Showing posts with label pelajar. Show all posts
Showing posts with label pelajar. Show all posts

Friday, August 24

9 minggu sahaja...

Itulah tempoh saya bersama dengan mereka, tempoh yang lebih singkat dari satu semester (14 minggu).  Walaupun hanya tempoh yang singkat, kemesraan jelas terasa bersama mereka.  15 Ogos adalah kuliah terakhir bersama mereka.  Baki 4 minggu selepas cuti hari raya mereka akan meneruskannya bersama rakan sekerja saya.

EM1101I - kredit Asyhrafuddin


hadiah dari EM1101I - terima kasih

EC1101H - kredit Eyas Norman

coklat dari EC1101H - terima kasih

EM1101A

Duhai anak-anak generasi Z
andai pelajaran itu susah, jadikanlah ia mudah
lihat ia dari sudut aplikasi kehidupan
bukan hanya untuk peperiksaan

Hiasi peribadi dengan akhlak mulia
jadikan dirimu contoh buat semua
tetapkan hati kekal istiqamah 
kerana jalan ilmu bukan jalan yang mudah.
usahlah cepat mengalah
kepadaNya dirimu berserah

Selamat maju jaya
buat anak-anak semua...

Monday, August 13

Kuliah terakhir...

Selepas hari raya, saya akan bercuti dari mengajar.  InsyaAllah.  "Girls of EC1103G1", anak-anak murid dari kuliah Calculus for Engineers telah menghadiahkan saya dengan tudung ini.  Terima kasih.  



bergambar kenangan selepas kuliah

Terima kasih Hanna, Nadia Farhana, Mira, Mimi, Nur Shahirah, Siti Shahirah, Diane dan Halijah.



Friday, March 16

Cop mengecop


Sudah lama saya memiliki cop ini.  Cop yang diberikan kepada pelajar mengikut markah mereka di dalam ujian atau tugasan yang mereka lakukan.  Sudah lama saya meninggalkan 'cop-mengecop' ini...tetapi apabila membaca tentang teknik pujian di dalam blog Puan Khairulaniza ini, semangat untuk mengecop kembali semula.    Sayangnya, semester sudah hampir berakhir, dan hanya kertas ujian terakhir ini saja yang dapat saya tinggalkan 'kenangan' untuk mereka hehehe.  

Friday, March 2

Kenangan bersama mereka

Selesai sudah tanggungjawab yang diamanahkan untuk semester ini.  
Di dalam debaran menanti, 
apakah hasilnya nanti

Ilmu yang dicurah adakah terpahat kemas di dada?
berjayakah mereka atau sebaliknya?
atau akukah yang seronok sendiri tidak terkata?
merasakan yang kusampaikan cukup belaka?

Anak-anak muridku yang elok paras rupa
ilmu yang dicurah bukan sekadar suka-suka
bukan juga semata hanya untuk lulus periksa
gunakan ia untuk di masa akan datang juga
untuk dimanfaatkan kepada agama
juga bangsa dan negara

Anak-anak muridku yang indah pekertinya
jagalah diri agar tidak terpedaya
dengan bisikan syaitan durjana
yang sentiasa berusaha mengajak manusia
mengikut jalan pilihannya
jalan yang dimurkai Allah Taala

Selamat maju jaya
buat kalian semua
semoga tidak bertemu lagi untuk sekian kalinya
di dalam subjek yang sama...

HS1132B

HS1132A

Juga untuk EM1104M dan EH1105A

Jumaat, 9 Rabi'ul Akhir, 2 Mac 2012
Kampus Permatang Pauh

- ketika hujan turun lebat di luar sana



Monday, February 27

Wish list...

26 Februari 2012

Hari ulangtahun kelahiran saya yang ke-39.  Hari semalam berlalu seperti biasa.  En. suami membawa kami ke restoren ala timur tengah yang berhampiran untuk meraikan saya.  Sayangnya restoren tersebut tidak dibenarkan merakamkan sebarang gambar.  Sebenarnya, sebelum ini saya pernah mengambil gambar menu-menu pilihan kami di restoren tersebut.  

Ingatkan raikan ummi, tup-tup menu budak berdua yang terlebih mahal dari ummi... hehehe. 

Dinding FB saya dipenuhi oleh ucapan dari keluarga, sahabat, kenalan dan pelajar-pelajar saya sehingga ke hari ini.

Petang tadi, ketika melangkah ke dalam kelas di kampus Bertam, anak-anak murid saya (dari program Sains Persekitaran) beramai-ramai menyanyikan lagu "Allah selamatkan kamu"... Terima kasih (huhuhu.. terharu)

Dan inilah 'wish list' yang panjang yang disiapkan oleh mereka.  Kreatif juga mereka ini... 

stitch 2 foto
Dan ini ucapan balas saya kepada semua yang saya letakkan di dinding FB saya:

"Terima kasih keluarga, sahabat, kenalan dan pelajar di atas ingatan dan doa di hari lahir saya. Semakin meningkat umur, semakin hampir waktunya untuk kembali ke kampung abadi. Ya Allah, berkati dan rahmatilah hidup kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami di dunia dan akhirat. Permudahkanlah urusan kami tika tiba saat untuk kami kembali kepadaMu"

Terima kasih kerana hadir dan turut mewarnai perjalanan hidup saya di alam persinggahan ini.  

Wednesday, January 25

Cara berbeza, halatujunya sama

Kisah mereka ada kesannya kepada saya.

Kisah 1

Nama : Pak Din
Umur : 57 tahun
Pekerjaan : Tukang gunting rambut

Perjalanan hidupnya di dunia ini telah ditakdirkan berakhir di sebuah tempat yang mulia, Masjid At-Taqwa, Kepala Batas, ketika sedang bersolat isya' malam penghulu segala hari, Jumaat.  Dia bukan siapa-siapa dengan saya, tetapi pengakhirannya menjadikan saya tersangat cemburu dengan kemuliaan yang diperolehinya.  

Setelah diselidiki latar belakangnya, dia sangat rajin membersihkan kawasan masjid untuk keselesaan orang ramai.  Menurut sumber, sehari sebelum berpisah roh dan jasad, dia masih sempat mencantikkan pagar kuburan dengan cat baru.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad) 


Kisah 2

Nama : Bashirah
Umur : 19 tahun
Pekerjaan : Pelajar UiTM

Pelajar saya ini memiliki pekerti baik.  Bertubuh kecil, bertudung labuh, tidak banyak bercakap tetapi wajahnya sentiasa tersenyum.  Pemergiannya akibat penyakit yang tidak dapat dipastikan mengejutkan saya dan rakan-rakannya yang lain.  Sememangnya sebelum ini, beliau beberapa kali tidak hadir ke kuliah, apabila ditanya kawan-kawannya, diberitahu demam. 

Ketika menatap wajahnya buat kali terakhir, saya tidak menahan airmata.  Dia seakan-akan menguntumkan senyuman sebagaimana selalu.  Tenanglah di kau di Sana wahai anakanda.


Tuesday, November 15

Salah siapa??

Seorang pelajar, sudah tiga (3) kali mengulang subjek matematik yang sama dan masih lagi gagal untuk kesekian kalinya.  Baru-baru ini, dia datang berjumpa beberapa orang pensyarahnya (bukan pensyarah matematik) mengatakan punca kegagalannya adalah pensyarah!  

Akhirnya, mereka membawa pelajar berkenaan berjumpa saya.  Saya kenal benar dengan pelajar itu kerana pelajar itu pernah berada di dalam kelas syarahan saya.  Saya akui, mungkin saya tidak pandai mengajarnya pada semeter itu, maka, pelajar itu gagal.  Dia mengulang dengan beberapa orang pensyarah lain juga gagal!  Jadi, kesimpulannya....??

Pada petang itu, saya bersyarah atau lebih tepat lagi "membebel" pada pelajar itu.  Katanya, beliau belajar, contoh-contoh yang diberikan dia boleh faham.  Saya bertanya, "awak buat latihan lain tak?".  Diam.  

"Awak tidak boleh harapkan contoh-contoh yang diberikan saja.  Kenalah usaha buat latihan kerana latihan tidak semudah contoh di dalam buku".

Beliau akan menduduki peperiksaan khas pada minggu ini.  Itu yang sibuk berjumpa dengan mana-mana pensyarah matematik untuk meminta pertolongan (agaknya).

"Matematik bukan untuk dibaca, tetapi kena buat latihan!", saya membebel lagi.  

Saya khabarkan kepada pensyarah-pensyarah berkenaan.  Sepanjang hidup saya mengajar, tidak pernah saya berjumpa dengan pelajar yang masuk ke kelas matematik saya dengan ber'lenggang' dan sambil duduk bersandar di kerusi dengan berpeluk tubuh melihat saya mengajar.  Apabila ditanya samada beliau faham, beliau dengan yakinnya menjawab, OK.  Itulah pelajar itu.  Kerana sikap itulah saya masih mengingati beliau.

Saya harap pelajar itu terbuka hatinya dan dapat melepasi ujian terakhir ini.  Jika tidak berminat dengan matematik, pilihlah kursus lain yang tiada kaitan dengan matematik.  Jangan salahkan orang lain.  Full stop.

Sabar...sabar.... 

gambar hiasan ketika kami mengadakan bengkel matematik dahulu.
Rakan sejabatan sedang menyampaikan ceramah motivasi
Paparan di skrin: 
Adakah anda bersedia untuk berjaya?
  • Adakah anda benar-benar mahu berjaya?
  • Adakah anda yakin untuk memperolehi keputusan cemerlang?
  • Adakah anda ada strategi belajar agar lebih cemerlang di dalam peperiksaan?
  • Adakah anda bersedia untuk melipatgandakan usaha serta lebih berdisiplin?

Saturday, September 10

Integriti

"This is your last test before your final exam.  Please do not communicate with each other, do not copy.... " dan senarai tidaknya bersambung. 

Begitulah arahan sebelum pelajar memulakan ujian terakhir mereka pada hari terakhir kuliah mereka.  

Ketika ujian berlangsung, saya lihat pelajar-pelajar mula berbincang sesama mereka.  Bukan seorang dua, tetapi ramai.  Bunyi lebah semakin kuat kedengaran.  Dan saya juga perhatikan, ada yang masih mempunyai integriti untuk menjawab soalan sejujurnya.  Saya masih memerhati.  Saya tidak menegur.  Bukan tidak mahu menegur, akan tetapi saya mempunyai rencana yang lebih 'istimewa' untuk mereka.  

Selesai ujian, masing-masing kelihatan ceria kerana 'ujian terakhir' mereka sudah habis.  

Saya menyambung kuliah yang berbaki dua contoh untuk melengkapkan silibus untuk semester ini.  Di dalam kepala saya, masih merangka ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada anak-anak murid ini.

"Okay, we will have re-test on Monday"

Masing-masing terkejut dengan pengumuman yang tiba-tiba (saya rasa).

"Ujian tadi bukan lagi ujian tetapi discussionI will not mark your paper."

Saya memulakan 'tazkirah' pendek untuk mereka. 

Jika pun mereka mendapat four flat di dalam subjek mereka, saya katakan, ianya tidak menarik perhatian saya jika ianya bukan hasil dari usaha mereka sendiri.  Ujian sepatutnya menguji tahap kefahaman masing-masing, jika masih lemah, boleh dibaiki, akan tetapi, jika meniru dan mengharapkan orang lain, maka ilmu yang diperolehi tidak ke mana dan tiada keberkatannya.  Begitu juga jika ada yang pandai "menolong" kawan-kawannya yang kurang pandai, "bagaimana jika dia berjaya menjadi seorang jurutera, tetapi dengan ilmu yang dia perolehi hasil dari penipuan, dia membina jambatan yang digunakan orang ramai, tetapi jambatan yang dibina tidak kukuh dan runtuh.  Bukankah ianya melibatkan orang lain, bukan dia seorang saja."  Diam.

Jika hanya gred yang dikejar, dan sanggup untuk melakukan penipuan untuk mendapat gred yang baik, di mana keberkatannya.  "Awak adalah pelajar universiti, bukan lagi pelajar sekolah, jadi berkelakuanlah seperti seorang pelajar universiti".

Saya perhatikan wajah setiap mereka.  Diam.

"This is your lesson."  Dan saya amat berharap dengan tindakan saya ini, mereka akan ingat selama-lamanya.  Saya ingin membentuk seorang pelajar muslim yang mempunyai integrati, walaupun tidak diperhatikan, mereka tetap melakukan kerja mereka dengan jujur, bukan hanya semata-mata kerana ada manusia yang memerhati, mereka melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.

Saya berkongsi cerita dengan rakan pensyarah yang lain.  Ada seorang, pernah beberapa kali menegur pelajarnya yang berbincang ketika ujian berlangsung, langsung tidak dipedulikan.  Akhirnya dia 'menghalau' pelajarnya keluar dari ujian tersebut.

Seorang lagi rakan pensyarah memberitahu lagi, dia mendapat 'jelingan' tajam ketika beberapa kali menegur pelajar yang sama meniru/bertanya kawan ketika ujian berlangsung.  Hmmm....

Kerana sebab itulah saya tidak 'menegur' mereka begitu, kerana pernah saya menegur, tetapi tetap tidak dihiraukan.   Kali ini, saya mengambil tindakan yang lebih 'drastik' lagi, walaupun implikasinya, saya terpaksa menggubal soalan ujian khas untuk mereka.  

Biar mereka 'berdendam' atau 'membawa mulut' tentang tindakan saya ini kerana saya ingin menjadikannya sebagai pengajaran untuk mereka ingati sepanjang hidup mereka supaya jujur dan amanah dengan tanggungjawab mereka.  Harap-harapnya begitu.

Friday, June 17

Masih dikenali

Semalam ketika sedang menelek dan membelek sayuran di sebuah kedua runcit, seorang pemuda menegur saya.

"Puan pensyarah UiTM?"

"Ya...", dengan muka penuh tandatanya.

"Puan mengajar Matematik?", soalnya lagi.

"Ya saya...." Di dalam hati saya, bekas pelajar agaknya.  Tetapi, masih tidak saya kenali.

"Dulu di Permatang Pasir kan?"

"Ya..."

"Puan pernah mengajar saya matematik."

"Oh ya?  Tahun bila ya?".  Jika di permatang pasir, pastinya sudah lama kerana kampus UiTM sudah berpindah ke kampus tetap Permatang Pauh sekitar Ogos 2003.

"2001, 2002 kot..."

Patutlah saya tidak berapa mengenali beliau.  Hampir 10 tahun lalu saya mengajarnya.  Alhamdulillah, anak murid ini masih mengenali gurunya lagi walaupun bertemu hanya satu semester saja di dalam bilik kuliah.  Faizal namanya (saya masih tidak dapat lagi mengingati rupanya).  Katanya, dia sudah bekerja di TNB sebagai jurutera selama 2 tahun selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sekarang ini sedang menunggu kelahiran cahayamata pertama.  

Tahniah Faizal, dan terima kasih kerana masih mengingati saya.  

Inilah kegembiraan kepada seorang yang bergelar pendidik, apabila mengetahui pelajarnya sudah berjaya di dalam bidang masing-masing.  Saya mencongak-congak (matematik katakan), mungkin umurnya sekarang sekitar 27 - 28 sekarang ini.  Ah... tuanya saya! Hehehe

Wednesday, February 23

YB Kampus

pelajar menunggu giliran untuk e-voting

Pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) UiTM P.Pinang telah pun berlangsung semalam (Selasa).  Selamat menjalankan tugas dengan amanah wahai "YB-YB Kampus" yang telah dipilih untuk mewakili pelajar ini.  Semoga mereka tidak mengabaikan akademik mereka kerana sibuk dengan jawatan yang disandang.

Ada juga pelajar saya (sebelum ini) yang menjawat jawatan penting di dalam unit ko-kurikulum, tetapi akademik mereka keciciran.  Semoga mereka pandai mengimbangkan masa di antara akademik dan juga aktiviti kampus. 

Pepatah mengatakan, "with a great power, comes a great responsibility". 

Mungkin mereka ini juga bakal YB setelah mereka keluar dari alam Universiti, siapa tahu? 

Sunday, February 20

Untuk mereka...


Penanda buku ini adalah untuk mereka yang mendapat markah tertinggi di dalam ujian matematik baru-baru ini.  Saya hasilkannya sendiri hasil dari 'bantuan' encik Publisher yang telah menyediakan template untuk penanda buku.  Hasil pencarian untuk kata-kata, saya memilih ungkapan al-hadith (klik di sini) untuk diletakkan di hadapan dan di belakang penanda buku tersebut. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah".

Dari Abu Hurairah r.a, dari Rasulullah s.a.w sabdanya: "Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang.  Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya.  Dan seorang yang tawadhuk (merendahkan diri) kepada Allah, makan Allah menaikkan darjatnya."

Sebagai kemasan terakhir, saya laminate kan penanda buku tersebut.  Semoga yang bakal mendapatnya nanti beroleh manfaat dari hasil saya yang tidak seberapa ini.

Friday, May 7

Permata Pintar

Baru-baru ini kakak membawa balik surat dari pihak sekolah tentang ujian saringan pertama PermataPintar UKM 1 versi 2010.  

Ujian PERMATApintar UKM1 dibangunkan dan dilaksanakan secara dalam talian berasaskan web agar proses pencarian pelajar pintar cerdas dapat dilakukan secara menyeluruh dalam masa yang terhad dan tidak melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan ujian bertulis. Dengan itu, ujian ini tidak dijalankan secara bertulis (kertas dan pensil). Selain itu, ujian dalam talian ini dilaksanakan untuk membudayakan ICT dalam kalangan pelajar sekolah.

(dari laman web : http://www.permatapintar.edu.my)

Jika anda mempunyai anak yang berusia di antara 8 - 15 tahun, lawatilah laman web tersebut dan biarkan anak mengambil ujian kecerdasan secara online ini.  Ujian ini selama 3 jam dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan boleh berhenti pada bila-bila masa juga dan akan disimpan sehingga kita login semula untuk menyambung ujian tersebut. 

 
Kakak sudah menjawab beberapa soalan dengan sendirinya dan masih banyak lagi soalan yang masih belum berjawab.  Apa yang penting, janganlah diberi tekanan kepada anak-anak kerana ini sekadar menguji tahap pemikiran dan logik akal mereka saja dan ingin melihat setakat mana mereka mengaitkan permasalahan tersebut dengan jawapan yang diberikan.  Itu saja.



p.s : Saya juga teruja ingin melihat apa hasilnya... hehehe.

Sunday, April 11

Masa yang dinanti...

kian tiba...


Lagi 10 hari saja lagi, peperiksaan akhir akan bermula.  Saya pula yang terlebih debarannya.  Seawal 2 minggu lepas tidak putus-putus saya berpesan kepada pelajar supaya memulakan ulangkaji mereka, terutamanya bagi pelajar semester 4 yang akan menghadapi peperiksaan pada hari pertama 21 April ini.  

Mulut ini sentiasa memesan dan mengingatkan mereka setiap kali pertemuan kuliah atau tutorial.  Harap-harapnya melekat di dalam hati.  Saya sudah memberikan segala ilmu terdaya saya, selebihnya terpulang kepada mereka untuk memahatnya di dalam hati. 

Antara tips yang saya perturunkan lagi di sini:

1. Mulakan ulangkaji seawal mungkin.

2. Banyakkan latihan, jika tidak, sekurang-kurangnya satu latihan sehari

3. Lakukan tiap-tiap hari... EVERYDAY! (bagi pelajar saya, masih ingat ya pada video yang saya tunjukkan tempohari)

4. Kenalpasti di mana kelemahan anda, tumpukan lebih perhatian pada kelemahan tersebut.  Jangan ditinggalkan terus apa yang menjadi kelemahan anda. 

5. Jika tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah, jangan berputus asa.  Cari jalan dengan bertanya rakan-rakan atau pensyarah tentang masalah tersebut.  DON'T GIVE UP!

6.  Kenalpasti setiap kesalahan umum matematik yang sentiasa dilakukan (saya ulang berkali-kali di dalam kuliah dan ada yang masih melakukannya di dalam ujian) dan pastikan anda tidak melakukan kesalahan tersebut lagi di dalam peperiksaan akhir nanti.

7.  Kenalpasti formula yang PERLU untuk diingati.  Formula yang boleh diperolehi hasil dari formula asal tidak perlu dihafal untuk mengelakkan otak sarat dengan formula.

8.  Sesudah berusaha, serah kepada Allah dengan berDOA dan TAWAKKAL.  Mohon Allah supaya tenangkan dan terangkan hati untuk menjawab peperiksaan tersebut.

9.  Tidur awal, jangan paksa diri untuk berjaga pada malam peperiksaan.  Jangan jadi seperti pelajar saya yang lepas di mana beliau "blank"  ketika peperiksaan kerana terlalu memberikan tekanan pada otak sehari sebelum peperiksaan.

10. Petua dari kakak saya, setiap kali selesai peperiksaan untuk sesuatu subjek, beliau akan basuh dan syampu rambut seolah membilas semua yang telah diisi sebelum ini untuk melegakan otak serta memberi ruang kepada subjek yang masih belum tiba masa peperiksaannya.  Katanya, ianya berhasil.


Semoga berjaya pada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir.  

Sunday, October 4

Pelajar Beraya

Kelas seliaan saya pada semester ini adalah 3 kumpulan, terdiri dari 1 kumpulan pelajar semester pertama dan 2 lagi kumpulan dari pelajar semester 4 dan ke atas. Jumlah kesemua pelajar adalah 83 orang. Dari jumlah tersebut, hanya 7 pelajar wanita. Hampir setiap semester, pelajar-pelajar perempuan adalah kurang di dalam kelas saya.

Tahun ini, pelajar-pelajar saya memohon untuk "beraya" di rumah. Saya dengan berbesar hati menyediakan juadah nasi daging, jelatah dan air asam beserta kek batik untuk mereka. Sate sebanyak 200 ditempah serta mak saya menyediakan kek buah serta nasi impit. Tidak berani untuk menjemput kesemua pelajar saya memandangkan rumah saya "comel" ini tidak mampu untuk memuatkan orang yang ramai. Mujur pelajar-pelajar ini datang di dalam 2 sesi, sesi pertama - 9 orang, sesi kedua selesai sesi pertama pulang pula - 13 orang. Itupun sudah penuh rumah saya.

pelajar semester 4

Alhamdulillah, kesemua mereka pulang dengan kekenyangan (kata mereka lah).


pelajar semester 1

Friday, September 11

Penanda Buku

Sebagai pemangkin kepada usaha mereka, saya menghadiahkan penanda buku yang direka, dicetak dan dilaminate oleh saya sendiri kepada pelajar-pelajar yang memperolehi markah tertinggi di dalam ujian mereka. Walaupun ianya tidak seberapa, semoga ianya menjadi kenangan kepada mereka kerana mereka itu saya kenali dengan sifat rajin serta bersungguh-sungguh di dalam kelas saya.


Nota di penanda buku:

"Don't Quit, Every obstacle is a stepping-stone to success"


Monday, August 3

Pelajar


Tujuan saya mengambil gambar ini adalah untuk mengingati nama mereka. Kelemahan saya adalah mengingati nama, saya boleh mengingati rupa seseorang dengan cepat, tetapi tidak namanya.


Setiap semester, saya sentiasa memohon supaya satu atau dua kumpulan saya datangnya dari pelajar semester pertama. Kenapa pelajar baru? Kerana fikiran mereka masih belum 'dicemari' dengan anasir-anasir yang kebanyakannya melanda pelajar senior. Senang apabila saya memotivasikan mereka ketika kelas berlangsung. Senang di"basuh" minda mereka supaya tidak keterlaluan berbelanja wang PTPTN yang jumlahnya begitu mempersona untuk mendapatkan telefon bimbit atau music player yang mahal harganya. Namun tidak dapat dinafikan, sikap dan kelakuan keanak-anakan mereka, terbawa-bawa dari zaman persekolahan, layankan aje. Kebanyakan kuliah saya terdiri dari pelajar-pelajar lelaki dan jika ada pelajar wanita, amat mudah saya mengingati nama mereka dek kerana bilangan yang teramat sedikit.

Mudah-mudahan mereka ini menjadi pelapis pemimpin akan datang yang matang serta kritis mindanya.

Thursday, October 9

Ingatan

Semalam, bekas pelajar saya datang ke bilik pejabat saya. Sambil-sambil bersembang bertanya khabar tentang sambutan hari raya, beliau menghulurkan sesuatu.


Saya terharu dengan pemberiannya. Saya hargai ingatannya kerana walaupun saya tidak lagi mengajarnya, tetapi sekali-sekala beliau tetap muncul di depan pintu pejabat saya untuk bertanya khabar. Terima kasih Aly!

Tuesday, May 13

Pelajar

Sebagai pendidik, terasa diri dihargai jika pelajar masih mengingati kita. Pelajar saya, Ahmad Fadzlan, sudah menghabiskan pengajian diplomanya beberapa tahun lepas. Saya mengajarnya subjek semester pertama dan juga subjek semester keempat. Sekali-sekala, beliau akan SMS bertanyakan khabar...saya selalu merujuknya sebagai "choc fudge", sekejap ada, sekejap tak ada...hehehe. Paling terharu, beliau masih mengingati hari ulangtahun kelahiran saya, dan tidak lupa mengirimkan ucapan pada hari lahir saya sejak beliau masih menjadi pelajar saya. Saya berharap beliau dapat menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi kerana saya tahu, semangatnya untuk belajar masih ada.

Mohd. Hidhir, bakal menamatkan pengajian diplomanya semester ini. Saya menjadi pendidiknya ketika di semester 4 diploma. Usai semester 4, Hidhir bertukar haluan menjadi pelajar Golden Hope Plantation. Beliau akan menghubungi saya sekali-sekala melalui SMS untuk bertanya khabar, meminta pandangan serta nasihat tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang emel beliau akan menjengah mailbox saya atau berkelapangan, YM buat seketika. Semoga Hidhir berjaya mencapai apa yang dicita-citakan. Kuatkan semangat anda.

Aly Idham, masih menuntut di semester 3 diploma. Saya mengajar beliau subjek semester 1. Sehingga sekarang, beliau akan tetap mengunjungi saya sambil bertukar-tukar buah fikiran serta pandangan peribadi mengenai pelajar masa kini. Saya lihat, Aly mempunyai wawasan serta mampu berjaya hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga Maju Jaya.

Gambar hiasan - ketika bengkel pada bulan Mac yang lalu di mana saya menjadi fasilitator kepada anak-anak ini

Baru-baru ini terserempak dengan bekas pelajar saya, Mohd Fadzil, yang sudah menamatkan pengajian di peringkat diploma dan sudah bekerja di sebuah kilang di Seberang Perai. Beliau masih mengenali saya. Alhamdulillah, masih bersopan santun seperti dahulu. Beliau ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tapi beliau ingin menimba pengalaman bekerja dahulu.

Sayangnya, gambar-gambar mereka tiada dalam simpanan saya, cuma kekal di dalam simpanan kotak memori saja. Saya yakin, ramai bekas-bekas pelajar seperti mereka ini yang masih mengingati guru/pensyarah yang pernah mengajar mereka walaupun mereka tidak berhubungan secara terus, sebagaimana saya yang masih mengingati cikgu-cikgu serta pensyarah saya. Saya amat berharap mereka berjaya di dalam hidup mereka serta dapat menolong anak-anak bangsa yang lainnya untuk berjaya.

Saturday, May 10

Wahai Siswi-siswa

Wahai anak-anak yang bergelar siswi-siswa
walau di mana anda berada di dalam negeri atau di luar negara
pastikan nawaitu sebenarnya
untuk apa?

Ibunda menanti dengan hati yang berbunga
anakanda pulang dengan ilmu di dada
untuk berbakti kepada nusa dan bangsa
janganlah diabaikan harapan mereka

12.38am

Friday, May 9

Kenangan Lama

Kadang-kadang kenangan lama mengusik jiwa. Menatap gambar-gambar lama membuatkan saya terfikir, betapa masa berlalu dan betapa usia semakin bertambah. Setahun bertambahnya usia, semakin hampir akan diri kita dengan kematian. Kita digesa supaya bekerja seolah-olah kita akan hidup lebih lama, tetapi beramal-ibadat seolah-olah kita akan menemui ajal esok. Namun, apa yang terjadi hari ini, manusia lebih mengejar harta dunia dari 'harta' akhirat. Di manakah kawan-kawan lama? Ada yang sudah berjaya menjadi bos sendiri, ada yang makan gaji seperti saya, mendidik anak-anak bangsa supaya menjadi insan yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Ada rakan-rakan di dalam gambar yang diambil ketika commencement PPP ini sudah menemui Ilahi, masa kita? Al-Fatihah untuk rakan-rakan yang telah mendahului kita menemui Pencipta.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin