Showing posts with label sahabat. Show all posts
Showing posts with label sahabat. Show all posts

Tuesday, January 20

Kerehatan abadi...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.

Belum pun reda sebak di jiwa selesai menyertai konvoi pasca banjir NGO Wargakilang ke bumi Kelantan, saya dikhabarkan pula dengan pemergian sahabat baik pada petang Ahad lalu, 18 Jan 2015.  Laju airmata mengalir keluar dari empangan mata, menzahirkan apa yang terbuku di jiwa. 

Ali Imran : 185

Pertemuan terakhir saya dan arwah seminggu lebih sebelum tarikh kematiannya kembali berputar di ruang mata. Pelukan erat berkali-kali olehnya sambil mengungkapkan kata-kata "kak koni sayang ilah.." masih terngiang-ngiang di telinga seusai saya menyerahkan pokok stevia yang dipesan.  Kata-kata yang saya rasa tak akan terpadam dari memori ini buat selama-lamanya kerana kata-kata sebegitu tidak akan terzahir lagi dari mulutnya :(

Allah telah menyembuhkannya dari penyakit kanser yang dihidapinya secara hakiki. Semoga ianya menjadi kerehatan baginya dari kesakitan di dunia. 

Mudah-mudahan sumbangan yang disampaikannya ke tangan saya untuk dana persekolahan mangsa banjir di Kelantan pada hari itu menjadi amal jariah yang menjadi pemberat timbangan amalnya.  Amiin. 

arwah di barisan hadapan bertudung coklat

Terkenang diri sendiri yang entah bila tiba masanya dan bagaimana caranya.  Semoga kenikmatan dunia tidak melalaikan diri ini untuk mencari bekalan sebagai persediaan di kampung abadi.  

Semoga mendapat kerehatan wahai sahabat, semoga berbahagia di alam sana.
(31/10/1971 - 18/1/2015)



Monday, April 7

Takdirnya begitu...

Di dalam masa yang singkat, seorang sahabat ini didiagnos dengan kanser yang pelbagai.  Pertama kali melihat dia yang sebelum ini cergas ceria sebelum ini terbaring lemah di katil hospital, menitik juga air mata dari takungannya. Rakan-rakan lain yang menziarahinya juga dilihat mengesat mata yang 'dimasuki habuk'.  

Kali kedua menziarahinya sesudah selesai menjalani pembedahan di wad ICU.  Agaknya kesan ubat@dadah yang dimasukkan ke dalam tubuhnya menyebabkan saya dan seorang lagi sahabat hampir tidak mengenalinya.  Ya Allah.. tertahan-tahan airmata melihat keadaannya ketika itu yang mamai dengan kelopak mata yang sekejap dibuka dan ditutup perlahan-lahan.  

Kali ketiga bersemuka dengan sahabat ini pasca pembedahan dan sedang menjalani rawatan kemoterapi untuk menyusutkan sel-sel kansernya, ternyata sisi ceria sahabat itu sudah kembali.  Hati lega melihatnya kembali tersenyum dan ketawa sambil menceritakan pengalamannya dari sebelum didiagnos dengan kanser , pengalamannya menginap di hospital dan bermacam-macam lagi.  

pemandangan dari tingkat 16 hospital
Allahu Akbar..Subhanallah... dia sangat positif dan dikurniakan semangat yang tinggi untuk berjuang dengan ujian yang diberikan.  Ianya merupakan 'tazkirah secara langsung' yang saya perolehi dari setiap kata-katanya.  "Kita mampu berusaha, apa-apa pun kita berbalik kepada Allah yang akan menyembuhkan"... begitu positif dan tinggi keyakinan dan kebergantungannya kepada Allah s.w.t.  Saya meneropong ke dalam diri...yang kadang-kadang berkeluh-kesah dengan ujian yang sedikit tetapi masih dikurniakan kesihatan yang baik.  Ada-ada saja yang difikirkan...

Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (H.R.Bukhari)

“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya (H.R. Bukhari dan Muslim)

Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)

Setiap insan dikurniakan ujian kehidupan yang berbeza.  Ada yang diuji dengan kesakitan, kesusahan, kekayaan dan sebagainya, tetapi semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meningkatkan keimanan masing-masing.  Begitu juga ujian peperiksaan di dalam dewan kuliah, ianya sebagai aras ukur tahap kefahaman seseorang di dalam sesuatu matapelajaran, begitulah juga dengan ujian kehidupan. 

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (Al-Ankabut:2-3).

Begitulah takdirNya...

Didoakan sahabat ini dikurniakan kesembuhan dari penyakitnya dengan sebenar-benar kesembuhan yang tidak berbaki.

Monday, September 2

Tiga dekad

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum wbt.

Itulah usia persahabatan kami.  Kami bersama ketika di usia masih mentah, ketika di sekolah rendah, bermain bagai tiada masalah.



Bertemu berpisah dan bertemu semula.  Alhamdulillah.  Ledakan teknologi ada kebaikannya, berpuluh tahun terpisah, di medan FB kami berkisah.  Pertemuan sempena syawal yang tidak dirancang sempurna, menjadi akhirnya.  Walaupun untuk seketika, memadai untuk mengimbau kenangan lama.  

Mudah-mudahan pertalian 30 tahun ini akan berterusan dan harapannya dapat bertemu semula di jannah.  InshaaAllah.   

*Lamanya mengambil masa untuk kemaskini blog... simptom "Mim" melanda! :D

Tuesday, September 4

Jejak Kasih Raya

Alhamdulillah... Alhamdulillah... Syawal kali ini lebih meriah kerana dapat meraikannya bersama-sama kawan-kawan lama yang sudah bertahun-tahun (malah berpuluh tahun) tidak berjumpa itu.  Bukan tidak bertegur sapa melalui Facebook, tetapi dapat bersua muka itu lebih indah!  Pelbagai cerita lama dan baru dikongsi.  Zaman kanak-kanak kami sudah berlalu, bertemu semula setelah anak-anak kami mencecah usia sewaktu kami berpisah dahulu.

Dua lokasi dan tarikh yang berlainan.

rakan seuniversiti

rakan sekolah rendah

rakan sekolah rendah yang hampir 3 dekad tidak bertemu!

Ketika rancak bersembang bersama kawan-kawan ini, adik dan kakak datang berbisik mengajak balik.  Selepas beberapa ketika, adik mengambil hand bag saya dan menggalasnya.  Hahaha... ianya adalah hint 'sudah-sudahlah ummi bersembang tu... adik nak balik ni...".  Begitulah apabila sudah lama tidak bertemu, ada-ada saja isu yang disembangkan.  InsyaAllah, semoga akan ada lagi pertemuan selepas ini dengan rakan-rakan yang lebih ramai (reunion).  

Wednesday, June 6

Kuantan

Destinasi terakhir percutian, Kuantan.  
pantai Teluk Chempedak

Aktiviti air saja pagi itu.  Pantai Teluk Chempedak pada pagi itu berpenanda bendera merah. Rupa-rupanya kerana ini...



Maka anak-anak hanya bermain-main di gigi air saja.  Berenang di atas pasir laut!




air yang jernih

jam 9 lebih, panas terik

makin gelaplah saya yang sememangnya berkulit gelap!


tidak hairan dengan panas

kerja en. suami, menembak di mana perlu

Percutian ke Kuantan ini juga bersifat 2-in-1, bertemu kawan lama yang sudah 16 tahun tidak bertemu semenjak kami meninggalkan alam universiti dahulu.   Beliau kini usahawan yang berjaya, chocolate chip cookies Intan's Oven telah memasuki pasaran Carrefour di Kuala Lumpur dan juga Seberang Perai.  Intai-intailah jenama ini di pasaran.




Sata Tg. Lumpur... sedap!  RM1 untuk 3 bungkus. Terima kasih Intan, dapat juga merasa sata, nanti sudah tahu di mana hendak dicari sata berhampiran Kuantan.




hanya gerai ini yang menjual sata tengahari itu



Berakhirnya percutian di pantai timur kami.  Gambar adik ketika di dalam perjalanan dari Kuantan ke Puncak Alam...

luasnya nganga!

Entri seterusnya nanti, perbandingan hotel Grand Riverview, Kelantan, Felda Residence, Kuala Terengganu dan Vistana Kuantan serta komen penggunaan GPS.

Monday, June 4

Kota Bharu - mencanting batik

Tidak mencanting sebenarnya, lebih kepada menconteng saja.  Anak-anak (umminya juga) teruja untuk mencuba mewarna lukisan batik yang telah siap.  Boleh juga dicuba melukis (mencanting) di kain, tetapi memandangkan masa kami kian suntuk untuk bertolak ke tempat lain, kami memutuskan untuk mewarna saja lukisan bunga yang telah siap dicanting.



begini caranya...

mula-mula ok

pak cik menunjukkan lagi cara mewarna



ummi pun apa lagi, mengasah bakat terpendam

di sini

"macam nilah..."

macam-macam warna


hampir siap

final touch

menunggu kering

lilin dan peralatan mencanting

Inilah hasilnya...



Destinasi kami yang terakhir kami di Kota Bharu adalah rumah sahabat lama yang telah berpindah ke Kelantan.  Hampir sejam kami bertukar-tukar khabar berita sebelum kami meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu pula.


bersambung - Kuala Terengganu (Taman Tamaddun Islam)

Friday, December 9

Dingin Lavenda

Slot zehra terbaru.


Karya adaptasi dari novel sulung senior saya, Puan Nurolshamsi Saidin.  Kami berkawan rapat ketika masih di peringkat Pra-Universiti lagi.



Semoga banyak lagi karya-karya islamik didramakan untuk menjadi tontonan umum.  Semoga kak Nurol istiqamah untuk memartabatkan dunia islam melalui novel-novel islamik ini.

Monday, November 21

Tahniah...


Ahad lepas, adik sahabat saya ini telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya.  Saya tidak dapat menyelami perasaan mereka ketika itu kerana hanya abang dan adik yang menjadi tuan rumah yang sibuk pada hari itu, bukan ibu ayah yang telah kembali ke Rahmat Allah yang menyambut hulur salam tetamu. 

Saya hanya mengikuti perkembangan adik-adik Hifzana ini dari jauh.  Semoga kalian dapat menjaga pertalian persaudaraan ini sehingga ke akhir hayat.  Jangan ada hasad dan dengki antara kamu kerana ianya adalah pembunuh utama persaudaraan.  

Selamat pengantin baru buat Hifzaila & Fairos.  Bertolak-ansur dan bersabar di dalam rumahtangga itu perlu.  Semoga jodoh kalian berkekalan hingga ke syurga.

Monday, October 24

Melawat Emad

Hujung minggu lepas baru berkesempatan melawat sahabat saya yang sudah dua minggu lebih melahirkan anak keempatnya.  

lain pula mukanya berbanding ketika baru dilahirkan
(kredit : adik)

Budak (baca : adik) yang teruja ingin melihat baby hanya duduk malu-malu di belakang saya.  Apabila disua Emad kepadanya, dia tersengih.  

Saya sukakan gambar ini.  Angle yang menarik yang diambil oleh adik walaupun gggegar.

kakak mengambil gambar dengan telefon, adik dengan kamera



Saturday, October 8

Selamat Melihat Dunia Emad Farras

Tahniah kepada sahabat saya mamaina (Hidup adalah Satu Anugerah) dan suami di atas kelahiran satu-satunya putera seberat 3.4kg pada pagi jumaat 7 Oktober yang lalu.

Tahniah kepada kakak-kakak Emad Farras (kakak, Angah & Yah) di atas kelahiran adik baru.  Semoga Emad menjadi anak yang soleh serta menjadi adik yang baik kepada kakak-kakak bertiga.  

Comel sangat Emad.  Nanti acik pergi ziarah Emad ya... acik sekarang ini tengah sibuk lah.


gambar yang dikirimkan melalui MMS

Friday, July 8

Semoga Berbahagia



"Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan"


Tahniah buat rakan sekerja saya, Rafizah dan pasangannya Rizal yang baru melangsungkan pernikahan mereka semalam.  Wajah mereka juga seiras, inilah yang dikatakan jodoh.  

puan punya blog + anak-anak bersama pengantin


Moga jodoh mereka berkekalan hingga ke syurga.  Selamat datang ke alam rumahtangga dan hiasilah ia dengan sabar dan bertolak-ansur.  InsyaAllah, semoga ianya tetap bertahan sehingga ke akhir hayat.

Wednesday, February 9

Temuduga


Perjalanan ke Puncak Alam pada hari Ahad lepas menempuh kesesakan yang amat teruk sekali.  Perjalanan yang biasanya sekitar 4.5 - 5 jam berlanjutan sehingga 7.5 jam.  Kami mengambil laluan lama selepas keluar di persimpangan Gopeng.  Laluan lama juga sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu untuk pulang ke ibukota. "Wrong timing"... hehehe.

Alhamdulillah, proses temuduga pada hari Isnin berjalan lancar.  Panel seramai 5 orang memanggil sekaligus 5 calon untuk ditemuduga.  Tidak banyak yang ditanya, hanya persediaan mental untuk melanjutkan ke peringkat PhD, serta penempatan universiti dan juga penyelia.  

Mazni, Pauline, Wan dan Hasfazilah

Seramai 31 calon untuk fakulti Sains Komputer dan Matematik, hanya kami berempat saja dari bidang Statistik, selebihnya bidang Matematik dan juga Komputer Sains.  Mazni merupakan senior saya ketika di PPP/ITM (ketika itu) manakala Pauline pula rakan sekumpulan ketika induksi hampir 6 tahun lalu.   Wan dari UiTM Kelantan dikenali ketika bermesyuarat peperiksaan di Shah Alam. Banyak cerita yang dikongsi ketika bertemu.


Oh, ketika di dalam perjalanan balik, saya juga dapat bersemuka dengan sahabat kakak saya yang sebelum ini kami hanya berurusan melalui emel, sms dan juga YM sahaja atas urusan 'bisnes'. 


Indahnya persahabatan.


Sunday, January 2

Sahabat Lama


Kunjungan ke KL tidak disia-siakan untuk bertemu dengan sahabat lama.  Bertahun juga tidak bertemu dengannya.  Sememangnya agak susah untuk bertemu dengan semua rakan-rakan sekaligus dek kekangan masa yang ada.

 melayan mereka bermain dahulu

Semoga saya berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan yang lain lagi di masa akan datang.  Biarpun selalu bertemu di alam maya melalui facebook atau email, tetapi ianya tidak sama dengan bersemuka dengan mereka.  Semoga pertemuan ini akan diiringi pertemuan yang lain.  InsyaAllah.

lamanya tidak berjumpa

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin