Thursday, September 17

Botol Susu

Kebiasaannya, menjelang umur 2 tahun, kanak-kanak sudah diajar untuk minum susu menggunakan cawan. Agak susah untuk meleraikan adik dari botol puting susunya berbanding kakak dahulu. Adik gemar 'nyonyot' botol susunya sehingga giginya rosak dek kerana lamanya puting berada di dalam mulutnya. Baru-baru ini, suami membuat tawaran kepadanya, seandainya adik dapat melepaskan botol susunya itu, hadiah akan diberikan kepadanya. Hadiah permintaannya, stiker kartun. Setelah hampir sebulan adik berenggang dengan botol susunya, abahnya menunaikan janji dengan membelikan stiker 3D kepadanya dan pilihannya, stiker dinosour! Kakak juga sudah dijanjikan hadiah stiker sekiranya dapat menghabiskan puasa dengan 'cemerlang'. Mungkin ketika ini, hadiah atau ganjaran merupakan cara yang terbaik untuk memberi motivasi kepada anak-anak untuk melaksanakan sesuatu dengan sempurna, itupun jika berkemampuan. Tetapi anak-anak tetap dididik supaya berjimat cermat serta tidak membazir. Ada ketikanya permintaan mereka ditunaikan dengan bersyarat, ada ketika permintaan mereka terpaksa ditolak di atas sebab-sebab tertentu. Apa-apa pun situasinya, pandai-pandailah ibu bapa menangani permintaan serta permohonan anak-anak.


No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin