Showing posts with label farzana. Show all posts
Showing posts with label farzana. Show all posts

Monday, October 26

Rajin

Sekali-sekala apabila "anak dara" saya (kakak) datang mood rajinnya, pinggan di sinki cuba dibasuhnya. Kedengaranlah bunyi lagaan pinggan dan sudu di dapur. Lihat sahaja hasil kerjanya, habis sinki dipenuhi sabun, lantai dapur juga basah dengan percikan air. Hmmm... apa nak dikata....



Monday, October 19

Permainan Dulu-dulu


Dulu ketika saya masih kecil, "skipping rope" dikarang daripada gelang getah. Selain dibuat "skipping", ia juga digunakan untuk bermain "zero point". Seronoknya bermain di bawah rimbunan pokok rambutan. Sekarang ini, banyak masa anak-anak dihabiskan di taman permainan, bermain gelungsur, buaian, serta jongkang-jongkit.

Untuk mengingatkan mereka tentang permainan saya dahulu, saya buatkan seorang satu "skipping rope" yang diperbuat dari gelang getah. Mereka teruja. Melompat-lompat di dalam rumah. Takut-takut tersangkut kipas siling pula. Hehehe. Syaratnya, jangan bermain di dalam rumah, hanya dibenarkan melompat di hadapan rumah terutamanya kakak yang talinya lebih panjang dari adik.

Sunday, October 18

Dunia Kanak-kanak - Main


Saya rasa, apa yang difikirkan oleh kanak-kanak adalah bermain. Ketika berkunjung ke Jusco Seberang Perai, kebetulan Dutch Lady bersama Astro menganjurkan aktiviti untuk kanak-kanak. Memandangkan susu adik sudah kehabisan, saya mengambil kesempatan membeli sepeket susu adik di situ. Dengan pembelian itu, mereka dapat menyertai satu permainan yang dipilih. Adik keberatan untuk turut serta di dalam aktiviti tersebut, sudahnya, kakak yang teruja untuk menyempurnakan aktiviti tersebut.


Masing-masing teruja bergambar dengan karakter kartun kesukaan mereka.

Saturday, October 17

Mengasah Ilmu

Ketika sedang santai, saya menyiapkan teka silangkata yang terdapat di dalam majalah "Millenia". Soalan-soalannya berkisar tentang fardu ain, feqah serta sejarah islam. Ada soalan-soalan yang saya rasa kakak telah pelajari di sekolah, jadi, bersambilan saya menyiapkan soalan teka silangkata itu, saya bertanyakan kakak tentang jawapan kepada soalan tertentu. Sudahnya, kakak mengambil majalah tersebut dan cuba menyelesaikan silangkata tersebut. Bagus juga, sambil-sambil santai menyiapkan silangkata, kakak dapat "mengulangkaji" pelajaran agama untuk peperiksaan minggu hadapan.



Monday, September 28

Hasil Kutipan Raya


Adik sudah lama "merengek" hendakkan laptop kecil untuknya. Kakak pula teringinkan "mainan picit" yang mudah dibawa ke mana-mana. Bukan tidak boleh beli, tetapi tidak mahu melayan sangat kehendak mereka.

Saya berjanji. Boleh belikan seperti yang mereka mahu, tetapi dengan syarat, guna duit sendiri! Jadi, setelah mengumpul duit raya tempohari, saya menyuarakan kepada mereka tentang cadangan itu. Betapa sayangnya mereka untuk mengeluarkan duit untuk membeli barang keinginan mereka. Adik paling ketara kedekutnya, saya minta duitnya untuk dibeli laptop tersebut, dihulurnya RM1!

Ketika membeli, mereka bertanyakan duit siapa serta bertanyakan baki duit yang ada. Saya nyatakan kepada mereka, baki duit raya mereka akan disimpan di dalam bank (agaknya baru lega hati mereka).

Kakak senang dipujuk, memandangkan "mainan picit" yang diingini tidak begitu ilmiah, kami cadangkan supaya dibeli laptop juga yang sesuai dengan peringkat pembelajaran kakak.

Semoga mereka menghargai serta menjaga barang mereka dengan sempurna kerana mereka tahu, duit mereka sendiri yang digunakan untuk membeli barangan tersebut.

Tuesday, September 8

Cikgu "vs" pensyarah

Melihat kakak menjadi "cikgu" dan adik menjadi "anak-murid" mengimbau kembali kenangan ketika saya kecil-kecil dahulu. Ketika bermain di rumah, saya sentiasa menjadi cikgu kepada sepupu-sepupu yang lain. Dan ada ketika rotan dipegang, mengajuk guru dulu-dulu yang memegang pembaris panjangnya satu meter ketika menyuruh anak-anak murid membaca di papan hitam. Dahulu ketika ditanya tentang cita-cita, terpapar perkataan "pensyarah" di ruangan cita-cita buku rekod sekolah rendah. Nampaknya, cita-cita saya sudah menjadi kerjaya saya sekarang ini. Adakah kuah akan tumpah ke nasi, kerana melihatkan telatah anak-anak, kelihatan mereka cenderung ke arah profession ini. Apapun pilihan kerjaya mereka, semoga mereka minat serta tiada paksaan untuk mengikuti bidang yang tidak mereka minati.

Adik pernah bertanya kepada mak saya, kenapa umi dipanggil "lecturer", ada yang dipanggil cikgu. Mak saya memberikan contoh yang ringkas kepadanya, jika mengajar budak kecil seperti adik dan kakak, dipanggil cikgu. Jika mengajar budak besar macam k.long (sepupu mereka yang sudah memasuki Universiti), orang panggil "lecturer". Oooo, jawabnya pendek! Kakak dan adik pun nak jadi pensyarah macam umi! Hehehe...

Friday, September 4

Puasa Kakak


Alhamdulillah, hari ini hari yang ke-14 dan kakak masih lagi bertahan untuk berpuasa penuh. Untuk bersahur, kakak jarang menjamah nasi, apa yang dimahu, french fries dan roti + tuna. Tidak pun, koko crunch/honey star + susu. Untuk berbuka, dia akan menjamah apa saja yang terhidang. Kadang-kadang ada juga menu diingini untuk berbuka.

Tetapi adik yang tidak berpuasa pula yang bermacam selera makannya, melebihkan orang berpuasa! Dua hari lepas, "mengamuk" inginkan apam balik, merata tempat ditinjau apam balik tetapi tidak berjumpa. Tiba di rumah amukannya masih belum reda. Cuma hari kedua baru berjumpa dengan apam balik, terus abahnya belikan 10 keping apam balik yang nipis itu. Barulah lega umi dan abah!

Thursday, August 6

Demam

Tadi sewaktu mengambil kakak di transit, ustazah khabarkan yang kakak mula demam petang tadi. Muka yang selalu aktif dan lasak tiba-tiba saya lihat kuyu dan layu. Saya raba dahinya, agak panas. Risau juga di hati dengan wabak yang melanda sekarang. Sekolah di sekitar kediaman kami sudah ditutup seminggu untuk mengelak jangkitan ini. Di kampus, masih ada yang dikuarantin kerana mereka mengidap demam.

Jam sudah menunjukkan angka 6.15pm, cepat-cepat singgah di klinik panel. Ramainya manusia yang sedang menanti giliran untuk bertemu doktor. Akhirnya kami ke klinik lain yang berbayar saja. Doktor membuat pemeriksaan menyeluruh, demam - 39 Celcius, agak tinggi. Tekak, ok tiada batuk dan selesema, pernafasan juga ok. Harap-harap demam kakak adalah demam biasa saja. Nampaknya esok saya terpaksa mengambil cuti untuk "mengkuarantinkan" kakak di rumah.

kurang sedikit lasaknya...

Yang kelakarnya, orang lain yang demam, orang lain yang beria hendakkan ubat demam dan juga ditampal cool fever. Adik... adik...

Thursday, July 2

Tujuh...

Semalam, 1 Julai 2009, jam 10.15mlm, genap 7 tahun usia kakak. Cepatnya masa berlalu, seakan baru semalam saya berada di dalam bilik bedah untuk melahirkan kakak. Kakak juga dilahirkan melalui pembedahan Caesarean kerana laluannya tidak terbuka setelah melebihi 4 jam diinduce. Pengalaman pertama dimasukkan ke dalam bilik pembedahan sangat menakutkan kerana seingat saya, saya tidak pernah dimasukkan ke dalam mana-mana wad hospital, inikan pula untuk menghadapi pembedahan. Alhamdulillah, dengan sokongan dari keluarga, proses pemulihan mengambil masa agak singkat untuk seseorang yang menjalani pembedahan.


Kakak sangat teruja ketika saya membuat kejutan dengan menghantar kek ke transitnya. Tersenyum simpul! Semoga kakak menjadi anak yang solehah, mempunyai "ilmu kebal" (memetik kata-kata Ustaz Hasrizal - Saiful Islam) untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Sunday, May 31

Peraduan

Sewaktu sedang berjalan-jalan di Jusco, Bandar Perda, terlihat di booth Digi, peraduan mewarna sedang berlangsung. Anak-anak begitu teruja apabila kakitangan Digi memanggil mereka untuk menyertai peraduan tersebut. Mereka dikehendaki mewarna "orang kuning" hehehe.





Adik dan kakak hanya mendapat hadiah saguhati, tetapi cukup untuk mengembirakan mereka kerana mendapat hadiah!

Friday, May 15

Jaga Baby?

Saya dapat merakam aksi anak-anak yang bermain "role-play" sebagai ibu...



Naluri perempuan sememangnya menjurus kepada permainan yang sebegini agaknya ya.

Saturday, May 2

Aktiviti Hari Cuti


Sejak bersekolah, tugasan hari cuti adalah membasuh kasut sekolah. Dan siapa yang paling bersemangat untuk membasuh kasut? Tidak lain dan tidak bukan, adik! Hehehe... dia sangat teruja untuk "menolong" kakak membasuh kasutnya. Diam-diam, tanpa mereka sedari, saya mengambil video dari dalam rumah ketika mereka leka membasuh kasut di halaman rumah. Saya bertanya kakak, siapa yang membasuh kasut sekolah kawan-kawannya sambil menyebut nama mereka. Dia beritahu ada kawan yang mak mereka yang basuhkan dan ada juga kawannya yang basuh sendiri. Saya suka membiarkan anak-anak berdikari dengan melakukan perkara yang mereka dapat lakukan sendiri.

Thursday, April 30

Al-Kisah (kakak)


Beg

Hari Selasa lepas, sesuatu yang lucu telah berlaku. Sewaktu sampai di sekolah kakak pada pagi itu, baru terperasan yang beg sekolah kakak tidak dibawa. Tu dia.. barulah ya! Beg sekolah tertinggal. Abahnya kata tidak pernah berlaku dalam sejarah tertinggal beg sekolah! Hehehe. Ketika di rumah sewaktu hendak keluar, saya sudah berpesan, supaya kakak membawa beg sekolahnya. Selalunya akan diletakkan di tepi pintu atau dibawa oleh abahnya masuk ke kereta. Jadi, tidak kelihatan beg sekolah di pintu, saya ingatkan sudah dibawa masuk ke kereta.

Alhamdulillah, kebetulan pagi itu kakak ada Pendidikan Jasmani, jadi, sempatlah untuk balik ke rumah dan mengambil begnya. Kakak agak keberatan untuk masuk ke sekolah, puas saya beritahu supaya masuk ke sekolah dan saya akan balik untuk mengambil begnya. Saya beritahu cikgu bertugas yang berada di pintu pagar sekolah yang dia tertinggal begnya. Cikgu bertugas mengiring kakak masuk ke dalam. Perjalanan pagi itu menjadi lebih panjang dari biasa, terpaksa berpatah balik untuk mengambil beg sekolah kakak! Selalunya adik akan sampai di tadika sekitar jam 7.30 tetapi pagi itu, adik tiba di tadikanya sekitar jam 8.20 pagi.


Imunisasi

Hari Selasa juga kakak mendapat imunisasi yang pertama diberikan oleh pihak sekolah. Kedua-dua belah lengannya dicucuk! Saya bertanyakan kakak, adakah dia menangis, dia menjawab tidak. Saya bertanya tentang kawan-kawan sekelasnya, dia kata, kawan-kawan sekelasnya ok, tak ada yang menangis, tetapi ada budak kelas lain menangis! Hehehe...

Friday, March 27

Lambat

Gambar hiasan

Cerita ini sudah lama, tetapi tidak berkesempatan untuk mencoretkannya di sini. Kisah ini pada hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan penggal, Jumaat 13hb March 2009.

Tabiat kakak yang tidak dapat dibuang pada pagi hari sewaktu bersiap ke sekolah adalah "berangan". Bangun seawal 6.15 pagi, tidak dapat siap seawal mungkin. Setiap perkara seperti mandi, memakai baju, bersolat subuh, akan mengambil masa yang agak lama. Sudah "berbuih" mulut ini menasihatinya (meleteri?) hehehe... namun, diambil mudah saja. Pada hari itu, saya sudah memberi peringatan kepadanya jika lambat, pengawas akan mencatat nama. Abahnya memandu dengan kelajuan biasa lebuhraya... tidak mahu mengejar masa.

Sampai di pintu pagar sekolah, jam sudah menunjukkan angka 7.33 pagi, saya katakan kepadanya, "see kakak, pengawas dah tunggu depan tu, lambat lagi!"

Agaknya kakak sudah "kecut perut", terus dia cepat-cepat melintasi sekumpulan murid dan pengawas yang berkumpul di depan pintu pagar dan berlari-lari anak. Saya yang memerhati dari jauh terasa lucu dengan tindakannya. Agaknya disebabkan kakak agak rendah berbanding dengan kanak-kanak lain, jadi mereka tidak perasan sewaktu dia melintasi mereka. "Pandai pula dia mengelak", detik hati saya. Setelah agak jauh baru pengawas-pengawas itu perasan. Hmm...

Petang sewaktu saya mengambilnya dari Transit, saya bertanyakan pada kakak samada dia ingin lambat lagi ke tidak. Jawabnya tidak mahu. Saya biarkan pengalaman mengajarnya, setakat kita bercakap, tidak direkodkan di dalam memorinya. Selepas sekolah dibuka semula, tabiat berangannya masih ada, tetapi kurang sedikit. Peristiwa itu sentiasa saya jadikan "senjata" untuk mengingatkannya.

Monday, March 2

Sukan

Sabtu lepas, sekolah kakak mengadakan Sukan Tahunan. Kakak teruja untuk mengambil bahagian di dalam acara yang ditetapkan untuk Tahun 1.

kakak dengan beg kuning


tengah beraksi di padang


berbaris untuk mengambil hadiah


berjaya mendapat tempat ke - 3


kakak dengan adik yang suka berposing di depan kamera

Hari ini SKPJ bercuti. Esok kakak akan menghadapi ujian prestasi yang pertama. "Good luck" kakak.

Tuesday, February 17

Berani!

Kakak merungut giginya sudah longgar. Hendak dicabut sendiri, saya pun tidak berani...hehehe. Gigi kekal semakin muncul di celah gigi susunya. Jadi, temujanji sudah dibuat pada 25 hb ini. Lama pula penantiannya. Kebetulan hari Ahad sewaktu melintasi klinik gigi di SP, terus membuat temujanji lain. Tidak perlu menunggu lama.


Kelakarnya, awal-awalnya, adik yang begitu teruja hendak ke klinik gigi. Bila di dalam bilik rawatan, dia tidak mahu pula doktor memeriksa giginya. Takut katanya.



2 batang gigi yang sudah dicabut. Inilah gigi yang pertama sekali tumbuh, dan pertama sekali dicabut! FIFO (First in first out) hehehehe.


Alhamdulillah, kakak begitu berani! Tahniah kakak... selepas ini, akan ke klinik lagi untuk dicuci giginya. Saya juga sempat menampal gigi yang sudah lama berlubang serta di'polish' gigi. Bayaran untuk mencabut dua batang gigi, RM35, untuk saya, tampal serta cuci, RM95. Mahal ke tidak, entahlah.... saya sudah lama tidak ke klinik gigi! Sepatutnya 6 bulan sekali kan....

Thursday, January 15

Mata

Semalam adik mengikut kakaknya ke kelas fardu ain di Transit kakak. Dia tidak mahu ke kelas taskanya. Semasa di dalam kereta dalam perjalanan balik ke rumah, adik bercerita...

"Umi, cikgu kakak lukis mata...Ainun"
"Hidung apa?", saya bertanya...
"Nose", jawapnya

Kami semua ketawa. Kakak menyampuk, "Anfun la adik.." hehehehe...

Wednesday, January 7

Hari-hari seterusnya

1, 2 hari ini agak sibuk menguruskan kakak ke sekolah. Untuk permulaan, saya dan suami masih monitor tentang persekolahan kakak. Secara berperingkat dilepaskan berdikari.

Adik, Alhamdulillah, tidak banyak ragamnya ketika masuk ke tadika. Almaklum, suasana dan persekitaran yang tidak asing baginya. Adik agak teruja menyarungkan baju tadikanya kerana sebelum ini masih belum memakai uniform. Siap berpesan "umi, nanti umi ambik gambar adik di sekolah ya..." hehehehe....

Friday, January 2

Hari Orientasi Sekolah

Pagi-pagi kakak sudah bangun dengan semangat yang berkobar-kobar. Saya tahu, kakak amat teruja untuk memulakan persekolahannya sebagaimana perasaan saya dahulu ketika berusia 7 tahun. Kami bertolak ke SKPJ sekitar jam 7.30 pagi.


Ketika beratur untuk memeriksa nama kakak di kaunter, kakak bertemu dengan kawan tadikanya..apa lagi, bertambah confident lah kakak untuk masuk ke kelas. Sewaktu cikgu memanggil anak-anak murid beratur mengikut kelas masing-masing, kakak dan kawannya, Hajar terus ke depan..Amboi...bersemangat sungguh!


Agak lama sesi di dalam kelas, manakala di kantin, para waris diberi taklimat tentang sekolah serta peraturan-peraturan sekolah. Kami menjengah sekejap untuk melihat suasana di dalam kelas kakak dan terus berlalu untuk memberi ruang kepada guru menjalankan tugas mereka. Selesai orientasi di dalam kelas sekitar jam 11.30 pagi.

ingat nak curi-curi tengok dari belakang, dia perasan pula..(kakak dalam bulatan merah)


Di dalam kereta, macam-macam ditanya kepada kakak. Rupanya mereka diberikan roti dan air mineral. Kata kakak minggu depan tidak boleh makan di dalam kelas, kena makan di kantin, hanya hari ini dibenarkan makan di dalam kelas. Hehehe....

Suasana hari pertama persekolahan dahulu dan sekarang sangat jauh bezanya. Dahulu, kedengaran esak tangis murid-murid yang baru cuba berenggang dengan ibu ayah masing-masing. Sekarang, mungkin kerana kanak-kanak sudah biasa dengan alam tadika, maka, mereka menjadi lebih yakin untuk melangkah ke alam persekolahan.

Thursday, January 1

Permulaan Baru


Sudah lama saya tidak meletak kapur putih di kasut...comot-comot jadinya. Nanti kakak akan diajar bagaimana untuk meletakkan kapur di kasut sendiri. Esok kakak akan melalui orientasi bagi pelajar Tahun 1. Umi dan abah pula yang teruja! Hehehe....

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin