Sunday, May 8

Mudahnya mendapat saham...


Berapa ramai di antara kita (perempuan) yang ketika singgah di mana-mana surau/masjid untuk bersolat dan ketika ingin mengenakan telekung tetapi telekung wakaf yang sedia ada 'wangi' dengan haruman lain serta 'bersih' dengan calitan gincu serta bedak asas.  Tidak kurang juga yang bertompok hiasan tahi lalatnya.  

Saya teringat kepada sebuah kisah benar (saya tidak ingat di dalam majalah mana) seorang warga emas (wanita) yang dijemput Allah di dalam keadaan mulia.  Ketika di wad, saat-saat akhir sebelum dijemput, mak cik ini memberitahu anak-cucu yang sedang mengerumuninya bahawa ada 'orang' yang datang ingin menjemputnya dan dengan senyuman memberitahu dia sangat gembira untuk mengikut 'orang-orang' itu. 

Setelah selesai disemadikan, ada yang bertanya, amalan apakah yang menyebabkan mak cik berkenaan mendapat kemuliaan sebegitu.  Suaminya bercerita.  Ketika hayat mak cik ini,dia begitu taatkan suami serta rajin membaca Al-Quran.  Ketika kesakitan tidak boleh berjalan, dia meminta suaminya memimpin ke masjid/surau pada waktu subuh kerana sudah lama tidak dapat mengikut suaminya berjemaah.  Ketika pulang, dia membawa bersamanya telekung untuk dibasuh.  Apabila ditanya, dia memberitahu suaminya, jika hendak mengadap Allah, biarlah bersih dan wangi.  Dia membasuh telekung-telekung berkenaan dengan tangannya dan meletakkan nila.  Setelah kering, dia menyerika telekung-telekung itu dan ketika waktu zohor , dia meletakkan semula telekung-telekung yang sudah dibasuh untuk kegunaan jemaah bersolat.
Mudahnya mendapat saham akhirat.  Moga-moga hati kita dibimbing Allah untuk berkhidmat seperti ini untuk memberikan keselesaan kepada jemaah yang hadir ke rumah Allah.  Dan semoga dengan amalan kita yang tidak seberapa ini juga memberi keselesaan kepada kita ketika dijemput kembali kepadaNya.  Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin