Showing posts with label farzana. Show all posts
Showing posts with label farzana. Show all posts

Friday, November 12

5 + 5 + 5 + 5 + 5


Itulah jawapan kakak ketika saya bertanyakan kedudukannya di dalam kelas.  Hehehe... pandai juga menjawab di dalam matematik, tetapi di dalam peperiksaannya, keputusannya adalah B, sipi-sipi mendapat A.  Begitu juga dengan Bahasa Inggerisnya.  Kakak sememangnya lemah kedua-dua matapelajaran ini, katanya susah. Jika susah, kenalah usaha lebih sikit...itu jawapan saya.  Secara keseluruhan, markah kakak bagi matapelajaran yang lain hampir kesemuanya 90 dan ke atas dan peratusannya di dalam lingkungan A.  Alhamdulillah.

"Abah bukan harap sangat straight A, yang pentingnya, tanggungjawab pada Allah itu yang utama.  Kalau dapat straight A tu kira bonus lah.  Sembahyang kalau culas pun, tak guna dapat semua A", begitulah jawapan abah.

Tidak kisahlah kakak bagaimana pun keputusannya, harapan abah dan ummi agar akak dapat menjunjung tinggi perintah Allah.  Tetapi, ilmu fardu kifayah tidak boleh ditolak ketepi kerana dunia Islam memerlukan seorang ilmuwan yang seimbang dunia dan akhiratnya, barulah ada kesinambungannya.  Bukan hanya sekadar pandai berhujah agama, tetapi kekurangan fakta-fakta duniawi dan begitulah sebaliknya.  Biarlah ilmu yang dipelajari itu dapat dikaitkan dengan kebesaran dan kekuasaan Allah yang memiliki ilmu tersebut.

(Nota : Tahniah kepada pelajar-pelajar, ibu bapa pelajar serta guru-guru pelajar yang memperolehi 5A di dalam UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah).  Kepada yang kurang bernasib baik, janganlah disisihkan  mereka, kerana ini hanyalah sebagai permulaan kepada sebuah perjalanan yang masih panjang.   Belum tentu di sepanjang perjalanan mereka itu akan tersangkut dan terkandas.  Masih belum terlewat untuk memajukan diri.  Belum tentu juga yang cemerlang akan cemerlang di sepanjang perjalanannya nanti.  Pastinya semua harapan ibubapa ingin melihat anak mereka cemerlang di dalam akademik, tetapi, janganlah diletakkan tekanan kepada yang kurang cemerlang.  Kelak anak-anak ini menjadi lebih tertekan dan tidak bermotivasi untuk mencapai ke peringkat yang lebih tinggi.  Allah tidak pernah memberikan A kepada setiap hambaNya, di dunia, tetapi keputusan itu hanya akan diketahui di hari pertemuan denganNya kelak).


Saturday, July 24

Seronoknya mereka

Adik sering bertanya tentang begnya yang saya tempah dari kawan saya.  Semalam saya mendapat SMS dari kawan saya itu mengatakan yang bungkusan akan dipos pada malamnya.  Tengahari tadi, kedengaran motor posmen berhenti di hadapan rumah.  Saya memberitahu adik, agaknya beg itu sudah sampai.  Sambil berlari-lari, adik mengikut abahnya ke halaman rumah.  Kemudian adik terus berlari masuk sambil memegang bungkusan sambil menjerit "yeayyyyy".  Seronok benar dia.  Lihat saja gambarnya yang tersenyum lebar, puas!



"Cantik kawan umi buat beg kat adik", komen adik sambil menyambung, "beg kakak pun cantik!".  Hehehe.





Tidak sabar-sabar dia memasukkan barang-barang ke dalam beg barunya.  Harga begnya pun belum lagi dibayar!  Hehehe.  Beg-beg ini ditempah dari sini.

Saturday, July 10

Hari Anugerah Kecemerlangan

Lama benar baru sempat saya masukkan gambar sekitar hari anugerah kecemerlangan sekolah kakak pada 3 Julai lalu.  Kakak berjaya mendapat tempat di dalam golongan 25 pelajar terbaik di dalam alirannya.  Alhamdulillah, berjaya juga kakak mendapat nombor 8 beserta hadiah matapelajaran terbaik bagi sains. 


kakak di barisan nombor 2

jurufoto cilik yang asyik mengambil gambarnya sendiri dengan kamera A550


Saya kagum dengan persembahan nasyid oleh murid-murid ini.  Lunak alunan suara bersama paluan kompang dan gendang yang dimainkan oleh mereka sendiri.


Kecil-kecil sudah merasa memakai jubah!  Semoga anak-anak ini lebih bersemangat untuk gigih berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang.


Coral speaking


Adik sangat kelakar.  Dia memegang trofi kakaknya sambil berdiri di atas kerusi panjang sambil menjulang-julang trofi seolah-olah mendapat anugerah di pentas lagaknya.  Seandainya dapat saya rakamkan saat itu, malangnya tidak! Hehehe...

Thursday, July 1

Selamat Hari Lahir yang ke-8 Kakak

Hari ini genap umur kakak 8 tahun.  Hari ini tidak sempat untuk mendapatkan kek hari lahirnya.  Mujur dia faham.  

1 hari

4 bulan

1 tahun

2 tahun - bersama sepupunya (entah kenapa tidak dapat dipusing)

3 tahun - di langkawi

4 tahun

5 tahun - ketika menjadi flower girl kepada mak saudaranya

6 tahun - bersama guru tadika

7 tahun

8 tahun


Cepatnya masa berlalu...

Saturday, May 29

Ya ALLAH!

Kedua-dua anak dara saya berada di dalam bilik mereka. Saya dengan urusan saya.  Curious dengan apa yang mereka buat di dalam bilik, saya jengah dan melihat ini. 


Aduhaiiii....lihatlah hasil kerja kakak.  Katanya adik menyuruhnya untuk potong rambut.  Ingatkan di hadapan saja, rupa-rupanya habis kiri kanan juga di'tarah'.



Puas disorok gunting, pandai juga mereka mencari.  Bagaimana hendak repair rambutnya?  Sabar sajalah....

Tuesday, May 11

Kakak Demam ++

Pada hari Sabtu, maghrib, kakak mula muntah-muntah.  Katanya kepalanya pening.  Kami dalam perjalanan ke Sg. Petani.  Ada barangan yang hendak dibeli sambil ingin menikmati RFC.  Selalunya makanan kegemaran kakak, mashed potato bersaiz besar dapat dihabiskan olehnya seorang, tetapi tidak pada malam itu.  Dalam perjalanan balik, kami singgah di klinik untuk mengambil ubat kakak yang muntah + cirit-birit + demam.  Kami suspek makanan yang dimakan kakak dicemari kuman ketika bermain ketika sukan adik berlangsung memandangkan kami sekeluarga yang lain tidak pula mengalami simptom tersebut.

Seharian Ahad kakak cuma terbaring keletihan akibat cirit-birit dan muntah.  Isnin juga begitu tetapi sudah sedikit berkurangan.  Pengalaman menunggu giliran selama 2 jam di klinik untuk mengambil surat cuti sakit kakak paling tidak dapat dilupakan.  Sewaktu nombor giliran cuma berganjak dua nombor setelah 1/2 jam menanti, kami mengambil keputusan untuk "ronda-ronda" sekitar pusat bandar Kepala Batas sambil mencongak-congak tempoh yang akan diambil untuk melepasi 22 orang lagi.  Sewaktu sampai, hanya berbaki 4 orang lagi untuk sampai ke nombor giliran kakak.  Perlu lagi menunggu sehingga 45 minit.  Hmm..... sabar sajalah.  

budak yang sakit

budak yang kebosanan menanti

Pada malamnya, kakak kelihatan segar seperti sediakala.  Cirit-birit dan muntah tiada lagi.  Tetapi pagi ini lain pula ceritanya setelah dihantar ke transit.  Hampir jam 11, cikgu transit kakak menelefon memberitahu kakak muntah lagi di transit.  Terpaksa pula membawanya ke klinik panel lain untuk mendapatkan surat cuti sakit lagi.  Dapat 2 hari lagi.  Harap-harapnya kakak sembuh seperti sediakala esok. 

Ketika saya mengalami gejala cirit-birit dulu, doktor menyarankan saya supaya minum 100 Plus atau sebarang minuman isotonik yang lain.  Ternyata ianya dapat mengurangkan masalah dehydration yang dialami ketika muntah dan cirit-birit.  Kakak juga diberi minuman ini bagi menggantikan "garam" yang perlu dicampur dengan air yang dibekalkan doktor kerana rasanya yang  kurang enak.

 

Thursday, April 15

Sembang dan Lakon

Ketika saya sedang memandu, kedengaran dialog yang seperti biasa saya dengar.

"Ini bukan biola pak cik... ini pianooooo" kata adik

"Oooo..." dia menambah lagi

"Yang ini... apa pula?" giliran kakak.... sambil menyambung

"Yang ini... bonggo.... bukan di sini, tapi di sini... bonggooooooo"


 Tiba-tiba terdengar dengkuran yang di"lakonkan" oleh adik dan kakak sepertimana di dalam filem,

"Aiiiii... mau kemana haaaa"

"Mau pergi jumpa yaaaaa..."

Ada ketika....

"Cobaaaaannnnnnnn, cobaaaaaannnnn"

(sumber : google)

Dari tua ke muda, kecil besar, sudah mengenali filem P.Ramlee.

Apabila saya memicit remote tv untuk mencari siaran, dan terkena pula filem "hitam putih", adik akan cepat-cepat meminta saya jangan menukar saluran lain.  Dia begitu teruja dengan gambar "putih".  Filem-filem lama ini sudah menjadi kegemaran adik.  Ada ketika dia akan menyanyikan, "ya insonnnnn mateq ajiiii, semaaaa ri seng!" dengan lenggoknya yang tersendiri.


Sambil memandu, saya tidak perlu lagi membuka radio untuk menempuh perjalanan selama 1/2 jam untuk tiba ke rumah!


Tuesday, April 6

Prihatin


Sewaktu mendengar tentang penularan wabak H1N1 gelombang kedua di berita tv, kakak bersuara,

"Umi, kena beli topeng muka"

"Kenapa?", saya bertanya

"Kan dah ada H1N1 gelombang kedua.  H1N2"

Hehehe.  Agaknya disangkanya H1N1 itu adalah wabak yang pertama dan gelombang kedua itu menjadi H1N2. 

Kakak...kakak...

Saturday, February 13

Sukan

Sabtu lepas, 6 Februari, sekolah kakak mengadakan sukan sekolah.  Kakak turut serta di dalam acara sukaneka untuk pelajar Tahun 2.  Untuk acara olahraga, hanya pelajar tahun 4 dan ke atas boleh mengambil bahagian. 

 sabar menanti di khemah peserta

Kakak begitu bersemangat ketika tiba gilirannya berjalan menggunakan terompah plastik.  Umi dan adiknya pula bersemangat memberi sokongan kepada kakak sehingga terlupa untuk mengambil gambar ketika kakak beraksi dengan berlari-lari anak menggunakan terompah itu.  

hampir-hampir giliran kakak untuk beraksi

bersama medal yang dimenangi (tempat ke-3)

Kakak dan pasukannya berjaya meraih tempat ke-3 walaupun pada awalnya pasukan kakak sudah ketinggalan di belakang.

Thursday, January 14

Psikologi


Satu cabaran untuk membuatkan anak-anak melakukan apa yang diarahkan kepada mereka terutamanya anak-anak kecil.  Ini berlaku kepada saya.  Saya cuba pendekatan psikologi secara bercerita untuk mengorek "rahsia" yang cuba disembunyikan oleh kakak.

"Adik tahu tak, di dalam syurga, kita boleh dapat semua yang kita nak.  Ada taman permainan, coklat, ais krim" (saya cuba memancing perhatian adik dengan menyebut benda kegemarannya)

"Ada banyak mainan ke umi?" 


"Macam-macam ada, adik nak mandi dalam kolam pun ada.  Kalau adik teringat nak makan coklat, adik boleh ambil je di mana-mana dalam syurga"

"Syurga tu cantik kan umi?" kakak menyampuk

"Cantik.... orang yang dapat pahala banyak boleh masuk syurga.  Kalau kita buat baik, malaikat di sebelah kanan catit pahala banyak untuk kita"

"Adik nak masuk syurga, umi.  Adik boleh naik basikal, makan ais krim, coklat, macam-macam lagi kan?"


"Kalau kita nak masuk syurga, kita kena buat apa kakak?"

"Kita kena rajin sembahyang, cakap sopan, buat baik."

"Pandai kakak.  Kalau ibu bapa cakap kena dengar kan?", saya memancing lagi

"Ya lah umi.  Suka tolong orang" kakak menambah

"Ya, rajin tolong orang, kalau bercakap mesti bercakap benar, tidak bohong"

"Umi, adik nak masuk syurga juga"

"Kalau nak masuk syurga, adik kena rajin pergi sekolah, tak menangis, rajin buat homework (kerana adik agak liat untuk melakukan homeworknya).  Tapi... kalau kita nak masuk syurga, kita kena mati dulu"

"Umi, adik tak mau mati lagi... ", adik bersuara.  Hehehe....

Panjang lagi perbualan antara saya, adik dan kakak.  Abahnya mendengar sambil tersenyum  ketika  mendengar perbualan yang ada ketikanya melucukan.  Nampaknya, untuk beberapa ketika, kuranglah pergaduhan di antara mereka serta apa yang disuruh agak cepat dilaksanakan!  Alhamdulillah. 

Saturday, January 9

Melayan kerenah anak ke sekolah

Sudah seminggu persekolahan bermula.  Alhamdulillah, bagi ibu bapa yang anak-anak baru menjejaki ke sekolah mungkin boleh bernafas lega seketika sebelum bergelut semula dengan rutin harian yang tidak kurang penatnya - melayan kerenah anak yang baru memasuki alam persekolahan formal. 


Hari pertama

Bermula tahun ini, kakak bersekolah pada sesi petang.  Segala rutin sebelum ini terpaksa "disongsangkan" kerana pada tahun lepas, kakak bersekolah pagi.  Pagi, kakak akan dihantar ke transit beserta pakaian seragam sekolah, beg sekolah dan beg transit untuk belajar fardu ain.  Segala macam pesanan diberikan kepada kakak  kerana ini pertama kali dia ke sekolah dari transitnya.  Alhamdulillah, urusan kakak memasuki tahun dua agak mudah kerana kakak sudah pandai berdikari.  Pada hari pertama, saya hanya menjengah untuk mengetahui di mana kelas kakak.

Hari pertama adik ke tadika, berjalan lancar.  Sebelum ini, adik berada di taska yang menjaga kanak-kanak 4 tahun ke bawah yang berada di rumah berkembar 1 tingkat di sebelah kiri.  Tadika 5 dan 6 tahun pula rumah di bahagian kanan dan hampir kesemua guru-guru tadika adik sudah pernah melihat mereka.  Memandangkan pada hari itu juga kuliah pertama bermula pada jam 8 pagi, maka, segala urusan dilakukan selekas mungkin supaya saya tidak lewat ke kuliah




Ketika mengambil kakak dan adik dari sekolah masing-masing, mulut saya becok bertanya itu ini tentang persekolahan mereka.  Adik menceritakan tentang beberapa orang rakannya yang menangis di sekolah.


"Nanti, kalau adik tengok kawan-kawan adik menangis, adik pujuklah, adik katalah, Siti kan ada," saya mengesyorkan kepada adik. 


Hari Kedua

Tidak seindah hari pertama!  Setelah menghantarkan kakak ke transit, kereta bergerak untuk ke tadika adik pula.  Ketika berhenti di hadapan tadika adik, adik yang masih tidur di dalam kereta dikejutkan.  Sambil menangis-nangis, adik bersuara,

"Adik tak mau pi sekolah, adik nak cuti!" 

"Adik kan dah lama cuti" saya cuba memujuk

"Adik tak mau pi, adik nak pi rumah tok"

Segala macam usaha untuk memujuk tidak berhasil.  Hati mula panas dengan sikapnya.  Manakan tidak, pada hari pertama, elok saja masuk ke tadika, dan beberapa orang kawannya dari taska juga berada di situ.  Cikgu tadikanya juga terkejut melihat perubahan sikap adik.

Hasil usaha untuk mendukungnya masuk ke tadika juga tidak berhasil.  Dengan kudrat 20kg nya, dia berhasil meleraikan diri dari dukungan.  Apa lagi, terbaringlah di atas jalan tar di depan tadikanya.  Dua orang guru tadika cuba mengangkatnya juga tidak berhasil.  Adik...adik... kakinya juga sedikit berdarah akibat meronta di atas jalan.

Saya menenangkan dahulu dengan membawanya ke kampus, kemudian mencetak watak kartun untuk diwarnakannya bersama kawan. Setelah memujuk lagi dengan pelbagai janji, juga tidak berhasil.  Sewaktu meninggalkannya di tadika (setelah dipegang oleh cikgu tadika), saya masih mendengar raungannya dari luar.  Terpaksa keraskan hati juga ketika itu.

Ketika balik, dengan cerianya dia bercerita,

"Umi, adik glamer lah hari ni, qeyau (nangis) di sekolah."

"Memang glamerlah... nanti orang tanya, Siti mana, Siti yang berguling atas jalan". 

Saya menambah, "Tak malu saja menangis depan  kawan-kawan"

Dia ketawa gelihati.  Geram ke tak geram?


Hari Ketiga

Sama seperti hari kedua, adik enggan ke sekolah.  Pagi-pagi lagi dia sudah memberitahu tidak mahu ke sekolah.  Baju sekolah yang dipakaikan kepadanya juga dibuka semula.  

Saya bertanya kepadanya, "Adik berikan 10 sebab kenapa adik tak mau pi sekolah"


"Budak tu suka buat adik...", jawabnya.


"Lagi?"


"Budak tu cubit adik"


"lagi?"


"Budak tu tampar adik"


"Baru tiga...", sambil menunjukkan jari saya.



"Budak tu tendang adik"


"Ok... lagi?"


Kali ini dia terdiam.  Kehilangan alasan agaknya.


Setiba di sekolah, abahnya berjaya mendukung dan memujuknya.  Tangisan masih ada, tetapi sudah berkurangan berbanding hari sebelumnya.  Ketika hendak meninggalkannya, dia memaut kaki abahnya... hehehe... ala-ala hindustan pun ada.  Akhirnya cikgu tadikanya berjaya meleraikan sambil berkata,

"Ok... nanti umi ambil awal ya"


Petang ketika mengambilnya di tadika, adik tersenyum simpul.  Katanya cikgu berikan gula-gula dan keropok pada budak yang rajin datang sekolah dan tidak menangis.  Hmmm....


Hari keempat dan kelima

Alhamdulillah, adik sendiri memberitahu yang dia akan berjalan sendiri masuk ke tadika.  Untuk dua hari terakhir minggu lalu, adik ternyata ceria semula untuk ke sekolah.  

Ini antara cebisan kerenah anak-anak kecil yang perlu dilalui oleh ibubapa ketika awal persekolahan dan mungkin juga beberapa ketika di pertengahan persekolahan.  Saya kagum dengan kesabaran guru-guru tadika melayani kerenah anak-anak yang ramai, sedangkan saya yang seorang ini pun, sudah kelam-kabut! 

Friday, December 11

Biskut "Cornflake"



Sewaktu menjalani program LDK di kampus UiTM Lendu semalam, suami mengirimkan MMS kepada saya.  Ini adalah hasil kerja kakak ketika di Muslim Kids Camp yang dihadiri kakak selama 5 hari bermula Isnin - Jumaat.  Ini adalah hasil untuk dibawa pulang kepada ibubapa.  Saya pasti kakak pun teruja dengan hasil yang dibuatnya sendiri.  Saya mohon biskut ini disimpan supaya saya dapat sama-sama merasai "air tangan" anak sendiri.

Friday, November 27

'Aidil Adha





Bangun pagi mata kakak sudah sepet di sebelah kanan.  Sah! Sakit mata!  Kami berada di rumah mak.  Aktiviti menyembelih korban ditangguhkan pada hari pertama kerana waktu yang suntuk di antara selepas solat raya dengan waktu solat Jumaat.  Adik teruja untuk melihat aktiviti penyembelihan korban, tetapi tidak kesampaian.  Dan sehari hari ini, kami hanya berada di rumah - kuarantin - menonton drama demi drama di tv untuk mengelak kakak membawa virus sakit mata ke tempat lain.

Tuesday, November 24

Tekap menekap









Melihatkan anak-anak sedang menekap lukisan di buku menggunakan kertas biasa, abah mereka membelikan kertas surih (tracing paper) untuk tujuan itu.  Ketika melihat keasyikan mereka menekap gambar-gambar di buku, terkenang ketika saya di zaman persekolahan dahulu, seronok menekap gambar-gambar dan kemudian mewarnakannya.  Zaman sudah berlalu...


Monday, November 16

Anugerah


Sabtu lepas, taska adik dan transit kakak mengadakan hari anugerah cemerlang.  Adik sangat teruja kerana inilah pertama kali dia akan mengadakan persembahan di atas pentas di hadapan orang ramai.  Teringat kembali kata-katanya dahulu ketika kakak mengadakan persembahan pada majlis graduasi tadika pada tahun lepas.

"Adik tak mau menyanyi kat atas pentas, adik malu"


tenang menunggu untuk mengadakan persembahan

Persembahan pertama bermula dengan kumpulan 4 tahun.  Kedengaran suara adik nyaring mengalunkan selawat syifa' serta lagu You're My Sunshine kerana mikrofon berada betul-betul di hadapannya!


kumpulan 4 tahun

Selesai mengadakan persembahan, adik naik ke pentas lagi untuk menerima hadiah kecemerlangan tadika 4 tahun.  Sungguh teruja sehingga tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah untuk melihat hadiahnya, sedangkan kakak masih lagi ingin menyaksikan persembahan-persembahan dari adik-adik tadika lain.






wajah riang kerana mendapat tempat pertama



Sesampainya di rumah tok, terus bersemangat untuk mewarna buku tersebut.  Di sebelah petangnya pula, kakak pula dapat naik ke pentas untuk mendapat hadiah kecemerlangan fardhu ain di transit kakak.  Agaknya kakak malu untuk mengambil hadiah dari abahnya sendiri sehingga guru besar ketawa di sisi.





anak dara ini sudah tidak mahu diambil gambarnya





aksi gembira dengan belon yang diperolehi selepas majlis selesai

Sekurang-kurangnya kakak masih bergembira mendapat hadiah untuk fardhu ain di transitnya walaupun tidak berjaya mendapat sebarang hadiah di hari kecemerlangan sekolahnya.


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin