Tuesday, June 30

Warkah Anakanda 1

Surat pertama yang dikirim setelah seminggu tiba di Madison. Surat bertarikh 24 Januari 1994 itu tiba ke pangkuan keluarga saya pada 2 Februari 1994. Ketika itu, saya masih menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran serta pembelajaran yang baru bagi saya.

------------------------------------------------------------
Anakanda Hasfazilah Ahmat
1301 Spring St #501
Madison, WI 53715
USA
(608) 251 xxxx

24/1/94


Assalamu'alaikum wbt

Ayahanda & bonda,

Apa khabar sekarang? Diharap ayahanda & bonda berada di dalam lindunganNya selalu. Anakanda di sini Alhamdulillah...sihat walafiat, janganlah dirisaukan anakanda di sini.

Untuk pengetahuan ayahanda & bonda, anakanda ambik 4 subjek semester ni, Mathematics, Statistics, Food Science & Economics. Memandangkan anakanda ambil Double major, kena ambik Statistics. Tempat ni selamat, salah satu tempat yang terselamat di US sebab Wisconsin-Madison ni bolehlah dikatakan kampung. Sini kebanyakannya student & lecturer sebab Madison ni kampung Universiti. Jadi, janganlah dirisaukan tentang keselamatan anakanda. Jalan sorang diri pun InsyaAllah orang tak kacau. Nak buat macamana sebab kelas jauh-jauh pulak tu semua Mat Saleh & Cina & banyak lagi (tapi bukan Melayu), susah nak buat kawan sebab masuk kelas, dengar lecture, lepas tu keluar kelas, pergi kelas lain. Lecturer pun tak kenal students sebab ramai sangat. Nanti lama-lama boleh kenallah kot.

Tadi baru buat plan of study, InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang, December 95 dah habis lah. Itupun kalau diluluskan sebab dah atur semua subjek yang nak diambil, takut tak cukup depa punya requirement. Doa ajelah supaya cepat habis, senang sikit. Balik nanti fikir nak sambung terus ke tak. Hari Sabtu ni ada perjumpaan dengan MSD (Malaysian Student Department). Bank account dah buat, anakanda masukkan $xxxx duit yang JPA bagi tu & duit (travellers cheque) yang kita punya.

Kalau ayahanda & bonda nak telefon, tolak 14 jam dengan waktu Malaysia untuk waktu di sini. Kelas hari Isnin & Rabu habis pukul 3:40, lepas tu nak jalan balik lebih kurang 15 - 20 min. Hari Selasa & Khamis 10:30 dah habis kelas, hari Jumaat habis 2:30 petang.

Rasanya itu saja yang dapat anakanda tulis. InsyaAllah, kalau ada kelapangan nanti anakanda akan telefon.

Wassalam.

Anakanda yang jauh,
(signed)

-------------------------------------------------------------------------------------------
Nota: Maaf, bahasa yang digunakan bukan bahasa baku dan bercampur-aduk kerana ianya gaya saya bercakap dengan mereka...

Monday, June 29

Hari Keluarga

Sesekali beriadah di luar, seronok rasanya. Sabtu lepas, kami satu jabatan berkonvoi ke Jerejak Resort & Spa untuk menghadiri hari keluarga. Suasana yang jauh dari kebisingan amat mendamaikan. Sukaneka di pantai yang redup dengan pohon-pohon rendang mengembirakan semua orang. Paling teruja adalah kanak-kanak yang tiada seorang pun pulang dengan tangan kosong.

jeti feri ke Pulau Jerejak

adik dan kakak berlatarbelakangkan jambatan Pulau Pinang

pemandangan jeti dari atas feri menuju ke pulau

sukaneka anak gorilla, kelakarnya...

mengisi air di dalam botol

mencari "harta karun"

bowling kelapa

adik mewakili kumpulannya mengambil hadiah

acara yang paling mengembirakan anak-anak

Semua pulang dengan tersenyum gembira dan kepenatan!

Sunday, June 28

Buah Jentik

Sudah agak lama tidak merasai buah jentik. Buah jentik adalah dari famili Euphorbiaceae. Ketika saya masih kanak-kanak dahulu, buah jentik senang diperolehi di sekitar kampung. Cara memakannya perlu menjentik kulitnya, dan terbukalah kulitnya. Isi buahnya sangat kecil, masam-masam manis dan terus ditelan dengan biji-bijinya.

segugus buah jentik harganya RM3

kecil saja buahnya

isi di dalamnya seperti buah rambai

buah yang sudah terkeluar dari kulitnya

Saturday, June 27

Sahabat Pena

Ketika di sekolah rendah, saya amat gemar menyertai kuiz atau peraduan yang disiarkan di dalam Majalah Kanak-kanak (ketika itu). Ketika di dalam darjah 4, saya telah memenangi satu peraduan teka-teki bersama dengan beberapa orang lagi. Hadiahnya? RM20 seorang. Seronok bukan kepalang. Maka bermulalah kiriman demi kiriman surat dari merata pelusuk Malaysia untuk berkenalan serta menjadi sahabat pena. Di dalam era 80'an, saya belum "berkenalan" lagi dengan emel, internet dsbnya. Hanya kertas, sampul surat dan setem menjadi penghubung kepada kenalan-kenalan lain. Alangkah gembiranya hati menerima berpucuk-pucuk surat sehari, seperti artis pula....

Di kalangan sahabat-sahabat pena ini, hanya SEORANG saya masih berhubungan sehingga kini. Yang lain-lain, hilang ditelan peredaran masa. Pada awal perkenalan, hanya surat-surat penyambung bicara. Nombor telefon bertukar di kertas, namun, belum sampai ketika dan saat untuk bersuara. Setelah bertahun-tahun berkenalan, hanya surat bisu, hadiah dan kad dikirim pengganti diri. Setiap kali tiba hari lahir dan hari raya, selalunya beliau menjadi orang yang pertama untuk mengirimkan kad atau hadiah kepada saya.

Ketika saya meneruskan pengajian di luar negara, kami masih berhubung melalui surat. Berkajang-kajang kertas dikarang sehinggakan teman-teman serumah saya mengesyaki yang saya sedang "bercinta". Begitu juga dengan ayahnya, menyangkakan yang setiap kiriman-kiriman surat dari luar negara adalah dari teman lelakinya. Saya ketawa apabila di dalam salah satu suratnya menceritakan yang ayahnya terkejut kerana rupa-rupanya teman yang selalu berutus surat dengannya adalah perempuan! Ingatkan boleh juga bermenantukan seorang yang berlulusan dari luar negara... hehehe.

Seiring dengan perkembangan zaman, ketika saya bekerja, surat tidak lagi dikirim tetapi berita demi berita disampaikan melalui emel dan MSN messenger. Boleh dikatakan di dalam sehari, pasti emel darinya diterima dan sudah pasti, balasannya juga segera. Jika tiada, tidak senang duduk dibuatnya, seperti orang bercinta lagaknya. Hanya selepas 14 tahun berhubungan, barulah tiba ketika dan saatnya untuk bersua muka, padahal, kami berdua berasal dari satu negeri. Mungkin sebelum ini belum bertemu kekuatan untuk bersemuka biarpun berkeping-keping gambar sudah dikirim sepanjang tempoh itu. Pertemuan pertama di rumahnya, masing-masing membisu, nampaknya surat dan emel lebih berperanan di dalam menyampaikan segala rahsia hati. Alhamdulillah, selepas kunjungan pertama itu, persahabatan kami menjadi bertambah erat. Hampir kesemua rahsia peribadi dikongsi bersama. Baginya saya menjadi tempat meluahkan segala kepedihan yang melanda dirinya ketika itu.

Jika tidak kerana komputernya bermasalah, kemungkinan emel demi emel tetap saya terima darinya sehingga kini. Namun, memandangkan masing-masing mempunyai komitmen yang tersendiri, kiriman berita tidak lagi sekerap dahulu dan sekarang ini, persahabatan ini dihubung dengan telefon serta sistem pesanan ringkas (SMS). Mungkin anugerah dari Allah, walaupun ketika beliau dilanda kesedihan dan kegembiraan dan tidak memberitahu saya, tetapi saya seakan-akan terpanggil untuk menghubungi beliau dan secara tidak langsung, saya dapat mengetahui keadaannya.

Katanya kepada saya, sayalah sahabat sejatinya dan dia tidak akan melupakan saya sehingga ke akhir hayatnya walaupun ada ketikanya saya merasakan seperti saya tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai sebenar-benarnya seorang sahabat.

Semoga Allah mengekalkan persahabatan yang sudah menjangkau 26 tahun ini, bukan saja sehingga di penghujung hayat kami, tetapi disambung oleh anak-anak di kemudian hari.

Friday, June 26

Khabarkan berita gembira itu...

Saya tumpang gembira!

Dua hari lepas saya mendapat perkhabaran dari seorang sahabat lama yang beliau akan menimang cahayamata pertama di dalam tempoh yang terdekat ini. Perkhabaran gembira setelah bertahun menunggu kehadiran si kecil penyeri rumahtangga. Saya pula yang sangat teruja jadinya. Tahniah teman! Semoga dipermudahkan di dalam proses kelahiran nanti.

Semalam pula, perkhabaran gembira dari seorang sahabat yang beliau akan menempuh gerbang perkahwinan tidak lama lagi. Saya sangat bersyukur kerana kesabaran dan ketabahannya menempuh liku-liku kehidupan serta tidak putus-putus bermunajat, akhirnya doanya dimaqbulkan Allah. Kedengarannya dia amat bahagia sekali ketika ini. Alhamdulillah. Kan jodoh tidak mengenal sesiapa dan datangnya juga tidak diduga...

Kedua-dua mereka sangat dekat di hati saya walaupun di dalam kesibukan dengan hal-hal dunia, dan jarang-jarang berutus berita, ingatan pada mereka tidak pernah padam. Semoga Rahmat Allah sentiasa melimpahi hidup mereka.

Thursday, June 25

Warkah Anakanda

Ayahanda saya pulang ke Rahmatullah pada 1 Jun 2006. Sudah 3 tahun dia meninggalkan kami, namun, kenangan bersamanya tetap segar di dalam ingatan. Sesudah jenazah selamat disemadikan, pada sebelah malamnya kami berkumpul serta meninjau kabinet yang menyimpan segala surat-menyurat dan dokumen penting untuk diuruskan jika masih belum diselesaikan. Satu persatu fail dan kertas, surat menyurat diselak. Airmata saya mengalir perlahan apabila saya melihat segugusan surat-surat saya ketika masih belajar ijazah pertama di Amerika Syarikat pada tahun 1994 - 1995 masih tersimpan rapi di antara helaian-helaian dokumen yang ada. Bukan itu saja, sampul surat juga diklipkan sekali beserta tarikh diterima. Setiap surat itu ditandakan dengan nombor turutan 1 - 10, bilangan surat yang dikirim sepanjang tempoh 2 tahun saya di sana. Surat terakhir yang diterima adalah 17 Oktober 1995, 2 bulan sebelum saya kembali ke tanahair. Itulah ayahanda saya, sekecil-kecil kertas serta surat, akan disimpannya dengan rapi.

Satu persatu surat-surat yang ada bertulis tangan dan bertaip itu saya ulang baca dan airmata semakin deras mengalir. Surat-surat itu masih saya simpan sehingga kini.

Sewaktu blog ini diwujudkan, saya ingin mengabadikan coretan itu agar ianya masih dapat ditatap oleh anak-anak saya di kemudian hari, supaya mereka dapat mengetahui, bahawa, internet masih lagi tiada di dalam kamus kehidupan orang kampung. Ketika itu, jaringan internet tidak begitu meluas seperti sekarang, dengan emel, facebook, tweeter, friendster, flixster dan bermacam-macam lagi. Sekali klik, sampailah berita dari benua Eropah ke Asia hanya dalam sesaat. Video dan gambar, segera dapat dilihat oleh keluarga di tanahair tidak seperti 10 tahun lampau. Agaknya generasi muda sekarang tertanya-tanya, bagaimanalah agaknya kita dapat "hidup" tanpa internet? hehehe.

Wednesday, June 24

Kek Batik

Baru-baru ini kakak meminta saya memasak kek batik untuknya. Katanya sudah lama dia tidak merasa kek batik itu. Ahad lepas, saya menunaikan permintaannya, dan isninnya, kek batik sebagai bekalan kakak dan adik ke sekolah. Adik memanggilnya "kain batik", kami sempat ketawakan adik. Resepi yang saya perolehi dari kakak saya amat ringkas dan mudah disediakan. Anak-anak dan anak-anak buah saya amat menggemarinya.


Bahan-bahannya:

1/3 buku butter (lebih kurang 83gm)
1/2 cawan koko (saya gunakan Van Houten)
1 tin susu pekat
1 bungkus biskut marie
badam/kacang hancur
loyang

Cara-caranya:

1. Cairkan butter dengan api yang perlahan.
2. Setelah cair, masukkan koko dan kacau sehingga sebati dan tidak berketul.
3. Masukkan susu pekat dan kacau sehingga mendidih (dengan api yang perlahan).
4. Tutup api, dan masukkan kepingan biskut marie yang telah dipatah-patahkan dan gaul sehingga sebati.
5. Akhir sekali, masukkan ke dalam loyang (saya gunakan kertas aluminium sebagai alas) dan tekan sehingga padat. Taburkan kacang/badam hancur di atasnya jika suka (saya juga mencampurkan sedikit badam semasa menggaul biskut marie - terpulang pada citarasa).
6. Sejukkan di dalam peti sejuk dan hidangkan.

Memang sedap! Cubalah....(yang di atas, gambar lama. Gambar baru tidak sempat diambil, sudah habis dimakan! ^_^)

Percaya atau Tidak? - 2

Disakat oleh toyol (?) ketika kecil bukanlah perkara terakhir yang berlaku di dalam hidup saya. Sewaktu sedang menuntut di peringkat persediaan di peringkat ijazah pertama, saya masih lagi menerima gangguan dari makhluk yang tidak kelihatan ini (makhluk halus).

Kata ustaz, jika kita pernah mengalami gangguan dari makhluk yang tidak berjisim ini, maka badan kita seakan sudah mempunyai lorong atau denai untuk mereka memasuki lagi. Dan cara untuk menutup denai tersebut adalah melalui zikir, doa, selawat serta ayat-ayat Al-Quran yang boleh digunakan sebagai pendinding.

Ketika di asrama Seksyen 18, Shah Alam dahulu, saya juga pernah diganggu di bilik yang saya diami. Hairannya, teman-teman serumah tidak pula diusik, agaknya "penghuni" itu meminati saya..hehehe. Gangguan tersebut akan muncul sekitar jam 12 - 3 pagi. Kebiasaannya saya sudah tidur waktu itu, kecuali teman sebilik, Ija yang masih berjaga untuk belajar. Ketika inilah gangguan demi gangguan akan saya terima, antaranya dihimpit sehingga tidak dapat bernafas. Ayat-ayat Quran serta Kursi yang dibaca seakan tidak lut untuk memecahkan gangguan itu. Jika melihat saya dalam keadaan yang tidak menentu itu, Ija sudah sedia maklum untuk mengejutkan saya kerana saya sudah berpesan padanya.

Ada satu ketika saya terpandang lembaga hitam di sebelah saya ketika bergelut untuk melepaskan diri dari gangguan. Hanya pada Ija saya ceritakan masalah gangguan ini, bimbang rakan-rakan serumah yang lain takut untuk tinggal di situ. Pada keluarga juga tidak diceritakan peristiwa ini.

Selepas melalui gangguan demi gangguan dan agak tertekan, saya pasrah dan memberitahu keluarga tentang gangguan ini. Rupa-rupanya saya diganggu oleh penunggu rumah/bilik yang saya diami itu. Alhamdulillah, selepas diberi air penawar serta mengamalkan beberapa ayat Al-Quran, akhirnya gangguan itu hilang.

Seperkara lagi tentang gangguan yang tidak kelihatan ini, kaedah perubatan biarlah secara terang-terangan menggunakan ayat-ayat Quran melalui ustaz-ustaz yang dipercayai, bimbang nanti, kaedah-kaedah yang digunakan bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Tuesday, June 23

Sedih....

Semalam sewaktu menanti baju-baju selesai dicuci, saya sempat menonton telemovie tempatan bersama adik di Astro Oasis yang bertajuk Banifsha, yang memaparkan penderitaan rakyat dan anak-anak di wilayah bergolak Afghanistan dengan pengeboman di sana sini.

Banifsha, seorang anak Afghanistan yang kehilangan ayah dan ibu dibawa ke Malaysia oleh seorang Dr yang bertugas di sana di bawah UNICEF. Penderitaannya berakhir dengan kematian kerana kecederaan di kepala yang dialami di tanahairnya.

Sepanjang telemovie ini berlangsung, adik bertanya itu ini dan saya terangkan kepadanya apa yang berlaku di sana. Agaknya adik dapat menghayati drama itu dengan sepenuh hati sehingga ketika babak Banifsha menghembuskan nafas terakhir, saya terkedu melihat adik mengesat matanya.

"Adik mengantuk ke" dia menggeleng
"Adik nangis ye?" dia tersenyum malu. Ternyata dia menangis dalam diam.

Tidak disangka seorang anak yang berusia 4 tahun merasa sedih dengan paparan drama tersebut. Ternyata jiwa halus adik agak sensitif dengan suasana yang berlaku.

Teringat kembali ketika cikgu taska mengumumkan keputusan peperiksaan pertengahan tahun mereka. Ketika saya mengambil adik dari tadikanya, cikgunya memberitahu, adik menangis ketika cikgu memberitahu nombor yang diperolehi adik adalah nombor 12 sedangkan kawan-kawan lain tidak kisah dengan keputusan mereka.

"Adik nangis pelan" katanya

Hehehe... saya katakan padanya, "tak pa, adik kecik lagi". Dia tersenyum.

Sunday, June 21

Rakan Lama

'Pertemuan' dengan rakan-rakan lama di alam maya sangat mengembirakan saya. Sekarang ini saya sudah dapat menjejaki rakan-rakan sekolah rendah, menengah dan universiti, dan setiap kenangan di setiap peringkat pengajian adalah pelbagai. Seronok berbual semula di alam maya mengimbau kembali zaman-zaman yang sudah berlalu mengingatkan saya betapa masa sudah lama berlalu dan tidak akan kembali lagi. Sekarang ini zaman anak-anak merasai peristiwa suka-duka di alam persekolahan.

Friday, June 19

Saat yang Indah


Indahnya langit ketika ini, dipancari cahaya kejinggaan dilatari dengan langit yang membiru

Thursday, June 18

Percaya atau Tidak?

Ketika menonton siri e-toyol.com, siri terbaru di TV3 dan TV9, saya terkenangkan kisah ketika saya masih kecil, sekitar 4 - 5 tahun, saya tidak pasti, tetapi saya masih ingat lagi peristiwa diganggu makhluk kecil (toyol?).

Ketika itu, saya mengidap demam panas. Ketika sedang berbaring di atas katil, saya ternampak seorang(?) budak kecil yang bertelanjang bulat serta botak kepalanya berada di alang rumah. Saya memanggil mak dan beritahu kewujudan budak tersebut. Mak tidak pula nampak apa-apa di situ. Adakah khayalan atau imaginasi saya? atau mungkin kerana saya seorang yang lemah semangat maka dijelmakan di depan saya makhluk yang tidak dapat dilihat manusia lain. Mak lantas mengambil penyapu lidi dan di acukan ke "makhluk" tersebut dengan mengikut arahan saya (kerana saya seorang saja yang nampak). Sudahnya "makhluk" tersebut hilang ghaib entah ke mana.

Alhamdulillah


Setelah bertungkus-lumus menyiapkan dissertasi saya, Alhamdulillah, semuanya telah selamat diserahkan kepada pusat pengajian. Perancangan awal untuk menyudahkan naskhah akhir berkulit keras tergendala kerana cetakan di depan muka hadapan dissertasi tersebut senget. Alhamdulillah, jangka masa tarikh akhir penyerahan masih panjang, kami minta orang kedai itu membetulkannya semula. Akhirnya, pada 8/6 segalanya selamat diserahkan kepada pusat pengajian, 4 hari berbaki ke tarikh akhir penyerahan. Alhamdulillah...

Monday, June 15

Gambar-gambar terpilih

gabungan biru, hijau, dan kekuningan pasir

menuju ke puncak

air lampu air lampu


temanku si bulan

Apa yang dimenungkan beruang matahari ini?

Flamingo berkaki satu

di mana rosaknya?

Sunday, June 14

Allah tidak Izin

Inilah yang dinamakan takdir. Entah bagaimana, saya begitu yakin kenduri salah seorang rakan sekerja adalah pada hari ini, 14hb. Sewaktu melihat kad jemputannya, terakam di dalam kotak ingatan 14hb. dan saya telah meletakkan tarikh tersebut ke dalam PDA saya. Lokasinya tidak begitu jauh, dan tempat yang selalu dilalui, jadi kad tidak dibawa sekali.

Tengahari tadi, setelah 2, 3 pusing di lokasi yang dinyatakan, tidak juga berjumpa dengan kendurinya. Pelik! Suami mengandaikan kendurinya semalam setelah melewati satu dewan yang masih ada khemah, tetapi kelihatan majlis sudah selesai.

Balik ke rumah, lihat semula kadnya, hmmm, 13hb., memang di dewan tersebut. Tentu ada hikmah di sebaliknya yang kita tidak ketahui.

Friday, June 12

Port Dickson

Selesai menjelajah muzium-muzium di Melaka, kami berangkat pulang. Bukan bererti pulang ke rumah dalam erti kata sebenar hehehe. Persinggahan terakhir adalah Port Dickson. Kali ini cuma ingin memuaskan hati anak-anak bermain air. Setelah pencarian dilakukan melalui internet, Tiara Beach Resort menjadi pilihan kerana taman tema airnya. Tidak banyak yang dapat dikatakan, tetapi secara peribadi, setelah menjejakkan kaki ke sini, saya tidak akan kembali semula ke sini jika diberi pilihan. Kakak mengatakan Wet World Shah Alam lebih menarik berbanding di sini.





Bilik yang mengadap swimming pool


Singgah di Pantai Telok Kemang untuk mengambil gambar


Setelah check-out pada hari berikutnya, terus ke Shah Alam untuk mengambil anak buah di UiTM. Sempat singgah di PKNS untuk pekena sate.


Secara keseluruhan, walaupun tidak dapat ke semua tempat bersejarah di Melaka, tetapi, kebanyakan tempat yang menjadi tumpuan telah dikunjungi. Entah bila lagi akan sampai ke Melaka dan Negeri Sembilan lagi!

Muzium Samudera

Muzium Samudera terletak tidak jauh dari Menara Taming Sari dan hanya beberapa minit berjalan kaki, kami sudah sampai di sana. Muzium Samudera terbahagi kepada beberapa fasa, Muzium Samudera fasa pertama (model lama kapal Flor De Lamar) dan Muzium Samudera fasa kedua. Muzium TLDM juga terletak berhampiran dengan Muzium Samudera Flor De Lamar. sumber

Muzium Samudera I



Pameran di bahagian bawah kapal

Pameran di bahagian tingkat atas kapal


Muzium TLDM


Bayaran masuk hanyalah RM3/dewasa dan RM1/kanak-kanak (6 tahun ke bawah percuma).

Thursday, June 11

Menara Taming Sari

Selepas check-out dari hotel, kami menuju ke Menara Taming Sari. Kakak amat teruja untuk menaiki beca mengelilingi beberapa tempat perlancongan di Bandar Hilir.




Aktiviti seterusnya menaiki Menara Taming Sari - the First Revolving “Gyro Tower” in Malaysia yang mempunyai ketinggian 210 meter (sumber). Menara ini dibuka secara rasmi pada 18 April 2008. Bayaran masuk bagi pemegang MyKad adalah RM10/dewasa dan RM5/kanak-kanak.

Eye On Malaysia dari Menara Taming Sari


Muzium Samudera

Dataran Pahlawan


Di ketinggian beberapa meter dari aras laut

River Cruise

Jangan lepaskan peluang menaiki menara ini jika anda berkunjung ke Melaka!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin