"This is your last test before your final exam. Please do not communicate with each other, do not copy.... " dan senarai tidaknya bersambung.
Begitulah arahan sebelum pelajar memulakan ujian terakhir mereka pada hari terakhir kuliah mereka.
Ketika ujian berlangsung, saya lihat pelajar-pelajar mula berbincang sesama mereka. Bukan seorang dua, tetapi ramai. Bunyi lebah semakin kuat kedengaran. Dan saya juga perhatikan, ada yang masih mempunyai integriti untuk menjawab soalan sejujurnya. Saya masih memerhati. Saya tidak menegur. Bukan tidak mahu menegur, akan tetapi saya mempunyai rencana yang lebih 'istimewa' untuk mereka.
Selesai ujian, masing-masing kelihatan ceria kerana 'ujian terakhir' mereka sudah habis.
Saya menyambung kuliah yang berbaki dua contoh untuk melengkapkan silibus untuk semester ini. Di dalam kepala saya, masih merangka ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada anak-anak murid ini.
"Okay, we will have re-test on Monday"
Masing-masing terkejut dengan pengumuman yang tiba-tiba (saya rasa).
"Ujian tadi bukan lagi ujian tetapi discussion. I will not mark your paper."
Saya memulakan 'tazkirah' pendek untuk mereka.
Jika pun mereka mendapat four flat di dalam subjek mereka, saya katakan, ianya tidak menarik perhatian saya jika ianya bukan hasil dari usaha mereka sendiri. Ujian sepatutnya menguji tahap kefahaman masing-masing, jika masih lemah, boleh dibaiki, akan tetapi, jika meniru dan mengharapkan orang lain, maka ilmu yang diperolehi tidak ke mana dan tiada keberkatannya. Begitu juga jika ada yang pandai "menolong" kawan-kawannya yang kurang pandai, "bagaimana jika dia berjaya menjadi seorang jurutera, tetapi dengan ilmu yang dia perolehi hasil dari penipuan, dia membina jambatan yang digunakan orang ramai, tetapi jambatan yang dibina tidak kukuh dan runtuh. Bukankah ianya melibatkan orang lain, bukan dia seorang saja." Diam.
Jika hanya gred yang dikejar, dan sanggup untuk melakukan penipuan untuk mendapat gred yang baik, di mana keberkatannya. "Awak adalah pelajar universiti, bukan lagi pelajar sekolah, jadi berkelakuanlah seperti seorang pelajar universiti".
Saya perhatikan wajah setiap mereka. Diam.
"This is your lesson." Dan saya amat berharap dengan tindakan saya ini, mereka akan ingat selama-lamanya. Saya ingin membentuk seorang pelajar muslim yang mempunyai integrati, walaupun tidak diperhatikan, mereka tetap melakukan kerja mereka dengan jujur, bukan hanya semata-mata kerana ada manusia yang memerhati, mereka melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.
Saya berkongsi cerita dengan rakan pensyarah yang lain. Ada seorang, pernah beberapa kali menegur pelajarnya yang berbincang ketika ujian berlangsung, langsung tidak dipedulikan. Akhirnya dia 'menghalau' pelajarnya keluar dari ujian tersebut.
Seorang lagi rakan pensyarah memberitahu lagi, dia mendapat 'jelingan' tajam ketika beberapa kali menegur pelajar yang sama meniru/bertanya kawan ketika ujian berlangsung. Hmmm....
Kerana sebab itulah saya tidak 'menegur' mereka begitu, kerana pernah saya menegur, tetapi tetap tidak dihiraukan. Kali ini, saya mengambil tindakan yang lebih 'drastik' lagi, walaupun implikasinya, saya terpaksa menggubal soalan ujian khas untuk mereka.
Biar mereka 'berdendam' atau 'membawa mulut' tentang tindakan saya ini kerana saya ingin menjadikannya sebagai pengajaran untuk mereka ingati sepanjang hidup mereka supaya jujur dan amanah dengan tanggungjawab mereka. Harap-harapnya begitu.