Showing posts with label sekolah. Show all posts
Showing posts with label sekolah. Show all posts

Sunday, January 1

Dia semakin besar...

Tahun ini, adik melangkah ke alam persekolahan formal.  Hari orientasinya pada 28 Disember lalu dilalui dengan penuh keterujaan.  Nama adik tidak tersenarai di dalam empat buah kelas yang diperuntukkan untuk tahun 1 kerana adik baru saja mendaftar pertukaran sekolah.



"Ummi, cikgu tak marah ke adik masuk kelas lambat?", itu soalannya ketika saya berlegar-legar di hadapan pejabat sekolah menanti untuk mendaftarkan nama adik.  





Selesai sesi orientasi, adik ramah bercerita,

gambar diambil oleh kakak

"Cikgu bagi pizza kecik dengan ayaq soya.... sedap..."

"Hari ini saja cikgu bagi makanan, nanti kena bawa atau beli sendiri", saya mencelah apabila dia bercerita tentang makanan.  

Oh ya, sebelum itu, dia ada bertanyakan saya di mana kantin dan tentang makanan.  Hmm, budak montel ini sentiasa teringat makanan saja!

Semasa sesi orientasi itu, cikgu membawa murid-murid mengenali persekitaran sekolah.




"Adik buat latihan, senang kacang saja...", adik bercerita tentang aktiviti di dalam bilik darjah.

"Adik tulis nama sendiri...", dia tidak henti bercerita.  Saya menyuruhnya mengeja namanya sambil berjalan balik.

Sampai di rumah, dia teruja mengecop namanya sendiri di hadapan buku tulis.

sesi mengecop nama

Adik juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baru yang ditemuinya, katanya, kawan sebelahnya bernama Intan.  

Harap-harap semangatnya berterusan sehingga ke hujung tahun.  

Saturday, October 22

Saya tidak tahu...

Sebenarnya, saya baru saja mengetahui dari rakan sepejabat yang kita boleh menyemak keputusan peperiksaan anak-anak secara online.  Jika pengunjung blog BC sekelian sudah mengetahuinya, maafkanlah saya yang 'perak' atau 'jakun' ini. 

klik untuk pautan

Selepas memasukkan no sijil lahir atau kad pengenalan anak, inilah skrin yang terpapar.



Keputusan ujian dan peperiksaan kakak yang menyenaraikan hanya 5 matapelajaran wajib.



Mudahlah sekarang ini untuk mengikuti perkembangan atau kemerosotan pelajaran mereka.

Thursday, October 20

Pensel warna

Minggu ini, minggu peperiksaan kakak di sekolah.  Beberapa minggu sebelum, kakak sudah bising tentang pensel warna.  Kakak meminjam pensel warna adik untuk kegunaannya di sekolah, dan dia inginkan pensel warnanya sendiri.  Geram juga dibuatnya, kerana pensel warna yang dihadiahkan kepadanya setahun lalu  tidak kelihatan langsung!  Apabila ditanya, kakak tidak menjawab kemana hilangnya pensel-pensel warnanya.  

Malam sebelum peperiksaan, abahnya (dengan semangat rajinnya) mengutip pensel-pensel warna yang pelbagai jenis dari kotak pensel yang adik simpan dan diasah satu persatu.  Sambil tangannya mengasah, mulut juga tidak henti-henti bercakap.  Dicuba juga satu-persatu batang pensel yang pelbagai warna itu di atas sehelai kertas.

"Itu pendeklah abah... mana boleh pegang!", kakak mengomel.

"Abah pun boleh pegang... takkan kakak tak boleh?  Tangan siapa lebih besar? Abah ke kakak?", sambil menghulurkan tapak tangannya untuk dibuat perbandingan dengan tangan kakak.

"Tangan abahlah...", jawab kakak yang meletakkan tangannya pada tangan abahnya.

Saya melihat sambil tersenyum...father daughter bonding... hahahaha...

Saya mendengar dan kemudian menyampuk.   

"Ummi dulu, pensel pendek, letak dalam gelendong benang yang kosong untuk bagi pensel panjang" (contoh seperti gambar - abaikan benang itu kerana saya tiada gelendong kosong).





"Kakak cubalah belajar menghargai barang.  Ummi dulu susah, berapa tahun pakai colour yang sama saja. Kakak... setahun berkotak-kotak pensel warna."

Ketika saya masih kecil, memandangkan mak saya mengambil upah menjahit baju, maka banyak juga lah gelendong benang kosong yang ada.  Gelendong-gelendong inilah disambungkan kepada pensel yang pendek untuk kegunaan harian.  

Anak saya, pensel masih lagi boleh dipegang, sudah inginkan yang baru!  Bukan tidak mampu, tetapi tidak ingin memanjakan mereka selalu.  

Inilah hasil kutipan malam itu.  Pelbagai warna, saiz dan juga jenama.  Ada yang dibeli dan ada juga yang mereka mendapat hadiah.  (En suami yang menyusun dan juga mengambil gambar ini).

Tuesday, September 20

Bersama keluarga adalah terbaik...

Kenduri

Sabtu lalu, kami melapangkan masa untuk menghadiri jemputan kenduri teman sepejabat dan juga rumah terbuka rakan suami.  Kata orang, ketika anak-anak masih kecil inilah kita dapat mengusung ke sana-sini untuk menghadiri apa-apa majlis pun.  Jika mereka sudah besar, mungkin malu untuk menghadiri majlis rakan-rakan ibu dan ayah masing-masing.  


ole-ole yang dinanti oleh anak-anak jika menghadiri kenduri kahwin

Kakak semakin hari semakin camera shy.  Payah benar saya dapat mengambil gambarnya kecuali dia betul-betul inginkan.  Kerana itulah, banyak gambar adik yang terakam, kerana sememangnya dia suka bergambar!


ketupat kegemaran saya

Folio

Kemajuan teknologi... itu yang dapat saya simpulkan ketika melihat kakak menggunakan komputer dan carian google untuk mencari lirik lagu patriotik untuk menyiapkan folionya.  Jika saya dahulu, puas juga menulis atau mencari di dalam akhbar gambar-gambar yang diingini untuk ditepek ke dalam sketch book.  Kakak meletakkan senikata yang diingini bersama tulisan lain.  Saya membantunya memasukkan gambar-gambar yang kami ambil sendiri yang bersesuaian dengan tema senikata tersebut serta melakukan touch up untuk folio tersebut.  Wah... kakak teruja sekali melihat hasilnya (sayangnya hasilnya saya tidak ambil gambarnya)  dengan comb binding lagi... mentang-mentanglah abahnya tauke kedai alatulis!  


gambar 'curi' tanpa disedari

Wednesday, September 7

Pendaftaran



Untuk yang mempunyai anak-anak kecil, kebiasaannya notis untuk mendaftarkan anak ke sekolah rendah adalah ketika mereka berusia 5 tahun.  Ketika awal tahun, perhati-perhatikan notis pendaftaran anak di sekolah yang ingin dimasuki.  Sijil kelahiran asal perlu dibawa ke sekolah untuk mendapat cop di belakang sijil kelahiran tersebut (gambar atas).  Pengesahan penempatan anak kebiasaannya akan keluar setahun kemudian.  

Baru-baru ini, saya ingin memindahkan penempatan sekolah adik yang telah didaftarkan ke sekolah lain. Pertama kali melibatkan diri untuk pertukaran sekolah sedikit mengelirukan kami.  Sekolah ini berkata begini, PPD pula berkata begitu.  Alhamdulillah, dengan layanan yang baik pembantu tadbir sekolah dan PPD meredakan sedikit keresahan pertama kali berurusan dengan pejabat pelajaran.  Thumbs up untuk mereka...saya senang berurusan dengan mereka.  Tahniah!


Saturday, July 16

Anugerah

Kakak sangat teruja untuk menghadiri hari anugerah cemerlang sekolahnya.  Awal-awal lagi sudah disediakan kelengkapan baju sekolahnya. 

Genetik siapa agaknya terlentok ketika diambil gambar
Alhamdulillah, kakak berjaya mendapat tempat di dalam senarai 25 teratas untuk keseluruhan kelas.  Dengan 4A 1B yang diperolehinya meletakkan kakak di tempat yang ke-18 keseluruhan.  Pihak sekolah menyediakan anugerah untuk 25 pelajar terbaik beserta anugerah matapelajaran sebagai galakan kepada pelajar untuk berusaha dengan lebih tekun.  Semoga murid-murid ini bermotivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh. 

lengkap berjubah

Hebat murid-murid sekarang ini.  Ketika mengambil anugerah telah merasa memakai jubah.  Ketika zaman saya dahulu, jubah hanya disarung ketika majlis konvokesyen ijazah pertama sahaja.  Sangat teruja ketika itu.



budak yang hanya beraksi dengan piala kakaknya

kakak bersama rakan karibnya


Kata kakak, dia akan berusaha lebih lagi untuk mendapat nombor yang lebih baik.  Tahniah kakak.  Semoga kecemerlangan sentiasa mewarnai hidup kakak, dunia dan akhirat. 

Sunday, July 3

Minggu Aktiviti

Sabtu lepas, sekolah kakak menganjurkan program larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang juga berlangsung di kesemua sekolah di seluruh Malaysia.  Jika tidak kerana adik juga teruja untuk berlari bersama kakaknya, saya tidak juga menyertainya memandangkan abahnya demam.  Kebiasaannya,  jika tiada halangan, kami sekeluarga akan terlibat jika ada aktiviti yang melibatkan ibubapa.

Adik yang terlebih semangat
Senaman dulu sebelum larian
Mulakan larian....atau berjalan?


antara ibubapa yang turut serta... meriah
gambar ihsan NHAR2

Kakak dilepaskan dahulu bersama murid-murid lain dan disusuli oleh ibubapa sebelum diakhiri oleh murid-murid sekolah menengah.  Perjalanan 1.5 kilometer tidak terasa kerana ada kawan untuk bersembang sambil berjalan santai saja, bukan berlari seperti sepatutnya.  Saya sudah kurang bersenam dan ini sudah semestinya tidak baik untuk kesihatan.  Hanya berharapkan berjalan di sekitar kampus untuk ke kuliah serta naik turun tangga satu tingkat yang boleh dikira dengan jari saja di dalam seminggu.

Tuesday, February 22

Sembang-sembang

Semalam di dalam perjalanan balik, adik dan kakak berebut-rebut ingin bercerita tentang apa yang berlaku di sekolah masing-masing.  Adik seperti biasa, ceritanya sentiasa ada.  Kakak, kadang-kadang perlu ditanya, baru ada ceritanya.  Jika kedua-duanya ingin bercakap, yang mana satu hendak didengar... riuh-rendah di dalam kereta yang kecil itu.  

"Kakak diam... kakak diam... adik nak cerita ni...", yang si kakak pula, meneruskan ceritanya.
Sabar sajalah.  

Saya terpaksa menyuruh mereka mengikut giliran untuk bercakap.

Kakak, dengan nada terujanya memberitahu yang dia dipilih untuk menyertai kadet sekolah untuk aktiviti ko-kurikulum.

"Kadet?  Kenapa tak Bulan Sabit Merah (PBSM)?".  Setahu saya, ketika dia mengisi borang dulu, dia menyenaraikan PBSM. 

"Cikgu pilih..."

"Amal (kawan baik kakak) dapat apa?"

"Tunas Puteri"

"Ummi nak kakak masuk apa?"

"Manalah ummi tahu...kakak sanggup ke berkawad tengah panas di padang?"

"Kakak tak tahanlah ummi.  Tak palah, esok kakak cuba tanya cikgu, boleh tak tukar ke Bulan Sabit Merah.  Nanti kakak boleh belajar pertolongan cemas.  Ummi, Bulan Sabit Merah tu, kena tengok darah tak ummi?"

"Kalau orang jatuh-jatuh, luka-luka, ada darah lah..."

"Kakak geli tengok darahlah ummi..".  Pulak dah!

Saturday, July 10

Hari Anugerah Kecemerlangan

Lama benar baru sempat saya masukkan gambar sekitar hari anugerah kecemerlangan sekolah kakak pada 3 Julai lalu.  Kakak berjaya mendapat tempat di dalam golongan 25 pelajar terbaik di dalam alirannya.  Alhamdulillah, berjaya juga kakak mendapat nombor 8 beserta hadiah matapelajaran terbaik bagi sains. 


kakak di barisan nombor 2

jurufoto cilik yang asyik mengambil gambarnya sendiri dengan kamera A550


Saya kagum dengan persembahan nasyid oleh murid-murid ini.  Lunak alunan suara bersama paluan kompang dan gendang yang dimainkan oleh mereka sendiri.


Kecil-kecil sudah merasa memakai jubah!  Semoga anak-anak ini lebih bersemangat untuk gigih berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang.


Coral speaking


Adik sangat kelakar.  Dia memegang trofi kakaknya sambil berdiri di atas kerusi panjang sambil menjulang-julang trofi seolah-olah mendapat anugerah di pentas lagaknya.  Seandainya dapat saya rakamkan saat itu, malangnya tidak! Hehehe...

Saturday, May 15

Hari Guru - 16 Mei 2010

Adik membawa balik surat dari tadika tentang sambutan hari guru.

"Umi, nanti ada hari guru di sekolah adik.  Cikgu kata, bawa kuih ke, kek ke, hadiah ke.."

Hehehe... perkataan "hadiah" itu yang menggelikan hati saya.  Ayatnya sendiri atau cikgu? 

Untuk juadah saya belum putuskan lagi.  Saya bercadang ingin membuat kek batik saja.  Tetapi untuk hadiah cikgu-cikgunya, saya sudah sediakan bookmark untuk mereka.  Ringkas saja, dan kebanyakan bahan-bahan asasnya adalah dari bahan terpakai seperti bunga telur, lebihan kertas pembalut hadiah dsbnya.  Hanya beberapa bahan saja yang saya beli.

  bahan-bahan asas untuk bookmark

Gam serta bunga riben (tidak pandai hasilkan sendiri) dibeli.  Sepaket bunga riben merah (10 keping) berharga RM1.35 sahaja.  Bahan asas untuk bookmark tersebut saya ambil dari beg kertas kenduri yang tidak boleh digunakan lagi.

Assorted bookmark (pelbagai hiasan) yang menggunakan pembalut yang berlainan

bahagian hadapan bookmark - labelnya saya menggunakan mesin label

bahagian belakang - kakak darjah 2, dan adik 5 tahun

hadapan - close up

Selamat Hari Guru untuk semua guru di luar sana.  Semoga jasa dan bakti yang ditaburkan  untuk mendidik mendapat keberkatan dari Allah. 

Tuesday, May 11

Kakak Demam ++

Pada hari Sabtu, maghrib, kakak mula muntah-muntah.  Katanya kepalanya pening.  Kami dalam perjalanan ke Sg. Petani.  Ada barangan yang hendak dibeli sambil ingin menikmati RFC.  Selalunya makanan kegemaran kakak, mashed potato bersaiz besar dapat dihabiskan olehnya seorang, tetapi tidak pada malam itu.  Dalam perjalanan balik, kami singgah di klinik untuk mengambil ubat kakak yang muntah + cirit-birit + demam.  Kami suspek makanan yang dimakan kakak dicemari kuman ketika bermain ketika sukan adik berlangsung memandangkan kami sekeluarga yang lain tidak pula mengalami simptom tersebut.

Seharian Ahad kakak cuma terbaring keletihan akibat cirit-birit dan muntah.  Isnin juga begitu tetapi sudah sedikit berkurangan.  Pengalaman menunggu giliran selama 2 jam di klinik untuk mengambil surat cuti sakit kakak paling tidak dapat dilupakan.  Sewaktu nombor giliran cuma berganjak dua nombor setelah 1/2 jam menanti, kami mengambil keputusan untuk "ronda-ronda" sekitar pusat bandar Kepala Batas sambil mencongak-congak tempoh yang akan diambil untuk melepasi 22 orang lagi.  Sewaktu sampai, hanya berbaki 4 orang lagi untuk sampai ke nombor giliran kakak.  Perlu lagi menunggu sehingga 45 minit.  Hmm..... sabar sajalah.  

budak yang sakit

budak yang kebosanan menanti

Pada malamnya, kakak kelihatan segar seperti sediakala.  Cirit-birit dan muntah tiada lagi.  Tetapi pagi ini lain pula ceritanya setelah dihantar ke transit.  Hampir jam 11, cikgu transit kakak menelefon memberitahu kakak muntah lagi di transit.  Terpaksa pula membawanya ke klinik panel lain untuk mendapatkan surat cuti sakit lagi.  Dapat 2 hari lagi.  Harap-harapnya kakak sembuh seperti sediakala esok. 

Ketika saya mengalami gejala cirit-birit dulu, doktor menyarankan saya supaya minum 100 Plus atau sebarang minuman isotonik yang lain.  Ternyata ianya dapat mengurangkan masalah dehydration yang dialami ketika muntah dan cirit-birit.  Kakak juga diberi minuman ini bagi menggantikan "garam" yang perlu dicampur dengan air yang dibekalkan doktor kerana rasanya yang  kurang enak.

 

Saturday, February 13

Sukan

Sabtu lepas, 6 Februari, sekolah kakak mengadakan sukan sekolah.  Kakak turut serta di dalam acara sukaneka untuk pelajar Tahun 2.  Untuk acara olahraga, hanya pelajar tahun 4 dan ke atas boleh mengambil bahagian. 

 sabar menanti di khemah peserta

Kakak begitu bersemangat ketika tiba gilirannya berjalan menggunakan terompah plastik.  Umi dan adiknya pula bersemangat memberi sokongan kepada kakak sehingga terlupa untuk mengambil gambar ketika kakak beraksi dengan berlari-lari anak menggunakan terompah itu.  

hampir-hampir giliran kakak untuk beraksi

bersama medal yang dimenangi (tempat ke-3)

Kakak dan pasukannya berjaya meraih tempat ke-3 walaupun pada awalnya pasukan kakak sudah ketinggalan di belakang.

Saturday, January 9

Melayan kerenah anak ke sekolah

Sudah seminggu persekolahan bermula.  Alhamdulillah, bagi ibu bapa yang anak-anak baru menjejaki ke sekolah mungkin boleh bernafas lega seketika sebelum bergelut semula dengan rutin harian yang tidak kurang penatnya - melayan kerenah anak yang baru memasuki alam persekolahan formal. 


Hari pertama

Bermula tahun ini, kakak bersekolah pada sesi petang.  Segala rutin sebelum ini terpaksa "disongsangkan" kerana pada tahun lepas, kakak bersekolah pagi.  Pagi, kakak akan dihantar ke transit beserta pakaian seragam sekolah, beg sekolah dan beg transit untuk belajar fardu ain.  Segala macam pesanan diberikan kepada kakak  kerana ini pertama kali dia ke sekolah dari transitnya.  Alhamdulillah, urusan kakak memasuki tahun dua agak mudah kerana kakak sudah pandai berdikari.  Pada hari pertama, saya hanya menjengah untuk mengetahui di mana kelas kakak.

Hari pertama adik ke tadika, berjalan lancar.  Sebelum ini, adik berada di taska yang menjaga kanak-kanak 4 tahun ke bawah yang berada di rumah berkembar 1 tingkat di sebelah kiri.  Tadika 5 dan 6 tahun pula rumah di bahagian kanan dan hampir kesemua guru-guru tadika adik sudah pernah melihat mereka.  Memandangkan pada hari itu juga kuliah pertama bermula pada jam 8 pagi, maka, segala urusan dilakukan selekas mungkin supaya saya tidak lewat ke kuliah




Ketika mengambil kakak dan adik dari sekolah masing-masing, mulut saya becok bertanya itu ini tentang persekolahan mereka.  Adik menceritakan tentang beberapa orang rakannya yang menangis di sekolah.


"Nanti, kalau adik tengok kawan-kawan adik menangis, adik pujuklah, adik katalah, Siti kan ada," saya mengesyorkan kepada adik. 


Hari Kedua

Tidak seindah hari pertama!  Setelah menghantarkan kakak ke transit, kereta bergerak untuk ke tadika adik pula.  Ketika berhenti di hadapan tadika adik, adik yang masih tidur di dalam kereta dikejutkan.  Sambil menangis-nangis, adik bersuara,

"Adik tak mau pi sekolah, adik nak cuti!" 

"Adik kan dah lama cuti" saya cuba memujuk

"Adik tak mau pi, adik nak pi rumah tok"

Segala macam usaha untuk memujuk tidak berhasil.  Hati mula panas dengan sikapnya.  Manakan tidak, pada hari pertama, elok saja masuk ke tadika, dan beberapa orang kawannya dari taska juga berada di situ.  Cikgu tadikanya juga terkejut melihat perubahan sikap adik.

Hasil usaha untuk mendukungnya masuk ke tadika juga tidak berhasil.  Dengan kudrat 20kg nya, dia berhasil meleraikan diri dari dukungan.  Apa lagi, terbaringlah di atas jalan tar di depan tadikanya.  Dua orang guru tadika cuba mengangkatnya juga tidak berhasil.  Adik...adik... kakinya juga sedikit berdarah akibat meronta di atas jalan.

Saya menenangkan dahulu dengan membawanya ke kampus, kemudian mencetak watak kartun untuk diwarnakannya bersama kawan. Setelah memujuk lagi dengan pelbagai janji, juga tidak berhasil.  Sewaktu meninggalkannya di tadika (setelah dipegang oleh cikgu tadika), saya masih mendengar raungannya dari luar.  Terpaksa keraskan hati juga ketika itu.

Ketika balik, dengan cerianya dia bercerita,

"Umi, adik glamer lah hari ni, qeyau (nangis) di sekolah."

"Memang glamerlah... nanti orang tanya, Siti mana, Siti yang berguling atas jalan". 

Saya menambah, "Tak malu saja menangis depan  kawan-kawan"

Dia ketawa gelihati.  Geram ke tak geram?


Hari Ketiga

Sama seperti hari kedua, adik enggan ke sekolah.  Pagi-pagi lagi dia sudah memberitahu tidak mahu ke sekolah.  Baju sekolah yang dipakaikan kepadanya juga dibuka semula.  

Saya bertanya kepadanya, "Adik berikan 10 sebab kenapa adik tak mau pi sekolah"


"Budak tu suka buat adik...", jawabnya.


"Lagi?"


"Budak tu cubit adik"


"lagi?"


"Budak tu tampar adik"


"Baru tiga...", sambil menunjukkan jari saya.



"Budak tu tendang adik"


"Ok... lagi?"


Kali ini dia terdiam.  Kehilangan alasan agaknya.


Setiba di sekolah, abahnya berjaya mendukung dan memujuknya.  Tangisan masih ada, tetapi sudah berkurangan berbanding hari sebelumnya.  Ketika hendak meninggalkannya, dia memaut kaki abahnya... hehehe... ala-ala hindustan pun ada.  Akhirnya cikgu tadikanya berjaya meleraikan sambil berkata,

"Ok... nanti umi ambil awal ya"


Petang ketika mengambilnya di tadika, adik tersenyum simpul.  Katanya cikgu berikan gula-gula dan keropok pada budak yang rajin datang sekolah dan tidak menangis.  Hmmm....


Hari keempat dan kelima

Alhamdulillah, adik sendiri memberitahu yang dia akan berjalan sendiri masuk ke tadika.  Untuk dua hari terakhir minggu lalu, adik ternyata ceria semula untuk ke sekolah.  

Ini antara cebisan kerenah anak-anak kecil yang perlu dilalui oleh ibubapa ketika awal persekolahan dan mungkin juga beberapa ketika di pertengahan persekolahan.  Saya kagum dengan kesabaran guru-guru tadika melayani kerenah anak-anak yang ramai, sedangkan saya yang seorang ini pun, sudah kelam-kabut! 

Monday, November 16

Anugerah


Sabtu lepas, taska adik dan transit kakak mengadakan hari anugerah cemerlang.  Adik sangat teruja kerana inilah pertama kali dia akan mengadakan persembahan di atas pentas di hadapan orang ramai.  Teringat kembali kata-katanya dahulu ketika kakak mengadakan persembahan pada majlis graduasi tadika pada tahun lepas.

"Adik tak mau menyanyi kat atas pentas, adik malu"


tenang menunggu untuk mengadakan persembahan

Persembahan pertama bermula dengan kumpulan 4 tahun.  Kedengaran suara adik nyaring mengalunkan selawat syifa' serta lagu You're My Sunshine kerana mikrofon berada betul-betul di hadapannya!


kumpulan 4 tahun

Selesai mengadakan persembahan, adik naik ke pentas lagi untuk menerima hadiah kecemerlangan tadika 4 tahun.  Sungguh teruja sehingga tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah untuk melihat hadiahnya, sedangkan kakak masih lagi ingin menyaksikan persembahan-persembahan dari adik-adik tadika lain.






wajah riang kerana mendapat tempat pertama



Sesampainya di rumah tok, terus bersemangat untuk mewarna buku tersebut.  Di sebelah petangnya pula, kakak pula dapat naik ke pentas untuk mendapat hadiah kecemerlangan fardhu ain di transit kakak.  Agaknya kakak malu untuk mengambil hadiah dari abahnya sendiri sehingga guru besar ketawa di sisi.





anak dara ini sudah tidak mahu diambil gambarnya





aksi gembira dengan belon yang diperolehi selepas majlis selesai

Sekurang-kurangnya kakak masih bergembira mendapat hadiah untuk fardhu ain di transitnya walaupun tidak berjaya mendapat sebarang hadiah di hari kecemerlangan sekolahnya.


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin