Thursday, November 12

Ketabahan Mereka (2)


Sudah lama rakan ini didiagnos dengan kanser payudara.  Jika tidak silap perkiraannya melebihi 3 tahun.  Ketika awal rawatannya, saya dan rakan-rakan lain pernah menziarahi beliau. Beliau rancak menceritakan tentang keadaannya ketika itu.  Kansernya diketahui ketika beliau mengandungkan anak kedua.  Selesai melahirkan beliau mula menjalani rawatan kansernya.

Dari masa ke semasa, saya mengikuti perkembangan TS melalui teman-teman lain.  Ketika sekali-sekala terserempak di kawasan kampus, beliau sentiasa tersenyum riang.  Tiada tanda-tanda menunjukkan yang beliau mengidap penyakit yang merbahaya ini.  Diam-diam saya mengagumi semangat yang dimiliki oleh wanita muda ini.  Dr. mengatakan yang dia merupakan antara yang termuda mengidap kanser ini ketika usia di dalam lingkungan 20-an.  Tidak sanggup rasanya untuk bertanya dari hati ke hati tentang penyakit yang dihidapinya.

Baru-baru ini, dikhabarkan kansernya telah berada di tahap 4.  Hati ingin juga menziarahi beliau, namun, di sudut lain, bimbang saya sendiri tidak dapat mengawal perasaan sendiri serta mungkin ada kata-kata yang mungkin menyinggung perasaan seorang pesakit kanser.  Hati berbelah-bahagi. 

Bersama-sama beberapa rakan yang lain kami meluangkan masa menziarahi TS.  ZH pula, suaminya diserang kanser di bahagian leher sejak 2004, juga sekarang ini di tahap 4.  Beliau pernah menyambung pengajian  PhDnya di luar negara, namun kerana penyakit suaminya berulang semula, beliau mengambil keputusan untuk meneruskannya di Malaysia. Menurut ZH, hanya keluarga yang menjaga pesakit kanser yang memahami emosi mereka yang ada turun dan naiknya, terutama selepas membuat rawatan kemoterapi.

Kagum saya dengan semangat kental yang ditunjukkan oleh dua orang wanita muda ini yang berhadapan dengan ujian Allah yang hebat ini.  Kata ZH lagi, ada seorang surirumah yang berdepan dengan situasi yang sama, suaminya yang menjadi tempat bergantung, tiba-tiba terlantar kerana kanser.   Sekurang-kurangnya kita yang berkerjaya ini mempunyai rakan-rakan yang boleh memberikan kata-kata semangat.  Bila kita diuji, fikirkan ada orang lain yang lebih besar ujian mereka berbanding kita. 

Ketika berpelukan dengan TS yang kelihatan pucat, mulut tidak mampu berbicara.  Hanya hati berkata-kata, "tabahlah dik, dengan ujian ini.  Semoga Allah mengangkat penderitaanmu.".  Petang setelah melawat TS, kami menerima emel dari suami TS yang juga merupakan rakan sekampus.  Beliau mengucapkan rasa syukur pada Allah dan berterima kasih kepada kami yang sudi menziarahi isterinya.  Katanya, ziarah ini sedikit sebanyak dapat memberikan semangat kepada isterinya serta menitipkan sedikit pesanan buat ZH.

"Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kurniakanlah ketabahan kepada mereka serta keluarga mereka untuk menempuh ujian yang hebat ini.  Hilangkanlah dukacita di hati mereka ya Allah.  Kurniakanlah kesembuhan kepada mereka.  Hanya Engkau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk mereka".

Rasulullah s.a.w bersabda : "Tidaklah seorang mukmin ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri sekalipun, melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosa-dosanya". (sumber: Jangan Bersedih).

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin