Thursday, April 30

Al-Kisah (kakak)


Beg

Hari Selasa lepas, sesuatu yang lucu telah berlaku. Sewaktu sampai di sekolah kakak pada pagi itu, baru terperasan yang beg sekolah kakak tidak dibawa. Tu dia.. barulah ya! Beg sekolah tertinggal. Abahnya kata tidak pernah berlaku dalam sejarah tertinggal beg sekolah! Hehehe. Ketika di rumah sewaktu hendak keluar, saya sudah berpesan, supaya kakak membawa beg sekolahnya. Selalunya akan diletakkan di tepi pintu atau dibawa oleh abahnya masuk ke kereta. Jadi, tidak kelihatan beg sekolah di pintu, saya ingatkan sudah dibawa masuk ke kereta.

Alhamdulillah, kebetulan pagi itu kakak ada Pendidikan Jasmani, jadi, sempatlah untuk balik ke rumah dan mengambil begnya. Kakak agak keberatan untuk masuk ke sekolah, puas saya beritahu supaya masuk ke sekolah dan saya akan balik untuk mengambil begnya. Saya beritahu cikgu bertugas yang berada di pintu pagar sekolah yang dia tertinggal begnya. Cikgu bertugas mengiring kakak masuk ke dalam. Perjalanan pagi itu menjadi lebih panjang dari biasa, terpaksa berpatah balik untuk mengambil beg sekolah kakak! Selalunya adik akan sampai di tadika sekitar jam 7.30 tetapi pagi itu, adik tiba di tadikanya sekitar jam 8.20 pagi.


Imunisasi

Hari Selasa juga kakak mendapat imunisasi yang pertama diberikan oleh pihak sekolah. Kedua-dua belah lengannya dicucuk! Saya bertanyakan kakak, adakah dia menangis, dia menjawab tidak. Saya bertanya tentang kawan-kawan sekelasnya, dia kata, kawan-kawan sekelasnya ok, tak ada yang menangis, tetapi ada budak kelas lain menangis! Hehehe...

Monday, April 27

Sukan Adik

Sabtu lepas, adik bersemangat untuk bersukan. Acara yang disertainya bernama "Water Pen Ball", mengutip pen di dalam air yang dipenuhi bola. Lihatlah aksinya...

Sedang bersedia untuk perbarisan

Perbarisan - adik 2 dari belakang



Bersenamrobik - tarian poco-poco

Orang pertama yang memulakan larian


Adik mencari pen di dalam air


Tersenyum selepas mendapat hadiah sukan

Tuesday, April 21

Seminar Penghayatan Ibadah Solat

Hari Khamis lepas, sempat hadir seminar penghayatan ibadah solat. Antara isu yang dikupas sepanjang seminar ini adalah tentang permasalahan serta perselisihan pandangan di dalam perlaksanaan ibadah solat, namun, pertikaian sebegini dapat diselesaikan jika kita mempunyai ilmu tentang perlaksanaan solat itu. Contohnya, qunut serta bacaan Al-Fatihah di dalam solat.

Solat yang baik adalah solat yang dapat difahami makna bacaan di dalam solat itu serta dilakukan ikhlas kerana Allah.

Perkara yang menariknya tentang solat ini ialah tentang pertaliannya dengan kesihatan tubuh badan. Namun, janganlah pula kita niatkan solat itu untuk mendapat kesihatan yang baik. Saya senaraikan kepentingan solat dari sudut sains yang dikupas oleh seorang Dr. professional.

Qiam – menyelaras tekanan darah atas dan bawah pinggang

Ruku’ – meregang otot, saraf dan salur darah pada lumber plexus (tulang belakang)

I’tidal – mengendurkan urat dan saraf belakang

Sujud – mengembang salur darah otak (circle of Willi’s), oksigen disalurkan ke otak, anti-oxidant serta penenang (endorphins & encephalins)

Duduk antara dua sujud – membetulkan urat darah dan saraf belakang, meregang otot-otot pada jari kaki kanan, mengendur ketegangan belakang, meregulasi darah ke otak dan jantung dan meregulasi darah ke seluruh badan.

Marilah kita bersama-sama memperbaiki solat kita kerana solat adalah tiang agama serta solat adalah amalan pertama yang akan ditanya oleh Allah nanti. Goyahnya solat, bermaknanya goyahlah tiang seri agama kita.

Wednesday, April 15

Kelahiran Adik

Kehadiran adik dirancang selepas 2 tahun usia kakak. Ini kerana kakak dilahirkan secara pembedahan Caesarean, jadi, doktor menasihati agar jarak untuk kelahiran seterusnya sebaiknya 2 tahun. Alhamdulillah, sepanjang tempoh 7 bulan mengandungkan adik, tiada masalah kecuali alahan biasa di peringkat awal.

Sewaktu usia kandungan melewati 33 minggu, saya mengalami pendarahan. Segera berkejar ke Dewan Bersalin ******** untuk pemeriksaan. Rupa-rupanya saya mengalami Placenta Previa Type III, di mana, kedudukan uri hampir-hampir menutupi pintu rahim. Placenta Previa berlaku 1 di dalam setiap 200 kehamilan, itu yang saya baca di dalam internet. Risikonya tinggi terhadap ibu dan anak di dalam kandungan. Antaranya, boleh berlaku tumpah darah dsbnya.


Semalaman di wad, saya diberi suntikan untuk mematangkan paru-paru bayi supaya bersedia untuk dilahirkan sebelum tiba waktunya. Dengan keadaan ini, saya diarahkan berehat (MC) dari melakukan sebarang kerja. Agak kelam-kabut kerana tidak bersedia dengan keadaan ini di mana perjalanan kuliah masih berlangsung. Alhamdulillah, teman-teman banyak membantu ketika itu. Dengan keadaan begini, hasrat untuk bersalin secara normal berkubur dengan sendirinya kerana berisiko tinggi.


Temujanji untuk melakukan pembedahan telah ditetapkan, namun, doktor telah berpesan, jika masih berlaku pendarahan, tidak perlu ditunggu tarikh tersebut. Sememangnya sudah ditakdirkan, sebelum tiba tarikh tersebut, sekali lagi saya mengalami pendarahan. Pada pagi Rabu, 13 April 2005, sewaktu usia kandungan mencecah 36 minggu, saya dimasukkan ke dalam wad dan bersedia untuk dibedah.


Tengahari saya dimasukkan ke dalam bilik pembedahan. Baju ditukar, kepala ditutup dengan topi seperti shower cap, dan bersedia di atas katil pembedahan. Saat dibius menggunakan epidural, terasa tusukan jarum memasuki tulang belakang. Saya dibaringkan dan diarahkan untuk menggerakkan jari kaki saya. Ketika itu, kaki terasa lumpuh dan tidak mampu digerakkan, bermakna ubat bius telah memainkan peranannya dengan sempurna. Jari telah dipasang pada alat tekanan darah serta kain direntang di dada. Saat pembedahan bermula, saya diingatkan supaya mengucap dua kalimah syahadah serta berzikir sepanjang tempoh pembedahan. Ketika itu terasa perut saya dihiris, tetapi tidak terasa sakitnya. Perut terasa diseluk oleh doktor dan saya dapat merasakan sesuatu ditarik dari perut saya. Seketika kemudian, barulah terdengar tangisan dari adik. Doktor R***** menunjukkan adik pada saya, serta memberitahu “Pink…”, leganya kerana adik telah selamat dilahirkan pada jam 1.25 petang. Berat adik ketika itu hanya 2.0kg, sangat kecil. Untuk melalui saat akhir untuk dijahit, dos ubat bius dinaikkan supaya saya terus “pengsan”, walaupun mata saya terpejam, saya masih mendengar sayup-sayup suara doktor bersembang. Saya rasa, segalanya selesai sekitar jam 2.


1/2 jam selepas dilahirkan


Sewaktu diusung keluar, saya masih mampu bersuara. Alhamdulillah, segalanya sudah selesai. Seingat saya, sewaktu saya sedang dibedah, saya sempat ‘berlawak’ dengan doktor dengan bertanyakan bila saya dapat makan sesudah pembedahan kerana saya sangat lapar ketika itu. Doktor ketawakan saya, kerana saat itu masih teringatkan makanan..hehehe. Mana tidaknya, seharian saya “berpuasa” kerana bersedia untuk dibedah.


Menjelang malam, baru kesakitan di tempat pembedahan terasa sedikit demi sedikit. Terasa seperti hirisan pisau yang terkena pada kulit, semakin lama semakin terasa pedihnya. Untuk sembuh sepenuhnya, mengambil masa hampir 2 minggu serta masih tidak boleh bergerak sepantas orang yang bersalin secara normal. Kawan saya yang bersalin secara normal sehari kemudian, dapat keluar wad bersama-sama saya yang bersalin awal darinya. Takdir telah menentukan yang saya perlu melahirkan secara pembedahan.

Hari ke-3, sedang bersedia untuk balik ke rumah. Kecilkan adik...



Baru-baru ini di dalam rancangan Wanita Hari Ini, pengacara Wardina menemubual seorang doktor tentang kelahiran. Antara soalan yang ditanya, antara kesakitan bersalin normal dan pembedahan, doktor itu mengatakan, jika bersalin normal, kesakitannya hanya sekejap, ketika proses kelahiran itu saja berbanding dengan pembedahan, kesakitan tidak terasa sewaktu melahirkan, tetapi kesakitannya terasa selepas itu dan agak lama untuk sembuh. Kemungkinan untuk tumpah darah kelahiran melalui pembedahan adalah lebih tinggi peratusannya berbanding dengan bersalin secara normal.


Hari ke-5 - di rumah


Inilah secebis pengalaman melahirkan anak secara pembedahan. Untuk menghadapi pembedahan ini, persediaan mental dan psikologi sangat penting. Sentiasa berfikir secara positif serta kepercayaan sepenuhnya kepada doktor yang akan menjalankan pembedahan itu juga penting kerana ketika itu kita tidak berupaya untuk melakukan apa-apa. Tawakkal kepada Allah yang pembedahan itu akan berlangsung dengan selamat. InsyaAllah. Selepas melalui pembedahan kali pertama dahulu, saya agak bersedia dan tidak lagi merasa 'takut' untuk masuk ke dewan pembedahan. Jika ditakdirkan ada rezeki lagi, kali ketiga sudah tentu perlu lagi melalui pembedahan Caesarean.

sekarang ini beratnya 19kg.

Tuesday, April 14

Hari Lahir Adik

kek upin ipin yang senget


Semalam, 13 April, adik meraikan hari lahirnya yang ke-4.

Perkembangan terkini yang paling ketara adalah, dia sudah dapat menerima "kenyataan" supaya tidak minum susu di dalam botol. Hehehe. Kisahnya bermula pada hari Sabtu lepas, kami berkonvoi ke kenduri akikah adik ipar di Alor Setar. Adik, kakak dan sepupu mereka menaiki kereta abang saya.
Petangnya, ketika saya perhatikan pooh adik, saya bertanyakan adik, di mana botol susunya, dia menjawab "dalam kereta mak long apa". Saya menelefon mak yang dalam perjalanan balik, memang betul botolnya tertinggal di dalam kereta. Malam itu, saya memujuk adik supaya minum susu di dalam cawan. Mujur dia mahu. Cuma ketika hendak tidur, saya perhatikan dia agak gelisah kerana tiada botol nyonyot nye. Alhamdulillah, sudah 3 malam, adik berpisah dengan botol susunya dan dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru. Saya berikan semangat, "adik big girl kan, tak payah minum botol lagi", dia mengangguk dan tersenyum.
Semalam, sambutan secara kecil-kecilan bersama kawan-kawannya diadakan di Taska.


birthday girl memotong kek sambil diperhatikan kawan yang tidak sabar-sabar



Semoga adik menjadi anak yang solehah.

Friday, April 10

Mari kita Tengok...

Mari kita tengok...


Ini handbag adik yang diberikan oleh kak long. Selama ini, saya tidak pula menyelongkar apa yang berada di dalam handbag yang kadang-kadang diusung ke dalam bilik tidur. Baru-baru ini, ketika mengemas, teringin juga mengintai apalah barang yang dimasukkan ke dalam beg ini. Inilah barang-barangnya :



Topi oren, telefon, bekas bedak, kamera, dompet dan diari.

Sekali-sekali adik akan "bersolek" menggunakan bekas bedak itu, konon-konon seperti memakai alat-alat makeup. Telefon merah itu adalah kegemarannya, secara santai, dia akan menelefon tok atau cik sambil bersembang, macam betul-betul bercakap telefon. Sambil-sambil dia akan menggunakan kamera untuk mengambil gambar kakak, abah dan umi...kadang-kadang dia menyuruh saya berposing di depan kameranya sambil membuat isyarat "peace". Hehehehe... bakal jadi ahli fotografi yang terkenal agaknya. Dompet pula diberikan oleh abang Amin, jarang-jarang digunakan dan diari, seumpama buku padanya. Kadang-kadang saya lihat dia akan "membaca" diari tersebut, apa yang dibaca, entahlah.. hehehe. Topi oren merupakan topi lama yang amat jarang sekali digunakan.

Wednesday, April 8

Jom... bersama Adik

Jom solat...



Ini diambil dari kejauhan, dia perasan juga saya tengah merakam aksinya bersolat.

Jom Mewarna...




Sunday, April 5

Senang dan sedap...

Hari ini hidangan tengahari kami, nasi ayam + sup + ayam goreng kicap bermadu. Resepi untuk ayam goreng cukup mudah, kicap, madu, cili (jika ingin pedas) dan digoreng. Cubalah, senang dan sedap!

Friday, April 3

Demam


Minggu lepas, tuanpunya laptop ini demam. Hari ini, laptop ini pula yang "demam", terus tidak boleh dihidupkan. Petang tadi sewaktu dibawa ke "doktor" komputer, rupa-rupanya laptop yang telah banyak berjasa ini, motherboard nya telah rosak. Agaknya laptop saya juga tertekan dengan penggunaan maksima sepanjang beberapa minggu yang lalu. Memandangkan usia laptop ini sudah 4 tahun, motherboard juga tiada lagi stok di kedai tersebut. Esok, suami saya akan membawa laptop ini bertemu dengan penjualnya, manalah tahu, jika masih boleh diselamatkan. Jika tidak.... beli baru? atau.... hu hu hu... sedihnya....

Thursday, April 2

Kenduri


Adik sangat teruja untuk menghadiri kenduri cikgunya pada hari Sabtu, 28hb March lepas. Ketika bersua muka dengan cikgu "pengantin", adik sunyi sepi, tidak bersuara, malu-malu kucing pula dia. Cikgunya bertanya, sepatah tidak dijawab, hehehe. Agaknya terpegun dengan rupa cikgu yang sudah dimake=up cantik. Kelakar saya tengok telatah adik.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin