Showing posts with label kampus. Show all posts
Showing posts with label kampus. Show all posts

Thursday, May 19

Sudah bersedia

Persiapan untuk projek jabatan. Nanti saya ceritakan selanjutnya apabila programnya sudah selesai.

Terima kasih PTS
Antara buku sumbangan mereka

Terima kasih Galeri Ilmu

Antara sumbangan dan hadiah



Friday, April 1

Hari Pensyarah 2011


Terima kasih pelajar-pelajar yang sudi meraikan kami para pensyarah.  Tanpa pelajar, tiadalah pensyarah.  Memetik kata-kata Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), kita menjadi pensyarah kerana Allah telah memilih kita.  Benar sekali.  Apa pekerjaan pun kita, kita telah dipilih Allah untuk menjalankan amanah masing-masing.  Jalankan amanah kita dengan penuh dedikasi dan berintegriti.  Setiap kerja adalah ibadah.  Selamat Hari Pensyarah!

Wednesday, February 23

YB Kampus

pelajar menunggu giliran untuk e-voting

Pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) UiTM P.Pinang telah pun berlangsung semalam (Selasa).  Selamat menjalankan tugas dengan amanah wahai "YB-YB Kampus" yang telah dipilih untuk mewakili pelajar ini.  Semoga mereka tidak mengabaikan akademik mereka kerana sibuk dengan jawatan yang disandang.

Ada juga pelajar saya (sebelum ini) yang menjawat jawatan penting di dalam unit ko-kurikulum, tetapi akademik mereka keciciran.  Semoga mereka pandai mengimbangkan masa di antara akademik dan juga aktiviti kampus. 

Pepatah mengatakan, "with a great power, comes a great responsibility". 

Mungkin mereka ini juga bakal YB setelah mereka keluar dari alam Universiti, siapa tahu? 

Sunday, December 19

2 Hari


Persiapan setahun untuk program selama 2 hari.  Segala-galanya perlukan perancangan rapi.  Setiap pihak memainkan peranan masing-masing yang tidak kurang pentingnya untuk menjayakan sesebuah program.  Perasaan saya sekarang ini... lega... kerana telefon sudah tidak kerap lagi berbunyi dan saya kini kembali menjadi diri saya yang sebelum ini 'low profile'.  Cukuplah untuk dua hari itu saya menjadi 'tumpuan', dan sejujurnya, saya tidak berapa gemar menjadi orang di hadapan tabir.  Hehehe... saya lebih suka berada di belakang, menguruskan segalanya di dalam senyap!  

Sekarang ini saya sedang bersedia dengan pasca konferen.  Laporan  penuh perlu dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi serta pengurusan UiTM di dalam masa dua minggu dari tarikh program.  Berpinau biji mata saya memilih gambar yang berjumlah 1700+ untuk dimasukkan ke dalam laporan bertulis itu yang hanya perlu 10 - 20 gambar.  Yang mana satu yang molek untuk dimuatkan.

Saya kongsikan gambar saya yang diambil oleh jurufoto khas untuk program ini.  Terima kasih En. Azri dan En. Mail.

 menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan

 gambar kenangan

 tetamu kehormat, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa),

 iskh... seriusnya saya hehehe...

 kenangan bersama penceramah kedua dan ketiga

 berehat sebentar

 pembentangan kertas kerja

 ucapan aluan ketika majlis makan malam

 cenderahati untuk pengarah kampus

 persembahan dari kumpulan Zulfan

 gambar kenangan AJK bersama pengarah dan timbalan

 kenangan bersama Zulfan

posing dalam kepenatan

Thursday, December 2

"First Baby"



kakak ketika berusia 2 hari (hiasan)

Debarannya ibarat menanti tibanya saat melahirkan anak pertama.  Inilah perasaan saya pada ketika dan saat ini di dalam penantian berlangsungnya hari konferensi antarabangsa pada 16 dan 17 Disember ini.  Inilah pertama kali saya mengetuai jawatankuasa yang berskala besar di peringkat antarabangsa.  Bukan mudah untuk saya membuat keputusan menjadi pengerusi ini.

Setelah hampir setahun bertungkus-lumus bersama-sama rakan-rakan lain yang diberi kepercayaan untuk bergerak bersama-sama, hari yang dinantikan semakin tiba. Semakin hari berganjak mendekati angka 16, semakin debaran di dada saya bertambah.  Bimbangnya hanya Allah saja yang tahu.  Kami hanya merancang, pelaksana yang Maha Agung adalah Dia.  Hanya kepadaNya saja saya memohon agar dipermudahkan, dilancarkan serta dijayakan program ini.  Semoga segala cacat-celanya dipelihara Allah dan semoga perancangan kami ini berjalan dengan lancar.  InsyaAllah.

Kerana itu jugalah terhasilnya beberapa bekas pelbagai guna untuk meredakan debaran di dalam dada saya ini, hehehe.

Wednesday, November 17

UiTM d'Hatiku...

Salam Aidil Adha.  Usah difikirkan apa pengorbanan negara kepadamu tetapi apa pengorbananmu kepada negara.  

Sambutan Aidil Adha kami ala kadar saja.  Baju menggunakan baju raya AidilFitri tempohari.  Selesai solat, suami bersama warga taman perumahan turut serta di dalam acara melapah, memotong dan mengagihkan daging korban.  Saya dan anak-anak bergerak ke rumah mak bersendirian.  Selepas zohor, barulah suami ke rumah mak.  

Sewaktu dalam perjalanan balik dari rumah mak, kami meninjau UiTM Kampus Bertam (angan-angan ingin berpengkalan di sini) dari jalanraya.  Hampir siap binaannya dengan beberapa bangunan sudah nampak warna korporatnya, ungu.  InsyaAllah, UiTM Kampus Bertam akan beroperasi mungkin tahun hadapan atau tahun berikutnya. 




InsyaAllah, saya ingin merasa di persekitaran baru di Kampus Bertam ini.

Friday, August 6

Bohong sunat?


Di kampus sedang berlangsung kempen menderma darah.  Dua orang pelajar perempuan yang tidak saya kenali singgah di bilik saya ketika waktu rehat.  Seorang dari mereka menunjukkan borang yang perlu ditandatangani.

"Puan, saya nak menderma darah, tapi saya tak cukup umur.  Boleh tak puan sain pengesahan?"

"Pengesahan apa?"

"Pengesahan untuk derma darah.  Nurse tu kata, mana-mana lecturer pun boleh sain."

"Kenapa awak tak tanya lecturer awak saja..."

"Mereka tak ada"

"Jika saya sain bermakna saya juga menipu"

Diam.

"Bagaimana jika terjadi apa-apa pada awak?"

Diam.

"Maaflah, boleh tak cari lecturer lain saja"

Mereka berlalu sambil berkata sesuatu.  Biarlah.


Saya tidak mahu terlibat.  Mungkin lebih mudah menolak kerana mereka bukan pelajar di bawah tangan saya. Menderma darah satu perbuatan yang mulia.  Memang tidak dinafikan.  Tetapi, sudah tentu ada rasionalnya kenapa perlu ada had umur tertentu untuk menderma darah.  Bagaimana jika, setelah menderma darah, pelajar itu mengalami komplikasi lain yang tidak diketahui.  Apa perasaan ibu ayahnya apabila seorang pensyarah yang tidak dikenali memberi kebenaran untuk anaknya menderma darah.  Silap-silap boleh naik turun mahkamah dibuatnya.  Mungkin saya ini paranoid agaknya.  Biarlah... "better safe than sorry".

Monday, June 14

Berjalan Lagi...


Perjalanan diteruskan ke Pahang.  Melalui lebuhraya Karak, pemandangan alam semulajadi yang berbukit-bukau amat menarik perhatian.

Jambatan Sg. Pahang
destinasi kami
rumah tamu UiTM Pahang

Saya dan beberapa orang rakan sejabatan membuat lawatan akademik ke UiTM Pahang, Kampus Khazanah Alam.  Cantik... first impression ketika menyusuri jalan kampus yang lanskapnya dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok hijau.

Wednesday, June 9

Selamat Tinggal Sahabat....

Sekitar jam 3.45pm, saya mendapat SMS dari seorang sahabat membawa perkhabaran duka tentang pemergian seorang sahabat sekampus pada usia awal 30-an.  Masih terbayang-bayang senyum manisnya, tuturkatanya yang lembut serta sifat periangnya.  Walaupun didiagnos dengan kanser pada awal penyakitnya diketahui, beliau masih mampu menguntumkan senyuman ketika bercerita.  Kini, senyuman itu pastinya menjadi kenangan kepada sesiapa yang menyayanginya. 


Semoga keluarga yang ditinggalkan terus tabah dengan ujian ini.  Semoga dengan redha suami, beliau mendapat tempat di Jannatul Firdaus di Sana.  Bersemadilah dengan tenang dan damai di samping para soleh solehin.

Al-Fatihah.  Tuan Syahirah Tuan Yaakob (1978 - 2010)

Monday, May 24

Di sinilah...


Yang lama dan yang baru berpadu untuk mewujudkan suasana yang harmoni untuk menghasilkan modal insan untuk menerajui masa depan negara.

yang baru - hostel siswa

yang lama dan yang baru - hostel siswa

kutub khanah baru yang bakal menjadi pusat sumber yang utama di sini


Sunday, April 11

Masa yang dinanti...

kian tiba...


Lagi 10 hari saja lagi, peperiksaan akhir akan bermula.  Saya pula yang terlebih debarannya.  Seawal 2 minggu lepas tidak putus-putus saya berpesan kepada pelajar supaya memulakan ulangkaji mereka, terutamanya bagi pelajar semester 4 yang akan menghadapi peperiksaan pada hari pertama 21 April ini.  

Mulut ini sentiasa memesan dan mengingatkan mereka setiap kali pertemuan kuliah atau tutorial.  Harap-harapnya melekat di dalam hati.  Saya sudah memberikan segala ilmu terdaya saya, selebihnya terpulang kepada mereka untuk memahatnya di dalam hati. 

Antara tips yang saya perturunkan lagi di sini:

1. Mulakan ulangkaji seawal mungkin.

2. Banyakkan latihan, jika tidak, sekurang-kurangnya satu latihan sehari

3. Lakukan tiap-tiap hari... EVERYDAY! (bagi pelajar saya, masih ingat ya pada video yang saya tunjukkan tempohari)

4. Kenalpasti di mana kelemahan anda, tumpukan lebih perhatian pada kelemahan tersebut.  Jangan ditinggalkan terus apa yang menjadi kelemahan anda. 

5. Jika tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah, jangan berputus asa.  Cari jalan dengan bertanya rakan-rakan atau pensyarah tentang masalah tersebut.  DON'T GIVE UP!

6.  Kenalpasti setiap kesalahan umum matematik yang sentiasa dilakukan (saya ulang berkali-kali di dalam kuliah dan ada yang masih melakukannya di dalam ujian) dan pastikan anda tidak melakukan kesalahan tersebut lagi di dalam peperiksaan akhir nanti.

7.  Kenalpasti formula yang PERLU untuk diingati.  Formula yang boleh diperolehi hasil dari formula asal tidak perlu dihafal untuk mengelakkan otak sarat dengan formula.

8.  Sesudah berusaha, serah kepada Allah dengan berDOA dan TAWAKKAL.  Mohon Allah supaya tenangkan dan terangkan hati untuk menjawab peperiksaan tersebut.

9.  Tidur awal, jangan paksa diri untuk berjaga pada malam peperiksaan.  Jangan jadi seperti pelajar saya yang lepas di mana beliau "blank"  ketika peperiksaan kerana terlalu memberikan tekanan pada otak sehari sebelum peperiksaan.

10. Petua dari kakak saya, setiap kali selesai peperiksaan untuk sesuatu subjek, beliau akan basuh dan syampu rambut seolah membilas semua yang telah diisi sebelum ini untuk melegakan otak serta memberi ruang kepada subjek yang masih belum tiba masa peperiksaannya.  Katanya, ianya berhasil.


Semoga berjaya pada semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir.  

Saturday, April 3

Hari Pensyarah

Setiap tahun, semua orang mengingati 16 Mei sebagai Hari Guru.  Namun, tiada hari yang khusus di peringkat kebangsaan untuk para pensyarah.  Pada pandangan saya, Hari Guru sepatutnya ditukar kepada "Hari Pendidik" untuk merangkumi semua peringkat pendidik.  Sebelum ini juga Hari Buruh telah ditukarkan kepada Hari Pekerja untuk merangkumi semua pekerja di pelbagai sektor.  

Alhamdulillah, para pelajar UiTM PP dengan inisiatif mereka sendiri telah "mengisytiharkan" 1 April sebagai Hari Pensyarah UiTM PP sejak 3 tahun yang lalu.  Sambutan kali ini agak meriah berbanding tahun-tahun lepas kerana dianjurkan secara bersama oleh Kelab Pensyarah dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). 


Cenderahati dari kelab pensyarah dan pelajar

Tahniah kepada para pensyarah yang telah dinobatkan sebagai "Pensyarah Popular" di setiap fakulti dan jabatan.  Semoga segala usaha gigih, dedikasi dari pensyarah sekelian tidak hanya berlandaskan ganjaran semata-mata tetapi lebih kepada ibadah kepada Allah untuk meninggikan taraf hidup anak-anak bangsa kita. 
 
*terima kasih pelajar-pelajar saya yang telah memberikan ucapan selamat hari pensyarah. Tiada apa yang saya inginkan dari kalian melainkan melihat kalian berjaya di dalam hidup serta tidak mengabaikan kedua ibubapa apabila anda telah berada di puncak kejayaan.  Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia, insyaAllah, di mana-mana anda berada, anda akan disayangi oleh semua orang*

Sunday, March 28

Dua Sabtu

Dua kali sabtu telah diperuntukkan untuk bersama pelajar.  Sabtu 20 Mac lalu, saya menyertai "team" bengkel Maple dikhususkan untuk pelajar semester 1 dan 2 Diploma.  Maple ini adalah computational software yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah matematik dari peringkat mudah hinggalah ke peringkat tinggi (advance).  Perisian ini memudahkan penyelesaian matematik serta  dapat juga digunakan untuk membuat simulation untuk elektrik dan sebagainya. Penggunaan perisian ini telah dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran matematik bagi semester 1 dan 2 diploma kejuruteraan di UiTM ini.




27 Mac pula diperuntukkan untuk pelajar Pra Sains dan Pra Perdagangan.  Untuk keberkesanan pembelajaran serta semangat, ceramah motivasi serta Mind Mapping telah diberikan kepada pelajar.  Tips  bagaimana untuk menjawab matematik juga diberikan kepada pelajar-pelajar ini supaya mereka dapat menggunakannya ketika belajar tidak kiralah untuk subjek matematik atau subjek-subjek yang lain. Harap-harapnya anak-anak ini lebih bersemangat untuk beroleh kejayaan yang cemerlang biarpun ketika SPM mereka tidak mampu untuk meraih kejayaan yang mampu untuk melayakkan mereka terus ke peringkat diploma atau asasi di IPTA yang lain. Sekali gagal tidak bermakna gagal selamanya jika kita menjadikan kegagalan itu sebagai pencetus semangat untuk berjaya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Ceramah motivasi

 Mind Mapping

  Tips pembelajaran Matematik

Sunday, December 27

Kualiti dan Anugerah



Tahniah kepada teman-teman yang mendapat anugerah cemerlang serta anugerah bersempena minggu kualiti.  Saya cuma tumpang gembira kerana jabatan turut mendapat dua anugerah di peringkat kampus.




Semoga kita berkerja dengan ikhlas bukan hanya mengharapkan anugerah cemerlang semata-mata.  Sesungguhnya kerja itu merupakan ibadah, jika nawaitu kita hanya untukNya.


 


Friday, October 9

Makan-makan, Sembang-sembang


Terasa lamanya tidak makan-makan serta berbual-bual santai dengan teman-teman sekerja. Walaupun berada di aras yang sama, namun, ada ketika, hanyalah "hi hi dan bye bye" sahaja memandangkan jadual kuliah yang tidak sama di antara satu sama lain, itupun terserempak ketika seorang sedang dalam perjalanan ke kuliah dan yang seorang lagi dalam perjalanan pulang dari kuliah.


Bila salah seorang rakan mencadangkan untuk dibuat jamuan raya untuk penghuni aras yang sama dari pelbagai jabatan dan fakulti, maka cadangan terus dipersetujui serta dengan persetujuan ramai, beberapa kumpulan telah dibentuk untuk menganjurkan jamuan pada hari yang dipilih.




Menu pada jamuan yang pertama, soto ayam dengan bahan-bahannya, makaroni goreng, ketupat dan rendang ayam, kek pisang, kek buah, kuih raya serta sirap bandung.



Sebenarnya, menu jamuannya tidak begitu penting, tetapi yang paling penting dapat beramah-mesra sesama rakan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin