Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Friday, May 7

Permata Pintar

Baru-baru ini kakak membawa balik surat dari pihak sekolah tentang ujian saringan pertama PermataPintar UKM 1 versi 2010.  

Ujian PERMATApintar UKM1 dibangunkan dan dilaksanakan secara dalam talian berasaskan web agar proses pencarian pelajar pintar cerdas dapat dilakukan secara menyeluruh dalam masa yang terhad dan tidak melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan ujian bertulis. Dengan itu, ujian ini tidak dijalankan secara bertulis (kertas dan pensil). Selain itu, ujian dalam talian ini dilaksanakan untuk membudayakan ICT dalam kalangan pelajar sekolah.

(dari laman web : http://www.permatapintar.edu.my)

Jika anda mempunyai anak yang berusia di antara 8 - 15 tahun, lawatilah laman web tersebut dan biarkan anak mengambil ujian kecerdasan secara online ini.  Ujian ini selama 3 jam dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan boleh berhenti pada bila-bila masa juga dan akan disimpan sehingga kita login semula untuk menyambung ujian tersebut. 

 
Kakak sudah menjawab beberapa soalan dengan sendirinya dan masih banyak lagi soalan yang masih belum berjawab.  Apa yang penting, janganlah diberi tekanan kepada anak-anak kerana ini sekadar menguji tahap pemikiran dan logik akal mereka saja dan ingin melihat setakat mana mereka mengaitkan permasalahan tersebut dengan jawapan yang diberikan.  Itu saja.



p.s : Saya juga teruja ingin melihat apa hasilnya... hehehe.

Thursday, February 26

"Toy Museum"

Pernah dengar "toy museum"? Saya juga baru pertama kali mendengarnya beberapa hari lalu. Itupun ketika Yani dan Alin berkunjung ke sini. Suami mencadangkan kami berkunjung ke sana untuk menghiburkan anak-anak. Menurut katalog, muzium ini merupakan the largest toy museum in the world. Hmmm.....


Anak-anak teruja dengan replika-replika kecil dan besar watak-watak kartun serta siri televisyen dan filem yang terkenal. Terdapat replika watak kartun Walt Disney, Barbie, Doraemon serta watak Star Wars yang terkenal itu.




Bayaran masuknya RM10/dewasa dan RM6/kanak-kanak.

Tuesday, July 8

Melayan Mereka

Semalam, anak-anak mengeluarkan permainan dam ular.... kakak beriya hendak bermain. Mulanya umi, abah, kakak dan adik main sekali, tetapi akhirnya tinggal kakak dan adik. Adik akan membaling dadu dan kemudiannya, hanya kakak yang menjalankan buah sebab adik masih belum pandai mengira! Kelakar melihat ragam mereka...

Saturday, July 5

Sepi...


Anak-anak tiada, sunyi sepi rumah dibuatnya. Selalu, riuh dengan suara-suara mereka, walaupun 2 orang, tetapi macam ada ramai di dalam rumah. Hari ini, berkunjung ke rumah mak, mereka hendak bermalam di rumah tok....ok jelah. Lagipun, memang dah sedia baju persalinan mereka andai kata mereka hendak bermalam di sana. Tapi sunyi betullah tanpa mereka...(gambar tak kena mengena dengan entri ini...ini gambar yang diambil semasa perjalanan pulang semalam).

Wednesday, July 2

Hadiah Di RFC

Seronok-seronok main, dapat "hadiah" semasa bersantai di Radix Fried Chicken...lebam kaki kakak...

Tuesday, July 1

Selamat Hari Lahir Nurul Farzana

Hari ini, genaplah umur kakak 6 tahun. 6 tahun yang lalu, saya menahan sakit seharian untuk melahirkan kakak, di mana akhirnya terpaksa dikeluarkan secara caesarean. Itupun sebab denyutan jantung kakak sudah lemah. Selepas tersedar dari bius, perkara pertama yang saya ingat, "mana baby"... masih dalam keadaan lemah, bonda saya membawakan anak yang seberat 2.30 kg dekat dengan saya. Dalam "mamun-mamun" dapat mencium anak yang dikandung selama 9 bulan.

kakak bersama cikgu-cikgu tadika dengan kek "6" tahun kelahiran kakak

Selepas 6 tahun, Alhamdulillah, kakak membesar dengan baik. Semoga kakak menjadi anak yang solehah, yang cemerlang di dunia dan akhirat.

seronok menerima hadiah dari cikgu tadika

Hadiah umi dan abah adalah mencarikan kakak taman asuhan yang terbaik di dalam mendidik kakak menjadi insan solehah yang berpaksikan Al-Quran dan Al-Sunnah.

berjamu selera di Radix Fried Chicken, outlet yang baru dibuka oleh HPA di Sg. Petani

Sempat main lagi ye kakak...

Sunday, June 29

Permulaan Baru

Sabtu lepas, saya berpeluang menghantar anak saudara saya ke UiTM Merbok. Inilah pertama kali kak long berpisah dengan keluarga. Saya harap dia bersemangat untuk menimba ilmu di tempat baru, suasana baru, kawan-kawan baru serta pendidik baru. Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya kerana masih ramai yang diluar sana tidak berkesempatan untuk memasuki IPTA. Nasihat juga dititipkan buat kak long supaya beliau tidak hanyut dengan suasana dan persekitaran baru. Moga-moga harapan mak dan abah dapat ditunaikan serta menjadi contoh yang baik bagi adik-adik yang lain.

kak long, abang, farwiizah dan mak saya

Ini juga permulaan bagi anak-anak saya, Farzana (kakak) dan Farwiizah (adik). Selalu saya pulang ke rumah mak, kak long akan melayan si kecik bergurau. Mereka sangat rapat dengan kak long. Kesian adik! Permulaan baru bagi adik tanpa kehadiran kak long. Kakak macam biasa, kerana dia sudah faham akan erti perpisahan. Semasa hendak bertolak balik, adik bertanya, "mana k.long". Sepanjang perjalanan balik, adik tidur di dalam kereta. Semasa sampai di rumah, adik enggan masuk ke dalam rumah, berdiri di muka pintu, seakan-akan termenung sambil berlenangan air mata. Mula saya cuba memujuknya, tidak berjaya. Sayu hati saya melihatnya. Saya biarkan dia di situ. Agaknya hati kecilnya teringatkan kak long. Saya ingatkan sekejap saja. Rupanya, sepanjang malam, dia tidak ceria seperti selalu. Saya berpesan pada anak-anak saudara yang lain supaya tidak menyebut nama kak long kerana bimbang dia akan menangis lagi. Alhamdulillah, hari Ahad, macam biasa saja lagaknya, sekarang ini melekat dengan kak lang pula! he he he

Sunday, June 22

Bahasa

Tadi pagi, sewaktu saya sedang ampai baju di bilik belakang, anak saya yang berusia 3 tahun, datang menghampiri.

Dia ternampak anak patung "spongebob" di atas almari... tidak tercapai dek tangan, dia menyuruh saya,

"Umi tolong ambik spongebob sat, Umi kan tinggi....adik tak sampai"

Bagusnya ayat dia...tersenyum saya dibuatnya.

Saya teringat pada suatu sesi temubual di radio IKIM 2 hari lalu. Topik perbincangan mengenai anak-anak mengikut apa yang mak/ayah katakan @ buat.

Pakar motivasi tersebut menceritakan tentang seorang kanak-kanak sekolah rendah yang asyik menyebut "ba alif ba ya" sehingga guru sekolahnya merasa risau. Lalu dipanggilnya ibu ayah murid tersebut. Ibu ayah tersebut tidak pula menyebut perkataan itu di rumah. Cikgu kehairanan. Lalu di tanya kepada pakar motivasi, siasat punya siasat, memang ibu ayah tersebut tidak menyebutnya di rumah, TETAPI, sewaktu memandu, dalam keadaan marah dan tertekan dengan sikap pemandu, si ayah terlepas perkataan itu, dan tanpa disedari, si anak mendengar perkataan itu.

Kadang-kadang tanpa kita sedari, kita akan terungkap perkataan-perkataan yang mungkin memberi kesan kepada anak-anak. Sebaik-baiknya sewaktu kita marah, cubalah kita berdiam diri agar kita tidak mendatangkan mudarat kepada yang mendengarnya.

Saya juga mengingati diri sendiri agar berhati-hati di dalam menuturkan kata-kata. Luka di luar nampak di mata, terluka di hati, siapa yang tahu... mungkin akan menjadi luka seumur hidup.

Tuesday, June 3

Anak-anak

...permata hati.
Kadang-kadang telatah mereka,
memanaskan hati,
ada ketika,
mencuit hati,
senyuman mereka menyejukkan hati
tanpa mereka, rumah menjadi sunyi...




Hehehe.. beginilah...agak susah nak ambil gambar berdua... tak duduk diam, ada saja usik-mengusik. Yang kakak, Nurul Farzana, akan berusia 6 tahun pada 1 Julai ini. Manakala adiknya, Siti Farwiizah, telah menjejak usia 3 tahun pada 13 April lepas. Moga-moga anak-anakku ini membesar di bawah lembayung rahmat Ilahi...InsyaAllah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin