Wednesday, February 1

Drama lebuhraya

31 Januari 2012

Semalam, saya menggantikan kuliah yang banyak ketinggalan kerana cuti umum.  Perancangan asalnya, pelajar mohon diadakan pada waktu malam, jam 8, tetapi setelah dipertimbangkan, saya mengusulkan supaya kelas mereka 4 - 5pm dilanjutkan ke jam 7 malam di kampus Permatang Pauh.

Selesai kuliah, saya memandu seperti biasa.  Ada sedikit kesesakan di Sg Dua kerana kemalangan yang membabitkan beberapa kereta.  Ketika menghampiri tol (lebih kurang 150 meter ~ anggaran), saya menyedari, tolok suhu kereta sudah mencecah garisan tengah menghampiri H.  Segera saya berhentikan kereta di tepi jalan, matikan enjin, pasang lampu kecemasan dan telefon en. suami.

sumber : google image

Jam ketika itu menunjukkan angka 7.30pm dan juga hujan.  Setelah beberapa ketika, saya cuba hidupkan semula enjin sebagaimana saranan suami dan bergerak perlahan menghampiri plaza tol.  Suhu tidak juga turun dan semakin menghampiri H.  Dua kali berhenti juga sebelum plaza tol namun suhu enjin tidak juga menurun.  

Percubaan kali ketiga dengan memandu secara perlahan, begitu juga.  Akhirnya saya matikan enjin dan tersadai  di tepi lebuhraya, berseorangan lebih kurang 50 meter selepas plaza tol.  

sumber

Jam 8 malam, saya menelefon plus ronda, lebih kurang 10 min, tiba sebuah kereta peronda.  Kebetulan ada pula dua kemalangan di Bertam dan Sg. Petani, mereka meminta saya menunggu sehingga 10 - 15 min supaya enjin benar-benar sejuk dan cuba hidupkan semula kereta kerana mereka perlu berkejar ke lokasi kemalangan.  Mereka sempat berpesan kepada saya supaya mengunci pintu dan menutup tingkap kerana kata mereka, ada kejadian penunggang motor 'mengganggu' orang yang keretanya yang rosak.  Saya akur.  

Saya cuba bertenang, ayat kursi dan ayat ini, "La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin" ~ (Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.) tidak lekang dari bibir saya.  Saya terasa lemah sekali ketika itu.  

Beberapa kali cuba hidupkan enjin, tidak kedengaran langsung bunyinya.  Sekali lagi saya menelefon nombor ini : 1-800-88-0000 dan memberitahu keadaan saya.  (tolong simpan nombor ini di dalam telefon anda, untuk kegunaan di ketika kecemasan)

Ketika di dalam tempoh menunggu, kereta, motor dan lori silih berganti berhenti di belakang atau hadapan kereta saya.  Boleh jadi tukang banci kereta motor di lebuhraya lah.  Hilang lapar, yang ada hanyalah dub dab serta tangan mula menggigil.  Sebuah kereta berhenti dan bertanya samada kereta saya rosak.  Saya menggelengkan kepala (bohong sunat eh) kerana saya mengharapkan plus ronda akan tiba.

1/2 jam berlalu, tiada tanda bantuan akan tiba, sekali lagi nombor diulang dail.  Mereka memohon maaf kerana mereka terpaksa dahulukan kemalangan itu.  Beberapa minit, ada sebuah pickup dengan lajunya berhenti di belakang kereta saya.

"Ya Allah, siapa pulak ni?", debaran semakin kencang.

Apabila melihat kelibat orang yang berbaju PLUS, barulah hati saya lega.  Sungguh, dalam debaran, saya tidak perasan lampu kuning yang berkelip dibumbung kereta itu.  Dia memeriksa enjin dan setelah dipastikan ok, dia berkali-kali meminta saya menghidupkan enjin kereta - tidak boleh.  Dia mencuba pula untuk jump start kereta saya itu, tidak boleh juga.  Akhirnya, saya dan kereta ditunda ke tol Bertam.  

Terima kasih kepada En. Hakim dan En. Yusfaizal dari Plus Ronda yang memberikan perkhidmatan terbaik mereka.  Saya berlapang dada dengan kekangan yang mereka hadapi.  Alhamdulillah, drama di lebuhraya berakhir jam 10 malam.  Phew, penat menjadi penunggu setia di lebuhraya.  Di dalam kereta, en. Yus bercerita, ada kereta yang rosak menjadi mangsa rompakan.  Saya bersyukur kerana tidak berlaku apa-apa.  Sesungguhnya Allah lah penyelamat yang terbaik.
  

2 comments:

  1. Alhamdulillah...kau cuti solat hehe? 1st time kena tunda. best tak? semlm memang hujan lebat ditambah angin kuat..masa balik takut pokok tumbang..memang ya..a few fallen trees kat jln. udah le cuaca gelap.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak cuti solat...nak keluar takut, jadi, solat hormat waktu saja tanpa wuduk. Berbelah bagi boleh solat jamak ke tidak dalam keadaan begitu. Nanti nak tanya ustaz. 1st time kena tunda bagi kancil, tapi pernah merasa ditunda sudah 2 kali, kali pertama dengan wira : http://hahmat73.blogspot.com/2010/06/hari-ini-dalam-sejarahrezeki-si-trak.html

      Delete

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin