Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Thursday, May 7

Aspirasi Kesihatan - Cantik, Sihat, Menawan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته 

Semakin lama, semakin bersawang rumah ini.  Mencari kesempatan dan ruang untuk berkongsi cerita-ceriti di sini.  
Alhamdulillah, baru-baru ini diberi kesempatan dan kelapangan untuk mengikuti 'kuliah' Aspirasi Kesihatan - Cantik, Sihat, Menawan dari Hujung Rambut hingga Hujung Kaki secara alami yang dikendalikan oleh Dr. (H) Suraya Ariffin, bersempena lawatannya ke utara untuk program Jalan-Jalan Masuk Kg (JJMK) anjuran NGO Wargakilang.  


Di usianya yang sudah melepasi separuh abad dengan 4 orang cucu, beliau kelihatan sangat bertenaga dan cergas! :"> Kalah saya yang terasa lenguh di sana-sini :D 
Sesi pertama bersama warga Jabatan di UiTM Pulau Pinang.

teruja 
tenangkan fikiran, tarik nafas...
SEED - Sleep, Exercise, Emotional Stability and Diet


Cikgu kami yang energetic!

khusyuknya...

Kita mulakan dengan senaman regangan untuk mengaktifkan sistem limpatik...



Untuk meredakan ketegangan wajah...



titik accupressure



Semua bersemangat untuk sihat dan cantik...




Sesi autograf

Terima kasih Dr Suraya dari kami...

Sesi kedua bersama aktivis NGO Wargakilang pula diadakan di Guar Perahu Herbal & Figs Valley kepunyaan Tuan Shukri - Ees Biotech Sdn. Bhd.  Tenang dan damai sesi yang diadakan di celah-celah rimbunan menghijau pohon-pohon herba dan buah-buahan yang ditanamnya.


kami yang ingin sihat

the ladies

Sesi yang berlangsung terasa begitu cepat berlalu terutama apabila ianya melibatkan kesihatan dan kecantikan.  Untuk kekal sihat adalah dari amalan diri sendiri. 


Antara intipati yang ingin dikongsikan di sini (yang juga ditulis di dalam buku Dr Suraya - Mengintai Seri di Ranting Usia) adalah:
  • Minum air 3 liter sehari untuk kulit dan sistem yang baik
  • Tidur yang mencukupi (tidak semestinya 8 jam, bergantung kepada badan masing-masing) di tempat yang gelap
  • Hidangan makanan perlu pelbagai warna (pelbagai jenis kategori makanan)
  • Makan sayur dan buah-buah tiap-tiap hari
  • Exercise
  • Air kelapa dan air lemon untuk detoks
  • Bangun pagi, minum air segelas (sebelum gosok gigi) dan letakkan secubit garam di lidah untuk aktifkan sel-sel badan
Terima kasih Dr Suraya di atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini.  Mudah-mudahan ianya dapat diamalkan secara istiqamah.  


Layari FB Dr Suraya @Anggraini Agam untuk keterangan lanjut tentang rawatan alamiah yang disediakan.

Saya 'belanja' 3 video pendek senaman yang mudah dan ringkas ini.  Selamat beramal.





Tuesday, May 15

Makanan sunnah


Saya baru memulakan pengambilan jus delima gulsan dan juga kurma.  Hampir separuh botol pertama jus delima saya sudah habiskan.  Rasanya, masam-masam, tetapi sedap!  Jus kurma pula, saya baru sangat mengambilnya sehari yang lalu.

Bagi yang berada di sekitar Seberang Perai dan Selatan Kedah (Sg Petani), saya mendapat jus delima ini dengan harga RM15 sahaja di Fatimah Bakery bersebelahan Nasi Kandar Hussain berhampiran Billion Sg. Petani.  Saya telah mencari-cari di laman web dan rata-rata harganya lebih mahal dari ini.  

Mungkin entri ini dapat membantu bagi yang sedang mencari-cari jus delima ini.  Untuk khasiatnya, tanya kepada pak cik google saja, banyak yang telah senaraikan khasiatnya.

Wednesday, November 30

Sakit gigi

Memang tidak dapat digambarkan.  Hanya orang yang pernah mengalaminya dapat merasainya.  Secara lahiriah, orang yang sakit gigi kelihatan seperti biasa, tetapi, orang yang mengalami sakit gigi sememangnya tiada mood untuk bercakap!  

Sudah tiga hari saya menderita sakit gigi geraham kanan di bahagian bawah yang teramat sangat.  Pain killer yang sepatutnya mengurangkan rasa sakit, seakan-akan tiada kesan.  

Malam pertama, saya tidak dapat tidur lena kerana denyutan yang tidak berkurangan.  Keesokannya (Selasa), masih boleh menghadiri kuliah seperti biasa.  Terasa denyutan (yang tidak berapa kuat) sepanjang hari.  

Malam tadi, saya tidak dapat tidur lagi.  Denyutan semakin kuat terasa.  Menangis-nangis saya di hamparan sejadah mohon supaya Dia mengurangkan sakit ini sambil membayangkan yang ada orang lain yang lebih teruk sakit mereka.  Ya Allah, saya tidak kuat....

Berulang-ulang kali saya membaca ayat ini (untuk link sumber, sila klik ke imej) : 

sumber

kerana katanya dapat juga menghilangkan sakit... 

Begitu juga selawat syifa'...

sumber

dan ini...

sumber

di samping mencuba juga beberapa tips yang diberikan oleh kawan-kawan....






kesakitannya masih terasa.

Penyelesaian terakhir... doktor gigi, tetapi hanya ubat penahan sakit beserta antibiotik yang diberi untuk mengurangkan sakit sebelum gigi itu dicabut atau root canal.  Root canal melibatkan kos RM500 dan memerlukan tiga kali rawatan susulan.  Apabila melihat imej berikut dari laman web Mejar (Dr) Faiz, oh tidakkkkkk!




Dicabut saja kot penyelesaiannya.... hurmmm.

Thursday, November 17

HIRAC

Bengkel HIRAC - Hazard Identification, Risk Assessment and Control.

Bengkel dua hari (sepatutnya) hanya dapat diikuti 1 1/2 hari.  Demam.

Sesi pertama pada hari pertama, sesi praktikal berkaitan dengan CPR - cardiopulmonary resuscitation dan pertolongan cemas.  Saya berjaya di dalam cubaan melakukan compression (sebahagian dari CPR) tetapi tidak berani mencuba breathing ke atas patung yang disediakan.  Tiada gambar.  Tiba-tiba mamarazi menjadi malu untuk mengambil gambar apabila melihat ramai peserta yang melihat.  

Antara kecemasan yang boleh meragut nyawa: ventricular fibrillation, accidental electrical shock, drowning, drug overdose, suffocation, severe allergic reaction, trauma & stroke.


Tujuan CPR?  
  • membekalkan oksigen kepada otak, jantung dan lain-lain organ utama sehingga rawatan perubatan yang tepat diberikan bagi memulihkan fungsi jantung dan pernafasan
  • mengelakkan kematian sel-sel/minimakan cell death
  • menghentikan proses kematian biologikal
Clinikal death = 4 - 6 min selepas jantung berhenti 
  • no breathing & heat beat but brain cells are still alive
  • reversible condition because brain cells are still alive
Biological death = selepas 4 - 6 min
  • no breathing & heat beat and brain cells are dead
  • permanent & irreversible condition because brain cells are dead.




Menurut Dr. unit kesihatan UiTM, lesen pentauliahan untuk melakukan CPR perlu diperbaharui setiap 2 tahun.  Panduan CPR 2010 mengikut turutan berikut :  

D : Danger (situasi kecemasan) - periksa nadi
R : Response (tindakbalas mangsa) - tidak sedar, minta bantuan atau panggil nombor kecemasan.  Periksa nadi, jika tiada,
C : Chess Compression (30 kali chest compression pada kadar 100/min untuk pengaliran darah)
A : Airway (saluran pernafasan - periksa jika saluran tersumbat)
B : Breathing (pernafasan - 2 kali)



CPR perlu dilakukan oleh orang yang berpengetahuan saja kerana ianya melibatkan nyawa seseorang.  Saya rasa elok juga bagi orang awam untuk mempelajari teknik CPR kerana ianya mungkin boleh diaplikasikan keatas keluarga sendiri jika berlaku kecemasan.  

Video dari youtube tentang teknik CPR.  



Sedikit perkongsian ilmu dari apa yang saya perolehi di bengkel baru-baru ini.  Ada lagi tentang panduan pertolongan cemas dan juga ergonomik.  InsyaAllah, akan saya kongsikan juga.

Nota : Saya hanya berkongsi ilmu dan saya bukanlah orang yang pakar di dalam bidang keselamatan dan perubatan.  Rujukan yang saya perolehi ini adalah dari lampiran yang diperolehi semasa bengkel kecuali video itu.

Friday, September 30

Kecilnya jantung kita...

Walaupun kecil, tetapi, fungsinya sangat besar di dalam kehidupan kita.  Bak kata sepupu saya, "kita berhenti, dia jalan, dia berhenti, kita "jalan"".

Sebesar inilah jantung saya.  Menurut Dr. Safari, jantung kita hanyalah sebesar genggaman kita saja.  Oooo.... masing-masing menggenggam jari untuk membayangkan besar jantung masing-masing. 




Saya berkesempatan menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Kesihatan UiTM baru-baru ini, "Sayangi Jantung Anda" yang disampaikan oleh Dr. Safari, pakar Kardiologi dan Physician dari sebuah hospital swasta yang terkenal di P.Pinang ini.

peserta teramai adalah wanita, kenapa agaknya?
(kredit gambar : UTPP, UiTM P.Pinang)

Menurut Dr., 1 di antara 2-3 orang wanita mati disebabkan serangan jantung tetapi hanya 4% yang risaukan penyakit ini.  Manakala 1 di antara 27 orang wanita mati disebabkan kanser payudara tetapi 40% wanita yang risaukan penyakit ini.

Antara faktor luaran yang mengakibatkan penyakit jantung adalah merokok, kencing manis dan darah tinggi selain dari faktor genetik.  Umur 20 tahun ke atas adalah berisiko dengan penyakit jantung bergantung kepada faktor-faktor ini.  Gambar di bawah menunjukkan pengumpulan kolestrol serta penyempitan saluran darah.  Sakit jantung terjadi apabila saluran darah menyempit manakala serangan jantung berlaku apabila saluran darah tertutup.

1 : 1st decade, 2 : 3rd decade, 3 : 4th decade (yang merujuk kepada peringkat umur)

simulasi pengumpulan kolestrol pada saluran darah



Ini antara bahagian-bahagian yang menandakan seseorang itu mempunyai sakit jantung.  Berlainan orang akan mengalami simptom yang berlainan.




Adalah penting untuk mendapatkan rawatan di dalam tempoh kurang dari 5 minit apabila mendapat simptom-simptom serangan jantung.  Kelambatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan jantung berhenti berfungsi.

Rawatan yang sering dilakukan samada bypass atau balloon (untuk meluaskan saluran darah). Menurut Dr.  clot buster, peratusan berjaya hanyalah 50% sahaja.


Antara langkah pencegahan adalah kurangkan makanan berlemak, berminyak dan berkolestrol.  Contoh yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi adalah makanan laut seperti sotong dan siput, udang besar (udang kecil ok kata Dr. begitu juga ikan) serta makanan yang diproses seperti nugget, sosej dan burger.  

Antara makanan tambahan yang boleh diambil adalah yang mengandungi omega 3 serta minyak ikan (tambahan saya dari saranan Dr. lain, minyak zaitun).  Suami saya mengamalkan sesudu sebelum makan pagi dan malam untuk mengurangkan kadar kolestrol di dalam darah.

Sedikit sebanyak intipati yang dapat dikongsi dari ceramah 1 jam lebih ini.  Jika ada di antara ahli keluarga yang mempunyai sejarah serangan jantung dan juga angin ahmar (genetik), cubalah periksa juga kesihatan jantung anda sendiri.  Anda adalah di dalam golongan berisiko untuk berpenyakit jantung.  Jika ada sebarang kemusykilan tentang kesihatan jantung, silalah rujuk pada yang pakar.   

Ketika berhenti, dia berjalan,
Dia berhenti, kita "jalan",
Kesihatan diri jangan diabaikan,
Kelak merana badan.

Dilaporkan oleh : Yang bukan pakar 

Sunday, July 3

Minggu Aktiviti

Sabtu lepas, sekolah kakak menganjurkan program larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang juga berlangsung di kesemua sekolah di seluruh Malaysia.  Jika tidak kerana adik juga teruja untuk berlari bersama kakaknya, saya tidak juga menyertainya memandangkan abahnya demam.  Kebiasaannya,  jika tiada halangan, kami sekeluarga akan terlibat jika ada aktiviti yang melibatkan ibubapa.

Adik yang terlebih semangat
Senaman dulu sebelum larian
Mulakan larian....atau berjalan?


antara ibubapa yang turut serta... meriah
gambar ihsan NHAR2

Kakak dilepaskan dahulu bersama murid-murid lain dan disusuli oleh ibubapa sebelum diakhiri oleh murid-murid sekolah menengah.  Perjalanan 1.5 kilometer tidak terasa kerana ada kawan untuk bersembang sambil berjalan santai saja, bukan berlari seperti sepatutnya.  Saya sudah kurang bersenam dan ini sudah semestinya tidak baik untuk kesihatan.  Hanya berharapkan berjalan di sekitar kampus untuk ke kuliah serta naik turun tangga satu tingkat yang boleh dikira dengan jari saja di dalam seminggu.

Tuesday, May 31

Kurus tidak semestinya sihat


Info kesihatan ini saya perolehi dari emel pejabat.  Mungkin ada manfaatnya.  Jika inginkan keterangan lanjut, rujuklah dengan doktor anda.

-------------------------------------------------------------------------------
Tidak semestinya kurus itu sihat. Lemak yang mengelilingi organ penting seperti jantung, hati dan pankreas - yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar - sama bahayanya dengan lemak yang menjadi sebahagian bentuk badan orang gemuk.

"Kurus tidak bermakna secara automatik anda tidak gemuk," kata Dr Jimmy Bell, Profesor Imbasan Molecular di Kolej Imperial, London. Sejak 1994, Bell dan rakan setugasnya mengimbas lebih 800 orang bagi menghasilkan 'peta gemuk' bagi mencari di mana lemak tersimpan.

Menurut data yang diperoleh Bell, mereka yang mengekalkan berat badan melalui diet, memiliki lebih banyak lemak walaupun pada mata kasar mereka kelihatan kurus. Senario ini lebih bahaya kerana orang kurus selalu berasa mereka sihat kerana tidak gemuk.

Sebelum ini, orang kurus dianggap lebih aktif dan sihat, tetapi menjadi orang kurus yang tidak cergas juga sama tinggi risikonya dengan mereka yang obes dan tidak aktif. Begitupun, berita baiknya lemak pada bahagian dalam boleh dibakar melalui senaman atau memperbaiki pengambilan diet.

Jika mahu kelihatan kurus, diet memang sudah mencukupi, tetapi untuk menjadi kurus dan sihat, senaman adalah komponen gaya hidup terpenting," kata Bell.

 Daripada 800 responden, Bell mendapati 45 peratus yang memiliki BMI antara 20 hingga 25 orang memiliki lebih banyak lemak tersimpan. Daripada jumlah itu 60 peratus adalah lelaki. Senario itu yang dinamakan sebagai TOFIs — 'thin outside, fat inside'. "Lebih kurus seseorang itu, lebih besar kejutannya," katanya.

Mereka yang kurus selalunya lebih banyak makan makanan berlemak, makanan bergula dan tidak bersenam, tetapi jumlah pemakanan itu tidak cukup banyak untuk membuatkan mereka gemuk dari segi penampilan.

Saintis percaya tubuh menyembunyikan lemak pada bahagian dalam dahulu sebelum lemak 'muncul' pada bahagian lain seperti perut. Begitupun, masih ramai pakar percaya BMI adalah ukuran tepat untuk kesihatan yang baik.

Pakar pemakanan dari Majlis Penyelidikan Perubatan BrItain (MPPB), Dr Toni Steer, berkata pakar perubatan tidak pasti mengenai bahaya lemak pada bahagian dalam tetapi sesetengah pakar meramalkan ia boleh menyumbang kepada risiko serangan jantung dan diabetes, ini berdasarkan teori lemak pada bahagian dalam mengganggu sistem komunikasi. Lemak yang menyelaputi organ dalaman mungkin menghantar isyarat kimia badan yang salah untuk menyimpan lemak di dalam organ seperti hati dan pankreas. Ia boleh membawa kepada masalah penolakan insulin (diabetes jenis 2) atau serangan jantung.

"Menjadi seorang yang kurus tidak bermakna dia kebal pada serangan diabetes atau tidak berisiko pada serangan jantung," kata Dr Loius Teichholz dari Hackensack Hospital, New Jersey.

 Teichholz berkata, mereka yang memiliki jisim berat badan normal juga boleh memiliki tahap lemak 'tersimpan' yang memeranjatkan.

Monday, May 30

Kuda Besi

Kami miliki 'kuda besi' ini sudah beberapa tahun lamanya.  Sudah agak lama ianya terperap di dalam bilik belakang.  Kadang-kadang anak-anak akan berkayuh juga di situ.  Counter untuk mengira bilangan kayuhan, masa serta jarak kayuhan di bahagian pemegangnya sudah tercabut.


Selama ini, saya agak kurang bersenam, sekadar berjalan naik turun tangga di kampus setakat satu tingkat, itu biasalah.  Kebelakangan ini, semangat kayuhan itu muncul secara tiba-tiba. Maka, kuda besi itu saya pindahkan dari bilik belakang ke bahagian depan supaya dapat saya mengayuhnya secara sambilan ketika menonton tv.  Harap-harapnya semangat kayuhan itu berkekalan lah walaupun sedikit, dapat juga mengurangkan lemak di sana-sini.  Hehehe.

Sejak saya letakkan di bahagian depan, adik dan kakak bersemangat mengayuhnya.  Sekurang-kurangnya, dapat juga mereka bersenam di dalam rumah.

Saturday, May 7

Berurut


Saya tidak pernah diurut.  Tidak pernah langsung setelah melahirkan kakak dan adik secara caesarean.  Saya cuma berpantang seperti biasa selama tempoh berpantang.  Saya cuma meletakkan losyen panas di serata badan untuk mengelakkan angin.  

Baru-baru ini, saya mengambil kesempatan berurut dengan "mami", rakan kepada kawan sekerja yang sudah beberapa kali diurut olehnya.  Pada mami, saya ceritakan keadaan saya. Ujar mami, dia hanya boleh melakukan urutan 'ringan' memandangkan keadaan saya yang masih 'berpantang'.  Alhamdulillah, urutan mami sangat lembut, sekali-sekala dia akan bertanya samada urutannya mengakibatkan kesakitan di bahagian berkenaan.  

Kesimpulannya, saya mengalami 'urat tersimpul' di beberapa bahagian badan kerana urat saya tidak pernah di'kacau' sebelum ini.  Oh...mungkin itu juga penyebab kepada sakit belakang saya ketika berdiri lama untuk melakukan sesuatu kerja.  Badan terasa lebih ringan setelah diurut, akan tetapi, keesokan harinya, badan saya terasa lenguh-lenguh juga kerana 'urat terkejut'.  Itu yang mami katakan kepada saya.  Alang-alang orang tidak tahan, mungkin boleh demam juga. 

Kata mami, berpantang keguguran seeloknya 41 hari.  Oh... begitu rupanya.

Thursday, January 27

Transformasi


Selepas insiden ini, saya telah membuat keputusan untuk kembali kepada asalnya, cermin mata.  Mungkin ini adalah keputusan yang terbaik untuk mata kiri saya yang tidak stabil 'kuasa'nya.  Ketika membuat pemeriksaan pada hari Sabtu lepas, optometris berkenaan mengambil masa yang lama untuk fitting kanta yang sesuai untuk mata kiri saya.  Sekejap naik, sekejap turun kuasanya.  Mata di sebelah kanan stabil dengan kuasanya sekitar 750 - 800, kurang 300 dari dulu!  Alhamdulillah.  Cuma mata kiri agak bermasalah, walaupun kuasanya tidak setinggi kuasa mata di sebelah kanan, tetapi tahap silaunya (astigmatism) adalah tinggi melebihi 400.  Dan inilah hasilnya.

  gaya 2011 - bertambah 'bulat' muka saya yang sememangnya bulat SmileyCentral.com

Kakak sepupu saya mencadangkan lasik, tetapi saya bukan orangnya, saya tidak berani untuk melakukannya.  Biarlah saya kekal dengan cermin mata atau contact lenses saja.

Panduan untuk kesihatan mata (di sini).  

Wednesday, May 12

Pemeriksaan Darah


Bagus juga UiTM PP menganjurkan pemeriksaan kesihatan dan pengambilan sampel darah secara percuma bagi kakitangan yang berusia 35 tahun ke atas.  Apabila usia semakin meningkat, eloklah jika kita menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui tahap kesihatan kita. 

Alhamdulillah, ujian BMI (body mass index) dan tekanan darah yang diambil menunjukkan saya  berada di paras normal.  Keputusan ujian darah hanya akan dapat diketahui dalam tempoh 2 - 3 minggu lagi.  Antara ujian asas yang akan dilakukan adalah : Fasting lipid profile, fasting blood sugar, renal profile, liver function test dan blood group.    

Jangan ditanya apa itu fasting lipid profile, renal profile, liver function, mungkin nanti doktor boleh menerangkannya setelah keputusan diperolehi kelak.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin