menginap di rumah itu, tidak pula dikacaunya. Saya ini memiliki “aura” agaknya he he he. Peristiwa diganggu ketika tidur berulang-ulang lagi. Sehinggalah saya ke Darus Syifa’ Kg. Baru untuk berubat, sememangnya saya diganggu oleh “penghuni” rumah itu. Saya diarahkan untuk memagar rumah itu dengan Ayatul Kursi yang dibaca di setiap penjuru rumah mengikut tertib tertentu. Ada ketika saya bermalam di rumah kakak, rupa-rupanya “dia” mengikut saya ke situ. Dan akibatnya, kakak saya pula dikacaunya! Alhamdulillah, lama kelamaan gangguan itu hilang juga akhirnya.

Tuesday, July 7

Kursus


Saya mengikuti kursus dari 2/7 - 5/7 di Hotel Grand Season, KL bersama-sama dengan 14 rakan dari kampus yang sama dan peserta-peserta dari IPTA yang lain. Tidak sempat untuk menyediakan bahan-bahan pengajaran kerana notis perlu menghadiri kursus diterima hanya dalam tempoh 3 hari. Dalam tempoh itu jugalah saya perlu mengatur barang-barang keperluan anak-anak ke sekolah dan juga barang-barang sendiri.

Alhamdulillah, segala-galanya telah berakhir, namun kepenatannya masih terasa. Program selesai tengahari Ahad. Sewaktu dalam perjalanan pulang, kedengaran seperti letupan kecil dan angin keluar dari tayar belakang bas di Ipoh. Hati mula bimbang, jam berapa agaknya dapat sampai ke rumah. Pemandu mengatakan masih dapat diteruskan perjalanan. Hati berdoa agar tidak berlaku kejadian yang lebih buruk melibatkan tayar bas tersebut.

pemandangan KL dari bilik hotel tingkat 23

Alhamdulillah, sedikit sebanyak, ada ilmu baru yang dapat diperolehi hasil dari kursus tersebut. Sesungguhnya setiap apa yang kita kerjakan itu merupakan satu ibadah jika diiringi dengan niat yang betul. Semoga kita ikhlas dengan apa yang diamanahkan kepada kita.

Tasik Titiwangsa

p/s: Nak rehat lagi boleh? He he he... cukup sudah rehatnya kan...

Thursday, July 2

Tujuh...

Semalam, 1 Julai 2009, jam 10.15mlm, genap 7 tahun usia kakak. Cepatnya masa berlalu, seakan baru semalam saya berada di dalam bilik bedah untuk melahirkan kakak. Kakak juga dilahirkan melalui pembedahan Caesarean kerana laluannya tidak terbuka setelah melebihi 4 jam diinduce. Pengalaman pertama dimasukkan ke dalam bilik pembedahan sangat menakutkan kerana seingat saya, saya tidak pernah dimasukkan ke dalam mana-mana wad hospital, inikan pula untuk menghadapi pembedahan. Alhamdulillah, dengan sokongan dari keluarga, proses pemulihan mengambil masa agak singkat untuk seseorang yang menjalani pembedahan.


Kakak sangat teruja ketika saya membuat kejutan dengan menghantar kek ke transitnya. Tersenyum simpul! Semoga kakak menjadi anak yang solehah, mempunyai "ilmu kebal" (memetik kata-kata Ustaz Hasrizal - Saiful Islam) untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Wednesday, July 1

Halaqah


Kepada semua yang berada berhampiran UiTM Permatang Pauh atau sekitar Pulau Pinang, dijemput untuk memeriahkan program Halaqah yang pertama kalinya diadakan di UiTM Pulau Pinang pada malam ini 1 Julai 2009 jam 8.00 malam. Tetamu jemputan istimewa yang tidak asing lagi adalah YBhg. Dato' Hassan Din Al-Hafiz serta Y.Bhg. Datuk Siti Norbahyah Mahamood. Tajuk yang akan dibincangkan pada malam ini adalah "Kain Tak Berjahit".

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin