Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts

Friday, June 28

Anekdot Madinah oleh Prof Kamil

Tarikh : 24 Jun 2013
Lokasi : UiTM Merbok, Kedah

Antara intipati tazkirah selama dua jam yang disampaikan oleh Prof Kamil, penulis buku Anekdot Madinah, Bersyukur Saat Diuji dll.

- Antara saat doa paling mustajab :

1. di sepertiga malam

Sabda Nabi SAW: “Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika mana berbaki sepertiga malam yang terakhir lalu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan memakbulkan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikannya dan sesiapa yang memohon taubat kepada-Ku nescaya aku akan ampunkan dosanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) - sumber

2. ketika berpuasa

3. doa kedua ibubapa

4. doa dari sahabat untuk sahabat yang lain tanpa diketahui yang didoakan itu

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: "Aamin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga." (Riwayat Abu Darda') - sumber


- Ramai yang menutup aurat dengan sempurna ketika umrah/haji dengan bertudung, menutup sehingga pergelangan tangan dan berstokin, tetapi diluar waktu tersebut, tidak menjaga aurat.  Pakaian yang menutup aurat apabila pakaian tersebut boleh dibawa terus bersolat tanpa telekung (saya memetik kata-kata Prof. Muhaya "solat ready")

- Tiga tempat yang disyariatkan untuk bermusafir untuk beribadah:

1. Masjidil Haram
2. Masjid Nabawi
3. Masjidil Aqsa

- Sakit tetap perlu menjaga solat.  Yang menjaga orang sakit perlu mengingatkan yang sakit untuk bersolat.

- Saat diuji tetap mengingati Allah, bukan mengambil alasan untuk tidak beribadah kepada Allah



tazkirah

bersama penulis Aroma Antara Benua dll.

di dalam pusat Islam

di luar pusat Islam

pasangan penulis suami isteri

khas dari penulisnya :)

Tuesday, October 23

Dingin Salju Wisconsin

Saya pula yang terlebih teruja melebihkan penulisnya - Nurulsham Saidin.  Ceritanya berkisar di kampus yang selama 2 tahun saya meraih ilmu darinya.  Tidak sabar-sabar ingin memilikinya.

Ikutilah sinopsisnya:

Bakal Terbit | Dingin Salju Wisconsin

Enam belas tahun lalu, dalam Dingin Salju Indiana, tiga gadis Melayu dengan latar asuhan berbeza memilih Indiana, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian. Di sana Jannah, Murni, dan Nana tertampan dengan permasalahan yang mencabar ego, kewibawaan, dan keimanan.

Kini, lewat Dingin Salju Wisconsin, Jannah mengamanahkan sepupunya Sarah yang akan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat untuk mencari seorang kawan yang tidak pernah pulang-pulang dari sana iaitu Icon. Bersama-sama Sarah adalah Marissa dan Ainun.

Konflik bermula apabila Sarah tiba-tiba jatuh cinta pada Syamsul. Kemunculan pasangan suami isteri, Kak Noor dan Abang Azam yang begitu daif keadaan hidupnya menambah ritma pada novel ini. Begitu juga kehadiran Abang Halim yang tidak pernah pulang ke Malaysia berbelas tahun lamanya, yang menimbulkan persoalan. Apakah nasib Sarah seterusnya? Dapatkah dia menemui Icon seperti yang diamanahkan? Nantikan jawapan dalam Dingin Salju Wisconsin





Friday, March 30

Misi berubah...

Misi 8A... plan asalnya, tetapi misi lain pula yang tercapai...

"ummi ambillah gambar macam ni", lalu adik menyusun komik-komik itu

Anak-anak sukakan komik...terutamanya si kakak.  Melihat cadangan di fb, saya cuba mencari komik Misi 8A. Kata salah seorang dari rakan kepada rakan fb saya, anaknya sudah berubah tabiat mengulangkaji dengan sendirinya setelah membaca komik itu.  

Maka misi mencari Misi 8A bermula.  Pertamanya, ke Hasani Bookstore di Carrefour Seberang Jaya... hasilnya... hampa!

Misi kedua.... Popular pula... pun yilek... tiada!

Sudahnya, termakan hasutan (hasut ke?... bukan sebenarnya) oleh salah seorang rakan... katanya anaknya membaca satu komik tentang sains tubuh manusia, tetapi diterangkan di dalam bentuk komik.  Anaknya dapat menerangkan proses yang berlaku di dalam perut kepadanya (sistem pencernaan).  Ketika meninjau dan membelek di rak buku, ternampak deretan pelbagai komik ikhtiar hidup ini.  Wah... apa lagi...terus disusun siri-siri ikhtiar hidup yang difikirkan sesuai untuk anak-anak.  

Betapa kreatifnya orang Korea menerangkan konsep sains di dalam bentuk komik supaya mudah difahami oleh kanak-kanak.  Nota kecil di atas komik itu "sesuai untuk kanak-kanak yang lasak dan bijak".  Sememangnya anak yang lasak ini suka kepada eksplorasi yang 'bukan-bukan' tetapi sebenarnya, mereka sedang belajar dengan cara begitu.

Semoga banyak lagi bahan-bahan ilmiah seperti asas fardu ain yang dapat disampaikan di dalam bentuk ilustrasi dan komik untuk menarik minat serta lebih mudah difahami oleh generasi Z sebagaimana yang didefinisikan oleh Wikipedia sebagai "Generation Z is highly connected, as many of this generation have had lifelong use of communications and media technologies such as the World Wide Webinstant messagingtext messaging, MP3 players, mobile phones, smartphonetouchscreeniPhoneiPodiPadTablet Computer technologies, KindleFacebookTwitteriTunesFaceTime, and YouTube,[18][19] earning them the nickname "digital natives" yang semakin kurang kebergantungan dengan buku.

Adik beritahu abahnya... "abah.. makanan yang kita makan jadi ta*k"... setelah dibeleknya komik itu.  Hehehe...adik sedikit sebanyak sudah memahami proses pencernaan di dalam usus manusia.

Harga sebuah adalah RM8.50 (Semenanjung M'sia) RM9.50 (Sabah/Sarawak).


p/s: Mak nya pun teruja ingin membaca namun tidak berkesempatan lagi.

Friday, December 9

Dingin Lavenda

Slot zehra terbaru.


Karya adaptasi dari novel sulung senior saya, Puan Nurolshamsi Saidin.  Kami berkawan rapat ketika masih di peringkat Pra-Universiti lagi.



Semoga banyak lagi karya-karya islamik didramakan untuk menjadi tontonan umum.  Semoga kak Nurol istiqamah untuk memartabatkan dunia islam melalui novel-novel islamik ini.

Monday, November 14

Sentuhannya...

Sentuhan si dia ini yang saya maksudkan...

Masterchef Sabri

Sentuhan Biker Chef "Buku Dunia Masakan Chef Sabri" ini adalah hadiah dari kakak saya beberapa bulan lalu.  Buku ini bukan sekadar buku resepi, tetapi sarat dengan tips, petua dan panduan di dalam penyediaan juadah yang bersih,  hebat lagi berkat.




Chef Sabri amat menitikberatkan makanan yang bersih dan halal kerana katanya, ia dapat melahirkan keluarga yang cemerlang.  Antara tip yang dititipkan oleh Chef Sabri di dalam bukunya, "Amalan memasak mengikut sunnah Nabi SAW dan sentiasa berdoa sebelum memulakan kerja memasak.  Makanan yang dihadam akan diproses menjadi darah yang akan mengalir ke seluruh tubuh manusia.  Jadi kecemerlangan seseorang bergantung kepada makanan yang halal lagi bersih".



Sedikit kisah kehidupan Chef Sabri diceritakan di dalam bab pertama : Perjuangan Seorang Chef, bagaimana minatnya menjadi chef bermula sejak kecil lagi.  Bab kedua pula : Dapur Chef Sabri memberikan beberapa tips pengendalian dapur serta teknik pemotongan untuk sayur, buah-buahan serta ikan dan ayam.  





Senarai rempah-ratus serta kegunaannya juga diberikan di dalam bab ini.

Bab seterusnya Selera Chef yang memberikan beberapa resepi beserta gambar penyediaannya.



Bab akhir menitipkan adab makan dan minum untuk diamalkan.



Buku berwarna-warni setebal 172 mukasurat ini adalah terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. dengan harga RM40 (Sem. M'sia) / RM42 (Sabah/S'wak).

Bagi saya ianya sangat berbaloi untuk memilikinya.

Wednesday, June 15

Hani


Saya membeli novel ini kerana dua sebab : 1. kerana dramanya dan 2. kerana penulisnya. Penulisnya merupakan senior saya ketika saya belajar dahulu.  Inilah usaha kecil saya sebagai tanda sokongan kepada apa yang beliau usahakan.  Ianya adalah garapan semula drama Hani yang pernah ditayangkan, tetapi ada penambahan kepada pengakhirannya.

Novel ini (pada saya) mengundang airmata terutama di bahagian pengakhirannya.  Memetik kata-kata dari novel itu, "Allah menguji hambaNya dengan cara yang paling unik apabila menjadikan kekurangan itu juga satu anugerah".  Setiap manusia pasti melalui ujiannya tersendiri.  Dan ujian-ujian seperti itulah untuk meningkatkan keimanan masing-masing.  Jika terasa diri diuji, ingatlah akan ujian orang lain yang lebih hebat berbanding kita, InsyaAllah, hati menjadi redha.  Allah tidakkan uji di luar kemampuan hambaNya.  

Membaca novel ini menyebabkan saya berfikir tentang diri sendiri yang kadang-kadang berkeluh-kesah dengan ujian yang sedikit.  Moga-moga kita semua dikurniakan ketabahan untuk menempuhi ujian-ujian di sepanjang "universiti kehidupan" kita.  Hanya kepadaMu tempatku memohon dan berserah!

Buku terbitan Galeri Ilmu ini berharga RM19 (SM) / RM21 (SS).  Selamat Membaca!

Monday, June 13

Buku & Klik


Akhirnya.  Buku yang diidam sudah berada di dalam genggaman.  Buku-buku ini akan menjadi panduan apabila mengelek si hitam manis itu nanti.  Kelihatannya mudah, tetapi hasilnya belum tentu lagi eloknya.  Kedua-dua buku ini adalah terbitan PTS NetMedia.

Yang paling saya suka, buku bersaiz poket, DSLR itu Mudah.  Tips-tips yang diberikan kelihatan praktikal dan tujuan ianya dibuat kecil supaya senang diusung kemana-mana sebagai rujukan.  Buku kecil ini juga menyediakan kad metering sebagai rujukan untuk mengambil gambar.  Mudahnya bagi 'beginner' seperti saya ini.  Buku kecil ini berharga RM12.90 (SM) / RM14.90 (SS). 

Buku Fokus & Klik! juga memberikan tips yang berguna.  Yang pentingnya, kita jangan takut mencuba dan bereksperimen supaya gambar yang diambil kelihatan menarik.  Buku ini berharga RM15 (SM) / RM17 (SS).

Monday, February 21

Ala-ala Cinderella...


Jika Cinderella didera oleh ibu tirinya, tetapi Puteri Kemilau Cahaya (PKC) pula didera oleh ibu saudaranya yang merampas tahta kerajaan kepunyaan ayahanda dan bondanya.  

Kisah dongengan islamik yang berlatar-belakangkan suasana istana ini sampai ke kemuncaknya apabila ibu saudaranya menggunakan sihir untuk memenuhkan hasrat hati yang tamakkan tahta kerajaan Intan Bertatah.  Puteri Kemilau Cahaya yang amat disayangi oleh seluruh isi istana itu menderita kerana dipaksa menjadi seperti seorang hamba setelah ayahanda dan bondanya dikurung di dalam sebuah gua. Hanya PKC yang dapat menyelamatkan ayahanda dan bondanya serta kerajaan Intan Bertatah. 

Kisah putera-puteri yang diterbitkan oleh PTS One ini menjadi alternatif kepada kisah dongengan barat yang banyak disajikan kepada anak-anak kita.  Mukasurat yang berwarna-warni menjadikan  anak-anak dan kita juga (orang dewasa) juga teruja untuk mengikuti kisahnya.  
Harga pasaran : RM22 (SM) / RM25 (SS)

Thursday, November 11

Saiz poket...

Kecil dan comel... begitulah gambaran ketika kali pertama melihatnya.  Tujuan asalnya ke kedai buku untuk membeli buku teks gantian kerana kakak menghilangkan buku teks sekolahnya, sudahnya, ada lagi iringan lain yang 'terbeli'.  'Ter' katanya.  Memang tiada di dalam perancangan pun.  Ketika meletakkan buku yang dibeli di kaunter bayaran, mata melilau ke serata sudut kedai.  Terpandang pula susunan buku-buku kecil ini di rak katalog.  Apabila dibelek harganya, tidaklah semahal mana.  Apabila dibelek isi kandungan, dengan tulisan besar, ringkas dan padat serta berwarna-warni, menarik juga.  Tangan mula mengambil satu demi satu buku yang ada.  Oh, banyak juga.  Ada 32 Pocket Fables Series ini yang berupa siri teladan yang berwatakkan haiwan.  Akhirnya 'terambil' 15 buah buku ini, itupun mengambil kira yang RM di dalam dompet tidak sebanyak mana yang tinggal.  Rasanya jika banyak RM di dalam dompet, harus kesemua siri tersebut saya angkut.  Inilah susahnya apabila ke kedai buku, begitu juga anak-anak, rambang mata dibuatnya, dan seperti ingin diborong kesemua buku yang ada.  Itu belum lagi dikira Pesta Buku yang dianjurkan sekali-sekala.  Sekurang-kurang pasti ada 1 atau 2 buku (minimum) yang dibeli.


susunan buku di dalam kotak koko, mudah-alih

 inilah koleksinya

 perbandingan untuk mengetahui saiznya

tangan siapakah itu?

Koleksi ini diterbitkan oleh Kohway & Young dan harganya RM1.95 (WM) dan RM2.15 (EM).  Saya mendapat harga RM1.75 sahaja sebuah.  Bolehlah digunakan sebagai bahan bacaan ketika di dalam kereta untuk jarak perjalanan yang dekat/sederhana. 

Friday, September 17

Uruskan kewangan dengan bijak


Alhamdulillah, sahabat saya ini telah berjaya melepasi halangan kewangan yang membelenggu dirinya sebelum ini dan berjaya menghasilkan buku ini.  Pengurusan kewangan yang dititipkan di dalam 9 langkah  ini amat berguna sekali. 

Antara titipan buku ini, ia mengajak pembaca untuk mengenalpasti apa punca masalah kewangan sebenarnya yang membelenggu diri, membuat perancangan kewangan dengan mencatatkan gaji bersih dan bayaran/hutang tetap tiap-tiap bulan dan juga pembelian barangan rumah/dapur.  Menurut beliau, perancangan kewangan keluarga perlu dikongsi bersama dengan pasangan supaya kewangan dapat dikendalikan dengan secara berhemah.  Antara kemudahan kaunseling yang disediakan dapat dimanfaatkan ialah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang dapat memberikan khidmat runding pengurusan kewangan.

Antara tips yang saya sangat-sangat setuju adalah pembelian secara tunai berbanding ansuran (kecuali rumah dan kereta).  Saya juga bebas dari masalah tanggungan hutang yang tidak perlu ini.  Jika berkeinginan, simpan saja duit, apabila cukup, baru beli.  Tidak perlu membayar ansuran di mana bayaran yang dibuat hampir dua kali ganda dari bayaran secara tunai. 

Ada lagi tips di dalam buku setebal 95 mukasurat ini.  Semoga ianya memberi manfaat kepada sesiapa yang memerlukannya.

Thursday, May 6

Pesta Buku

Sempena Pesta Buku tempohari, kami bawa anak-anak berkunjung ke Dewan Millenium Kepala Batas.  Orang ternyata ramai pada hari kedua terakhir tersebut.  Hendak memilih buku yang berkenan di hati juga agak terbatas kerana buku tidak tersusun sebagaimana pesta buku di Dewan Sri Pinang dan juga di PWTC.  Walaubagaimanapun, anak-anak tidak pulang dengan tangan kosong.  Jika ikutkan hati, semua yang nampak di mata ingin di"borong" oleh mereka, tetapi kita sebagai ibubapa, perlu letakkan had juga supaya tidak melepasi bajet yang telah ditetapkan.

kepenatan setelah "memborong" buku

bersemangat dengan buku baru

Friday, April 30

Jom ke Pesta Buku Pulau Pinang



Jom... jangan lepaskan peluang ini.  Jadikan membaca itu satu budaya.  Saya memang teruja dengan pesta buku kerana di sini pelbagai buku dapat diperolehi dengan harga diskaun.  Terasa ingin seperti diangkut semua, tapi, mana mungkin... berpadananlah dengan bajet yang ada.  Anak-anak turut diberi peluang untuk memilih buku mereka, tetapi tetap ada syarat yang mesti dipatuhi mereka he he he.

JOM!

Sunday, April 25

Travelog Cinta Abadi



Sudah agak lama saya tidak mencoretkan tentang buku yang saya baca.  Saya sangat teruja kerana antara yang terawal berjaya menempah buku ini.  Bungkusan tiba pada hari Selasa lalu sehari sebelum saya menerima 8 bungkusan skrip pelajar bagi kod kursus yang saya ajar untuk ditanda - common marking.  Saya sempat 'menelaah' buku tersebut hampir 3/4 pada hari ianya diterima dan 1/3 lagi saya habiskan pada keesokan harinya.

Membaca buku garapan Puan Roza ini seperti saya mengikuti blog beliau. Bezanya, ianya berterusan tanpa perlu menanti posting seterusnya dari beliau.  Membaca buku ini juga adakalanya seperti menoleh kembali kehidupan lampau saya di kampung (tetapi tidaklah sepayah dan sesusah beliau).  Saya bersyukur kerana susah-susah keluarga saya dahulu, tidaklah sesusah seperti yang dilalui oleh Puan Roza.

Setiap bab penceritaannya ada yang mengundang tawa serta sedu.  Menyoroti sembilan puluh tiga (93) bab buku yang diterbitkan oleh PTS ini tidak mengundang jemu di samping diselitkan dengan doa-doa ringkas yang sesiapa saja boleh mengamalkannya tidak kira waktu.  

Khabarnya masih ada jilid yang akan menyusul selepas ini.  Selamat membaca!

Sunday, November 29

Mari Membaca (3)




Buku motivasi ini mengajak supaya pembacanya mempunyai minda yang positif dan menjalani hidup dengan lebih bermakna.  Karya Parlindungan Marpaung ini diterbitkan dengan Edisi Malaysia oleh PTS Millenia Sdn. Bhd.  Segala-galanya tentang perspektif kita bagaimana kita mentafsir sesuatu peristiwa yang berlaku di persekitaran kita.  Perspektif yang positif mampu menentukan kualiti kerjaya dan kehidupan.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada dua subtopik: Kasih Sayang dan Komunikasi dan di dalam setiap subtopik mengandungi beberapa kisah yang dapat memberikan pengajaran kepada pembaca. 



Antara kisah yang menarik perhatian saya adalah tentang pemberian ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
 

Tiada yang paling mengembirakan melainkan memberikan kebahagiaan kepada orang lain.

 

Antara petikan ulasan buku itu, "Memberi semasa senang adalah perkara biasa dan dan sudah semestinya dilakukan.  Tetapi, memberi semasa susah adalah lebih bermakna dan bernilai lebih lagi".

Harga di pasaran bagi buku ini adalah RM25 (Sem. Malaysia) dan RM28 (Sabah/Sarawak).  Selamat Membaca.

Wednesday, November 25

Mari Membaca (2)



Buku ini diperolehi dengan harga RM35.00.  Buku setebal 611 mukasurat ini mengandungi 281 masalah dalam kehidupan manusia yang tersusun di dalam topik-topik yang ringkas.  Karya asal Dr. 'Ayidh bin 'Abdullah Al-Qarni ini yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia mengandungi himpunan ayat-ayat Qur'an yang bersesuaian dengan situasi kesedihan serta bait-bait serta rangkap-rangkap syair Arab yang menyentuh jiwa.

Tidak dinafikan ketika saya ditimpa masalah, buku ini dirujuk dengan harapan dapat menyejukkan hati yang tengah berduka.  Ternyata masalah yang menimpa tidaklah seberat mana berbanding dengan orang lain.  Antara bait syair yang saya gemari adalah,
"Aku memohon kepadaMu (ya Allah) agar aku selalu boleh bersikap sederhana, baik ketika marah mahupun senang" 

Ketika dilanda masalah, ingatlah peringatan mesra dari Allah,

 "Dan, sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.  Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

Tuesday, November 3

Mari Membaca (1)



Buku ini telah saya "khatam"kan berulang-ulang kali sejak saya membelinya pada sekitar 2008 (terlupa mencatatkan tarikhnya).

Buku yang menghimpunkan pelbagai kisah pendek dan ringkas ini penuh dengan iktibar serta pengajaran di dalamnya.  Ada ketika menyelami kisah-kisah yang menyayat hati dan naluri menyebabkan kelopak mata digenangi air tanpa disedari.

Kisah pengalaman yang dialami, didengari atau dari pengamatan penulisnya mengandungi 110 kisah kehidupan sebagai cerminan diri kita tentang sikap sesetengah manusia yang mungkin juga adalah sikap kita sendiri.

Kisah-kisah dihimpunkan di dalam buku yang mengandungi 205 mukasurat ini dikumpulkan di dalam beberapa topik - Tentang Kasih Sayang, Tentang Keibubapaan, Alam Rumahtangga, Tentang Kefahaman Agama, Universiti Kehidupan, Siraman Rohani serta Corat-coret Selebriti.

Antara yang menyentuh perasaan saya merupakan kisah seorang anak yang tidak dapat mengarangkan "Kasih Seorang Ayah" ketika ujian bulanannya dan menyerahkan kertas kosong tanpa bertulis apa-apa.  Keputusannya, markah 0 bertanda merah untuk karangan Bahasa Malaysia tercatat di dalam buku rekod.  Apabila ditanya ibunya, si anak menjawab dengan nada yang sebak, dia tidak mengenali siapa ayahnya kerana ayahnya telah menceraikan ibunya ketika dia masih kecil, ayahnya juga tidak pernah menjenguk mereka adik-beradik selepas itu serta tidak pernah merasa bagaimana belaian seorang ayah.

Ya Allah, pilunya hati saya.  Sebagai seorang yang bergelar ibu, amat terkesan dengan cerita ini.  Biarpun hubungan antara ibu dan ayah sudah terlerai, usahlah dibiarkan anak-anak terkapai-kapai tanpa kasih-sayang seorang ibu dan ayah.  Sungguh malangnya nasib anak ini.  Ketahuilah, tanggungjawab seorang ayah masih tertanggung di bahunya dan kelak, akan dipersoalkan di Sana nanti. 

Oh ya, buku ini hanya RM19.90 (Sem. Malaysia) / RM21.90 (Sabah/Sarawak)

Thursday, November 13

Jika ada rezeki...

Begitulah ketentuanNya...jika ada rezeki, tidak ke mana. Hari Selasa, saya mengirimkan buku TDMHE kepada kakak saya di Selangor melalui pos laju. Pos laju sudah ditutup pada jam 4, bermakna, penghantaran hanya akan dibuat pada hari Rabu apabila ianya dibuka semula.

Tengahari tadi, saya mendapat SMS dari kakak saya, mengatakan alamat syarikatnya tidak lengkap, namun, Alhamdulillah, posmen yang baik hati itu mengenali syarikatnya kerana sebelum ini pernah membuat penghantaran di situ. Sampai juga ke tangan kakak saya.... syukur ya Allah...

Tuesday, November 11

Intipati TDMHE

Saya membaca Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok dengan perasaan yang bercampur-baur. Sukar digambarkan dengan kata-kata, namun ianya terasa meresap halus ke dalam sanubari. Benarlah bagai dikata, membaca buku ini seakan melihat ke dalam diri kita sendiri. Terasa malu dan hinanya aku ya Allah.

Antara intipati yang dapat saya nukilkan di sini:

1. Berdoa, berdoa dan berdoa, kerana doa merupakan senjata orang-orang mukmin.

2. Beramallah dengan amalan kecil tetapi secara istiqamah.

3. Jangan memandang rendah kepada mereka yang buruk akhlaknya sebaliknya, berdoalah agar mereka mendapat hidayah.

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memperkecilkan-kecilkan kaum lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diejek tersebut) lebih baik daripada mereka (yang mengejek). Dan jangan pula wanita mengejek wanita lain, kerana boleh jadi mereka (yang diejek) adalah lebih baik daripada mereka (yang mengejek). Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk selepas iman. Sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” - Al-Hujuraat : 11

Peringatan untuk diri sendiri yang selalu terlalai.

Monday, November 10

Ini lah kegembiraannya

Saya sudah mendapat kiriman buku Prof. Kamil yang terbaru, Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok. Sebenarnya, cop "mohor" terimanya pada 31/10 (Jumaat) lagi (bermakna saya antara yang terawal mendapat kiriman ini)... tetapi disebabkan minggu lepas saya tidak masuk ke pejabat dek kerana anak-anak tidak sihat, saya terlepas "menikmati" coretannya seawal mungkin.


Hari ini tidak sabar-sabar untuk menatap buah tangan dari Prof. ini. Saya sungguh gembira, bangga dan terharu kerana Prof. ini begitu gigih menandatangi setiap buku-buku yang dikirimkan. Bukan saja tandatangan, namun sedikit coretan dititipkan bersama. Bayangkanlah berapa ratus naskah yang perlu ditulis. Bilalah saya dapat menjadi seperti beliau? Semoga kehidupan Prof. Kamil sekeluarga sentiasa mendapat keberkatan dariNya.

naskah saya

naskah yang masih tidak bernama....

Wednesday, October 29

Sudoku - 2

Tempohari, saya membeli buku ini. Jika terluang, saya cuba-cuba menyelesaikan permainan ini. Hmm... tidak susah sebenarnya, tetapi memerlukan pemerhatian yang tajam serta fikiran yang tangkas. Sekurang-kurangnya saya berjaya menyelesaikan beberapa permainan yang mudah. Bilakah akan saya habiskan buku yang mempunyai 63 permainan mudah ini?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin