Saturday, July 18

Curi - 2

Kejadian pecah rumah berlaku di mana-mana. Saya juga hampir-hampir menjadi mangsa kes ini. Saya tidak ingat tarikh sebenar tetapi ianya berkemungkinan penghujung tahun 2002 atau awal 2003. Kakak belum lagi berusia setahun. Ketika itu kami sekeluarga menyewa di sebuah rumah teres setingkat.

Pada malam itu suami bekerja syif malam. Lampu dapur sentiasa dibiarkan terpasang ketika tidur. Sekitar jam 3, seperti kebiasaan, kakak akan bangun untuk menyusu. Seperti biasa, saya akan ke dapur untuk membancuh susu kakak. Sebaik tiba di dapur, saya terlihat tangan, melalui tingkat nako yang telah dikopak, sedang mencapai tombol pintu belakang yang tidak dipasang grill. Di dalam keadaan yang amat panik, terus saya menyergah, "Hoi!" dengan suara yang kuat. Sebaik mendengar suara saya, mereka berdua terus lari. Dengan tangan yang menggigil yang teramat sangat, saya dapat mengunci pintu dan menutup tingkap dan dengan doa yang tidak putus-putus agar pencuri tersebut benar-benar sudah tiada. Ya Allah, jantung ini, terasa bagai hendak pecah dan badan terus-terusan menggeletar. Terus telefon dicapai dan nombor suami didail untuk memberitahu kejadian itu. Boleh suami berlawak,

"kenapa tidak katuk (ketuk) tangan itu?"
"nak katuk macammana, tengah panik, terus sergah je lah"

Alhamdulillah, ditakdirkan kejadiannya berlaku ketika saya terbangun untuk menyediakan susu kakak. Jika tidak, entahlah apa yang akan terjadi. Selepas itu mata langsung tidak dapat dilelapkan. Saya memasang telinga untuk mendengar bunyi-bunyi yang luar biasa.

Keesokan hari, saya mendapat cerita, rumah jiran sebelah juga telah dimasuki pencuri tersebut dan berjaya mendapat sebuah telefon bimbit. Saya agak perbuatan ini dilakukan oleh remaja berdasarkan tangan dan jersi yang dipakai oleh pemilik tangan tersebut.

Selepas beberapa kejadian pecah rumah itu, taman perumahan yang kami diami itu mengadakan rondaan rukun tetangga yang disertai oleh penghuni-penghuni taman itu. Rondaan dibuat di dalam beberapa syif supaya setiap penghuni yang membuat rondaan turut mendapat rehat untuk bekerja keesokan harinya.

Dan selepas kejadian itu, tuan rumah juga memasang grill di bahagian belakang rumah yang kami sewa. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana melindungi kami sekeluarga dari bencana ini. Namun, selepas kejadian itu, saya menjadi fobia apabila suami bekerja syif malam. Ketika suami bekerja malam, mak akan datang untuk temankan kami berdua dan pulang keesokan harinya.

Selepas beberapa tahun mendiami rumah lain, sekali-sekala saya tetap terjaga di tengah malam apabila mendengar bunyi-bunyi yang agak aneh. Saya juga akan mengintai-intai dari dalam rumah untuk melihat keadaan di luar. Dan sekarang, saya semakin tenang kerana suami tidak lagi perlu bekerja syif malam. Sebenarnya, saya ini, di dalam berani, ada takutnya hehehe.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin