Saturday, June 27

Sahabat Pena

Ketika di sekolah rendah, saya amat gemar menyertai kuiz atau peraduan yang disiarkan di dalam Majalah Kanak-kanak (ketika itu). Ketika di dalam darjah 4, saya telah memenangi satu peraduan teka-teki bersama dengan beberapa orang lagi. Hadiahnya? RM20 seorang. Seronok bukan kepalang. Maka bermulalah kiriman demi kiriman surat dari merata pelusuk Malaysia untuk berkenalan serta menjadi sahabat pena. Di dalam era 80'an, saya belum "berkenalan" lagi dengan emel, internet dsbnya. Hanya kertas, sampul surat dan setem menjadi penghubung kepada kenalan-kenalan lain. Alangkah gembiranya hati menerima berpucuk-pucuk surat sehari, seperti artis pula....

Di kalangan sahabat-sahabat pena ini, hanya SEORANG saya masih berhubungan sehingga kini. Yang lain-lain, hilang ditelan peredaran masa. Pada awal perkenalan, hanya surat-surat penyambung bicara. Nombor telefon bertukar di kertas, namun, belum sampai ketika dan saat untuk bersuara. Setelah bertahun-tahun berkenalan, hanya surat bisu, hadiah dan kad dikirim pengganti diri. Setiap kali tiba hari lahir dan hari raya, selalunya beliau menjadi orang yang pertama untuk mengirimkan kad atau hadiah kepada saya.

Ketika saya meneruskan pengajian di luar negara, kami masih berhubung melalui surat. Berkajang-kajang kertas dikarang sehinggakan teman-teman serumah saya mengesyaki yang saya sedang "bercinta". Begitu juga dengan ayahnya, menyangkakan yang setiap kiriman-kiriman surat dari luar negara adalah dari teman lelakinya. Saya ketawa apabila di dalam salah satu suratnya menceritakan yang ayahnya terkejut kerana rupa-rupanya teman yang selalu berutus surat dengannya adalah perempuan! Ingatkan boleh juga bermenantukan seorang yang berlulusan dari luar negara... hehehe.

Seiring dengan perkembangan zaman, ketika saya bekerja, surat tidak lagi dikirim tetapi berita demi berita disampaikan melalui emel dan MSN messenger. Boleh dikatakan di dalam sehari, pasti emel darinya diterima dan sudah pasti, balasannya juga segera. Jika tiada, tidak senang duduk dibuatnya, seperti orang bercinta lagaknya. Hanya selepas 14 tahun berhubungan, barulah tiba ketika dan saatnya untuk bersua muka, padahal, kami berdua berasal dari satu negeri. Mungkin sebelum ini belum bertemu kekuatan untuk bersemuka biarpun berkeping-keping gambar sudah dikirim sepanjang tempoh itu. Pertemuan pertama di rumahnya, masing-masing membisu, nampaknya surat dan emel lebih berperanan di dalam menyampaikan segala rahsia hati. Alhamdulillah, selepas kunjungan pertama itu, persahabatan kami menjadi bertambah erat. Hampir kesemua rahsia peribadi dikongsi bersama. Baginya saya menjadi tempat meluahkan segala kepedihan yang melanda dirinya ketika itu.

Jika tidak kerana komputernya bermasalah, kemungkinan emel demi emel tetap saya terima darinya sehingga kini. Namun, memandangkan masing-masing mempunyai komitmen yang tersendiri, kiriman berita tidak lagi sekerap dahulu dan sekarang ini, persahabatan ini dihubung dengan telefon serta sistem pesanan ringkas (SMS). Mungkin anugerah dari Allah, walaupun ketika beliau dilanda kesedihan dan kegembiraan dan tidak memberitahu saya, tetapi saya seakan-akan terpanggil untuk menghubungi beliau dan secara tidak langsung, saya dapat mengetahui keadaannya.

Katanya kepada saya, sayalah sahabat sejatinya dan dia tidak akan melupakan saya sehingga ke akhir hayatnya walaupun ada ketikanya saya merasakan seperti saya tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai sebenar-benarnya seorang sahabat.

Semoga Allah mengekalkan persahabatan yang sudah menjangkau 26 tahun ini, bukan saja sehingga di penghujung hayat kami, tetapi disambung oleh anak-anak di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin