Thursday, October 29

Majlis Itu

Sudah beberapa hari tidak sempat untuk menitipkan cerita buat teman-teman blog. Beberapa hari lepas saya mengalami sakit tekak yang teramat perit. Natijah memakan ubat batuk, saya seperti lali dan mamai. Sebelum itu saya mencuba juga mengamalkan madu dan memperbanyakkan air suam, tidak berkesan juga. Alhamdulillah, sehingga saat ini, tekak sudah agak pulih dari keperitan, namun, batuk masih berbaki lagi. Ini hanya dugaan kecil bukan?

Alhamdulillah, hujung minggu lepas, adik ipar saya selamat melangsungkan pertunangan dengan teman senegeri. Semoga ikatan ini berkekalan hingga ke gerbang perkahwinan serta berkekalan hingga ke akhir hayat. Antara hantaran-hantaran untuk pihak lelaki :










upacara meminang berlangsung

cincin disarung tanda persetujuan telah dicapai antara pihak lelaki dan perempuan

ingin menyelit...
tuanpunya blog bersama adik ipar yang pertama

Monday, October 26

Rajin

Sekali-sekala apabila "anak dara" saya (kakak) datang mood rajinnya, pinggan di sinki cuba dibasuhnya. Kedengaranlah bunyi lagaan pinggan dan sudu di dapur. Lihat sahaja hasil kerjanya, habis sinki dipenuhi sabun, lantai dapur juga basah dengan percikan air. Hmmm... apa nak dikata....



Sunday, October 25

Di Persimpangan Itu

Kata-kata koordinator saya masih terngiang-ngiang lagi di telinga sehingga hari ini.

"Mereka mahu Ilah jadi pengerusi Konferen Antarabangsa ni"

Hmmm..

"Kalau boleh, kita nak push yang adik-adik untuk memudahkan naik pangkat. Sekarang ini DM52 (pensyarah kanan) tidak perlu tunggu hingga 3 tahun", ulangnya lagi.

"Ish..., saya rasa saya tidak layak lah...."

Bukan kenaikan pangkat yang menjadi keutamaan di sini.

Manakan tidak, baru menamatkan pengajian di peringkat sarjana, jauh lebih lambat dari rakan-rakan yang lain. Status yang dipegang saya juga merungsingkan saya untuk berurusan dengan pendidik lain yang berstatus "Prof.", "Prof. Madya", "Pensyarah Kanan" yang jauh lebih berpengalaman.

Bukan sehari dua persoalan pemilihan pengerusi konferen ini ditimbulkan. Desas-desus dari bulan Jun ketika saya masih lagi bercuti belajar sudah bertiup sepoi-sepoi bahasa singgah ke telinga saya tentang cadangan untuk menjadikan saya sebagai pengerusi konferen antarabangsa yang ke-3. Ketika itu, saya hanya ketawa, kerana fikir saya, mereka hanya bergurau mesra. Ternyata tidak!

Sebelum ini, sudah diusulkan di dalam mesyuarat jabatan, dan dengan undian, "jawatan" ini jatuh kepada seorang senior yang berpangkat "Pensyarah Kanan".

"Sesuailah dengan kak A kerana dia berpengalaman, serta bekas koordinator yang dikenali ramai"

Tetapi nampaknya kak A tidak bersetuju dengan lantikan tersebut kerana ianya dibuat tanpa kehadiran beliau.

Jumaat lepas, koordinator memujuk lagi. Saya serba-salah:

Jika terjadi "apa-apa", impaknya bukan hanya kepada saya, tetapi kepada UiTM Pulau Pinang secara umumnya dan UiTM keseluruhan secara amnya. Bimbangnya saya.

Secara amnya ada lagi beberapa isu yang saya luahkan kepada koordinator yang membebankan fikiran saya jika saya menerima lantikan ini. Ianya sesuatu yang bukan mudah!

Ada orang sangat gembira jika ditawarkan lantikan besar sebegini (bagi saya besar). Saya tidak! Saya takut saya tidak mampu untuk memikul amanah ini.

"Beginilah kak Sha, biar saya buat istikharah dulu sebelum saya berikan keputusan", itu jawapan terakhir saya kepada koordinator.

Hanya Dialah yang dapat memberikan jawapan terbaik kepada saya. Dan jika ditakdirkan saya akan menduduki kerusi pengerusi konferen tersebut, akan saya cuba memenuhi tanggungjawab ini. Jika tidak, saya juga reda. Siapalah saya untuk menentukan apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

Masih lagi buntu!

Friday, October 23

Buah Keranji

"Sorong papan tarik papan,
Buah keranji di dalam perahu,
......"

Pantun yang semakin jarang kedengaran, begitu juga buah keranji yang dimaksudkan juga hanya sesekali bersua. Kebetulan ketika berjalan di pasar malam, ternampak orang menjual buah keranji, sengaja saya beli untuk ditunjukkan kepada anak-anak yang tidak mengenali apa itu buah keranji.



Mereka teruja untuk mencuba, tetapi tidak menarik minat mereka kerana rasanya yang agak masam. Masam-masam manis rasa isinya.



Dan ini adalah bijinya. Seakan-akan biji asam jawa.

Thursday, October 22

Kereta Baru


Ketika suami menjemput kami anak-beranak pulang dengan Wira buatan 1993 ke rumah, adik bersuara,

"Abah, beli la kereta baru sikit"

"Kenapa?" abahnya bertanya,

"Beli la kereta yang tinggi sikit, yang besar sikit", adik bersuara lagi

"Abah beli la kereta kaler hitam" tambahnya lagi

"Pasai pa hitam", tanya abahnya lagi

Diam. Tidak bersuara.

"Abah, beli la kereta macammmm..... " sambil mencari-cari kereta yang ingin dijadikan reference.

Lantas saya teringatkan artikel yang saya baca di Saifulislam.com. Tersenyum saya dibuatnya. Begitulah anak-anak, nampak kereta orang baru, atau besar, mulalah menyuruh kita, ibubapa untuk membelinya. Hmmm....

Ketika makan popcorn yang dibeli, adik tertumpahkan sedikit ke lantai kereta. Abahnya mengomel,

"Kereta abah berselerak saja dengan makanan, tak larat nak vacuum, sebab tulah abah tak mau beli kereta baru"

Hehehe... adik terdiam.

Wednesday, October 21

Tanah Suci, Doa dan Jodoh


Saya bertemu jodoh agak lewat di usia 28 tahun. Bukan tidak berusaha, doa tidak putus-putus dipanjat kepadaNya, bukan sedikit airmata yang tumpah dan ada ketika juga berputus asa. Namun, di sebalik kelewatan itu, terselit hikmahnya di mana saya dapat memperbaiki kelemahan diri sebelum berkongsi hidup bersama seorang insan yang bernama suami.

Itu bukan kisahnya. Kisahnya adalah doa dari sahabat/teman yang kita tidak ketahui. Setelah saya khabarkan saya akan berumahtangga selepas 4 bulan mengenali seorang lelaki ternyata mengejutkan teman-teman. Manakan tidak, tiada "tanda-tanda" yang saya sedang ber"kawan" dengan seseorang yang istimewa ketika itu. Setelah kad undangan diedar kepada teman-teman dan jemputan dihulur, seorang kenalan semasa berkursus yang lebih bersifat bapa kepada saya menyatakan yang dia ada mendoakan saya supaya bertemu jodoh ketika menunaikan fardu haji pada tahun itu. Begitu juga seorang teman di pejabat, beliau mengerjakan umrah serta mendoakan saya supaya bertemu jodoh. Subhanallah, langsung tidak saya ketahui dan saya tidak juga meminta mereka mendoakan saya. Alhamdulillah. Sesungguhnya doa seorang sahabat pada sahabat yang lain tanpa diketahui sangat makbul. Baya sangat terharu dengan doa tulus mereka.

Doa itu senjata orang mukmin. Kita tidak pasti bila doa kita akan dimakbulkan namun jangan berhenti berdoa dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Monday, October 19

Permainan Dulu-dulu


Dulu ketika saya masih kecil, "skipping rope" dikarang daripada gelang getah. Selain dibuat "skipping", ia juga digunakan untuk bermain "zero point". Seronoknya bermain di bawah rimbunan pokok rambutan. Sekarang ini, banyak masa anak-anak dihabiskan di taman permainan, bermain gelungsur, buaian, serta jongkang-jongkit.

Untuk mengingatkan mereka tentang permainan saya dahulu, saya buatkan seorang satu "skipping rope" yang diperbuat dari gelang getah. Mereka teruja. Melompat-lompat di dalam rumah. Takut-takut tersangkut kipas siling pula. Hehehe. Syaratnya, jangan bermain di dalam rumah, hanya dibenarkan melompat di hadapan rumah terutamanya kakak yang talinya lebih panjang dari adik.

Sunday, October 18

توليسن جاوي

توليسن جاوي سماکين ترڤيڠݢير. باݢايمانا جک ساي منوليس د دالم بلوݢ اين د دالم توليسن جاوي؟ ساي جوݢ سوده لاما تيدق ممباچ دان منوليس د دالم حروف جاوي. بهاس القرءان تيدق سام دڠن توليسن جاوي کران ترداڤت حروف-حروف ترتنتو يڠ تيدق ترداڤت د دالم بهاس عرب تتاڤي اد د دالم توليسن جاوي، چونتوهڽ حروف ڤ، ڠ دان ݢ.

ماريله کيت سام-سام ممڤرکاسکن کمبالي توليسن جاوي.

Dunia Kanak-kanak - Main


Saya rasa, apa yang difikirkan oleh kanak-kanak adalah bermain. Ketika berkunjung ke Jusco Seberang Perai, kebetulan Dutch Lady bersama Astro menganjurkan aktiviti untuk kanak-kanak. Memandangkan susu adik sudah kehabisan, saya mengambil kesempatan membeli sepeket susu adik di situ. Dengan pembelian itu, mereka dapat menyertai satu permainan yang dipilih. Adik keberatan untuk turut serta di dalam aktiviti tersebut, sudahnya, kakak yang teruja untuk menyempurnakan aktiviti tersebut.


Masing-masing teruja bergambar dengan karakter kartun kesukaan mereka.

Saturday, October 17

Mengasah Ilmu

Ketika sedang santai, saya menyiapkan teka silangkata yang terdapat di dalam majalah "Millenia". Soalan-soalannya berkisar tentang fardu ain, feqah serta sejarah islam. Ada soalan-soalan yang saya rasa kakak telah pelajari di sekolah, jadi, bersambilan saya menyiapkan soalan teka silangkata itu, saya bertanyakan kakak tentang jawapan kepada soalan tertentu. Sudahnya, kakak mengambil majalah tersebut dan cuba menyelesaikan silangkata tersebut. Bagus juga, sambil-sambil santai menyiapkan silangkata, kakak dapat "mengulangkaji" pelajaran agama untuk peperiksaan minggu hadapan.



Thursday, October 15

Pesanan seorang ketua


Selalunya, bonda akan berpesan kepada puterinya sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Selain dari nasihat mak, ketua saya yang berbangsa cina yang menganggap saya seperti anaknya turut berpesan kepada saya :

Di dalam apa jua keadaan, utamakan suami kerana isteri adalah menjadi hak suaminya selepas berkahwin.

Hormati dan dahulukan ibu mertua sebagaimana kita menghormati ibu sendiri.

Jangan buat sesuatu yang tidak disukai suami.

Ini adalah intipati dari perbualan kami berkisar tentang perkahwinan. Sehingga sekarang, walaupun saya tidak lagi bekerja di bawahnya, sekali-sekala kami akan berutus kabar di antara satu sama lain. Begitu juga dengan bekas rakan-rakan sekerja. Ketika saya melahirkan anak yang pertama, dan secara kebetulan beliau berada di Pulau Pinang, beliau sempat mengunjungi saya. Ketika berkesempatan ke Kuala Lumpur, saya juga cuba mengunjungi beliau dan teman-teman di pejabat lama.

Itulah tempat kerja saya yang pertama yang bertahan selama 5 tahun 4 bulan. Kenangan itu masih lagi kukuh bersemadi di dalam diari kehidupan saya.


Wednesday, October 14

Ada yang tak kena?


Sehari 8956 yang menjengah? apabila dilihat kepada "live traffic" macam sedikit aje... beberapa kali di "refresh" pun begitu... ada masalah di situ agaknya....

Manfaatkan Masa

Suatu hari ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Adik dengan "khusyuk"nya membaca suratkhabar tanpa suara. Rupa-rupanya dia asyik "membaca" kartun di suratkhabar itu.


Beria-ia dia "membaca" suratkhabar. Jangan terkejut, adik cuma baru mengenal huruf A, B dan belum lagi pandai membaca. Itu hanyalah "aksi" spontan adik yang konon-kononnya pandai membaca.


Saya pula? Sibuk memeriksa kertas kuiz pelajar saya. Bermanfaat juga masa, dengan mulut berbual, tangan bergerak memeriksa kertas.

Tuesday, October 13

Makan-makan (3)

Saya kecewa! Teman yang tidak pernah berpisah dengan saya ketika kemana-mana saja tertinggal di rumah. Terpaksalah saya mengambil gambar menggunakan kamera telefon bimbit yang agak kurang kualitinya. Hmmm. Ini jamuan hari raya peringkat jabatan yang diadakan pada Ahad lepas.



Kelakar melihat adik ketika menyuapkan kakaknya, dia sendiri ternganga ketika menyuapkan bihun sup ke mulut kakak.


Pencarian si cilik yang berbaju menepati tema raya. Siapa pilihan anda? Pemenang pertama, si cilik berbaju hijau di kanan sekali, kedua - kakak serta ketiga, jejaka berbaju melayu sampin ditengah-tengah.

Monday, October 12

Makan-makan (2)

Nampaknya selagi syawal belum habis, selagi itu undangan jemputan rumah terbuka masih diterima. Minggu ini, masanya untuk memenuhi undangan jamuan raya taman perumahan kami, jabatan serta rakan kerja. Sabtu lepas, taman perumahan kami mengadakan jamuan raya.



Di dalam kekalutan orang ramai, saya "kehilangan" kakak dan abahnya. Saya hanya menjamah ini ...


dan ini....


Adik makan bihun...


Ada juga cabutan bertuah pada malam tersebut, tetapi ternyata kami tidak bertuah untuk malam itu hehehe.

antara tetamu yang hadir

Saturday, October 10

"Roti John" versi Roti Bakar

Anak-anak agak memilih apabila melibatkan sayur-sayuran seperti tomato dan sayur-sayuran hijau. Kadang-kadang mereka makan sayur-sayuran itu, ada ketika, dikais ketepi kesemua sayuran yang berada di dalam makanan. Di dalam nasi goreng, saya akan mencincang halus bawang tumisan, lobak atau kubis. Begitu juga daging atau ayam, saya akan hiris halus supaya mereka terus menyuap tanpa dikuis ke tepi segala bahan-bahan tersebut.

"French toast" sudah biasa dibuat. Namun, berkeping-keping "french toast" tidak begitu mengenyangkan. Teringatkan anak-anak menggemari "roti john", saya cuba mengubahsuai "roti john" versi saya - roti bakar.


Bahan-bahan yang saya masukkan, telur, sosej, tomato, bawang, lada hitam serta garam secukup rasa. Tomato, bawang serta sosej saya cincang halus supaya tidak kelihatan di mata anak-anak hehehe. Bahan-bahan diubahsuai mengikut citarasa atau bahan-bahan yang sedia ada untuk dimasak!



Sepertimana "roti john", telur dan segala bahan-bahan diletak di atas kuali leper setelah dipanaskan mentega, kemudian diletakkan roti. Hasilnya "roti john" versi roti bakar! hehehe. Untuk merasai kepedasan, letakkan sos cili, atau suka, boleh juga diletakkan mayonis. Terpulang!

Dua keping saya jamah, sudah kekenyangan berbanding "french toast". Sekurang-kurangnya tomato, bawang yang tidak disukai oleh anak-anak terus masuk ke perut mereka tanpa dikuis ketepi!

Friday, October 9

Makan-makan, Sembang-sembang


Terasa lamanya tidak makan-makan serta berbual-bual santai dengan teman-teman sekerja. Walaupun berada di aras yang sama, namun, ada ketika, hanyalah "hi hi dan bye bye" sahaja memandangkan jadual kuliah yang tidak sama di antara satu sama lain, itupun terserempak ketika seorang sedang dalam perjalanan ke kuliah dan yang seorang lagi dalam perjalanan pulang dari kuliah.


Bila salah seorang rakan mencadangkan untuk dibuat jamuan raya untuk penghuni aras yang sama dari pelbagai jabatan dan fakulti, maka cadangan terus dipersetujui serta dengan persetujuan ramai, beberapa kumpulan telah dibentuk untuk menganjurkan jamuan pada hari yang dipilih.




Menu pada jamuan yang pertama, soto ayam dengan bahan-bahannya, makaroni goreng, ketupat dan rendang ayam, kek pisang, kek buah, kuih raya serta sirap bandung.



Sebenarnya, menu jamuannya tidak begitu penting, tetapi yang paling penting dapat beramah-mesra sesama rakan.

Thursday, October 8

Tiada sesuatu yang Mustahil

Tiada sesuatu yang mustahil berlaku dengan izin Allah. Kejadian sebegini telah berlaku di beberapa tempat.

Ketika rakan memberitahu kejadian yang berlaku di sebuah rumah di taman perumahan yang berjiran dengan UiTM Jumaaat lepas, tidak semena-mena bulu roma saya berdiri tegak. Bukan takut, bukan seram, tetapi...Subhanallah.. ini semua kuasa Allah.

Maka berpusu-pusulah manusia dari segenap pelusuk membanjiri rumah itu untuk melihat sendiri kejadian "aneh" itu.

Saya sengaja "mencuit" suami, saya beritakan tentang kejadian ini dan mencadangkan suami supaya pergi melihatnya (sekadar ingin melihat reaksinya, padahal, saya sudah tahu jawapannya hehehe). Beliau lebih suka melihat kejadian ini dari sudut yang berlainan, apakah maksud tersirat di sebalik kejadian ini?







Gambar-gambar ini diperolehi dari emel dari seorang rakan di UiTM.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin