Sunday, May 31

Peraduan

Sewaktu sedang berjalan-jalan di Jusco, Bandar Perda, terlihat di booth Digi, peraduan mewarna sedang berlangsung. Anak-anak begitu teruja apabila kakitangan Digi memanggil mereka untuk menyertai peraduan tersebut. Mereka dikehendaki mewarna "orang kuning" hehehe.





Adik dan kakak hanya mendapat hadiah saguhati, tetapi cukup untuk mengembirakan mereka kerana mendapat hadiah!

Kenduri

Cuti sekolah sinonim dengan majlis Walimatul Urus. Kami menerima 10 jemputan kali ini, namun ada yang tidak dapat dipenuhi kerana bertindih hari serta lokasinya agak jauh.


Buat Wahida & Firdaus, Latifah & Suami, Husna & Safuan, Naemah & Alif, Ifwah & Fuhairah, Shakirah & Muzammil, Wani & Hamidi, Zura & Zamri, Agos & Farhanah serta Saiful & Ibtisam :

Selamat Pengantin Baru
Semoga Jodoh kalian diberkati Allah serta
Berkekalan hingga ke Akhir Hayat

Hidup berumahtangga pasti ada badai & ujian, suka dan duka, jadi hiasilah diri dengan kesabaran agar rumahtangga yang kalian bina sentiasa dipenuhi dengan mawaddah dan rahmah. Sekiranya ujian melanda, ingatlah pada tujuan utama serta matlamat perkahwinan itu, InsyaAllah, rumahtangga yang dibina akan selamat. Selamat menempuh Gerbang perkahwinan.

Tuesday, May 26

Zaman Kanak-kanak

Apabila terkenangkan zaman persekolahan ketika masih kanak-kanak, saya akan tersenyum sendiri. Terlalu banyak kenangan yang bersemadi di dalam diri dan ada yang masih segar di ingatan seolah-olah peristiwa-peristiwa ini masih baru berlaku semalam. Antara kenangan yang masih segar di ingatan saya ialah ketika penyampaian hadiah Darjah 4 di SKSP. Pada hari penyampaian hadiah tersebut, saya dan rakan-rakan turut membuat persembahan lakonan di dalam Bahasa Inggeris. Saya melakonkan watak sebagai Perdana Menteri/Bendahara yang cuba menyelesaikan kes kecurian.

barisan para pelakon yang menjayakan drama pendek

sewaktu berbaris untuk menerima hadiah

Alhamdulillah, melalui rangkaian internet saya dapat berhubung semula dengan rakan-rakan sekolah rendah saya.

Thursday, May 21

1 Tahun

Diam tak diam, sudah setahun blog ini diwujudkan. Saya mula menyiapkan blog yang dibuka kepada umum ini pada Mei tahun lepas. Asalnya, saya memulakan dunia blog pada Januari 2008 dengan alamat ini : hahmat.blogspot.com, dan hanya dibuka kepada ahli keluarga serta teman terdekat. Setelah mendapat kekuatan untuk berkongsi dengan masyarakat umum, maka blog ini diwujudkan dan hanya peristiwa-peristiwa tertentu yang dapat dikongsi dengan masyarakat di luar sana.

Selamat Ulangtahun pertama Blog hahmat73.blogspot.com!

Wednesday, May 20

Pening Kepala

Sengaja mencari masalah... hehehe. Saya kehilangan link yang sebelum ini saya ada... bagaimana agaknya hendak meletakkan semula link berkenaan? Dah tiada menu untuk diletakkan apa saja yang saya suka hehehe. Itulah, gatal tangan untuk mencantikkan rumah ini, akibatnya, nak cari benda pun tidak tahu di mana hehehe.

Cuba-cuba

Saya tengah mengemaskinikan laman ini, jadi keadaan menjadi huru-hara sekejap, hehehe.

Monday, May 18

Hari Guru 2009

Sempena Hari Guru tahun ini, saya menyediakan beberapa cenderahati ringkas untuk guru anak-anak saya. Ini sajalah sumbangan saya sebagai penghargaan kepada pengorbanan mereka.


penanda buku untuk guru di Sekolah Pauh Jaya


frame? untuk guru di Transit kakak dan Tadika adik

Friday, May 15

Jaga Baby?

Saya dapat merakam aksi anak-anak yang bermain "role-play" sebagai ibu...



Naluri perempuan sememangnya menjurus kepada permainan yang sebegini agaknya ya.

Wednesday, May 13

Koleksi

Seingat saya, saya memulakan koleksi poskad ketika saya sedang menuntut di luar negara. Poskad dari pelbagai negeri menjadi kegilaan saya ketika itu. Sekarang ini, apabila sepupu yang berada di Tasmania mencadangkan agar diwujudkan kelab poskad, saya tidak melepaskan peluang. Ahli-ahli kelab poskad ini setakat ini adalah 6 orang termasuk saya, 3 di Malaysia, seorang di Bangkok, seorang di Netherlands dan seorang lagi di Tasmania.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, saya sudah membeli sebuah album untuk memuatkan koleksi poskad-poskad yang saya ada. Inilah sebahagian poskad itu.


Poskad gambar lama yang dibeli di Muzium Kesenian Islam


Universiti tempat saya belajar dahulu


Grand Canyon dan Arkansas


Poskad yang diberi oleh sepupu (Tasmania)


Sebahagian poskad yang diterima dari Bangkok dan Netherlands, anak-anak paling teruja dengan poskad Tasmanian Devil yang unik ini

Thursday, May 7

Sakit

Dalam masa dua hari lepas, sahabat karib yang sentiasa menemani saya ini asyik sakit-sakit. Agaknya merajuk kerana sudah lama saya tidak memperdulikannya. Kasihan, bagaimana saya boleh menemaninya seperti dahulu kerana saya juga mempunyai tugasan lain yang perlu saya laksanakan. Dua hari lepas, ketika saya ingin mendampinginya semula, dia tidak membenarkan saya menyentuhnya. Kekuncinya telah dimatikan. Terpaksa saya memanggil doktor untuk menukarkan dengan kekunci yang baru. Seawal pagi, termenung saya dibuatnya sehinggalah sekitar jam 10 barulah saya dapat bersamanya semula. Aduh... agaknya merajuk kerana lama ditinggalkan agaknya.

Semalam pula, hari Rabu, ketika waktu menghampiri angka 4, sekali lagi, sahabat saya ini kesakitan. Terkejut saya kerana tiba-tiba dia meletup dan mengeluarkan bau hangit. Hari ini, doktor telah datang untuk membawanya ke bilik rawatan. Cepatlah sembuh wahai komputerku kerana aku amat memerlukanmu.. hehehe.

Wednesday, May 6

Tips untuk Viva

maaf...gambar senget pula

Saya bukannya seorang yang pandai, tetapi, harapan saya, sedikit ilmu yang dititipkan di sini dapat dimanfaatkan oleh sesiapa yang memerlukannya. Setelah selesai menjalani peperiksaan lisan "viva-voce" untuk Sarjana pada Isnin, 4 Mei lepas, saya ingin berikan sedikit tips kepada mereka yang ingin melanjutkan ke peringkat sarjana. Tips ini mungkin bergantung kepada universiti masing-masing, tetapi secara umumnya, saya rasa boleh digunapakai oleh semua. Semasa viva, anda tidak dibenarkan melihat nota atau naskah thesis/disertasi anda dan segala jawapan adalah semata-mata lisan.

Ini tipsnya:

1. Keterampilan diri mestilah kemas.
2. Masuk ke bilik viva dengan tersenyum (cuba lindungi perasaan yang tengah gementar itu) serta berikan ucapan salam/selamat pagi kepada pemeriksa.
3. Duduk dengan tertib (anda akan berhadapan dengan pengerusi bagi viva tersebut).
4. Tunggu sehingga pengerusi selesai bertanya sebelum anda menjawab apa yang ditanya.
5. Apabila diminta untuk menceritakan latar-belakang penyelidikan, ceritakan dengan penuh yakin dan wujudkan eye-contact dengan setiap pemeriksa/penyelia yang ada di dalam bilik tersebut.
6. Jika tidak faham soalan yang ditanya, dengan tertib minta mereka ulangi soalan supaya anda dapat menjawab dengan tepat untuk soalan yang ditanya.
7. Apabila dikomen tentang format atau hasil kerja anda, beritahu mereka yang anda akan baiki kemudian.
8. Sesudah selesai sesi lisan, ucapkan terima kasih kepada mereka.

Anda akan diberikan naskah thesis atau disertasi untuk dibuat pembetulan (jika ada) dan cuba patuhi tarikh akhir untuk menghantar naskah laporan akhir yang berkulit tebal.

(Tips ini hanya untuk menghadapi viva di peringkat sarjana ye, untuk di peringkat Doktor Falsafah (PhD) mungkin berlainan)

Tuesday, May 5

Tg. Dawai

Hari Ahad lepas, kami berkonvoi ke Tg. Dawai, Kedah. Tg. Dawai adalah pusat pengumpulan serta pemasaran bagi hasil-hasil laut seperti ikan kering dan ikan bilis. Beramai-ramai tidak lengkap rasanya jika tidak menikmati laksa atau ais kacang (ABC) di gerai makanan Kompleks Tg. Dawai. Jom kita ke Tg. Dawai...

Berkonvoi tiga kereta...


Banyaknya pilihan...


Ala-ala pekan rabu, tapi hanya hasil laut...


Pak Cik sabar melayan kerenah anak-anak buah


Adik, asyik melekat dengan Pak Ciknya
Kakak dan sepupunya Izzati tidak boleh dipisahkan

Monday, May 4

BBQ


Sesekali bila kakak balik kampung, kami akan berkumpul adik-beradik serta membuat BBQ di rumah mak. Dengan adik beradik yang tidak ramai, inilah masanya untuk membuat "reunion", jika hendak dibuat "Hari Keluarga", terasa amat sedikit bilangannya, tidak seperti kawan yang memiliki ramai adik-beradik serta anak-anak sedara yang bukan kecil bilangannya. Memadailah berkumpul di rumah mak, sambil berBBQ serta meraikan hari lahir bagi yang hari lahirnya jatuh di dalam bulan Mei, antaranya termasuklah suami saya. Yang paling seronok dan teruja tentulah anak-anak.

Hmm... terliur...


yummy...


kelakarnya melihat adik dengan tepekan bedaknya sendiri


Dua orang budak yang teruja untuk memotong kek walaupun bukan hari lahir mereka


wajah-wajah yang hari lahir jatuh di dalam bulan Mei

Sunday, May 3

Rezeki...

Tonino Lamborghini

Inilah rezeki yang tidak diduga kedatangannya. Hari Sabtu lepas, kami dikejutkan dengan bungkusan dari Bank Islam. Suami menyangka saya memberinya kejutan sempena hari lahirnya yang akan datang (sebenarnya saya juga bercadang untuk menempah jam di dalam katalog Bank Islam untuk dihadiahkan kepadanya). Rupa-rupanya, hadiah sempena pertandingan "Own your address in the City" untuk pengguna kad Bank Islam berupa sebuah jam "Tonino Lamborghini". Saya tidak tahu menahu sehinggalah hadiahnya muncul di hadapan pintu rumah. Alhamdulillah... berita ini dikongsi dengan ahli keluarga yang lain, kakak memberitahu pemenang hadiah pertama sebuah kondominium telah diketahui sebelum ini. Sesungguhnya, saya yang ketinggalan! hehehe...

Jam diletakkan di dalam beg yang comel ini

Saturday, May 2

Aktiviti Hari Cuti


Sejak bersekolah, tugasan hari cuti adalah membasuh kasut sekolah. Dan siapa yang paling bersemangat untuk membasuh kasut? Tidak lain dan tidak bukan, adik! Hehehe... dia sangat teruja untuk "menolong" kakak membasuh kasutnya. Diam-diam, tanpa mereka sedari, saya mengambil video dari dalam rumah ketika mereka leka membasuh kasut di halaman rumah. Saya bertanya kakak, siapa yang membasuh kasut sekolah kawan-kawannya sambil menyebut nama mereka. Dia beritahu ada kawan yang mak mereka yang basuhkan dan ada juga kawannya yang basuh sendiri. Saya suka membiarkan anak-anak berdikari dengan melakukan perkara yang mereka dapat lakukan sendiri.

Seminar

Selesai sudah seminar untuk pelajar sarjana pada hari Khamis, 30 April lalu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Bertubi-tubi soalan ditanya samada dari penilai atau dari penyelia dan Alhamdulillah, dapat dijawab dengan yakin. Ketika keluar dari bilik seminar, penyelia bertanya di hadapan penilai samada saya ingin meneruskan ke peringkat PhD. Saya hanya mengangguk sambil tersenyum. Cepat-cepat disuruhnya saya berjumpa dengannya sebaik selesai viva pada 4 Mei nanti. Saya terus menyatakan yang saya ingin "berjalan" (makan angin) dahulu sambil disambut dengan ketawa oleh penyelia saya dan penilai.

sedang berdebar ketika memulakan pembentangan

Setakat ini, saya menyimpan debaran untuk disoal semasa viva pada hari Isnin nanti.

Friday, May 1

Boleh diharap...

Kadang-kadang, bila angin rajinnya datang, pantas saja ingin menolong. Tengah mengemas sofa yang bersepah setelah kusyen-kusyen dan sarung dibasuh.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin