Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Friday, February 24

Kenangan lagi...


Foto mesin getah lama ini dirakamkan ketika saya sedang bersarapan di sebuah restoren.  Sudah beberapa kali menjamu selera di sini, baru kali ini terperasan mesin yang menggamit kenangan ini.

Ketika meletakkan gambar ini di FB, rakan-rakan serta keluarga berkongsi pelbagai kenangan berkaitan dengan mesin ini.

Kenangan ketika menolong tok mengusahakan getah keping masih tersimpan di sudut kecil ingatan ini.  Susu getah yang masih cair diletakkan di dalam bekas segiempat tepat (selalunya tin minyak tanah yang dipotong secara memanjang) serta dicampur dengan cuka getah untuk mengeraskannya.  

Setelah keras, getah tersebut dikeluarkan dan ditekan dengan tangan untuk meleperkannya.  Acara yang paling seronok apabila memijak-mijak getah tersebut dengan kaki.  Ianya menjadi 'permainan' bagi kami ketika itu.

Selesai dipijak untuk meleperkan lagi getah itu, berebut-rebut pula untuk menggelek menggunakan mesin licin di atas.  Proses ini diulang beberapa kali sehinggalah getah tersebut benar-benar nipis.  Proses terakhir, yang hampir semua mengelak adalah untuk memusing mesin yang bercorak bunga.  Ianya agak berat berbanding mesin yang licin ini.  Tujuannya supaya getah keping tersebut tidak melekat antara satu sama lain ketika ditindan.

Keseluruhan proses boleh dilihat di sini, tetapi proses di pautan ini menggunakan penggelek kayu untuk menipiskannya sebelum dimasukkan ke dalam mesin.

Kenangan lalu...

Thursday, January 26

Kenangan - Ais




Kasihan melihat anak-anak kepanasan ketika balik dari sekolah.  Kebiasaannya, di rumah, sememangnya saya tidak menyediakan sebarang ais atau air ais.  Saya buatkan untuk mereka supaya mereka tidak lagi merengek inginkan aiskrim di luar pagar sekolah.  Hanya 1 1/2 liter air masak yang dicampur dengan kordial strawberi dan juga asam masin dapat menghasilkan sekitar 20+ bungkus aiskrim malaysia.  Boleh bertahan selama beberapa hari kerana saya 'mencatu' pengambilannya kepada dua saja sehari.  

Ketika sedang membungkus aiskrim ini, adik datang menjengah ke dapur, "macammana ummi tahu nak buat ni?"

"Masa ummi kecik dulu, tok selalu buat..."

"Oooo..."

Ketika kecil, saya sangat seronok apabila mak menyediakan aiskrim malaysia di dalam pelbagai perisa.  Sekarang, jarang bertemu dengan aiskrim malaysia ini melainkan dibuat sendiri. 

Saturday, June 25

Melankoli

Saya merindui tempat ini dan juga musim ini.  Ianya sudah lama berlalu, tetapi kenangan itu sentiasa segar di ingatan.  Ini kerana, baru-baru ini, ketika bersembang bersama bekas pelajar saya, Aizuddin dan Faiz, saya ada menyebut tentang pengalaman belajar di luar negara.  Ketika diminta pandangan tentang  samada perlu sambung belajar di tempat lain, saya berkata, jika kuat spiritual dan jati diri, mereka boleh survive  walau di'campak' ke mana saja, InsyaAllah.  Tidak perlu ke luar negara untuk terpengaruh dengan budaya tidak sihat, di dalam Malaysia sendiri juga boleh jika tidak kena gayanya.  

Paling tidak dapat saya lupakan ketika perkhabaran saya dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara sampai ke pengetahuan ramai, ada mulut-mulut berkicau, "di depan mata, bolehlah... nampak baik, tetapi, bila jauh, ke luar negara, mana kita tahu!".  Begitulah tanggapan yang menyebabkan telinga sehingga  ke hati menjadi pedih.  Kata-kata negatif mereka saya terima sebagai cabaran untuk membuktikan yang seorang Muslimah yang telah dibekalkan dengan ilmu agama oleh kedua ibubapa dan dengan pertolongan Allah, walau dicampak kemana saja, insyaAllah, dia dapat menjaga dirinya sendiri.  Alhamdulillah, mak dan bapak menaruh sepenuh kepercayaan kepada saya untuk berdikari di sana.  

Di bumi inilah, banyak yang saya pelajari tentang kehidupan, kebergantungan kepada yang Maha Esa dan nilai persahabatan. 

Dari atas kiri (mengikut pusingan jam) :  1. Camp Randall, 2.  Pertama kali 'bermain' salji (jakun pun ada), 3.  Camp Randall, 4.  pemandangan salji yang turun dari apartmen yang diduduki

Sekitar kampus yang dipenuhi salji - terburuk ketika kami tiba

Dari atas kiri (mengikut pusingan jam) :  1. di hadapan bangunan apartment, 1301 Spring St., 2.  berdiri di atas tasik Mendota yang beku dengan perasaan gementar, 3. sekitar kampus  4.  bangunan yang selalu dikunjungi - Union South,
Jika ada rezeki, teringin lagi menjejaki kaki ke sana untuk melihat tempat jatuh bangun saya sebagai seorang pelajar sarjana muda.  Mungkinkah ianya akan menjadi kenyataan?

Wednesday, August 25

Antara Dia dan Aku ...

Kenangan perkahwinan yang sudah mencecah ke angka 9 tahun. Jodoh yang tidak diduga, datangnya tiba-tiba.  Tiada couple, tiada date, akhirnya bersatu jua. 


(lebih kepada testing gambar sebenarnya entri ini... hehehe)

Wednesday, February 10

Segalanya Bermula pada tarikh ini...

Tarikh : 10 Februari 2001 (Sabtu)
Lokasi : Kg. Baru
Waktu : Pagi


Ketika sedang menanti sang kancil sedang dimandikan di sebuah car wash, saya duduk di buaian kecil yang disediakan berhampiran.  

"Tett tett tett... tett tett tett... ", telefon bimbit berbunyi menandakan pesanan masuk.

"Akan call malam ini.  Mohd Fazal"

Jantung berdegup kencang.

Saya menekan nombor telefon kakak.

"Kak... 'dia' nak call malam ni.  Akak bagi nombor pada adik dia ye?"

"Ha'a... apa salahnya... cubalah kenal dulu"

Seharian saya jadi tidak keruan kerana pesanan ringkas itu.  

Monday, February 1

Februari



Terkenang bait-bait senikata dari kumpulan Alleycats,


"Sekuntum mawar merah sebuah puisi
Untuk gadis pilihan oh.. di bulan Februari
Mulanya cinta bersemi dan kehadiran
Ribuan mimpi-mimpi oh di bulan Februari"

Datangnya Februari dengan iringan serangkap bait lirik lagu ini membuatkan saya tersenyum sendiri.
 

Tuesday, December 8

Batu Karang





Sekitar 5 pagi pada tahun 2005, saya terjaga dari tidur kerana kesakitan yang teramat sangat pada bahagian belakang badan, sekitar buah pinggang dan bahagian abdomen.  Kesakitannya melebihi kesakitan ketika diinduce untuk melahirkan serta menjangkaui juga kesakitan selepas turihan pisau ketika caessarian.

Dengan tangan yang terketar-ketar, saya mengejutkan suami yang terpinga-pinga dengan kejadian yang secara tiba-tiba.  Dengan kesakitan yang melampau, tekak terasa seperti loya dan hendak muntah, namun tiada apa yang keluar dari kerongkong kecuali air hijau yang sangat pahit.  Sakit apakah ini?  Lain benar sakitnya.

Hendak baring tidak kena, duduk apatah lagi.  Hanya airmata mengalir sambil menahan sakit.  Dengan terbongkok-bongkok saya gagahkan diri untuk bangun bersiap-siap.  Seawal jam 6 pagi, saya menelefon mak dan memberitahu tentang kesakitan ini dan ingin meninggalkan kakak dan adik yang hanya berusia beberapa bulan ketika itu untuk ke klinik.  Seawal jam 7 pagi, kami sudah sampai di rumah mak.  Dengan simptom yang ada, mak memberitahu kemungkinan batu karang.

Penantian di klinik panel untuk berjumpa doktor amat menyiksakan.  Ketika berjumpa doktor,  dia terus memberikan suntikan menahan sakit.  Ubat jernih berwarna kuning di dalam kapsul diberikan sebagai ubat batu karang.

Selain dari itu, mak juga mendapat petua secara tradisional untuk batu karang.  Petua ini saya patuhi selama 3 hari berturut-turut.  Kulit cempaka bersama sedikit tawas ditumbuk serta dicampurkan air.  Perahan air  hijau dari bahan-bahan ini teramatlah pahit, namun saya gagahkan juga untuk menelan.  Alhamdulillah, agaknya batu karang tersebut pecah dengan sendiri serta keluar secara semulajadi.  Tidak perlu dilakukan pembedahan.  Puncanya?  Tidak pasti, tetapi kemungkinan besar, saya kurang minum air masak. 
   

Tuesday, November 24

Tekap menekap









Melihatkan anak-anak sedang menekap lukisan di buku menggunakan kertas biasa, abah mereka membelikan kertas surih (tracing paper) untuk tujuan itu.  Ketika melihat keasyikan mereka menekap gambar-gambar di buku, terkenang ketika saya di zaman persekolahan dahulu, seronok menekap gambar-gambar dan kemudian mewarnakannya.  Zaman sudah berlalu...


Sunday, November 8

Buah Rokam





Buah ini mengembalikan ingatan kepada zaman kanak-kanak saya.  Dahulu, pokok buah rokam ini berdiri teguh di hadapan rumah tok.  Ketika musim berbuahnya rokam, kami sangat seronok mengutip buah yang jatuh atau ada yang memanjat pokok untuk diambil terus dari dahannya.  Saat menggigit buah itu, berkerut-kerut muka menahan kemasaman buah rokam itu.  Buah rokam masak yang berwarna merah hati agak kurang masamnya. 



Sewaktu berkunjung ke pasar malam, saya melintas di hadapan gerai yang menjual buah ini.  Terus  ringan mulut bertanya pada pak cik yang menjual.  Sepinggan kecil berharga RM2.  Saya menyambung bicara, katanya rokam tersebut diambil di Bukit Selambau.



Saya membeli sepinggan kecil semata-mata ingin mengenalkan buah yang semakin pupus itu kepada anak-anak walaupun buahnya kurang elok.  Adik mengatakan ianya seperti "tomato" kecil.  Hehehe... ada-ada saja.  Saya katakan buah ini selalunya dibuat jeruk kerana rasanya yang masam.  Saya didihkan air gula bersama garam serta merendam buah tersebut untuk dibuat jeruk.  Gula dan garam diagak saja sukatannya. 


buah yang sedang direndam

 

Wednesday, October 21

Tanah Suci, Doa dan Jodoh


Saya bertemu jodoh agak lewat di usia 28 tahun. Bukan tidak berusaha, doa tidak putus-putus dipanjat kepadaNya, bukan sedikit airmata yang tumpah dan ada ketika juga berputus asa. Namun, di sebalik kelewatan itu, terselit hikmahnya di mana saya dapat memperbaiki kelemahan diri sebelum berkongsi hidup bersama seorang insan yang bernama suami.

Itu bukan kisahnya. Kisahnya adalah doa dari sahabat/teman yang kita tidak ketahui. Setelah saya khabarkan saya akan berumahtangga selepas 4 bulan mengenali seorang lelaki ternyata mengejutkan teman-teman. Manakan tidak, tiada "tanda-tanda" yang saya sedang ber"kawan" dengan seseorang yang istimewa ketika itu. Setelah kad undangan diedar kepada teman-teman dan jemputan dihulur, seorang kenalan semasa berkursus yang lebih bersifat bapa kepada saya menyatakan yang dia ada mendoakan saya supaya bertemu jodoh ketika menunaikan fardu haji pada tahun itu. Begitu juga seorang teman di pejabat, beliau mengerjakan umrah serta mendoakan saya supaya bertemu jodoh. Subhanallah, langsung tidak saya ketahui dan saya tidak juga meminta mereka mendoakan saya. Alhamdulillah. Sesungguhnya doa seorang sahabat pada sahabat yang lain tanpa diketahui sangat makbul. Baya sangat terharu dengan doa tulus mereka.

Doa itu senjata orang mukmin. Kita tidak pasti bila doa kita akan dimakbulkan namun jangan berhenti berdoa dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Thursday, October 15

Pesanan seorang ketua


Selalunya, bonda akan berpesan kepada puterinya sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Selain dari nasihat mak, ketua saya yang berbangsa cina yang menganggap saya seperti anaknya turut berpesan kepada saya :

Di dalam apa jua keadaan, utamakan suami kerana isteri adalah menjadi hak suaminya selepas berkahwin.

Hormati dan dahulukan ibu mertua sebagaimana kita menghormati ibu sendiri.

Jangan buat sesuatu yang tidak disukai suami.

Ini adalah intipati dari perbualan kami berkisar tentang perkahwinan. Sehingga sekarang, walaupun saya tidak lagi bekerja di bawahnya, sekali-sekala kami akan berutus kabar di antara satu sama lain. Begitu juga dengan bekas rakan-rakan sekerja. Ketika saya melahirkan anak yang pertama, dan secara kebetulan beliau berada di Pulau Pinang, beliau sempat mengunjungi saya. Ketika berkesempatan ke Kuala Lumpur, saya juga cuba mengunjungi beliau dan teman-teman di pejabat lama.

Itulah tempat kerja saya yang pertama yang bertahan selama 5 tahun 4 bulan. Kenangan itu masih lagi kukuh bersemadi di dalam diari kehidupan saya.


Friday, October 2

Dikejar (2)


Ketika dia berada di hadapan saya, saya memperlahankan kereta dan membiarkan dia terus memandu di hadapan. Agaknya bosan kerana saya terlalu perlahan, dia melajukan kereta meninggalkan saya. Lega.

Selepas melepasi tol Juru, saya melihat kelibat kereta tersebut di bahu jalan kiri selepas tol. "Ya Allah! 'mamat' ni ada lagi?" Ketika saya melintasi keretanya, dia mula bergerak mengekori di belakang. Jantung berdegup kencang semula, tidak menjangkakan yang perkara sebegini akan berlaku.

Dia mula mengekori saya dan tidak lagi memotong kereta saya. Saya mula dihimpit kebimbangan. Susur keluar lebuhraya untuk ke kampung saya semakin hampir. Sambil memandu, saya ligat memikirkan 'strategi' untuk memboloskan diri dari kereta tersebut. Semakin hampir ke susur keluar ke kampung saya, saya tidak langsung menyalakan signal untuk ke kiri. Saya nekad untuk memisahkan kereta saya dengan kereta itu. Ketika susur keluar hampir berakhir, dalam keadaan berwaspada dengan kenderaan lain, saya membuat belokan pantas ke kiri. Hasilnya... kereta itu tidak sempat untuk membelok bersama saya. Alhamdulillah! Leganya hati saya ketika itu. Drama 'swasta' ini benar-benar sudah berakhir.

Tidak saya ceritakan kepada bapak saya, bimbang-bimbang dia langsung tidak membenarkan saya memandu bersama kawan lagi. Saya cuma ceritakan kepada mak saya dan jawapan mak, mungkin orang itu mengenali saya. Entahlah, kelibatnya memang tidak saya kenali, tetapi, walaubagaimanapun, peristiwa ini sentiasa kekal di ingatan saya apatah lagi ketika sedang berada di lebuhraya.

Wednesday, September 30

Dikejar (1)


Saya baru memiliki kenderaan sendiri setelah 2 tahun bekerja di KL. Dan sejak itu, saya tidak pernah memandu berseorangan ketika pulang ke kampung. Ketika mak dan bapak (allahyarham) mengetahui yang saya akan pulang ke kampung, bapak akan menaiki bas dari kampung ke Pudu Raya dan menaiki LRT untuk sampai ke rumah sewa saya. Berehat sekejap, bapak akan menemani saya memandu pulang ke kampung. Ada ketika saya merasa saya begitu membebankan bapak, tetapi beliau tidak kisah. Katanya, perempuan tidak elok memandu berseorangan untuk tempoh perjalanan yang agak panjang, dibimbangi apa-apa berlaku di pertengahan jalan. Ada betulnya juga. Dan sepanjang perjalanan, saya memandu, bapak akan terlena di sebelah. Sekali-sekala bapak terjaga, kami akan bersembang-sembang santai.

Sekali itu, saya sudah berjanji dengan Yati yang ingin ke kampung saya. Saya khabarkan yang saya akan memandu dengan ditemani Yati. Alhamdulillah, bapak mengizinkan. Dan pertama kali itu juga, saya di"ekori" di lebuhraya. Saya hanya menyedari ada sebuah kereta yang sentiasa mengekori saya ketika menghampiri Ipoh. Saya memperlahankan kereta memberi laluan kepadanya (padahal saya memandu di lorong kiri) untuk memotong kereta saya. Beliau memotong kereta saya dan kemudian memasuki ke lorong kiri semula betul-betul di hadapan saya! Pemandu itu memperlahankan keretanya sehingga menyebabkan saya juga terpaksa memandu dengan perlahan. Saya mengomel kepada Yati tentang sikap pemandu tersebut.

Ketika berkesempatan, saya memotong keretanya dan terus menekan pedal minyak. Dia terus mengejar kereta saya dan memotong dan berada lagi betul-betul di hadapan saya. Kejadian ini berlaku berulang-ulang kali. Jantung saya berdegup kencang, "apa kena dengan orang ini, tidak pula kenal dengan pemandunya". Ada ketika dia akan memasuki laluan kecemasan dan memberi isyarat supaya saya berhenti. Mana mungkin saya berhenti di tengah-tengah lebuhraya begitu. Saya sudah memeriksa kereta saya di dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Saya tidak mengendahkannya. Terngiang-ngiang kata-kata bapak.. bagaimana jika saya berseorangan ketika itu? Tentu panik juga dibuatnya!


Tuesday, September 8

Cikgu "vs" pensyarah

Melihat kakak menjadi "cikgu" dan adik menjadi "anak-murid" mengimbau kembali kenangan ketika saya kecil-kecil dahulu. Ketika bermain di rumah, saya sentiasa menjadi cikgu kepada sepupu-sepupu yang lain. Dan ada ketika rotan dipegang, mengajuk guru dulu-dulu yang memegang pembaris panjangnya satu meter ketika menyuruh anak-anak murid membaca di papan hitam. Dahulu ketika ditanya tentang cita-cita, terpapar perkataan "pensyarah" di ruangan cita-cita buku rekod sekolah rendah. Nampaknya, cita-cita saya sudah menjadi kerjaya saya sekarang ini. Adakah kuah akan tumpah ke nasi, kerana melihatkan telatah anak-anak, kelihatan mereka cenderung ke arah profession ini. Apapun pilihan kerjaya mereka, semoga mereka minat serta tiada paksaan untuk mengikuti bidang yang tidak mereka minati.

Adik pernah bertanya kepada mak saya, kenapa umi dipanggil "lecturer", ada yang dipanggil cikgu. Mak saya memberikan contoh yang ringkas kepadanya, jika mengajar budak kecil seperti adik dan kakak, dipanggil cikgu. Jika mengajar budak besar macam k.long (sepupu mereka yang sudah memasuki Universiti), orang panggil "lecturer". Oooo, jawabnya pendek! Kakak dan adik pun nak jadi pensyarah macam umi! Hehehe...

Monday, July 27

Percaya atau Tidak? - 4

Syawal 2001, ketika itu saya sedang di trimester pertama mengandungkan kakak. Hari raya pertama disambut bersama suami dan keluarga mertua. Pada hari raya kedua, kami kembali ke rumah mak dan terus berkonvoi bersama kakak dan abang ipar menziarahi keluarganya di Perak. Ketika perjalanan pulang dari rumah mereka, hari sudah menjelang petang ketika melepasi Beruas.

Pada malamnya, ketika mata ingin dipejam, terbayang di mata saya, seakan-akan berada di dalam kawasan pohon getah di kiri kanan jalan serta terlihat "seorang" perempuan yang berbaju hitam serta berambut panjang. Beberapa kali bayangan tersebut muncul setiap kali mata dipejam sehingga saya tidak dapat tidur. Seram-sejuk saya dibuatnya. Setelah beberapa kali mencuba dengan beberapa ayat Qur'an untuk menenangkan diri dan tidak berjaya, akhirnya saya mengarahkan suami memanggil mak yang kebetulan masih belum tidur. Setelah mak membacakan ayat Qur'an ke dalam air dan saya meminumnya, barulah bayangan itu hilang dan saya dapat tidur.

Menjelang subuh kedengaran suara anjing menyalak panjang, seakan terpandang sesuatu. Keesokannya, mak mengatakan yang "perempuan" tersebut mengikut saya pulang ke rumah ketika kami melewati kawasan itu ketika menjelang maghrib. Alhamdulillah, "dia" hanya singgah sekejap sahaja untuk menyapa.

Pesan ustaz, jika kita tengah memandu, atau melepasi sesuatu kawasan ketika hari menjelang maghrib, berhenti dahulu dan tunggu sehingga selesai maghrib. Manalah tahu, ada penumpang lain pula yang menumpang kereta kita.

Saturday, July 18

Curi - 2

Kejadian pecah rumah berlaku di mana-mana. Saya juga hampir-hampir menjadi mangsa kes ini. Saya tidak ingat tarikh sebenar tetapi ianya berkemungkinan penghujung tahun 2002 atau awal 2003. Kakak belum lagi berusia setahun. Ketika itu kami sekeluarga menyewa di sebuah rumah teres setingkat.

Pada malam itu suami bekerja syif malam. Lampu dapur sentiasa dibiarkan terpasang ketika tidur. Sekitar jam 3, seperti kebiasaan, kakak akan bangun untuk menyusu. Seperti biasa, saya akan ke dapur untuk membancuh susu kakak. Sebaik tiba di dapur, saya terlihat tangan, melalui tingkat nako yang telah dikopak, sedang mencapai tombol pintu belakang yang tidak dipasang grill. Di dalam keadaan yang amat panik, terus saya menyergah, "Hoi!" dengan suara yang kuat. Sebaik mendengar suara saya, mereka berdua terus lari. Dengan tangan yang menggigil yang teramat sangat, saya dapat mengunci pintu dan menutup tingkap dan dengan doa yang tidak putus-putus agar pencuri tersebut benar-benar sudah tiada. Ya Allah, jantung ini, terasa bagai hendak pecah dan badan terus-terusan menggeletar. Terus telefon dicapai dan nombor suami didail untuk memberitahu kejadian itu. Boleh suami berlawak,

"kenapa tidak katuk (ketuk) tangan itu?"
"nak katuk macammana, tengah panik, terus sergah je lah"

Alhamdulillah, ditakdirkan kejadiannya berlaku ketika saya terbangun untuk menyediakan susu kakak. Jika tidak, entahlah apa yang akan terjadi. Selepas itu mata langsung tidak dapat dilelapkan. Saya memasang telinga untuk mendengar bunyi-bunyi yang luar biasa.

Keesokan hari, saya mendapat cerita, rumah jiran sebelah juga telah dimasuki pencuri tersebut dan berjaya mendapat sebuah telefon bimbit. Saya agak perbuatan ini dilakukan oleh remaja berdasarkan tangan dan jersi yang dipakai oleh pemilik tangan tersebut.

Selepas beberapa kejadian pecah rumah itu, taman perumahan yang kami diami itu mengadakan rondaan rukun tetangga yang disertai oleh penghuni-penghuni taman itu. Rondaan dibuat di dalam beberapa syif supaya setiap penghuni yang membuat rondaan turut mendapat rehat untuk bekerja keesokan harinya.

Dan selepas kejadian itu, tuan rumah juga memasang grill di bahagian belakang rumah yang kami sewa. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana melindungi kami sekeluarga dari bencana ini. Namun, selepas kejadian itu, saya menjadi fobia apabila suami bekerja syif malam. Ketika suami bekerja malam, mak akan datang untuk temankan kami berdua dan pulang keesokan harinya.

Selepas beberapa tahun mendiami rumah lain, sekali-sekala saya tetap terjaga di tengah malam apabila mendengar bunyi-bunyi yang agak aneh. Saya juga akan mengintai-intai dari dalam rumah untuk melihat keadaan di luar. Dan sekarang, saya semakin tenang kerana suami tidak lagi perlu bekerja syif malam. Sebenarnya, saya ini, di dalam berani, ada takutnya hehehe.

Friday, July 17

Curi

Petang tadi di kampus, Persatuan Wanita UiTM (PEWANI) menganjur bengkel pencegahan jenayah. Pembimbing Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) menyampaikan ceramah berkaitan jenayah serta saranan-saranan untuk mengelakkan jenayah seperti ragut dan rogol bagi perempuan.




Demonstrasi bagaimana untuk mempertahankan diri turut dipamerkan kepada peserta sebagai persediaan untuk menghadapi saat cemas itu.

Ketika menghadiri bengkel ini, teringat kisah yang saya alami sekitar 1996 - 1997 (tidak ingat tarikh sebenar). Peristiwa yang sudah berlaku lebih 10 tahun itu masih segar di ingatan saya. Satu persatu saya ceritakan pada rakan sekerja. Ketika itu saya belum berkereta dan pengangkutan utama saya adalah bas. Saya terpaksa menukar 2 buah bas untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Ketika sampai di perkarangan Pertama Kompleks ketika balik kerja, sudah masuk waktu maghrib. Saya putuskan untuk bersolat maghrib dahulu di surau di atas Pertama Kompleks. Handbag saya dimasukkan ke dalam beg kerja saya dan saya berlalu untuk mengambil wuduk di luar dari ruang solat. Sewaktu menunaikan solat, beg diletakkan di tepi. Ketika bersolat, entah kenapa, hati menjadi berdebar-debar. Selesai solat, saya hampiri beg dan terlihat zip beg kerja saya seperti dibuka orang. Darah menyirap ke muka saya. Hati semakin berdebar. Ya Allah! Mana handbag saya? Airmata tidak dapat ditahan-tahan. Bukan menangisi kehilangan duit atau sebagainya, tetapi memikirkan bagaimana saya hendak pulang ke rumah. Hari sudah malam. Pada hari itu, kakak akan pulang ke kampung mertua bersama dengan abang ipar. Ya Allah! semakin laju airmata mengalir. Ada beberapa adik/kakak (saya tidak dapat lagi tumpukan perhatian) yang melihat keadaan saya bersimpati. Mereka menghulurkan not RM10 kepada saya tetapi saya menolak dan hanya menerima beberapa not sebagai tambang bas. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka yang saya tidak kenali (dan tidak sempat bertanya nama kerana buntu). Sehingga kini apabila terkenangkan peristiwa ini, airmata pasti mengalir memikirkan bagaimana kerdilnya saya ketika itu, seperti pengemis! Mungkin ketika itu saya terlalu naive dan tidak berperasangka yang kejadian seperti itu akan berlaku di sebuah surau! Ternyata saya silap!

Sewaktu menghampiri pondok telefon awam, telefon siling tidak dapat digunakan. Bagaimana jika kakak sudah pulang ke kampung mertuanya? Ketika itu, penggunaan telefon bimbit masih belum begitu meluas. Saya tidak punya sesiapa di KL. Sedih sangat, teramat sedih! Saya tidak peduli lagi orang yang melihat atau berpandangan pelik pada saya. Abang di sebelah yang kebetulan menggunakan telefon kad bertanyakan saya, dengan bercucuran airmata, saya menceritakan hal yang sebenarnya. Abang yang baik hati itu membenarkan saya menggunakan kad telefonnya untuk menghubungi kakak. Sambil mendail, hati berdoa agar kakak masih ada di rumah.

"Hello", suara kakak kedengaran, makin bercucuran airmata saya. Alhamdulillah....
"Kak...beg kena curi"
"Di mana?"
"Pertama Kompleks"
"Nanti akak sampai..tunggu tau!"

Abang yang baik hati itu menunggu saya selesai menggunakannya kadnya sambil bertanyakan samada saya OK atau tidak. Saya beritahunya saya sudah hubungi kakak dan mereka akan datang. Seorang lagi insan yang berhati mulia yang ditemui ditengah-tengah ribuan manusia di KL. Sesungguhnya penantian itu satu penyiksaan. Ternampak kelibat kakak dan abang ipar, airmata semakin deras mengalir. Dengan esakan yang masih berbaki, saya ceritakan kejadian yang baru berlaku kepada mereka. Laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi, menurut pegawai polis berkenaan, sudah banyak kes yang berlaku di surau tersebut.

Saya pulang ke rumah dengan hati yang berkecamuk. Ya Allah, ada juga manusia yang menggunakan tempat ibadat untuk melakukan perbuatan mungkar.

Pengajaran untuk saya supaya tidak lagi membiarkan barang berharga berada di luar pengamatan saya. Sehingga kini, ketika bersolat di mana-mana surau, handbag sentiasa di dalam penglihatan saya. Saya juga sentiasa berpesan kepada sesiapa yang leka meninggalkan handbag mereka untuk mengambil wuduk supaya membawanya bersama jika tiada orang/teman untuk memerhatikannya. Berhati-hatilah, terdapat "mata" yang sentiasa memerhatikan kelekaan anda untuk mengambil kesempatan.

Sunday, July 12

Rindu

Saya merindui musim-musim ketika belajar di peringkat ijazah pertama. Sewaktu menghadiri kursus tempohari, para penceramah mencadangkan supaya menyambung PhD di luar negara. Terbayang-bayang musim yang silih berganti di sana. Seronoknya bermain salji, indahnya dikelilingi bunga berwarna-warni, terpegun dengan dedaunan yang kuning kejinggaan. Cemburu (barangkali) dengan teman-teman yang sedang berjuang di luar negara untuk mendapatkan kelayakan tertinggi di dalam akademik. Betapa masa telah berlalu dengan begitu pantas. Adakah mungkin saya dapat lalui kesemua itu lagi?

Musim sejuk di Randall

Musim bunga di Capitol


Musim luruh di perkarangan Fakulti

Friday, July 10

Kopi

Saya tidak minum kopi dan tidak pandai menyediakan kopi. Sewaktu berbual dengan teman sepejabat tentang minuman panas, terkeluar topik tentang kopi. Jika Pak Cik saya berkunjung ke rumah mak, tugas menyediakan kopi akan diserahkan kepada kakak yang arif membancuh kopi yang pekat dan "kaw-kaw". Pak Cik sentiasa memuji kopi yang disediakan kakak.

Sewaktu belajar ijazah pertama dahulu, teman-teman serumah sentiasa menyediakan kopi sebagai teman mereka untuk mengulangkaji pada lewat malam. Kata mereka, kopi dapat menghilangkan mengantuk mereka. Sewaktu sama-sama mengulangkaji pelajaran bersama teman-teman serumah, saya mencuba secawan kopi. Jam 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi, mata teramat pedih kerana menahan ngantuk yang teramat sangat. Saya tidak dapat mengulangkaji dan juga tidak dapat tidur. Hasilnya, saya kepeningan keesokan harinya. Itulah penangan kopi yang sentiasa melekat di dalam ingatan saya apabila "kopi" menjadi topik perbualannya.

Wednesday, July 8

Percaya atau Tidak? - 3

Sudah agak lama si pengacau tidak mengganggu hidup saya. Ketika tinggal menyewa bersama kakak, tiada kejadian “seram” yang berlaku. Tetapi setelah berpindah ke rumah sewa yang lain bersama teman-teman, pengganggu misteri itu muncul kembali. Yang peliknya, kawan-kawan yang sudah lama menginap di rumah itu, tidak pula dikacaunya. Saya ini memiliki “aura” agaknya he he he. Peristiwa diganggu ketika tidur berulang-ulang lagi. Sehinggalah saya ke Darus Syifa’ Kg. Baru untuk berubat, sememangnya saya diganggu oleh “penghuni” rumah itu. Saya diarahkan untuk memagar rumah itu dengan Ayatul Kursi yang dibaca di setiap penjuru rumah mengikut tertib tertentu. Ada ketika saya bermalam di rumah kakak, rupa-rupanya “dia” mengikut saya ke situ. Dan akibatnya, kakak saya pula dikacaunya! Alhamdulillah, lama kelamaan gangguan itu hilang juga akhirnya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin