Showing posts with label kereta. Show all posts
Showing posts with label kereta. Show all posts

Sunday, January 27

Selamat tinggal... T_T

*over*

Kancil yang telah banyak berjasa kepada saya sejak 27/4/1998 kini telah bertukar tuan (puan).  Agak sentimental untuk melepaskan kereta pertama yang telah bersama saya selama 14 tahun 9 bulan ini.  Saya senang sekali meloloskan kancil di celah parkir yang sempit di tempat kerja.  Itu kelebihannya.  Semoga ianya terus berjasa kepada puan barunya.



WGK dalam kenangan... walaupun kelibatnya akan masih kelihatan di rumah mak, tetapi ianya bukan lagi milikku T_T.

Sunday, December 9

UO.. Unidentified Object


Bumper kereta yang sudah renggang :( (baca : $$$$).  Dari belakang tidak berapa nampak kerenggangan bumpernya.

Lokasi kejadian : Di antara RnR Gurun - Tol Sg. Petani Utara arah selatan
Masa : 7.45pm - 8.00pm (terlupa untuk mencatat masa sebenar kerana panik!)
Tarikh : 8 Disember 2012

Kereta yang dipandu en. suami sedang mengekori lori dengan jarak yang selamat.  Tiba-tiba kami terpandang UO melintang di tengah jalan lorong kiri lebuhraya PLUS.  Saya terjerit "apa tu bang!?"

En. suami mengganggarkan supaya UO tersebut tidak digilis tayar (tidak sempat membrek) dan melalui di tengah-tengah kereta antara tayar.  Kami terdengar bunyi kuat yang terkena belakang kereta.  Jangka kami 'biasa-biasa' saja.  Kata en. suami mungkin tayar lori yang pecah.

Ketika selesai makan malam di Sg. Petani Utara, barulah kami perasan, bumpernya sudah renggang.  Pastinya UO itu terkena bumper belakang kereta kami ketika melalui bawah kereta kerana objek itu agak besar.

Saya menghubungi talian khidmat pelanggan PLUS dan mereka memberikan prosedur berikut ketika terlanggar objek di lebuhraya.  Sebenarnya (ramai yang tidak tahu termasuklah saya sehinggalah diberitahu  en.suami) boleh claim dari pihak PLUS jika berlaku kerosakan pada kenderaan mereka.  

1. Ambil gambar objek yang berada di atas jalan serta gambar kerosakan kenderaan.
2. Catatkan masa dan lokasi kejadian
3. Buat laporan polis
4. Buat aduan di pusat khidmat pelanggan PLUS

Manalah mamarazi ini ingat untuk mengambil gambar objek tersebut di dalam keadaan panik wal (dan) terkejut ditambah dengan suasana yang gelap gulita itu (malam).

Fuh...


Thursday, February 16

Entri bukan-bukan

Mood 15 Februari  (semalam)


Diari minah drift 15 Februari 2012

7.00++
- hantar anak ke sekolah

8.00pg ++
- sampai di pejabat, terus hidupkan suis komputer dan melihat emel yang berderetan yang tidak sempat dilihat semalam (selasa).

- siapkan pembetulan kertas kerja yang diemel oleh editor pada pagi Isnin untuk dimasukkan ke dalam jurnal.  Selesai pembetulan, emel semula kepada editor

- menyusun serta menformat kertas soalan ujian 3 untuk 2 kod sambil memeriksa skima jawapan (status : belum siap)

11.00pg
- kuliah sehingga jam 12tghari.  Pelajar bertanya soalan lagi

12.10tghari
- drift balik ke rumah di Kepala Batas yang mengambil masa 1/2 jam untuk tiba

12:40tghari
- sempat tiba di hadapan pagar sekolah sejurus sebelum adik keluar sekolah

12.45tghari
- makan bersama adik secara kalut serta bungkus makanan untuk kakak

1.10ptg
- bersama adik mengambil kakak pula

1.15ptg
- hantar budak berdua ke rumah.
- siap berwuduk di rumah

1.20ptg
- drift semula ke kampus Permatang Pauh

1.45ptg
- tiba di kampus saat zohor berkumandang dari Pusat Islam
- solat zohor

2.00 - 5ptg
- kuliah

5.00ptg
- sempat 'bersosial' sekejap dengan kawan
- solat asar

5.40ptg
- balik rumah

6.10++
- tiba di rumah.
- tanpa bertukar baju, drift di dapur pula.  Masak yang paling ringkas, 2-in-1 lauk beserta sayur disekalikan.

7.00ptg
- makan malam

7.30mlm
- maghrib

Sebelum masuk isya', saya sudah terlelap di hadapan tv.  Selesai isya', saya sudah tidak berdaya untuk mengangkat mata, apatah lagi mengadap komputer.

Entri penat yang tiada manfaat.  En suami demam 2 hari.  Kasihan pula melihat dia terbaring di sofa panjang. Kebiasaannya jika saya berkuliah di Permatang Pauh, en suami yang mengambil kedua-dua mereka di sekolah.  Waktu pagi, kami berdua akan menghantar anak-anak ke sekolah dan kami akan bergilir mengambil anak-anak di sekolah pada waktu tengahari.  Dia akan menghantar ke KAFA dan saya akan menjemput mereka di KAFA.  Kadang-kadang jika saya ada urusan yang tidak sempat untuk balik menjemput mereka dari KAFA, dia jugalah yang keluar lagi menjemput mereka.  Terasa benar keletihan ketika usia menginjak ke 4 series, tidak seperti di dalam usia 20an dan awal 30an.

Ketika bersalaman tadi pagi dengan en suami sebelum ke pejabat, dia menegur tangan saya pula yang panas.  Aduhai, janganlah pula demam waktu-waktu begini.  Saya masih ada lagi 2 minggu untuk menghabiskan kuliah sebelum mereka bercuti ulangkaji.  Masih ada lagi silibus yang perlu dihabiskan *semput*


Untuk rekod sendiri

sebelum dan selepas

No. plet : RM20
Rapatkan semula bumper : RM40
(Nota : Nampak teruk juga mereka mengusahakan untuk merapatkan bumper itu.  Saya lihat kedua orang itu berpeluh-peluh di dalam cuaca panas.  Lebih dari 30min juga masa diambil)

Tuesday, February 14

Ada-ada saja

13 Februari 2012

Kasihan Kancil saya.  Belum sampai setengah bulan ia rosak di Plaza Tol Sg. Dua, semalam ia dihentam oleh lori barang pula.  

calar-balar bumper

Masa : 1.30 petang

Lampu isyarat membelok masih lagi merah dan lampu isyarat untuk terus baru bertukar hijau.  Saya berada di lane kanan untuk membelok ke kanan.  Kereta di hadapan saya rupanya ingin terus, saya baru mengangkat pedal brek untuk bergerak ke hadapan sedikit, tiba-tiba, DUMM! kereta saya dilanggar.  

"Ya Allah!", terkejut saya.  

Apabila saya membuka pintu kereta, cepat-cepat pemandu lori itu mengangkat tangan,

"Ok kak, salah saya kak.  Kita ketepi dulu."

Isyarat membelok ke kanan bertukar hijau, dan saya membelok masuk ke taman berhampiran untuk tidak mengganggu trafik.

Nombor 'penyelamat' saya segera didail, terus pemandu itu meminta untuk bercakap dengan suami saya.

"Salah saya bang, kak tak salah", saya dengar dia memberitahu suami.

Cukuplah dia mengaku kesalahannya, itu sudah ok bagi saya.  Saya belek-belek, nombor plet sudah  tercabut serta bumper yang calar-balar sedikit renggang.  

Memandangkan sudah hampir dengan kedai suami, kami berbincang di sana saja.  Suami meminta pandangan dari beberapa rakannya yang ada berhampiran.  

Alhamdulillah bumper itu tidak 'hancur'.  Katanya, yang original tahan lasak, jika tiruan, sudah pasti hancur, dan kosnya tentu lebih lagi.

Pemandu itu membayar sejumlah wang sebagai gantirugi kerosakan.  

"Jika lebih, saya halalkan, dan jika kurang duit tu untuk cover perbaiki bumper kereta kak, saya mintak abang dan kak halalkan jugalah", lebih kurang ayat pemandu itu.

Jika terpaksa menambah banyak, alamatnya, bumper itu kekal begitulah nampaknya.

Was-was pula memandu tanpa nombor plet belakang!  hehehe....

Banyaknya kenangan saya dengan si Kancil ini.  Antara yang masih saya ingati kisah ini (1 dan 2).

Thursday, February 2

Selesai - untuk rekod

Kereta selesai diservis.  Ketika hendak ke bengkel mengambil kereta,saya bertanya en suami,berapa bayaran agaknya.Saya memeriksa not biru di dalam purse,hanya beberapa keping saja.


"Bagaimana kalau lebih?",saya bertanya.


"Bayar esok lah"


"Ada ka kedai boleh bagi hutang?"


Soalan saya tidak berjawab.


Ketika mekanik menghulur bil,saya berdebar untuk melihat jumlahnya.


RM94? Macam tak percayalah (ala-ala kartun Little Einstein)


Alhamdulillah.


Published with Blogger-droid v2.0.3

Lagi tentang Plus Ronda


Ketika membuat carian tentang plus ronda, saya dapati, ramai yang mengadu tentang perkhidmatan plus ronda yang tidak memuaskan malah ada penipuan yang berlaku.  Sebelum ini, ketika kami mengalami kerosakan kereta di lebuhraya :
2001 : Wira pancit dari Alor Setar arah selatan (pagi 2 Syawal 2001)
2011 : enjin Kancil bermasalah - berhampiran tol Bertam : September (pautan)
2012 : enjin Kancil bermasalah - berhampiran tol Sg Dua : Januari  (pautan)
*2010 : Timing belt Wira putus - berhampiran Sg. Petani arah utara (pautan) kami tidak menggunakan perkhidmatan Plus ronda kerana inginkan kereta itu ditunda kembali ke Kepala Batas sedangkan Plus ronda hanya menunda sehingga ke tol berhampiran (Sg. Petani) saja.
Alhamdulillah, rezeki kami, perkhidmatan yang diberikan Plus ronda baik-baik saja.  
Ketika berbual dengan En. Yus, ada dua buah kereta plus ronda yang bertugas pada siang hari dan hanya sebuah pada malam hari dari jam 7ptg - 7pg yang meliputi jarak dari Perai hingga ke Sg. Petani.  Lingkungan jarak yang lain, lain kereta perondanya.  Jadi, jika berlaku kerosakan atau kemalangan di dalam jangkauan ini, hanya mereka saja yang perlu berulang-alik ke tempat kejadian.  Di dalam kes saya baru-baru ini, memandangkan ada kemalangan di tempat yang lain pada masa yang sama, keutamaan diberikan kepada kemalangan.  
Dua kejadian sebelum itu, mereka cepat saja tiba memberikan bantuan.  Kerana itu, saya katakan saya berlapang dada dengan kekangan yang mereka hadapi untuk memberikan bantuan mereka.  
Tetapi, pastikan mereka yang berpakaian seperti itu datang dengan kenderaan rasmi mereka.  Jangan tertipu seperti kes ini (pautan).  
Petikan dari web (pautan):    
The services offered by the PLUSRonda include : 
  • minor repairs to vehicles experiencing a mechanical fault or breakdown
  • towing services to the nearest toll plaza or Rest and Service Area (for Class 1  vehicles only)
  • traffic management and co-ordination of emergency services

To obtain PLUSRonda assistance, users can:-
  • Call the toll free PLUSLine at 1800 88 0000 or
  • Use the emergency telephones which are provided at every 2 kilometres along the PLUS expressways
Jika ingin memberikan komen untuk penambahbaikan perkhidmatan plus ronda, sila klik di sini dan cetak borangnya. 

Inilah hak kita kerana kita juga membayar tol untuk menggunakan lebuhraya itu.  

Wednesday, February 1

Drama lebuhraya

31 Januari 2012

Semalam, saya menggantikan kuliah yang banyak ketinggalan kerana cuti umum.  Perancangan asalnya, pelajar mohon diadakan pada waktu malam, jam 8, tetapi setelah dipertimbangkan, saya mengusulkan supaya kelas mereka 4 - 5pm dilanjutkan ke jam 7 malam di kampus Permatang Pauh.

Selesai kuliah, saya memandu seperti biasa.  Ada sedikit kesesakan di Sg Dua kerana kemalangan yang membabitkan beberapa kereta.  Ketika menghampiri tol (lebih kurang 150 meter ~ anggaran), saya menyedari, tolok suhu kereta sudah mencecah garisan tengah menghampiri H.  Segera saya berhentikan kereta di tepi jalan, matikan enjin, pasang lampu kecemasan dan telefon en. suami.

sumber : google image

Jam ketika itu menunjukkan angka 7.30pm dan juga hujan.  Setelah beberapa ketika, saya cuba hidupkan semula enjin sebagaimana saranan suami dan bergerak perlahan menghampiri plaza tol.  Suhu tidak juga turun dan semakin menghampiri H.  Dua kali berhenti juga sebelum plaza tol namun suhu enjin tidak juga menurun.  

Percubaan kali ketiga dengan memandu secara perlahan, begitu juga.  Akhirnya saya matikan enjin dan tersadai  di tepi lebuhraya, berseorangan lebih kurang 50 meter selepas plaza tol.  

sumber

Jam 8 malam, saya menelefon plus ronda, lebih kurang 10 min, tiba sebuah kereta peronda.  Kebetulan ada pula dua kemalangan di Bertam dan Sg. Petani, mereka meminta saya menunggu sehingga 10 - 15 min supaya enjin benar-benar sejuk dan cuba hidupkan semula kereta kerana mereka perlu berkejar ke lokasi kemalangan.  Mereka sempat berpesan kepada saya supaya mengunci pintu dan menutup tingkap kerana kata mereka, ada kejadian penunggang motor 'mengganggu' orang yang keretanya yang rosak.  Saya akur.  

Saya cuba bertenang, ayat kursi dan ayat ini, "La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin" ~ (Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.) tidak lekang dari bibir saya.  Saya terasa lemah sekali ketika itu.  

Beberapa kali cuba hidupkan enjin, tidak kedengaran langsung bunyinya.  Sekali lagi saya menelefon nombor ini : 1-800-88-0000 dan memberitahu keadaan saya.  (tolong simpan nombor ini di dalam telefon anda, untuk kegunaan di ketika kecemasan)

Ketika di dalam tempoh menunggu, kereta, motor dan lori silih berganti berhenti di belakang atau hadapan kereta saya.  Boleh jadi tukang banci kereta motor di lebuhraya lah.  Hilang lapar, yang ada hanyalah dub dab serta tangan mula menggigil.  Sebuah kereta berhenti dan bertanya samada kereta saya rosak.  Saya menggelengkan kepala (bohong sunat eh) kerana saya mengharapkan plus ronda akan tiba.

1/2 jam berlalu, tiada tanda bantuan akan tiba, sekali lagi nombor diulang dail.  Mereka memohon maaf kerana mereka terpaksa dahulukan kemalangan itu.  Beberapa minit, ada sebuah pickup dengan lajunya berhenti di belakang kereta saya.

"Ya Allah, siapa pulak ni?", debaran semakin kencang.

Apabila melihat kelibat orang yang berbaju PLUS, barulah hati saya lega.  Sungguh, dalam debaran, saya tidak perasan lampu kuning yang berkelip dibumbung kereta itu.  Dia memeriksa enjin dan setelah dipastikan ok, dia berkali-kali meminta saya menghidupkan enjin kereta - tidak boleh.  Dia mencuba pula untuk jump start kereta saya itu, tidak boleh juga.  Akhirnya, saya dan kereta ditunda ke tol Bertam.  

Terima kasih kepada En. Hakim dan En. Yusfaizal dari Plus Ronda yang memberikan perkhidmatan terbaik mereka.  Saya berlapang dada dengan kekangan yang mereka hadapi.  Alhamdulillah, drama di lebuhraya berakhir jam 10 malam.  Phew, penat menjadi penunggu setia di lebuhraya.  Di dalam kereta, en. Yus bercerita, ada kereta yang rosak menjadi mangsa rompakan.  Saya bersyukur kerana tidak berlaku apa-apa.  Sesungguhnya Allah lah penyelamat yang terbaik.
  

Tuesday, October 18

Alahai penunggang basikal...


Sebelum memulakan pemanduan, saya tidak lupa mengucap kalimah ini.  Selalu.  InsyaAllah.   Apatah lagi sesudah membaca artikel Ustaz Pahrol (Warna Sebenar Kita di Jalan Raya), saya cuba sedaya upaya mematuhi aspek syariatullah dan sunnatullah ketika memandu.  Memandangkan kereta baru saja diservis, aspek yang satu itu, insyaAllah, sudah ok.

Akan tetapi, kita bukanlah memandu berseorangan di atas jalanraya.  Beberapa hari lepas, saya hampir-hampir benar (near miss) bertembung dengan basikal yang ditunggang oleh kanak-kanak sekolah.  Bukan sekali, tetapi dua kali pada petang hari yang sama.  

Selesai menjemput kakak dari sekolah, ketika melalui kawasan perumahan berhampiran sekolah kakak  tiba-tiba, seorang kanak-kanak mengayuh basikalnya dengan laju terus melintas betul-betul di hadapan saya.  Alhamdulillah, ketika itu, kereta saya tidaklah dipandu laju dan sempatlah saya membrek kereta secara mengejut.  Tidak sempat pula saya melihat kereta di belakang.  Alhamdulillah juga kereta di belakang (ibu kawan kakak) ada jaraknya dengan kereta saya.  Berdebar usah dikatalah.  Mulut saya pantas membebel memarahi kanak-kanak itu (dia entah ke mana... dan sudah tentu tidak mendengar bebelan saya).  




Kakak yang berada di sebelah saya menyampuk, "mujur ummi tak langgar budak 'tu".  

"Berkat ummi baca Bismillah agaknya sebelum bergerak, Allah selamatkan kita...", jawab saya. 

Dengan debaran yang masih berbaki, saya memandu balik ke rumah, tidak pernah menjangkakan yang perkara yang sama akan berulang lagi.


Ketika berada di selekoh berhampiran dengan rumah saya pula, sekali lagi saya terkejut dengan sebuah basikal yang membelok terus ke hadapan saya.  Kawannya membelok agak jauh sedikit dari kereta saya.  Ya Allah... sempat juga saya membrek sambil mata menjeling tajam ke arah budak itu.  Amboiiii...  boleh pula dia tersengih memandang saya sambil mengayuh menjauhi saya!  Geram betul hati dibuatnya.  



Sabar sajalah!  Jika terkena langgar, siapa yang akan disalahkan????  Pemandu juga.... padahal, mereka yang 'menyerah diri' di hadapan kita.  

Tetapi apa-apapun, kita berserah kepadaNya untuk melindungi perjalanan kita.  Jika sudah ajal di jalanraya, tidak terlewat atau tercepat, di situlah tempat pengakhirannya di alam ini.  Tiada daya lagi, itulah ketentuanNya.  

Monday, October 10

Selesai sudah...



Bonus belum lagi diperolehi, tetapi penggunaannya sudah.... hehehe.  Sebenarnya, ini sebagai rekod saya untuk rujukan di masa akan datang, bila saya membuat servis kepada kancil saya itu.  

Servis ini dilakukan di kedai yang baru dibuka yang hanya beberapa meter dari rumah.  Jika servisnya berpatutan, insyaAllah, di masa akan datang, boleh pergi ke situ lagi.  Menurut adik mekanik itu, kompressor aircond jem.  Dan blower sebelum ini memang perlahan benar, mungkin tersumbat.  

Selesai diservis, adik menunjukkan reaksi teruja.  "Sejuknya kereta ummi....", katanya.  Al-maklum, sebelum ini, kancil itu tidak berapa sejuk terutamanya pada waktu tengahari.  Sekarang ini, setanding kesejukannya dengan Wira... (sambil menjeling suami ^_^). 

Saturday, October 8

Belum selesai...



Nampaknya bonus setengah bulan gaji di dalam pembentangan belanjawan 2012 semalam telah didahulukan untuk membayar servis kereta saya yang tersadai di bengkel selama 5 hari.  Suspeknya adalah pam breknya rosak.  Alang-alang di bengkel kereta, terus diservis minyak hitam dan sebagainya.  Tetapi masih ada lagi kemusykilan, selepas peristiwa senja tempohari, pendingin hawa juga tidak berfungsi.  Mungkinkah aircond juga punca masalahnya?

Nampaknya, kereta itu perlu dihantar ke kedai lagi serta berapa $$$$ pula yang akan dikenakan?  Bonus belum lagi masuk ke dalam akaun....

(bagaimana dengan harga servis di tempat lain?  lebih murah?  lebih mahal? atau lebih kurang? sengaja ingin membuat perbandingan)

Friday, September 23

Tragedi senja 22 September

kenangan

Ketika menyusuri persimpangan Bertam dan juga ketika membelok untuk ke plaza tol, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan kecil di bahagian tayar sebelah pemandu di susuli dengan asap dan juga bau hangit tayar.  Perkara pertama yang saya lakukan, hidupkan lampu kecemasan sambil memperlahan kenderaan.  Anggapan saya, pastinya tayar depan itu pecah kerana saya rasakan seperti rim tayarnya menyeret jalanraya.

Perkara kedua, saya perlu mencari tempat yang sesuai untuk berhenti supaya pemandu yang datang nampak kereta kami yang berhenti di bahu jalan.  Saya?  Relaks saja.  Ok, itu adalah tipu, mana mungkin saya relaks saja dalam keadaan begitu!  Menggigil juga saya melihat asap yang datang dari arah tayar tersebut ketika memperlahankan kereta untuk berhenti di tempat yang sesuai. Adik pula ketawa melihat asap itu sambil memberitahu terbau hangit.  Agaknya.dia ingat ini aksi seperti di dalam rancangan 'supermak' kah?  Aduhai...  

Perkara ketiga, menelefon encik penyelamat, suami saya!  Beliau meminta saya cuba memandu melepasi tol.  Ah, enjin sudah tidak boleh dihidupkan.  Meter suhu sudah menunjukkan separuh takat menghampiri 'H'.   Sambil memerhatikan kereta yang laju memintas kereta, setelah dipastikan selamat, saya memberanikan diri untuk keluar melihat keadaan tayar. Anak-anak saya arahkan duduk diam di dalam kereta. Peliknya, tayar elok-elok saja.

Beberapa minit kemudian, saya nampak superman saya sudah datang.  Bukannya terbang, tetapi berjalan kaki saja.  Dia membelek dan menelek, enjin ok-ok saja.  Musykil juga saya, apa benda yang meletup?  

Setelah mengosongkan kereta, buat pertama kalinya, segitiga kecemasan itu suami letakkan beberapa meter jaraknya di belakang kereta.  Sudah ada kereta yang berhenti untuk menawarkan perkhidmatan trak penunda.  Suami menunjukkan isyarat tangan menandakan semuanya ok.   Dari kejauhan kedengaran sayup-sayup azan maghrib.  

Selesai solat maghrib di hentian tol itu, suami menemankan plus ronda untuk memeriksa kereta.  Kata mereka enjin ok saja.  Suami memandu sehingga di hentian tol, dan saya dengan debaran memandu balik kereta itu ke rumah.  Jika suami memandu kereta itu, siapa pula yang akan memandu kereta manualnya, saya ini, berlesen memandu kereta automatik sahaja.

Di dalam gigil-gigil terasa seperti tidak dapat menjamah makan malam, saya tetap dapat menghabiskan sepinggan nasi berlaukkan bawal goreng, kari dan timun/sambal belacan.

Dan hari ini, dapat bermanja dengan encik superman saya untuk menghantar saya dan anak-anak dan menjemput kami balik nanti.  Dapatlah berdating sarapan pagi bersamanya di luar.  Hehehe... (itulah tujuan sebenarnya pun!).

Walaupun kerap diservis, tetapi perkara buruk boleh juga berlaku.  Saya bersyukur kerana tiada perkara yang lebih buruk berlaku keatas kami.  Alhamdulillah.

Sunday, June 13

Hari Ini Dalam Sejarah...Rezeki si Trak Penunda


Pertama kali merasa pengalaman merasa naik kereta dengan pemandunya di dalam lori.  Kereta kena "tow".  Kami di dalam perjalanan pulang ke Alor Setar kerana ingin menghadiri kenduri perkahwinan sepupu suami apabila tiba-tiba kereta 'berhenti' dengan sendirinya di antara tol Bertam dan Sg. Petani Selatan.  

 kereta yang 'sakit'
Tidak sampai seminit, sudah ada yang bertanya untuk menunda kereta kami.  Katanya 'timing belt' putus.  Hmm... saya ini buta kereta... orang beritahu begitu... iyalah agaknya.  Sabar benar orang-orang trak tunda menunggu kami untuk urusan 'tawar-menawar'.  


 Sememangnya kami tidak pernah mengalami situasi sebegini.  Suami menelefon seseorang berdasarkan kad nama yang ada.  Orang itu menawarkan RM150 untuk menunda kereta kembali ke Kepala Batas.  Orang trak tunda yang berada di situ menawarkan RM180.  Entahlah... saya rasa agak mahal juga.  Apabila suami menelefon talian hotline PLUS, kata mereka hanya menunda kereta sehala sehingga tol yang berdekatan sahaja.  Selebihnya perlu juga berurusan dengan penunda lain.  Akhirnya setelah urusan tawar-menawar, mereka bersetuju untuk mengambil RM150.  

 budak berdua ini sempat lagi bermain dengan belon buih yang dibelikan pak cik mereka tempohari


Alhamdulillah, kejadian ini berlaku ketika di tempat sendiri, tidak ketika kami ke Pahang serta Melaka tempohari (entri selepas ini). 

di KM inilah menjadi saksi kereta kami ditunda balik

kenangan di sini tidak akan dilupakan selama-lamanya

sempat lagi melayan kerengga di atas pohon ketapang

tiba juga akhirnya

senang saja melihat orang itu memasang alatan menunda

siap untuk ditunda

kami di dalam kereta, merasa juga ditunda... hehehe


adik sedang 'memandu' kereta yang ditunda

Pengalaman yang sungguh menarik.  Pertama kali juga adik merasa untuk 'memandu' kereta yang bergerak.  Adik sangat-sangat teruja. Ketika berselisih dengan van pekerja di tol, pak cik pemandu itu menegur adik dengan senyuman.  "Syok ke bawak kereta"... hehehe... adik tersenyum lebar dengan usikan pak cik tersebut.  Pak cik pemandu itu tidak henti-henti tersenyum melihat gelagat adik yang beraksi seolah-olah dia yang memandu kereta tersebut.  

Akhirnya kami pulang dengan kereta kecil saya sahaja.  Sepanjang perjalanan, kami melihat ada beberapa buah kereta yang mengalami nasib yang sama dengan kereta kami, terpaksa ditunda sehingga ke bengkel kereta agaknya.

Pesanan penaja : "Periksalah kenderaan anda ketika ingin melakukan perjalanan jauh untuk mengelak perkara seperti ini berlaku kepada anda".  

Agaknya kereta ini 'penat' setelah melakukan perjalanan jauh tempohari, itu yang menjadi sebab musabab kejadian ini berlaku.  Dan hikmahnya agar kami berhati-hati di masa hadapan apabila ingin melakukan perjalanan jauh serta setelah pulang dari perjalanan jauh juga.   

Sunday, May 2

Kereta


Adik bermonolog seorang diri ketika melihat brochure kereta sewaktu pulang dari tadika.

"Kereta 'ni cantik..."

"Yang 'ni pun cantik..."

"Tapi kalau Exora lagi besaq..."

"Amboiiii...." adik tersengih apabila saya menegurnya.

Thursday, October 22

Kereta Baru


Ketika suami menjemput kami anak-beranak pulang dengan Wira buatan 1993 ke rumah, adik bersuara,

"Abah, beli la kereta baru sikit"

"Kenapa?" abahnya bertanya,

"Beli la kereta yang tinggi sikit, yang besar sikit", adik bersuara lagi

"Abah beli la kereta kaler hitam" tambahnya lagi

"Pasai pa hitam", tanya abahnya lagi

Diam. Tidak bersuara.

"Abah, beli la kereta macammmm..... " sambil mencari-cari kereta yang ingin dijadikan reference.

Lantas saya teringatkan artikel yang saya baca di Saifulislam.com. Tersenyum saya dibuatnya. Begitulah anak-anak, nampak kereta orang baru, atau besar, mulalah menyuruh kita, ibubapa untuk membelinya. Hmmm....

Ketika makan popcorn yang dibeli, adik tertumpahkan sedikit ke lantai kereta. Abahnya mengomel,

"Kereta abah berselerak saja dengan makanan, tak larat nak vacuum, sebab tulah abah tak mau beli kereta baru"

Hehehe... adik terdiam.

Friday, October 2

Dikejar (2)


Ketika dia berada di hadapan saya, saya memperlahankan kereta dan membiarkan dia terus memandu di hadapan. Agaknya bosan kerana saya terlalu perlahan, dia melajukan kereta meninggalkan saya. Lega.

Selepas melepasi tol Juru, saya melihat kelibat kereta tersebut di bahu jalan kiri selepas tol. "Ya Allah! 'mamat' ni ada lagi?" Ketika saya melintasi keretanya, dia mula bergerak mengekori di belakang. Jantung berdegup kencang semula, tidak menjangkakan yang perkara sebegini akan berlaku.

Dia mula mengekori saya dan tidak lagi memotong kereta saya. Saya mula dihimpit kebimbangan. Susur keluar lebuhraya untuk ke kampung saya semakin hampir. Sambil memandu, saya ligat memikirkan 'strategi' untuk memboloskan diri dari kereta tersebut. Semakin hampir ke susur keluar ke kampung saya, saya tidak langsung menyalakan signal untuk ke kiri. Saya nekad untuk memisahkan kereta saya dengan kereta itu. Ketika susur keluar hampir berakhir, dalam keadaan berwaspada dengan kenderaan lain, saya membuat belokan pantas ke kiri. Hasilnya... kereta itu tidak sempat untuk membelok bersama saya. Alhamdulillah! Leganya hati saya ketika itu. Drama 'swasta' ini benar-benar sudah berakhir.

Tidak saya ceritakan kepada bapak saya, bimbang-bimbang dia langsung tidak membenarkan saya memandu bersama kawan lagi. Saya cuma ceritakan kepada mak saya dan jawapan mak, mungkin orang itu mengenali saya. Entahlah, kelibatnya memang tidak saya kenali, tetapi, walaubagaimanapun, peristiwa ini sentiasa kekal di ingatan saya apatah lagi ketika sedang berada di lebuhraya.

Wednesday, September 30

Dikejar (1)


Saya baru memiliki kenderaan sendiri setelah 2 tahun bekerja di KL. Dan sejak itu, saya tidak pernah memandu berseorangan ketika pulang ke kampung. Ketika mak dan bapak (allahyarham) mengetahui yang saya akan pulang ke kampung, bapak akan menaiki bas dari kampung ke Pudu Raya dan menaiki LRT untuk sampai ke rumah sewa saya. Berehat sekejap, bapak akan menemani saya memandu pulang ke kampung. Ada ketika saya merasa saya begitu membebankan bapak, tetapi beliau tidak kisah. Katanya, perempuan tidak elok memandu berseorangan untuk tempoh perjalanan yang agak panjang, dibimbangi apa-apa berlaku di pertengahan jalan. Ada betulnya juga. Dan sepanjang perjalanan, saya memandu, bapak akan terlena di sebelah. Sekali-sekala bapak terjaga, kami akan bersembang-sembang santai.

Sekali itu, saya sudah berjanji dengan Yati yang ingin ke kampung saya. Saya khabarkan yang saya akan memandu dengan ditemani Yati. Alhamdulillah, bapak mengizinkan. Dan pertama kali itu juga, saya di"ekori" di lebuhraya. Saya hanya menyedari ada sebuah kereta yang sentiasa mengekori saya ketika menghampiri Ipoh. Saya memperlahankan kereta memberi laluan kepadanya (padahal saya memandu di lorong kiri) untuk memotong kereta saya. Beliau memotong kereta saya dan kemudian memasuki ke lorong kiri semula betul-betul di hadapan saya! Pemandu itu memperlahankan keretanya sehingga menyebabkan saya juga terpaksa memandu dengan perlahan. Saya mengomel kepada Yati tentang sikap pemandu tersebut.

Ketika berkesempatan, saya memotong keretanya dan terus menekan pedal minyak. Dia terus mengejar kereta saya dan memotong dan berada lagi betul-betul di hadapan saya. Kejadian ini berlaku berulang-ulang kali. Jantung saya berdegup kencang, "apa kena dengan orang ini, tidak pula kenal dengan pemandunya". Ada ketika dia akan memasuki laluan kecemasan dan memberi isyarat supaya saya berhenti. Mana mungkin saya berhenti di tengah-tengah lebuhraya begitu. Saya sudah memeriksa kereta saya di dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Saya tidak mengendahkannya. Terngiang-ngiang kata-kata bapak.. bagaimana jika saya berseorangan ketika itu? Tentu panik juga dibuatnya!


Monday, August 11

Malang yang tidak berbunyi...

Semalam sewaktu ke rumah emak saudara, suami terperasan suhu kereta sudah mencecah "H". Kenapa pula? Setelah diperiksa, rupanya tangki air bocor. Selama saya memandu kereta itu, ok je saya tengok tolok suhu itu. Alhamdulillah, tidak berlaku ketika saya sedang membawa anak-anak semasa pergi atau pulang dari taska/tadika. Berkat doa yang dibaca tiap-tiap hari ketika menaiki kenderaan saya yakin Allah pelihara kami anak-beranak. Mujur rumah emak saudara cuma beberapa km saja dari rumah. Sebelum pulang, diisi semula air ke dalam tangki yang bocor itu.

Hari ini, suami ke kedai spare part untuk mencari penyambung paip ke tangki yang bocor itu untuk diganti semula esok. Alhamdulillah ianya berlaku ketika suami bercuti, dapatlah dia menengok kereta itu. Memang saya akui, bab kereta, saya memang out. Ketika masih bujang dulu, abang ipar yang sentiasa menyelenggara kereta saya itu. Bila sudah berumahtangga, suami pula yang membela kereta itu. Saya? itulah perempuan kan...tahunya isi minyak dan jalan..hehehe.

Teringat dulu, sewaktu cermin hadapan kereta retak seribu ketika memandu pulang dari rumah mak ketika bulan Ramadan. Suami sudah pulang ke rumah dahulu selepas berbuka puasa. Saya dan anak-anak menyusul kemudian. Sewaktu di Sg. Dua, seketul batu? (saya tak pasti) telah menghentam cermin hadapan kereta, lantas retak seribu. Dengan tangan yang menggigil, saya terus memandu hampir ke Tol Sg. Dua. Di situ saya berhenti dan menelefon suami dengan harapan dia belum lagi ke masjid untuk berterawih. Alhamdulillah, beliau masih di rumah sedang bersiap-siap untuk ke masjid. Keesokannya, beliau yang menguruskan untuk menghantar kereta itu ke bengkel untuk diganti semula dengan cermin yang baru. Hmm... kalau saya seorang, entahlah bagaimana!

Terima kasih suamiku di atas keperihatinan ini. Saya bersyukur di atas anugerah yang Allah beri ini!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin