Tuesday, May 31

Kurus tidak semestinya sihat


Info kesihatan ini saya perolehi dari emel pejabat.  Mungkin ada manfaatnya.  Jika inginkan keterangan lanjut, rujuklah dengan doktor anda.

-------------------------------------------------------------------------------
Tidak semestinya kurus itu sihat. Lemak yang mengelilingi organ penting seperti jantung, hati dan pankreas - yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar - sama bahayanya dengan lemak yang menjadi sebahagian bentuk badan orang gemuk.

"Kurus tidak bermakna secara automatik anda tidak gemuk," kata Dr Jimmy Bell, Profesor Imbasan Molecular di Kolej Imperial, London. Sejak 1994, Bell dan rakan setugasnya mengimbas lebih 800 orang bagi menghasilkan 'peta gemuk' bagi mencari di mana lemak tersimpan.

Menurut data yang diperoleh Bell, mereka yang mengekalkan berat badan melalui diet, memiliki lebih banyak lemak walaupun pada mata kasar mereka kelihatan kurus. Senario ini lebih bahaya kerana orang kurus selalu berasa mereka sihat kerana tidak gemuk.

Sebelum ini, orang kurus dianggap lebih aktif dan sihat, tetapi menjadi orang kurus yang tidak cergas juga sama tinggi risikonya dengan mereka yang obes dan tidak aktif. Begitupun, berita baiknya lemak pada bahagian dalam boleh dibakar melalui senaman atau memperbaiki pengambilan diet.

Jika mahu kelihatan kurus, diet memang sudah mencukupi, tetapi untuk menjadi kurus dan sihat, senaman adalah komponen gaya hidup terpenting," kata Bell.

 Daripada 800 responden, Bell mendapati 45 peratus yang memiliki BMI antara 20 hingga 25 orang memiliki lebih banyak lemak tersimpan. Daripada jumlah itu 60 peratus adalah lelaki. Senario itu yang dinamakan sebagai TOFIs — 'thin outside, fat inside'. "Lebih kurus seseorang itu, lebih besar kejutannya," katanya.

Mereka yang kurus selalunya lebih banyak makan makanan berlemak, makanan bergula dan tidak bersenam, tetapi jumlah pemakanan itu tidak cukup banyak untuk membuatkan mereka gemuk dari segi penampilan.

Saintis percaya tubuh menyembunyikan lemak pada bahagian dalam dahulu sebelum lemak 'muncul' pada bahagian lain seperti perut. Begitupun, masih ramai pakar percaya BMI adalah ukuran tepat untuk kesihatan yang baik.

Pakar pemakanan dari Majlis Penyelidikan Perubatan BrItain (MPPB), Dr Toni Steer, berkata pakar perubatan tidak pasti mengenai bahaya lemak pada bahagian dalam tetapi sesetengah pakar meramalkan ia boleh menyumbang kepada risiko serangan jantung dan diabetes, ini berdasarkan teori lemak pada bahagian dalam mengganggu sistem komunikasi. Lemak yang menyelaputi organ dalaman mungkin menghantar isyarat kimia badan yang salah untuk menyimpan lemak di dalam organ seperti hati dan pankreas. Ia boleh membawa kepada masalah penolakan insulin (diabetes jenis 2) atau serangan jantung.

"Menjadi seorang yang kurus tidak bermakna dia kebal pada serangan diabetes atau tidak berisiko pada serangan jantung," kata Dr Loius Teichholz dari Hackensack Hospital, New Jersey.

 Teichholz berkata, mereka yang memiliki jisim berat badan normal juga boleh memiliki tahap lemak 'tersimpan' yang memeranjatkan.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin