Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Monday, March 10

Mereka yang hilang... MH370

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.

(08032014) 
Penantian itu satu penyeksaan... itu yang mampu diungkapkan.  Biarpun tidak mempunyai talian kekeluargaan dengan mereka yang di dalam kapal terbang itu, kegusaran, kerisauan tetap terasa jauh di sudut hati... apatah lagi ahli keluarga dan sanak saudara mereka.

Photo: Mari ambil kesempatan seketika beberapa saat untuk sama-sama kita mendoakan semua yang berada di dalam penerbangan MH 370 saat ini agar dimudahkan segala urusan mereka. #MH370 #PrayForMH370
(sumber imej : facebook)

Diam bukan tidak peduli
Lebih baik diam dari berspekulasi
Yang bisa mengguris hati

Ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan yang menanti

Tragedi kehilangan mh370 ini

Ada hikmah yang tersendiri
Yang hanya Allah mengetahui
Biarpun perit menanti ditemui
Seluruh dunia menunjukkan solidariti
Berdoa dengan cara yang tersendiri

Biar berbeza bangsa, agama
Hakikatnya kita dari keturunan yang sama
Moyang kita adam dan hawa...
Harapan sentiasa ada
Hanya berdoa pada yang Maha Esa
Agar mereka dapat kembali semula
Bertemu keluarga
Yang merindui mereka

(Hasfazilah, 10032014)

Sunday, November 18

Doa, doa dan doa...

Oh Palestine...
bertabahlah di dalam musibah
kepada Allah kita berserah

Aku di sini tiada daya
hanya menitipkan senjata mukmin dengan berdoa
agar mereka bebas merdeka
dari cengkaman zionis durjana

-18/11/12



Thursday, June 21

Kualiti Udara



Tahap kualiti udara di sekitar Seberang Perai semakin buruk.  Perbandingan yang saya perolehi dari dua gambar ini, sangat jelas.  Pada 17hb, kelibat Bukit Mertajam masih dapat dilihat, tetapi pada 21hb, bayang bukitnya sudah tidak kelihatan.  

Hidung saya sudah mula terasa pedih serta tekak sudah mula terasa gatal-gatal.  Jaga kesihatan masing-masing ya.

p/s : Gambar asal yang tidak diedit

Friday, September 30

Kecilnya jantung kita...

Walaupun kecil, tetapi, fungsinya sangat besar di dalam kehidupan kita.  Bak kata sepupu saya, "kita berhenti, dia jalan, dia berhenti, kita "jalan"".

Sebesar inilah jantung saya.  Menurut Dr. Safari, jantung kita hanyalah sebesar genggaman kita saja.  Oooo.... masing-masing menggenggam jari untuk membayangkan besar jantung masing-masing. 




Saya berkesempatan menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan UiTM baru-baru ini, "Sayangi Jantung Anda" yang disampaikan oleh Dr. Safari, pakar Kardiologi dan Physician dari sebuah hospital swasta yang terkenal di P.Pinang ini.

peserta teramai adalah wanita, kenapa agaknya?
(kredit gambar : UTPP, UiTM P.Pinang)

Menurut Dr., 1 di antara 2-3 orang wanita mati disebabkan serangan jantung tetapi hanya 4% yang risaukan penyakit ini.  Manakala 1 di antara 27 orang wanita mati disebabkan kanser payudara tetapi 40% wanita yang risaukan penyakit ini.

Antara faktor luaran yang mengakibatkan penyakit jantung adalah merokok, kencing manis dan darah tinggi selain dari faktor genetik.  Umur 20 tahun ke atas adalah berisiko dengan penyakit jantung bergantung kepada faktor-faktor ini.  Gambar di bawah menunjukkan pengumpulan kolestrol serta penyempitan saluran darah.  Sakit jantung terjadi apabila saluran darah menyempit manakala serangan jantung berlaku apabila saluran darah tertutup.

1 : 1st decade, 2 : 3rd decade, 3 : 4th decade (yang merujuk kepada peringkat umur)

simulasi pengumpulan kolestrol pada saluran darah



Ini antara bahagian-bahagian yang menandakan seseorang itu mempunyai sakit jantung.  Berlainan orang akan mengalami simptom yang berlainan.




Adalah penting untuk mendapatkan rawatan di dalam tempoh kurang dari 5 minit apabila mendapat simptom-simptom serangan jantung.  Kelambatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan jantung berhenti berfungsi.

Rawatan yang sering dilakukan samada bypass atau balloon (untuk meluaskan saluran darah). Menurut Dr.  clot buster, peratusan berjaya hanyalah 50% sahaja.


Antara langkah pencegahan adalah kurangkan makanan berlemak, berminyak dan berkolestrol.  Contoh yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi adalah makanan laut seperti sotong dan siput, udang besar (udang kecil ok kata Dr. begitu juga ikan) serta makanan yang diproses seperti nugget, sosej dan burger.  

Antara makanan tambahan yang boleh diambil adalah yang mengandungi omega 3 serta minyak ikan (tambahan saya dari saranan Dr. lain, minyak zaitun).  Suami saya mengamalkan sesudu sebelum makan pagi dan malam untuk mengurangkan kadar kolestrol di dalam darah.

Sedikit sebanyak intipati yang dapat dikongsi dari ceramah 1 jam lebih ini.  Jika ada di antara ahli keluarga yang mempunyai sejarah serangan jantung dan juga angin ahmar (genetik), cubalah periksa juga kesihatan jantung anda sendiri.  Anda adalah di dalam golongan berisiko untuk berpenyakit jantung.  Jika ada sebarang kemusykilan tentang kesihatan jantung, silalah rujuk pada yang pakar.   

Ketika berhenti, dia berjalan,
Dia berhenti, kita "jalan",
Kesihatan diri jangan diabaikan,
Kelak merana badan.

Dilaporkan oleh : Yang bukan pakar 

Friday, August 5

Sesak...

Belum hujung minggu lagi, lebuhraya sudah sesak dengan kenderaan.  Saya beranggapan, ramai yang terus pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga berbuka puasa.   Tetapi, di dalam bulan Ramadhan ini juga, ada ramai lagi yang tidak sabar ketika memandu. 



Ketika membelok di persimpangan lampu isyarat, ada sebuah kereta kecil (tidak pasti kancil atau kelisa) cuba 'mencilok' di sebelah kiri.  Wah... nyaris juga kereta saya dihentam di belakang sisi kiri  Saya menjeling ke kiri, amboi... berani juga cik kak ini memotong barisan kereta yang panjang untuk membelok ke kanan.  Sabarlah cik kak... orang lain pun ingin pulang ke rumah dengan cepat juga, tetapi cuba-cubalah bersabar.

Friday, July 1

Di mana orang lain?



Di dalam berita baru-baru ini, empat rakyat Malaysia telah dinobatkan sebagai wira dermawan Forbes Asia.

Harapnya saya tidak terlambat memberi respons tentang ini.  Bukan isu pengiktirafan mereka yang ingin saya nukilkan di sini.  Isunya, ke mana perginya hartawan/jutawan muslim yang lain yang tidak tersenarai, sehingga mendapat komen sebegini, "tokoh korporat melayu/islam hanya memenuhkan tembolok sendiri".  Mungkin seorang dermawan itu perlu mengumpulkan segala wartawan/media untuk menghebahkan hasil derma/sedekahnya, barulah mendapat pengiktirafan begitu.  Kasihan bagi orang yang memberikan komen sebegitu, kerana dia tidak benar-benar faham apa maksud "derma" atau "bersedekah" itu sendiri. 

Saya percaya, ramai lagi tokoh-tokoh korporat Muslim yang bersedekah, tetapi tidak dihebahkan sepertimana tokoh-tokoh korporat yang telah tersenarai.   Dan janganlah sempitkan fikiran dengan hanya berderma/sedekah wang ringgit atau harta sahaja itu baru dikira sedekah/derma.

Dari Abu Syaibah r.a dari nabi s.a.w, sabdanya:”Setiap perbuatan baik (makruf) adalah sedekah.” 
(Muslim)

Selanjutnya :


Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.” (Ahmad)

Antara kelebihan bersedekah:

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” 

(Bukhari)

Jadi, jika tidak mendapat pengiktirafan dari mana-mana pihak, janganlah dilabel tokoh-tokoh ini tidak menyumbang apa-apa.

Monday, June 27

Belum "First Class"

Kita masih belum mencapai status "First Class" sebagaimana rakyat Jepun yang mempunyai disiplin yang tinggi.  Lihat saja penerimaan mereka ketika tempat mereka ditimpa bencana gempa bumi dan tsunami.  Mereka begitu berdisiplin berbaris untuk mengambil makanan sehingga berkilometer panjang barisan mereka.  Inilah amalan Islam di kalangan rakyat yang bukan Islam.   Malu!

Hujung minggu lalu, ketika singgah di masjid yang agak terkenal di daerah Seberang Perai ini, kelihatan ruang di hadapan pintu masjid di tulis besar-besar dengan tulisan kuning di atas tar, "KOSONGKAN".  Ada seorang hamba Allah ini meletakkan keretanya betul-betul di ruang itu.  Agaknya jika boleh, hendak diparkir sehingga ke tangga masjid.  Mujur juga memory card kamera saya tertinggal di rumah, jika tidak, saya sudah mengabadikan gambar tersebut sebagai 'kenangan'.

Selesai bersolat di masjid, singgah pula di sebuah pasaraya.  Ketika keluar dari kereta, ternampak pula beberapa kereta yang diletakkan di ruang parkir O.K.U.  Hmm... tidak pula kelihatan stiker O.K.U di kereta masing-masing.  Ah... geramnya tidak dapat merakam gambar tersebut.  Mereka telah menzalimi diri sendiri dengan mengambil hak orang lain.  Cuba letakkan diri kita di dalam kasut mereka (O.K.U), apa perasaan kita jika orang mengambil sesuatu yang hak kita.  Marah bukan?  Begitulah.  Sebanyak-banyak petak parkir yang disediakan, hendak juga mengambil petak yang hanya beberapa itu untuk kesenangan diri sendiri. Janganlah kita mementingkan diri sendiri.  Berjalanlah sedikit, itu juga senaman untuk diri sendiri, baik untuk kesihatan sendiri juga.  

(Pesanan khidmat masyarakat ini dibawa oleh blog BC).

Wednesday, June 22

Bising-bising tidak kemana

kartun kegemaran adik suatu ketika dulu sekarang di TV2
 
Di saat dewan bergema dengan suara lantang untuk mendesak astro supaya tidak menaikkan yuran langganan, kami sudah mengambil langkah yang lebih drastik lagi, menamatkan langganan astro yang telah bertapak paling kurang 6 tahun (tidak ingat tarikh sebenar langganan) beberapa bulan lalu.  Cukup-cukuplah mengkayakan tuan punya astro sehingga dimasukkan ke dalam senarai antara jutawan yang terkaya di Malaysia.  

Mungkin tindakan seorang pelanggan tidak mendatangkan apa-apa kesan, tetapi bagaimana jika yang lain beramai-ramai mengambil langkah yang sama.  Pastinya astro akan 'gelabah' kerana langganan yang semakin berkurangan.  Maka selepas itu, datanglah segala bentuk promosi untuk langganan akan datang, sebagai kami yang sudah 2 kali menerima surat untuk memberikan rebet untuk menyambung semula langganan. 

Memang tidak dinafikan, banyak program ilmiah juga ada seperti Discovery, National Geographic dan seangkatan dengannya, dan juga tidak dilupakan juga Imam Muda!  Tetapi...tidak rugi apa-apa kerana masih banyak maklumat yang boleh diperolehi dari internet. 

Saturday, June 4

Subhanallah

Beberapa hari lalu, suami menyampaikan berita yang mengejutkan.  Seorang hamba Allah terjumpa gambar lucah di dalam buku Yaasin di masjid ketika dia membuka untuk membacanya.  Dibukanya buku pertama, terpapar gambar tersebut.  Diambil pula buku kedua, juga terlekat kemas gambar lucah itu.  Kata suami, gambar yang tersebut dilekatkan dengan double=sided tape di dalam buku Yaasin tersebut.  Sememangnya, sesiapa yang melakukannya, berniat melakukannya.  Manakan tidak, dilekatkan dengan sempurna dengan pita pelekat!  Ada 21 buah buku Yaasin yang dilekatkan dengan gambar tersebut.  

Semalam, kata suami, mereka beramai-ramai melakukan solat hojat untuk orang yang melakukan 'jenayah' itu.  Semoga orang yang melakukannya insaf dengan perbuatannya dan bertaubat.  Jangan dimain-mainkan dengan ayat-ayat Allah ini, kerana sesungguhnya kalimah-kalimah suci ini sentiasa terpelihara dari hinaan dan cercaan sehingga ke hari Kiamat.  

Thursday, May 26

Jamu Mata

gambar hiasan

Bukan setakat betis saja, tetapi ke atas sehingga ke paha boleh nampak belahannya.

Tak pasal-pasal saya dan rakan-rakan mendapat dosa 'kering' mengumpat.  Astaqfirullahal 'azim.  Bagaimana boleh ditahan lintasan kata-kata, jika sememangnya itu mengundang fitnah.  Tujuan asal untuk menjamu makan, tiba-tiba sudah menjamu mata pula. 

Kami menjeling kepada meja sebelah kami yang dihuni oleh beberapa orang pemuda melayu - salah seorangnya berkopiah.  Mereka juga menoleh melihat perempuan tersebut.  Hmm.... kami berkata-kata, alangkan kita yang perempuan ini pun boleh menoleh tengok, inikan pula lelaki!

Apalah gunanya menutup di atas, tetapi di bawahnya terbuka... inilah fesyen 'muslimah' di akhir zaman ini.  

(geleng kepala)

Sunday, May 8

Mudahnya mendapat saham...


Berapa ramai di antara kita (perempuan) yang ketika singgah di mana-mana surau/masjid untuk bersolat dan ketika ingin mengenakan telekung tetapi telekung wakaf yang sedia ada 'wangi' dengan haruman lain serta 'bersih' dengan calitan gincu serta bedak asas.  Tidak kurang juga yang bertompok hiasan tahi lalatnya.  

Saya teringat kepada sebuah kisah benar (saya tidak ingat di dalam majalah mana) seorang warga emas (wanita) yang dijemput Allah di dalam keadaan mulia.  Ketika di wad, saat-saat akhir sebelum dijemput, mak cik ini memberitahu anak-cucu yang sedang mengerumuninya bahawa ada 'orang' yang datang ingin menjemputnya dan dengan senyuman memberitahu dia sangat gembira untuk mengikut 'orang-orang' itu. 

Setelah selesai disemadikan, ada yang bertanya, amalan apakah yang menyebabkan mak cik berkenaan mendapat kemuliaan sebegitu.  Suaminya bercerita.  Ketika hayat mak cik ini,dia begitu taatkan suami serta rajin membaca Al-Quran.  Ketika kesakitan tidak boleh berjalan, dia meminta suaminya memimpin ke masjid/surau pada waktu subuh kerana sudah lama tidak dapat mengikut suaminya berjemaah.  Ketika pulang, dia membawa bersamanya telekung untuk dibasuh.  Apabila ditanya, dia memberitahu suaminya, jika hendak mengadap Allah, biarlah bersih dan wangi.  Dia membasuh telekung-telekung berkenaan dengan tangannya dan meletakkan nila.  Setelah kering, dia menyerika telekung-telekung itu dan ketika waktu zohor , dia meletakkan semula telekung-telekung yang sudah dibasuh untuk kegunaan jemaah bersolat.
Mudahnya mendapat saham akhirat.  Moga-moga hati kita dibimbing Allah untuk berkhidmat seperti ini untuk memberikan keselesaan kepada jemaah yang hadir ke rumah Allah.  Dan semoga dengan amalan kita yang tidak seberapa ini juga memberi keselesaan kepada kita ketika dijemput kembali kepadaNya.  Wallahua'lam.

Friday, April 15

Dinar Emas vs Wang Kertas


sumber


Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya berkesempatan untuk menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri P.Pinang dengan kerjasama CITU, UiTM Cawangan P.Pinang baru-baru ini.  Biarpun saya bukanlah pakar di dalam bidang ekonomi, tetapi, saya akan cuba sampaikan intisari dari apa yang saya perolehi dari seminar ini supaya anda semua dapat menilai sendiri keperluan dinar emas itu.

Lebih sedekad Tuan Abdul Halim Abdul Hamid, pensyarah dari MMU ini cuba memberi kesedaran tentang rahsia wang kertas yang digunakan sekarang serta keperluan kepada dinar emas dan dirham kepada umat Islam.  Jurang ekonomi antara si kaya dan si miskin merupakan hasil dari sistem kewangan yang diamalkan sekarang ini. 

Komposisi wang kertas:

* kosong - tiada nilai
* nilai kertas itu tertakluk kepada sekatan undang-undang
* nilai berubah - akibat dari penambahan wang kertas melalui cetakan
* tidak diterima di peringkat antarabangsa
* senang dihapuskan @ dilenyapkan
* nilainya boleh hilang sekelip mata (sebagaimana wang Jepun di Malaysia ketika kalahnya di dalam Perang Dunia Ke-2)
* harta secara umum dan tidak selamat
* terpaksa disimpan di  bank untuk mengelakkan kejatuhan nilai akibat inflasi

Ciri wang adalah:

1. dapat diterima di seluruh pelusuk dunia dan oleh sesiapa saja
2. wang mestilah berupaya menyimpan nilai dan tidak susut nilai
3. wang seharusnya mempunyai nilai tersendiri (intrinsic value) dan tidak bergantung kepada nombor ataupun faktor lain
4. wang itu semestinya boleh dibahagikan kepada nilai yang lebih kecil
5. wang itu mestilah bersifat tahan lama

Berdasarkan ciri-ciri ini, wang kertas tidak memiliki ciri-ciri wang yang sempurna, kecuali emas dan perak.

Selanjutnya, pegawai Syariah Bank Al-Rajhi, Tuan Hj. Ahmad 'Arif Mohd Arshad mengajak peserta seminar untuk menghayati surat Al-Kahfi ayat ke-19, di mana pemuda-pemuda Ashabul Kahfi telah tertidur di dalam gua selama 309 tahun (Qamari) yang menggunakan wang perak mereka untuk mendapatkan makanan di bandar selepas mereka terjaga.  Orang-orang yang berakal sudah tentu dapat mempelajari sesuatu dari ayat di atas tentang kepentingan aplikasi dinar dan dirham di sepanjang zaman.

Antara aplikasi umum dinar dan dirham:

1. menghidupkan sebahagian sunnah Rasulullah s.a.w yang telah lama ditinggalkan
2. menyempurnakan perlaksanaan hukum syarak (untuk kegunaan zakat)
3. menjaga kemaslahatan harta (MAL) - nilainya terpelihara
4. menjana pasaran komoditi dan perkhidmatan secara islam
5. menyempit dan menutup pintu riba, gharar dan jahalah
6. menjana produktiviti berteraskan ekonomi sebenar
7. menggalakkan perkongsian pemodal dan pengusaha 

Aplikasi khusus dinar dan dirham:

1. mengeluarkan belanja (infaq) di jalan Allah dengan cara yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda.
2. membayar zakat, fidyah, kafarat dan diyat dengan memenuhi nisab atau kadarnya yang tetap dan pasti dalam bentuk dinar dan dirham.
3. melakukan bayaran transaksi bagi jual-beli atau perkhidmatan
4. melakukan bayaran transaksi secara digital melalui kemudahan atas talian
5. menggunakan dinar dan dirham sebagai modal perniagaan
6. sebagai pelaburan jangka panjang
7. simpanan untuk suatu kegunaan pada masa hadapan seperti menunaikan haji, umrah atau deposit pembelian rumah kerana dinar dan dirham kalis kejatuhan nilai 
8. membayar mahar perkahwinan kerana nilainya yang teguh
9. cagaran bagi pelbagai bentuk hutang
10. hadiah, cenderamata, perhiasan atau koleksi peribadi yang berharga dan boleh digadai di saat memerlukan.

Maklumat lanjut, sila ke laman web gold dinar, antaranya:


The Gold Dinar
Wikipedia
Dinar Emas

Banyak lagi maklumat, silalah gunakan encik google...

p.s : Tiada komisen yang diperolehi, hanya sekadar berkongsi ilmu untuk kebaikan umat islam sejagat. Wallahua'lam.

Thursday, March 31

Imam Muda

Kakak dan adik teruja menghadiri program ceramah oleh Imam Muda  (IM) Asyraf di Masjid Bertam baru-baru ini.  Adik tidak lepas pandang pada imam muda yang berjubah serta berserban putih itu, lalu dia berbisik pada saya,

"Ummi, itu imam muda yang dalam TV tu kan?"

"Iya..."

"Kenapa dia boleh ada di sini pulak?"

"Orang panggil dia ke sini, dia boleh datang, bukan dalam TV saja.", saya separuh berbisik kepada adik supaya tidak mengganggu konsentrasi khalayak ramai.

Gambar yang diambil oleh adik menggunakan kamera telefon

IM ini dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang remaja.  Sudah tentu golongan sasarannya adalah kaum pemuda/i, akan tetapi, apabila saya menoleh ke kanan dan belakang, ramainya dari golongan 'orang lama' dan juga kanak-kanak.  Ada juga segelintir wajah-wajah remaja yang turut hadir di kalangan muslimat.  Benar juga kata imam muda ini, adalah menjadi tugas 'orang lama' ini untuk mengingatkan kepada anak-anak dari golongan muda yang tidak hadir ke majlis seperti itu.

IM Asyraf berkisah tentang peranan pemuda di zaman Rasulullah.  Kebanyakan pejuang adalah terdiri dari kaum pemuda.  Biarpun di zaman ini semakin gawat dengan gejala maksiat yang membabitkan golongan remaja, namun masih ada lagi remaja yang 'baik-baik' yang tidak diberi perhatian.  Namun katanya, biarpun baik sekarang ini, tidak semestinya di masa akan datang berterusan baiknya.

Ketika separuh jalan program berlangsung, adik dan kakak sudah menguap.  Adik berbaring beralaskan beg telekung sebagai bantal.  Apabila nampak mereka semakin resah, saya mengundurkan diri dari ruang solat untuk keluar supaya mereka dapat bergerak di luar. Di luar, hilang mengantuk mereka apabila dapat bermain di tempat mainan yang disediakan.  

Selesai doa solat Isyak yang diimamkan oleh imam muda itu, seorang remaja yang berdiri di sebelah kanan  saya bersalaman dan berpelukan dengan saya.  Dia teruja melihat adik lengkap bertelekung yang turut bersolat.  Semoga katanya supaya adik menjadi anak yang solehah di maqbulkan Allah.  Alhamdulillah.

Friday, January 28

Tidak disengajakan atau.... ?



Pada mulanya, nampak seperti betul saja ejaannya.  Tetapi apabila diamati, rupa-rupanya...

Ianya bukan calang-calang kenderaan, ianya merupakan kenderaan milik sebuah agensi kerajaan.


Saturday, January 15

Baru



Otak saya sarat.  Minda saya berat.  Mempelajari sesuatu yang baru (atau yang sudah lama ditinggalkan) bukan suatu perkara yang mudah.  Ianya tidak semudah membaca buku dan mengikut arahan yang ada.  Ianya memerlukan guru untuk menunjuk ajar.  Biarpun seseorang itu bergelar pensyarah, tetapi proses pembelajaran sentiasa berlaku dengan pertolongan seorang guru lain, boleh jadi, pensyarah yang lebih senior, atau lebih junior, atau juga pelajar sendiri. 

Kata mudahnya begini.  Ketika belajar 20 tahun yang lalu, kami yang berusia hampir 40 dekad ini, tidak menggunakan teknologi seperti internet atau telefon bimbit ber3G atau 4G.  Sekarang ini, hampir keseluruhan maklumat boleh diperolehi di hujung jari saja.  Mudahnya belajar sekarang ini berbanding dahulu, tetapi, pendidikan dahulu dapat juga melahirkan para akademik yang bergelar professor. 

Penggunakan teknologi boleh dimanfaatkan untuk menjadikan proses pembelajaran itu lebih santai dan fun.  Inilah cabarannya pendidikan zaman teknologi.  Nampaknya guru/pensyarah juga perlu mengikut perkembangan zaman.  

"Dalam hadith yang lain disebut, ajarlah anak kamu menulis. Ajarlah anak-anak kamu untuk zaman yang bukan zaman kamu. Anak adalah milik zamannya, maka didiklah anak sesuai zamannya!”. Zaman yang dimaksudkan ini adalah zaman perlumbaan ilmu.
“Ajarlah anak-anakmu, bukan dalam keadaan yang serupa denganmu. Didiklah dan persiapkan lah anak-anakmu untuk suatu zaman yang bukan zamanmu. Mereka akan hidup pada suatu zaman yang bukan zamanmu.”
petikan dari sini.

Ilmu itu tidak datang dengan sendirinya.  Kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.  Rugilah jika kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh.  Selamat berjuang untuk semua yang bergelar seorang pelajar!

Tuesday, December 7

Indahnya kemaafan...


Lupakan salah orang pada kita
Ingatlah salah kita pada orang
Lupakan bakti kita pada orang
Ingatlah bakti orang pada kita

Saya perlu menyemat kata-kata hikmat ini ke dalam diri saya.  Betapa indahnya memberi kemaafan kepada orang dengan seikhlas hati.  Tiada dendam, tiada benci.  Hubungan yang terputus bertaut kembali. 

Baru-baru ini, saya menonton sebuah filem, sebuah rancangan bual-bicara serta membaca sebuah artikel, yang kesemuanya dihasilkan oleh barat.  Saya sangat tersentuh hati dengan natijah yang terhasil dari filem, rancangan bual-bicara dan artikel ini - kemaafan.

Filem : Held Hostage (berdasarkan cerita sebenar)

Filem yang mengisahkan seorang ibu tunggal bersama anak perempuannya kurang dari 10 tahun dijadikan tebusan dan disiksa oleh penculik untuk tujuan rompakan bank.  Si ibu merupakan pengurus sebuah bank dipaksa melakukan rompakan bank tanpa kerelaannya.  Kedua anak-beranak tersebut trauma dengan peristiwa itu sehingga dicadangkan berjumpa dengan doktor psikologi.  Akhirnya, polis berjaya memberkas penjenayah tersebut dan di akhir perbicaraan yang  si ibu menjadi saksi utamanya, penjenayah tersebut didapati bersalah.  Sebelum perbicaraan berakhir, sewaktu si ibu tersebut berjalan-jalan bersama anaknya, dia bertanyakan pada anaknya, jika anaknya berhadapan dengan penjenayah itu, apa yang akan dikatakannya kepada orang itu.  Anaknya menjawab, dia akan maafkan orang tersebut.  Ternyata jawapan anaknya  yang tidak disangka-sangka itu membuka mata ibunya yang menyimpan dendam terhadap penjenayah tersebut.  Anak itu mengajar sesuatu yang lebih bernilai iaitu kemaafan.


Oprah Winfrey Talk Show - No Phone Zone Campaign

Di beberapa negeri di Amerika telah melancarkan kempen No Phone Zone kepada pemandu.  Tujuan mereka untuk memberi kesedaran kepada pemandu supaya tidak memandu sambil bercakap di telefon bimbit, biarpun dengan hands-free kit.  Oprah menjemput seorang remaja yang terbabit di dalam kemalangan di mana keretanya dirempuh oleh treler yang cuba mengelak kereta yang dipandu oleh remaja yang sedang bercakap di telefon.  Kedua ibubapanya terbunuh di dalam kemalangan tersebut dan dia  berada di dalam koma serta diberi peluang 10% untuk hidup oleh doktor.  Biarpun sembuh, beliau terpaksa belajar semula seperti bayi yang belajar berjalan, makan dan sebagainya.  Di akhir rancangan, apabila dia ditanya oleh Oprah, apa yang ingin dikatakan kepada remaja yang mengakibatkan kedua ibubapanya terbunuh, katanya dia sudah memaafkan remaja tersebut.  Oprah kelihatan terkejut dengan pengakuan tersebut dan turut memuji remaja tersebut yang ingin menyedarkan orang ramai bahayanya bercakap di telefon sambil memandu.

Opening the door to Forgiveness - majalah OnWisconsin
Majalah ini untuk alumni University of Wisconsin-Madison.  Saya tertarik membaca program Restorative Justice yang dianjurkan oleh fakulti undang-undang universiti ini yang mengenemukan mangsa dan penjenayah sejak pertengahan 1980an.  Kata pengarah program ini, kebanyakan sesi diakhiri dengan kedua-dua pihak merasa lebih positif kerana menyertainya.  
Antara kisah yang menarik perhatian adalah seorang wanita yang menjadi mangsa tembakan seorang remaja yang berusia 16 tahun hampir 15 tahun yang lalu.  Setiap tahun sepanjang 13 tahun, wanita itu mengunjungi penjenayah yang menembaknya di belakang kepalanya ketika penjenayah itu cuba mencuri keretanya.  Wanita itu hanya diberi 2% untuk hidup.  Sesudah sembuh, dia turut serta di dalam program ini.  Katanya kepada penjenayah itu, "I can forgive you, but forget it, I won't.  I am legally blind, I am paralyzed on my right side, but I am healed from my heart".   Manakala penjenayah itu mengaku, "when I got locked up, I was still stupid and crazy, but [then] I met with you.  For years, I wouldn't let myself forgive myself for anything.  It's helped me become a better person.".  
Rata-rata peserta keluar dari pertemuan dengan penjenayah memberitahu, "I'm so glad I did that, I feel so much better, I'm so relieved, I feel this huge weight lifted off my shoulders."  Begitulah indahnya kemaafan.  Apabila hati telah dibuka untuk memaafkan pihak lain, nescaya dendam kesumat terhapus dari dalam diri orang itu. 

Saya ingin menyeru diri saya dan juga rakan-rakan, sahabat-sahabat sekelian, bersempena tahun baru ini, marilah kita memaafkan orang lain untuk kesejahteraan diri kita.  Bak kata Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, maafkan semua orang ketika  hendak tidur, supaya aura positif sentiasa di dalam diri kita dan insyaAllah, kita akan sentiasa lebih segar dan bertenaga untuk menghadapi hari esok.

Saturday, November 27

Persediaan Bencana


Baru-baru ini, saya berkesempatan menonton rancangan dokumentari National Geographic yang memaparkan persediaan para saintis untuk berhadapan dengan bencana besar yang digelar Apocalypse pada tahun 2012.  Para saintis ini sanggup menjelajah sehingga ke Tajikistan untuk mencari benih kacang kuda 'purba' yang dikatakan dapat bertahan dengan suhu dan cuaca yang sangat ekstrem serta  benihnya dapat bertahan untuk tempoh masa yang lama.  Penjelajahan mereka berakhir apabila mereka bertemu dengan  biji benih kuno di sebuah perkampungan di lembah terpencil di Tajikistan.

Rupa-rupanya, pencarian mereka ini kerana mereka ingin menyediakan benih untuk simpanan sebagai persediaan bencana besar yang dijangka pada tahun 2012.  Mereka menggelarkan benih ini sebagai emas hijau (green gold).  Mereka telah menyediakan sebuah bunker di Artik yang menyimpan pelbagai biji benih yang tersusun dengan teratur. 

Rupa-rupanya ada banyak lagi persediaan yang telah mereka lakukan untuk menghadapi bencana besar ini.  Takut benar mereka untuk berhadapan dengan bencana ini.   Cuba lihat persediaan mereka di sini:


Belum tentu kita masih lagi bernafas untuk berhadapan dengan suasana ini.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Thursday, November 18

Rokok



Saya tidak suka perokok.  Apabila ada yang merokok dan duduk berhampiran saya, hidung saya mula memberikan isyarat tidak selesa. 

Saya meletakkan syarat, bakal suami (ketika saya masih bujang) adalah seorang yang tidak merokok.  Bagi saya, suami akan menjadi bapa dan mereka akan menjadi contoh  teladan kepada anak-anak.  Jika mereka sendiri merokok, bagaimana ingin mendidik anak-anak supaya menjauhi tabiat buruk ini?  Jangan disalahkan jika 'bapak borek, anak rintik'.  Dan Alhamdulillah, apabila pertama kali soalan yang ditanya ketika bertaaruf dengan suami dulu, jawapannya tidak.  Syarat pertama sudah lulus!  Hehehe.  

Pernah saya menegur pelajar yang datang ke kuliah saya dengan bau rokok. Saya katakan kepadanya, jika ingin datang ke kelas saya, jangan merokok sebelum itu.  Baunya sangat kuat dan sepanjang perjalanan kelas, saya sangat tidak selesa dengan bau tersebut.  

Pernah juga ada insan yang tidak prihatin ini merokok di dalam lif yang sempit!  Panasnya hati sepanas asap rokok yang memedihkan mata dan menyesakkan dada!

Kerajaan sudah mengeluarkan larangan merokok di kawasan-kawasan tertentu seperti di tempat awam, restoren atau kedai makan dan kawasan-kawasan bertutup.  Tetapi, masih ada lagi insan-insan yang tidak sayang nyawa ini ingin berkongsi asap yang mereka sedut dengan orang di sekeliling, tidak kira ada bayi atau kanak-kanak di sekitarnya.  Dan yang paling malangnya, 'perokok pasif' inilah yang lebih berisiko dari orang yang merokok itu!  Geramnya saya!

Baguslah ada iklan yang menafikan asap rokok dengan isyarat tangan.  Saya mengajar kakak dan adik supaya membuat isyarat itu apabila ada orang yang merokok berdekatan. 

Bagi perokok di luar sana, jika anda tidak sayangkan nyawa anda, jangan pula membabitkan insan-insan di persekitaran anda.  Mereka tidak ingin berkongsi asap rokok anda.  Cukuplah anda seorang saja ya.  Terima kasih.

Saturday, November 13

Mintak Seringgit...

Ketika kami hampir menghabiskan hidangan makan malam nasi putih, ikan bawal goreng panas, kepak dan peha ayam goreng beserta ulaman dan sambal belacan di sebuah kedai makan, kami dikejutkan oleh satu suara,

"Mintak seringgit..."

Kami menoleh.  Kelihatan seorang wanita, agak-agak saya sekitar 20 atau 30an, dengan bercekak rambut, anting-anting dan rantai perak, berbaju dan berskit pendek berdiri di tepi meja kami.

"Nak buat apa?"

"Makan...", jawabnya pendek.

"Kalau nak makan, order apa nak makan, kami bayar", saya menjawab

Kami terus memanggil pelayan kedai sambil memesan satu set ikan bawal untuk wanita itu. 

"Ikan keli bang.  RM5 saja", wanita itu menjawab.

Saya dan suami berpandangan dan tersenyum.

"Ok, bagi ikan keli set pada dia.  Saya bayar," jawab suami kepada pelayan itu.

"Tak palah, bagilah dia nak makan ikan keli", kata suami

Agaknya dia sudah biasa di situ.

Dalam perjalanan balik ke rumah, kami membincangkan tentang hal itu.  Kami tidak ingin memberikan duit kepadanya kerana tidak tahu dia akan berbuat apa dengan duit itu.  Jika dia benar-benar kelaparan, biarlah kami sediakan makanan kepadanya, sekurang-kurangnya tahu dia benar-benar ingin makan.

Ada beberapa kes sebegini jika makan di kedai makan.  Abang ipar juga  pernah bercerita begitu.  Ada ketika lelaki muda belia datang kepadanya meminta duit, katanya lapar.  Abang ipar menyuruh lelaki itu mengambil makanan yang dikehendaki, tetapi lelaki itu berdalih.  Hmmm... sah-sah dia tidak lapar, tetapi memerlukan duit untuk kegunaan lain.  

Sekurang-kurangnya wanita ini (nampak seperti kurang akalnya) benar-benar lapar.  Ketika kami ke kaunter bayaran, kelihatan dia benar-benar menikmati makanannya. Alhamdulillah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin