Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Tuesday, June 30

Warkah Anakanda 1

Surat pertama yang dikirim setelah seminggu tiba di Madison. Surat bertarikh 24 Januari 1994 itu tiba ke pangkuan keluarga saya pada 2 Februari 1994. Ketika itu, saya masih menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran serta pembelajaran yang baru bagi saya.

------------------------------------------------------------
Anakanda Hasfazilah Ahmat
1301 Spring St #501
Madison, WI 53715
USA
(608) 251 xxxx

24/1/94


Assalamu'alaikum wbt

Ayahanda & bonda,

Apa khabar sekarang? Diharap ayahanda & bonda berada di dalam lindunganNya selalu. Anakanda di sini Alhamdulillah...sihat walafiat, janganlah dirisaukan anakanda di sini.

Untuk pengetahuan ayahanda & bonda, anakanda ambik 4 subjek semester ni, Mathematics, Statistics, Food Science & Economics. Memandangkan anakanda ambil Double major, kena ambik Statistics. Tempat ni selamat, salah satu tempat yang terselamat di US sebab Wisconsin-Madison ni bolehlah dikatakan kampung. Sini kebanyakannya student & lecturer sebab Madison ni kampung Universiti. Jadi, janganlah dirisaukan tentang keselamatan anakanda. Jalan sorang diri pun InsyaAllah orang tak kacau. Nak buat macamana sebab kelas jauh-jauh pulak tu semua Mat Saleh & Cina & banyak lagi (tapi bukan Melayu), susah nak buat kawan sebab masuk kelas, dengar lecture, lepas tu keluar kelas, pergi kelas lain. Lecturer pun tak kenal students sebab ramai sangat. Nanti lama-lama boleh kenallah kot.

Tadi baru buat plan of study, InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang, December 95 dah habis lah. Itupun kalau diluluskan sebab dah atur semua subjek yang nak diambil, takut tak cukup depa punya requirement. Doa ajelah supaya cepat habis, senang sikit. Balik nanti fikir nak sambung terus ke tak. Hari Sabtu ni ada perjumpaan dengan MSD (Malaysian Student Department). Bank account dah buat, anakanda masukkan $xxxx duit yang JPA bagi tu & duit (travellers cheque) yang kita punya.

Kalau ayahanda & bonda nak telefon, tolak 14 jam dengan waktu Malaysia untuk waktu di sini. Kelas hari Isnin & Rabu habis pukul 3:40, lepas tu nak jalan balik lebih kurang 15 - 20 min. Hari Selasa & Khamis 10:30 dah habis kelas, hari Jumaat habis 2:30 petang.

Rasanya itu saja yang dapat anakanda tulis. InsyaAllah, kalau ada kelapangan nanti anakanda akan telefon.

Wassalam.

Anakanda yang jauh,
(signed)

-------------------------------------------------------------------------------------------
Nota: Maaf, bahasa yang digunakan bukan bahasa baku dan bercampur-aduk kerana ianya gaya saya bercakap dengan mereka...

Thursday, June 25

Warkah Anakanda

Ayahanda saya pulang ke Rahmatullah pada 1 Jun 2006. Sudah 3 tahun dia meninggalkan kami, namun, kenangan bersamanya tetap segar di dalam ingatan. Sesudah jenazah selamat disemadikan, pada sebelah malamnya kami berkumpul serta meninjau kabinet yang menyimpan segala surat-menyurat dan dokumen penting untuk diuruskan jika masih belum diselesaikan. Satu persatu fail dan kertas, surat menyurat diselak. Airmata saya mengalir perlahan apabila saya melihat segugusan surat-surat saya ketika masih belajar ijazah pertama di Amerika Syarikat pada tahun 1994 - 1995 masih tersimpan rapi di antara helaian-helaian dokumen yang ada. Bukan itu saja, sampul surat juga diklipkan sekali beserta tarikh diterima. Setiap surat itu ditandakan dengan nombor turutan 1 - 10, bilangan surat yang dikirim sepanjang tempoh 2 tahun saya di sana. Surat terakhir yang diterima adalah 17 Oktober 1995, 2 bulan sebelum saya kembali ke tanahair. Itulah ayahanda saya, sekecil-kecil kertas serta surat, akan disimpannya dengan rapi.

Satu persatu surat-surat yang ada bertulis tangan dan bertaip itu saya ulang baca dan airmata semakin deras mengalir. Surat-surat itu masih saya simpan sehingga kini.

Sewaktu blog ini diwujudkan, saya ingin mengabadikan coretan itu agar ianya masih dapat ditatap oleh anak-anak saya di kemudian hari, supaya mereka dapat mengetahui, bahawa, internet masih lagi tiada di dalam kamus kehidupan orang kampung. Ketika itu, jaringan internet tidak begitu meluas seperti sekarang, dengan emel, facebook, tweeter, friendster, flixster dan bermacam-macam lagi. Sekali klik, sampailah berita dari benua Eropah ke Asia hanya dalam sesaat. Video dan gambar, segera dapat dilihat oleh keluarga di tanahair tidak seperti 10 tahun lampau. Agaknya generasi muda sekarang tertanya-tanya, bagaimanalah agaknya kita dapat "hidup" tanpa internet? hehehe.

Wednesday, June 24

Percaya atau Tidak? - 2

Disakat oleh toyol (?) ketika kecil bukanlah perkara terakhir yang berlaku di dalam hidup saya. Sewaktu sedang menuntut di peringkat persediaan di peringkat ijazah pertama, saya masih lagi menerima gangguan dari makhluk yang tidak kelihatan ini (makhluk halus).

Kata ustaz, jika kita pernah mengalami gangguan dari makhluk yang tidak berjisim ini, maka badan kita seakan sudah mempunyai lorong atau denai untuk mereka memasuki lagi. Dan cara untuk menutup denai tersebut adalah melalui zikir, doa, selawat serta ayat-ayat Al-Quran yang boleh digunakan sebagai pendinding.

Ketika di asrama Seksyen 18, Shah Alam dahulu, saya juga pernah diganggu di bilik yang saya diami. Hairannya, teman-teman serumah tidak pula diusik, agaknya "penghuni" itu meminati saya..hehehe. Gangguan tersebut akan muncul sekitar jam 12 - 3 pagi. Kebiasaannya saya sudah tidur waktu itu, kecuali teman sebilik, Ija yang masih berjaga untuk belajar. Ketika inilah gangguan demi gangguan akan saya terima, antaranya dihimpit sehingga tidak dapat bernafas. Ayat-ayat Quran serta Kursi yang dibaca seakan tidak lut untuk memecahkan gangguan itu. Jika melihat saya dalam keadaan yang tidak menentu itu, Ija sudah sedia maklum untuk mengejutkan saya kerana saya sudah berpesan padanya.

Ada satu ketika saya terpandang lembaga hitam di sebelah saya ketika bergelut untuk melepaskan diri dari gangguan. Hanya pada Ija saya ceritakan masalah gangguan ini, bimbang rakan-rakan serumah yang lain takut untuk tinggal di situ. Pada keluarga juga tidak diceritakan peristiwa ini.

Selepas melalui gangguan demi gangguan dan agak tertekan, saya pasrah dan memberitahu keluarga tentang gangguan ini. Rupa-rupanya saya diganggu oleh penunggu rumah/bilik yang saya diami itu. Alhamdulillah, selepas diberi air penawar serta mengamalkan beberapa ayat Al-Quran, akhirnya gangguan itu hilang.

Seperkara lagi tentang gangguan yang tidak kelihatan ini, kaedah perubatan biarlah secara terang-terangan menggunakan ayat-ayat Quran melalui ustaz-ustaz yang dipercayai, bimbang nanti, kaedah-kaedah yang digunakan bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sunday, June 21

Rakan Lama

'Pertemuan' dengan rakan-rakan lama di alam maya sangat mengembirakan saya. Sekarang ini saya sudah dapat menjejaki rakan-rakan sekolah rendah, menengah dan universiti, dan setiap kenangan di setiap peringkat pengajian adalah pelbagai. Seronok berbual semula di alam maya mengimbau kembali zaman-zaman yang sudah berlalu mengingatkan saya betapa masa sudah lama berlalu dan tidak akan kembali lagi. Sekarang ini zaman anak-anak merasai peristiwa suka-duka di alam persekolahan.

Thursday, June 18

Percaya atau Tidak?

Ketika menonton siri e-toyol.com, siri terbaru di TV3 dan TV9, saya terkenangkan kisah ketika saya masih kecil, sekitar 4 - 5 tahun, saya tidak pasti, tetapi saya masih ingat lagi peristiwa diganggu makhluk kecil (toyol?).

Ketika itu, saya mengidap demam panas. Ketika sedang berbaring di atas katil, saya ternampak seorang(?) budak kecil yang bertelanjang bulat serta botak kepalanya berada di alang rumah. Saya memanggil mak dan beritahu kewujudan budak tersebut. Mak tidak pula nampak apa-apa di situ. Adakah khayalan atau imaginasi saya? atau mungkin kerana saya seorang yang lemah semangat maka dijelmakan di depan saya makhluk yang tidak dapat dilihat manusia lain. Mak lantas mengambil penyapu lidi dan di acukan ke "makhluk" tersebut dengan mengikut arahan saya (kerana saya seorang saja yang nampak). Sudahnya "makhluk" tersebut hilang ghaib entah ke mana.

Tuesday, May 26

Zaman Kanak-kanak

Apabila terkenangkan zaman persekolahan ketika masih kanak-kanak, saya akan tersenyum sendiri. Terlalu banyak kenangan yang bersemadi di dalam diri dan ada yang masih segar di ingatan seolah-olah peristiwa-peristiwa ini masih baru berlaku semalam. Antara kenangan yang masih segar di ingatan saya ialah ketika penyampaian hadiah Darjah 4 di SKSP. Pada hari penyampaian hadiah tersebut, saya dan rakan-rakan turut membuat persembahan lakonan di dalam Bahasa Inggeris. Saya melakonkan watak sebagai Perdana Menteri/Bendahara yang cuba menyelesaikan kes kecurian.

barisan para pelakon yang menjayakan drama pendek

sewaktu berbaris untuk menerima hadiah

Alhamdulillah, melalui rangkaian internet saya dapat berhubung semula dengan rakan-rakan sekolah rendah saya.

Wednesday, April 15

Kelahiran Adik

Kehadiran adik dirancang selepas 2 tahun usia kakak. Ini kerana kakak dilahirkan secara pembedahan Caesarean, jadi, doktor menasihati agar jarak untuk kelahiran seterusnya sebaiknya 2 tahun. Alhamdulillah, sepanjang tempoh 7 bulan mengandungkan adik, tiada masalah kecuali alahan biasa di peringkat awal.

Sewaktu usia kandungan melewati 33 minggu, saya mengalami pendarahan. Segera berkejar ke Dewan Bersalin ******** untuk pemeriksaan. Rupa-rupanya saya mengalami Placenta Previa Type III, di mana, kedudukan uri hampir-hampir menutupi pintu rahim. Placenta Previa berlaku 1 di dalam setiap 200 kehamilan, itu yang saya baca di dalam internet. Risikonya tinggi terhadap ibu dan anak di dalam kandungan. Antaranya, boleh berlaku tumpah darah dsbnya.


Semalaman di wad, saya diberi suntikan untuk mematangkan paru-paru bayi supaya bersedia untuk dilahirkan sebelum tiba waktunya. Dengan keadaan ini, saya diarahkan berehat (MC) dari melakukan sebarang kerja. Agak kelam-kabut kerana tidak bersedia dengan keadaan ini di mana perjalanan kuliah masih berlangsung. Alhamdulillah, teman-teman banyak membantu ketika itu. Dengan keadaan begini, hasrat untuk bersalin secara normal berkubur dengan sendirinya kerana berisiko tinggi.


Temujanji untuk melakukan pembedahan telah ditetapkan, namun, doktor telah berpesan, jika masih berlaku pendarahan, tidak perlu ditunggu tarikh tersebut. Sememangnya sudah ditakdirkan, sebelum tiba tarikh tersebut, sekali lagi saya mengalami pendarahan. Pada pagi Rabu, 13 April 2005, sewaktu usia kandungan mencecah 36 minggu, saya dimasukkan ke dalam wad dan bersedia untuk dibedah.


Tengahari saya dimasukkan ke dalam bilik pembedahan. Baju ditukar, kepala ditutup dengan topi seperti shower cap, dan bersedia di atas katil pembedahan. Saat dibius menggunakan epidural, terasa tusukan jarum memasuki tulang belakang. Saya dibaringkan dan diarahkan untuk menggerakkan jari kaki saya. Ketika itu, kaki terasa lumpuh dan tidak mampu digerakkan, bermakna ubat bius telah memainkan peranannya dengan sempurna. Jari telah dipasang pada alat tekanan darah serta kain direntang di dada. Saat pembedahan bermula, saya diingatkan supaya mengucap dua kalimah syahadah serta berzikir sepanjang tempoh pembedahan. Ketika itu terasa perut saya dihiris, tetapi tidak terasa sakitnya. Perut terasa diseluk oleh doktor dan saya dapat merasakan sesuatu ditarik dari perut saya. Seketika kemudian, barulah terdengar tangisan dari adik. Doktor R***** menunjukkan adik pada saya, serta memberitahu “Pink…”, leganya kerana adik telah selamat dilahirkan pada jam 1.25 petang. Berat adik ketika itu hanya 2.0kg, sangat kecil. Untuk melalui saat akhir untuk dijahit, dos ubat bius dinaikkan supaya saya terus “pengsan”, walaupun mata saya terpejam, saya masih mendengar sayup-sayup suara doktor bersembang. Saya rasa, segalanya selesai sekitar jam 2.


1/2 jam selepas dilahirkan


Sewaktu diusung keluar, saya masih mampu bersuara. Alhamdulillah, segalanya sudah selesai. Seingat saya, sewaktu saya sedang dibedah, saya sempat ‘berlawak’ dengan doktor dengan bertanyakan bila saya dapat makan sesudah pembedahan kerana saya sangat lapar ketika itu. Doktor ketawakan saya, kerana saat itu masih teringatkan makanan..hehehe. Mana tidaknya, seharian saya “berpuasa” kerana bersedia untuk dibedah.


Menjelang malam, baru kesakitan di tempat pembedahan terasa sedikit demi sedikit. Terasa seperti hirisan pisau yang terkena pada kulit, semakin lama semakin terasa pedihnya. Untuk sembuh sepenuhnya, mengambil masa hampir 2 minggu serta masih tidak boleh bergerak sepantas orang yang bersalin secara normal. Kawan saya yang bersalin secara normal sehari kemudian, dapat keluar wad bersama-sama saya yang bersalin awal darinya. Takdir telah menentukan yang saya perlu melahirkan secara pembedahan.

Hari ke-3, sedang bersedia untuk balik ke rumah. Kecilkan adik...



Baru-baru ini di dalam rancangan Wanita Hari Ini, pengacara Wardina menemubual seorang doktor tentang kelahiran. Antara soalan yang ditanya, antara kesakitan bersalin normal dan pembedahan, doktor itu mengatakan, jika bersalin normal, kesakitannya hanya sekejap, ketika proses kelahiran itu saja berbanding dengan pembedahan, kesakitan tidak terasa sewaktu melahirkan, tetapi kesakitannya terasa selepas itu dan agak lama untuk sembuh. Kemungkinan untuk tumpah darah kelahiran melalui pembedahan adalah lebih tinggi peratusannya berbanding dengan bersalin secara normal.


Hari ke-5 - di rumah


Inilah secebis pengalaman melahirkan anak secara pembedahan. Untuk menghadapi pembedahan ini, persediaan mental dan psikologi sangat penting. Sentiasa berfikir secara positif serta kepercayaan sepenuhnya kepada doktor yang akan menjalankan pembedahan itu juga penting kerana ketika itu kita tidak berupaya untuk melakukan apa-apa. Tawakkal kepada Allah yang pembedahan itu akan berlangsung dengan selamat. InsyaAllah. Selepas melalui pembedahan kali pertama dahulu, saya agak bersedia dan tidak lagi merasa 'takut' untuk masuk ke dewan pembedahan. Jika ditakdirkan ada rezeki lagi, kali ketiga sudah tentu perlu lagi melalui pembedahan Caesarean.

sekarang ini beratnya 19kg.

Tuesday, February 24

Kenangan Itu

Kami ditempatkan di dalam satu kelas ketika di PPP/ITM, Shah Alam, persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Permulaan perbualan dengan arwah Hifzana sangat menarik. Rupanya iras-iras junior ketika sekolah menengah, serta namanya hampir-hampir sama dengan junior saya itu. Bila ditanya, sahlah mereka bersaudara. Arwah Mas Ahza merupakan sahabat yang sedia membantu serta memberi kata-kata semangat ketika saya di dalam kebuntuan. Al-maklum, sewaktu mengikuti kelas Bahasa Inggeris, saya yang tidak begitu mahir, sentiasa berasa ketinggalan. Sehingga saya hampir-hampir membuat keputusan untuk berhenti dari PPP ketika itu. Semua ini menjadi lipatan sejarah dan sudah tentu tidak akan bertemu lagi dengan 2 insan yang pernah berkongsi suka-duka dahulu.

Allahyarhamah Mas Ahza (kotak)
l
Allahyarhamah Hifzana (kotak)

Sehingga kini wajah-wajah mereka masih tidak dapat saya padamkan dari ingatan ini. Hanya beberapa bulan dari tarikh kematian mereka, saya dapat bertemu dengan mereka yang berada di universiti lain. Ternyata pertemuan itu merupakan pertemuan akhir kami. Panggilan telefon dari teman di universiti mereka mengkhabarkan yang mereka telah meninggalkan kami untuk selama-lamanya di dalam sebuah kemalangan di Wyoming yang turut mengorbankan suami Mas serta seorang junior. Saya terkedu tidak terkata, masih terbayang kemesraan mereka ketika kami bertandang di rumah arwah Hifzana.

Setelah 14 tahun pemergian mereka, baru-baru ini, jika tidak kerana Alin yang pulang bercuti dari Dubai dan dengan izin Allah, kemungkinan saya masih tidak bertemu dengan keluarga arwah Mas. Mungkin ini takdirnya untuk menyambung kembali silaturrahim dengan keluarga sahabat saya. Perjalanan mencari keluarga sahabat saya bermula di Facebook, kebetulan juga teman mengenali kakak arwah Mas. Alhamdulillah. Hanya keluarga arwah Hifzana yang masih belum dapat dijejaki.

Suami saya, bapa arwah Mas, Muhammad (suami Yani), Yani, ibu arwah Mas, Alin serta ibu saudara arwah

Thursday, February 5

Kamera

Saya AMAT cemburu melihat gambar sebegini cantik....

atau ini


Saya suka mengambil gambar pemandangan atau bunga-bungaan. Kalaulah saya ada kamera DSLR... hmm...berangan saja lah. Yang sedia ada sekarang ini pun


cuma pandai pakai mode auto saja...hehehe.

Bukan apa, saya rasa terkilan kerana ada kursus fotografi yang ditawarkan di sini untuk kakitangan, tetapi tidak dapat mengikutinya kerana ada kursus lain yang "lebih" penting yang ingin saya hadiri (satu masa nanti, saya akan mereleasasikan juga hobi saya ini, InsyaAllah.)

Sejarah kamera saya bermula (kalau tidak silap saya) ketika saya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam Penilaian Darjah Lima (ketika itu). Apabila ditanya tentang hadiah, saya memberitahu saya inginkan sebuah kamera. Itulah kali pertama saya memiliki sebuah kamera. Seronoknya bukan kepalang. Habis sekitar rumah diambil gambar! Tetapi ketika itu, kamera harus diisi dengan filem dan untuk dilihat hasilnya, harus dihantar ke kedai untuk diproses. Ahhh...satu proses yang agak lama! Sekarang, ambil saja, boleh dilihat hasil dengan segera dan boleh dipilih untuk dicuci dengan kamera digital.

Ketika melanjutkan pelajaran, saya tidak lagi menggunakan kamera itu. Saya memiliki (buat pertama kali) sebuah kamera yang berjenama - Canon. Gambar-gambar yang diambil cukup cantik dengan kamera ini. Dengan kamera inilah saya mengambil gambar-gambar saya dan pemandangan dan dikirimkan kepada keluarga saya di kampung. Sesudah bekerja, saya masih lagi memakai kamera tersebut yang masih lagi menggunakan filem sehinggalah ianya rosak.

Kamera selanjutnya sudah berubah teknologi. Kamera digital Canon Powershot A450 menjadi pilihan kerana harganya agak berpatutan ketika itu. Jika tidak kerana insiden saya memecahkan skrin LCD nya, kemungkinan saya masih lagi memakai kamera tersebut...hehehe. Sekali sekala kakak akan mengambil gambar menggunakan kamera tersebut, tanpa melihat hasilnya di skrin, umpama mengambil gambar menggunakan kamera terdahulu.

Kenangan...kenangan...

Friday, September 12

Sutera Kasih - In Team

Kian lama terpenjara
Mencari makna cinta
Dalam ungkap kata bersulam dusta

Bila gerbang rahmat terbuka
Menjelma cinta suci
Sehalus dan selembut sutera kasih

Terbentanglah tersingkap kebenaran
Terlerailah terbenam kepalsuan
Tuhan pada-Mu ada kedamaian

Diribaan-Mu kebahagiaan
Tiada lagi rasa kesangsian di hati
Cinta Mu cinta tulus suci murni
Kasih-Mu nan abadi

Bertautlah bercambahlah cinta
Mengharum dalam jiwa
Menemukan kerinduan syahdu
Pada yang Maha Esa

Sutera kasih membelai
Membalut kelukaan itu
Sutera kasih melambai
Mengisi kekosongan pengharapan

Rela pasrahkan kehidupan
Mengharungi cabaran
Rintangan perjalanan di hadapan

Doa dan titis air mata
Mendamba sutera kasih
Agar terus bersemi selamanya



diambil dari sini

Lagu ini sangat mendalam maknanya. Dulu, ketika bersendirian dan hati dirundung kesedihan, lagu ini menjadi sajian halwa telinga saya. Hati menjadi sejuk kerana memikirkan kasih Allah tetap bersama serta Dia sangat dekat dengan saya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin