Wednesday, September 30

Dikejar (1)


Saya baru memiliki kenderaan sendiri setelah 2 tahun bekerja di KL. Dan sejak itu, saya tidak pernah memandu berseorangan ketika pulang ke kampung. Ketika mak dan bapak (allahyarham) mengetahui yang saya akan pulang ke kampung, bapak akan menaiki bas dari kampung ke Pudu Raya dan menaiki LRT untuk sampai ke rumah sewa saya. Berehat sekejap, bapak akan menemani saya memandu pulang ke kampung. Ada ketika saya merasa saya begitu membebankan bapak, tetapi beliau tidak kisah. Katanya, perempuan tidak elok memandu berseorangan untuk tempoh perjalanan yang agak panjang, dibimbangi apa-apa berlaku di pertengahan jalan. Ada betulnya juga. Dan sepanjang perjalanan, saya memandu, bapak akan terlena di sebelah. Sekali-sekala bapak terjaga, kami akan bersembang-sembang santai.

Sekali itu, saya sudah berjanji dengan Yati yang ingin ke kampung saya. Saya khabarkan yang saya akan memandu dengan ditemani Yati. Alhamdulillah, bapak mengizinkan. Dan pertama kali itu juga, saya di"ekori" di lebuhraya. Saya hanya menyedari ada sebuah kereta yang sentiasa mengekori saya ketika menghampiri Ipoh. Saya memperlahankan kereta memberi laluan kepadanya (padahal saya memandu di lorong kiri) untuk memotong kereta saya. Beliau memotong kereta saya dan kemudian memasuki ke lorong kiri semula betul-betul di hadapan saya! Pemandu itu memperlahankan keretanya sehingga menyebabkan saya juga terpaksa memandu dengan perlahan. Saya mengomel kepada Yati tentang sikap pemandu tersebut.

Ketika berkesempatan, saya memotong keretanya dan terus menekan pedal minyak. Dia terus mengejar kereta saya dan memotong dan berada lagi betul-betul di hadapan saya. Kejadian ini berlaku berulang-ulang kali. Jantung saya berdegup kencang, "apa kena dengan orang ini, tidak pula kenal dengan pemandunya". Ada ketika dia akan memasuki laluan kecemasan dan memberi isyarat supaya saya berhenti. Mana mungkin saya berhenti di tengah-tengah lebuhraya begitu. Saya sudah memeriksa kereta saya di dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Saya tidak mengendahkannya. Terngiang-ngiang kata-kata bapak.. bagaimana jika saya berseorangan ketika itu? Tentu panik juga dibuatnya!


Tabung


Ketika singgah bersolat di mana-mana masjid, saya akan menghulurkan duit kepada anak-anak untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid. Mereka berebut-berebut untuk memasukkan duit ke dalam tabung.

Sekarang, jika singgah di masjid untuk bersolat, selesai saja solat, mereka pula yang akan meminta duit untuk dimasukkan ke dalam tabung. Semoga sifat pemurah mereka akan berterusan sehingga mereka memiliki duit mereka sendiri dari hasil titik peluh mereka.


Monday, September 28

Hasil Kutipan Raya


Adik sudah lama "merengek" hendakkan laptop kecil untuknya. Kakak pula teringinkan "mainan picit" yang mudah dibawa ke mana-mana. Bukan tidak boleh beli, tetapi tidak mahu melayan sangat kehendak mereka.

Saya berjanji. Boleh belikan seperti yang mereka mahu, tetapi dengan syarat, guna duit sendiri! Jadi, setelah mengumpul duit raya tempohari, saya menyuarakan kepada mereka tentang cadangan itu. Betapa sayangnya mereka untuk mengeluarkan duit untuk membeli barang keinginan mereka. Adik paling ketara kedekutnya, saya minta duitnya untuk dibeli laptop tersebut, dihulurnya RM1!

Ketika membeli, mereka bertanyakan duit siapa serta bertanyakan baki duit yang ada. Saya nyatakan kepada mereka, baki duit raya mereka akan disimpan di dalam bank (agaknya baru lega hati mereka).

Kakak senang dipujuk, memandangkan "mainan picit" yang diingini tidak begitu ilmiah, kami cadangkan supaya dibeli laptop juga yang sesuai dengan peringkat pembelajaran kakak.

Semoga mereka menghargai serta menjaga barang mereka dengan sempurna kerana mereka tahu, duit mereka sendiri yang digunakan untuk membeli barangan tersebut.

Saturday, September 26

Jambatan Silaturrahim

Aktiviti berziarah diteruskan ke rumah saudara-mara serta rakan-rakan.

Sewaktu berziarah ke rumah rakan suami di sebelah pulau, anak-anak teruja dengan ini,



"tulang ikan" ini berada berhampiran dengan kediaman rakan suami.



Bila ditanya boy ke girl, boy jawabnya, hehehe....

Alhamdulillah, saya sempat ziarah cikgu sekolah rendah saya, Cikgu Fatimah Bee Bee. Cadangnya ingin merakamkan gambar bersama, tetapi tidak kesampaian kerana melayan kerenah anak-anak. Cikgu berbesar hati menyediakan makan tengahari di rumahnya. Kesempatan ini digunakan dengan bertanyakan khabar tentang guru-guru lain yang mana, ada yang sudah kembali ke Rahmatullah.


dah namanya budak-budak, di dalam kereta pun boleh bermain..
( jangan tiru aksi berbahaya ini hehehe)


Destinasi seterusnya ke rumah sahabat saya. Sudah agak lama tidak bertemu dengan Haliza Yani, sekadar bertanya khabar melalui sms dan telefon sahaja. Pertemuan kami diisi dengan update perkembangan terkini masing-masing serta rakan-rakan yang lain, setakat yang diketahui melalui Facebook.


Pertemuan selama hampir 1 1/2 jam tidak terasa. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya jambatan silaturrahim antara kami masih utuh lagi.


2 Syawal 1430H

Hari raya kedua kami balik ke rumah mak. Sungguh seronok apabila anak-anak bertemu dengan sepupu mereka, Izzati. Sehinggakan hendak kemana-mana, sepupu ini akan mengikut sama.


Adik sangat berkira duit rayanya. Kakak sepupunya mengusik hendak mengambil duit rayanya, apa lagi, meraunglah dia.




Meriah apabila adik-beradik berkumpul bersama!

Thursday, September 24

Mata Itik


Pernah lihat buah ini? Buah mata itik (panggilan) ini ada ditanam di perkarangan rumah mertua saya. Rasanya agak kelat.




1 Syawal 1430H

1 Syawal 1430 dipenuhi dengan aktiviti berziarah. Paling tidak dapat dilupakan apabila anak-anak begitu teruja dengan suasana rumah kampung yang benar-benar "kampung". Ketika orang dewasa rancak berbual, anak-anak sibuk berlarian naik dan turun tangga ini. Mujur sepupu-sepupu yang lain tiada bersama, jika tidak, bertambah riuh-rendahlah suasana.


suami menemani anak-anak di bawah


Al-maklum anak-anak "pekan", jarang bertemu tangga sebegini


posing istimewa


teruja dengan "air hujan" buatan

rumah tok ngah yang masih kekal dengan ciri-ciri tradisional


dengan sebahagian sepupu mereka

Apabila malam, barulah riuh rendah rumah mertua kerana adik-adik ipar yang lain sudah pulang. Apa lagi, saya lihat, ruang tamu sudah dikuasai oleh mereka!

Sunday, September 20

Bersiaran dari Bandar DarulAman


Kami sudah tiba di Bandar Darul Aman pada hari Sabtu. Alhamdulillah, perjalanan ternyata lancar walaupun kenderaan agak banyak di lebuhraya berbanding hari-hari biasa.

Malam selesai isya', kami keluar ke pekan rabu. Jalan agak sesak dengan kenderaan orang ramai yang membuat persiapan di saat akhir. Ketika tiba di kompleks pekan rabu, suasana agak lengang. Ada juga gerai yang sudah ditutup. Mungkin juga ramai yang tertumpu di sekitar gerai-gerai jualan di bahagian bawah.

Saya lebih suka membuat persiapan awal untuk mengelakkan kesesakan begini. Di dalam keadaan sesak begini, kemungkinan berlaku jenayah ragut amat tinggi sekali jika ada yang terleka. Kami berjalan pulang sambil melihat telatah dan ragam orang-ramai di malam raya. Bermacam-macam feel!

Salam AidilFitri 2009

~ sticky mode ~ entri terbaru di bawah

Kemalangan


Semalam, sewaktu dalam perjalanan ke rumah mak, terlihat satu kemalangan yang melibatkan dua buah kereta. Cepat-cepat kamera dikeluarkan untuk merakamkan detik itu. Semoga tiada siapa yang cedera atau kehilangan nyawa.

Rakan-rakan yang memandu pulang ke kampung, berhati-hati ya. Statistik kemalangan maut nampaknya semakin meningkat menjelangnya hari perayaan terutamanya AidilFitri. Semoga kita sentiasa berhemah di jalanraya, bersabarlah, janganlah tarbiah sebulan di bulan Ramadhan hilang begitu saja apabila berada di hadapan stering kereta. Janganlah memotong barisan kerana semua ingin sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

Selamat Hari Raya, berhati-hati di Jalanraya!

Thursday, September 17

Botol Susu

Kebiasaannya, menjelang umur 2 tahun, kanak-kanak sudah diajar untuk minum susu menggunakan cawan. Agak susah untuk meleraikan adik dari botol puting susunya berbanding kakak dahulu. Adik gemar 'nyonyot' botol susunya sehingga giginya rosak dek kerana lamanya puting berada di dalam mulutnya. Baru-baru ini, suami membuat tawaran kepadanya, seandainya adik dapat melepaskan botol susunya itu, hadiah akan diberikan kepadanya. Hadiah permintaannya, stiker kartun. Setelah hampir sebulan adik berenggang dengan botol susunya, abahnya menunaikan janji dengan membelikan stiker 3D kepadanya dan pilihannya, stiker dinosour! Kakak juga sudah dijanjikan hadiah stiker sekiranya dapat menghabiskan puasa dengan 'cemerlang'. Mungkin ketika ini, hadiah atau ganjaran merupakan cara yang terbaik untuk memberi motivasi kepada anak-anak untuk melaksanakan sesuatu dengan sempurna, itupun jika berkemampuan. Tetapi anak-anak tetap dididik supaya berjimat cermat serta tidak membazir. Ada ketikanya permintaan mereka ditunaikan dengan bersyarat, ada ketika permintaan mereka terpaksa ditolak di atas sebab-sebab tertentu. Apa-apa pun situasinya, pandai-pandailah ibu bapa menangani permintaan serta permohonan anak-anak.


Tuesday, September 15

Mak

Mak bersama cucu-cucu perempuan

Semoga mak masih dipanjangkan umur untuk meraikan AidilFitri bersama-sama kami, anak-anak dan cucu-cucunya setelah pemergian bapak 3 tahun yang lalu. Terasa syahdunya Ramadhan kini hanya tinggal 4 atau 5 hari lagi.

Sunday, September 13

Air


Semalam sewaktu suami "membersih"kan penapis air di luar rumah, kelihatan airnya pekat seperti air karat (gambar 2). Setelah beberapa lama, barulah airnya menjadi jernih semula. (gambar 3). Pelaburan yang mungkin lebih untuk kesihatan seisi keluarga.



Friday, September 11

Penanda Buku

Sebagai pemangkin kepada usaha mereka, saya menghadiahkan penanda buku yang direka, dicetak dan dilaminate oleh saya sendiri kepada pelajar-pelajar yang memperolehi markah tertinggi di dalam ujian mereka. Walaupun ianya tidak seberapa, semoga ianya menjadi kenangan kepada mereka kerana mereka itu saya kenali dengan sifat rajin serta bersungguh-sungguh di dalam kelas saya.


Nota di penanda buku:

"Don't Quit, Every obstacle is a stepping-stone to success"


Thursday, September 10

Kad Raya


Di ketika Ramadhan masih bersisa 10 hari ini, hanya 1 kad raya yang diperolehi dari sahabat pena yang pastinya akan menjengah peti surat saya setiap kali Syawal menjelang. Dahulu, ketika masih kecil dan remaja, berpucuk-pucuk kad raya diperolehi dari teman-teman, yang paling menyeronokkan apabila membuat perbandingan dengan kakak, kad raya siapa yang paling banyak diperolehi.

Sebelum-sebelum ini, saya mereka, mencetak dan menghantar kad raya kepada sahabat-sahabat saya yang jauh. Tetapi tahun ini, agaknya angin kemalasan menimpa, sehingga kini, kad raya yang satu itu pun saya masih belum membalasnya. Pernah bersembang dengan N, rakan sepejabat yang berkongsi keseronokan apabila mendapat kad raya yang disampaikan oleh abang posmen. Tidak sama dengan kad elektronik yang dihantar melalui emel atau SMS ucapan selamat hari raya. Kad raya mempunyai nilainya yang tersendiri.

Hari ini, tinggal Syawal yang akan menghampiri 10 hari lagi, saya belikan untuk anak saya kad-kad raya yang mungkin ingin disampaikan kepada rakan-rakan dan guru-gurunya. Saya juga mungkin akan meluangkan sedikit masa untuk mencoret sepatah dua kata untuk teman-teman yang jauh di mata tetapi dekat di hati saya.

Wednesday, September 9

Nak pergi ke tidak?


Hmm.... ada lagi kawan-kawan seangkatan yang hendak turut serta?


9-9-09

Cantik nombor ini. Tiada apa yang signifikan nombor ini, cuma ingin mengabadikan di sini "I wuz here", coretan dulu-dulu ketika zaman remaja.

Agak terkejut tadi pagi kerana tol dari Kepala Batas ke Sg. Dua adalah RM1.50 di mana sebelumnya RM1.60. Adakah diskaun sebelum pukul 7 pagi? Sebelum ini pakai TnG saja, cuma pagi tadi, kekurangan kredit di dalam TnG, terpaksa ambil tiket. Tidak pasti samada diskaun diberikan kepada pengguna tol sebelum jam 7 pagi? Belum berkesempatan untuk browse internet lagi.

Tuesday, September 8

Al-Bukhary

Saya ingin kaya seperti Syed Al-Bukhary. Hehehe. Jangan salah anggap. Kayanya tokoh ini dikongsi bersama dengan rakyat marhain yang lain. Saya terpegun melihat yayasan yang dibina di Alor Setar sewaktu suami singgah untuk bersolat asar di sana. Saya mengambil kesempatan ber"siar-siar" di sekitar perkarangan masjid Al-Bukhary yang menyejukkan pemandangan dengan pohon-pohon yang merimbun.

Universiti juga ada?

Taman Herba - senarai pengubatan dengan herba-herba

Bunga melati

Pusat rawatan AlBukhary

Rumah singgahan AlBukhary

Anak-anak berkejaran di Taman Herba

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :" Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah (ilmu) dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (al-Bukhari).

InsyaAllah, semoga kerjaya saya melayakkan saya berada di dalam kelompok yang kedua. Bila agaknya boleh termasuk di dalam kelompok yang pertama?....

Cikgu "vs" pensyarah

Melihat kakak menjadi "cikgu" dan adik menjadi "anak-murid" mengimbau kembali kenangan ketika saya kecil-kecil dahulu. Ketika bermain di rumah, saya sentiasa menjadi cikgu kepada sepupu-sepupu yang lain. Dan ada ketika rotan dipegang, mengajuk guru dulu-dulu yang memegang pembaris panjangnya satu meter ketika menyuruh anak-anak murid membaca di papan hitam. Dahulu ketika ditanya tentang cita-cita, terpapar perkataan "pensyarah" di ruangan cita-cita buku rekod sekolah rendah. Nampaknya, cita-cita saya sudah menjadi kerjaya saya sekarang ini. Adakah kuah akan tumpah ke nasi, kerana melihatkan telatah anak-anak, kelihatan mereka cenderung ke arah profession ini. Apapun pilihan kerjaya mereka, semoga mereka minat serta tiada paksaan untuk mengikuti bidang yang tidak mereka minati.

Adik pernah bertanya kepada mak saya, kenapa umi dipanggil "lecturer", ada yang dipanggil cikgu. Mak saya memberikan contoh yang ringkas kepadanya, jika mengajar budak kecil seperti adik dan kakak, dipanggil cikgu. Jika mengajar budak besar macam k.long (sepupu mereka yang sudah memasuki Universiti), orang panggil "lecturer". Oooo, jawabnya pendek! Kakak dan adik pun nak jadi pensyarah macam umi! Hehehe...

Friday, September 4

Puasa Kakak


Alhamdulillah, hari ini hari yang ke-14 dan kakak masih lagi bertahan untuk berpuasa penuh. Untuk bersahur, kakak jarang menjamah nasi, apa yang dimahu, french fries dan roti + tuna. Tidak pun, koko crunch/honey star + susu. Untuk berbuka, dia akan menjamah apa saja yang terhidang. Kadang-kadang ada juga menu diingini untuk berbuka.

Tetapi adik yang tidak berpuasa pula yang bermacam selera makannya, melebihkan orang berpuasa! Dua hari lepas, "mengamuk" inginkan apam balik, merata tempat ditinjau apam balik tetapi tidak berjumpa. Tiba di rumah amukannya masih belum reda. Cuma hari kedua baru berjumpa dengan apam balik, terus abahnya belikan 10 keping apam balik yang nipis itu. Barulah lega umi dan abah!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin