Wednesday, September 24

Eh!

Tengah sedap-sedap makan sahur, tiba-tiba terdengar azan... eh! Dah masuk subuh ke? Saya dan suami berpandangan sesama sendiri. Kakak pun sama. Terkejut agaknya kerana tiba-tiba azan. Tengok jam, baru 5.41...eh, kan ada lebih kurang 10 minit lagi. Suami suruh saya tengokkan jam lain, betullah... ada 3 jam di rumah menunjukkan waktu yang sama. Takkan silap... alahai..rupa-rupanya muazzin itu sudah tersilap waktu agaknya, sekerat jalan azan dilaungkan tiba-tiba berhenti. Agaknya ada yang memberitahu muazzin itu belum masuk waktu subuh. Hmmm... kasihan dia... kesimpulannya: Manusia tidak sempurna!

Monday, September 22

Hujan

"Ya Allah, jadilah hujan ini hujan yang memberi manfaat". Doa di dalam bahasa arab inilah yang dibaca oleh kakak ketika hujan turun.

Tengahmalam semalam, hujan turun mencurah-curah ke bumi. Sedar dari tidur ketika mendengar deruan hujan lain macam bunyinya, beserta dengan angin kuat. Hati berdebar-debar, habis segala doa yang saya tahu, saya bacakan. Lihat mak masuk ke bilik depan, oh, air sudah membasahi lantai. Bukan banjir, tetapi akibat dari air yang menitik dari celah bumbung lama dan bumbung bilik. Kata mak, selalunya walau selebat mana pun hujan, jika tiada angin kuat, air tidak akan menitis dari celahan bumbung itu.

Tolong mak mengelap lantai, hampir 1/2 baldi juga air yang terhasil. Hmm....dalam pada mengelap, terkenang pada mereka yang tinggal di kawasan rendah yang kerap dilanda banjir kilat ketika hujan tidak henti untuk tempoh sesingkat 2 jam. Paling saya terkenangkan, di dalam angin kuat, ada bumbung rumah yang diterbangkan angin. Oh..harap-harapnya tidak, kasihan mereka, kerana hari lebaran bakal menjelang hanya 8 hari saja lagi. Alhamdulillah, hujan beserta angin kuat hanya untuk sekitar 1 jam saja, selebihnya hanya titisan-titisan hujan yang kecil kedengaran.

Sunday, September 21

Sepit oh Sepit

Nak buat apa ye?


Oh... kuih sepit....
Semalam saya tolong mak membuat kuih sepit dari awal pagi.


Ketika pertukaran 'syif' untuk menunaikan solat, Amin, anak saudara sangat rajin menolong untuk melipat kuih sepit yang sudah masak.


Sehingga petang semalam, baru sudah siap.

Saturday, September 20

Kamera

Semalam sewaktu mengemaskan laci di rumah mak, terpandang kamera ini. Masih lagi berfungsi, namun, siapa yang masih lagi menggunakan kamera dengan filemnya, segala-galanya sekarang ini digital, mudah, cepat serta boleh dipilih gambar mana yang hendak dicuci. Kamera ini sangat nostalgia bagi saya kerana kamera inilah yang menjadi 'teman' saya ketika saya berkelana di bumi USA dulu. Sebelum ini anak saudara saya yang menggunakan kamera ini, namun, bila kamera digital sudah mampu dimiliki, kamera ini tersimpan rapi di dalam laci kabinet rumah mak.

Friday, September 19

Meragam

Tadi pagi adik meragam! Hampir sampai ke taska, dia membuat alasan, ingin membeli kuih. Padahal, mee yang dimasak sudah dibekalkan. Jika hari biasa, tidak mengapa, ini bulan ramadhan, bulan puasa, mana orang jual kuih pagi. Ditunjukkan gerai yang kosong kepadanya, tidak makan pujukan! Sampai di depan pagar taska, dia menangis lagi. Kepala ligat mencari idea untuk memujuk. Cikgu juga memujuk beritahu umi akan membeli nanti ketika balik sekolah. Hmm...tidak makan saman.

Akhirnya, saya cadangkan beli saja roti di kedai. Dia mengangguk. Lega... termakan juga pujukan.

Semalam, kakak juga meragam. Akhirnya, dia tidak ke tadika, dan sebagai hukumannya, tiada siaran kartun untuk sepanjang hari walaupun berada di rumah. Dalam lembut ada tegasnya. Dia faham.

Inilah ragam anak-anak! Riuh namun, tanpa mereka, hidup terasa sunyi.

Internet

Sekarang ini segala-galanya di hujung jari! Inilah gunanya internet. Saya suka mencari laman web untuk aktiviti kanak-kanak seperti mewarna, mengira, mengenal huruf secara interaktif dsbnya. Dan anak-anak cukup teruja untuk mencubanya. Jika dahulu, seawal belasan tahun baru kita mengenal komputer, sekarang ini, anak saya yang berusia 3 tahun sudah mampu untuk click and drag menggunakan mouse. Inilah pengaruh teknologi di dalam kehidupan kita. Tetapi jangan sampai internet digunakan untuk perkara yang sia-sia serta tidak berfaedah. Banyak lagi perkara yang bermanfaat yang boleh kita lakukan dengan menggunakan internet.

sabar menanti gambar sedang diprint

Internet juga menjadi penghubung kepada silaturrahim yang hampir terputus. Pendek kata, dunia ini ibaratnya tanpa sempadan dengan internet.

Thursday, September 18

Ayam

Teringin lagi menjamah ayam Radix. Petang semalam, pergi ke SP sekitar jam 3.30+. Oh ya, sepanjang Ramadhan, RFC dibuka dari jam 4pm - 4am sahaja. Tak banyak membeli, sekadar untuk berbuka sahaja. Hidangan mashed potato memang wajib kerana kakak memang suka. Beli yang biasa dan besar. Ayam beli yang spicy beberapa ketul serta wedges regular. Alhamdulillah, kenyang!

Wednesday, September 17

Kereta Oren

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba sebuah kereta berwarna oren memotong di sebelah kiri kereta kami. Tiba-tiba adik, yang duduk di hadapan, bersuara:

"Isk, kereta oren niiiii..."

Saya dan suami ketawa dengan kata-katanya yang tiba-tiba.

"Kenapa dengan kereta oren tu dik" saya bertanya.

Dia mendiamkan diri sambil tersenyum serta menutup mulutnya. Hehehe... agaknya dia terkejut dengan kereta yang tiba-tiba memotong di sebelah kiri di laluan motosikal.

Tuesday, September 16

Pertemuan

Sepanjang 16 hari Ramadhan ini, sudah acap kali mendapat perkhabaran kehilangan saudara atau saudara kepada rakan-rakan. Seawal jam 7 pagi, mak telefon membawa perkhabaran ibu saudara pupu telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi. Saya dan suami ke sana selepas menghantar anak-anak ke sekolah. Mujur sempat menatap wajah nya untuk kali terakhir sebelum beliau dimandi dan dikafankan.

Istimewanya saya rasa, kelihatan ramai sekali yang mengiringi jenazah beliau sehingga tidak cukup ruang rumahnya. Mungkin khidmat baktinya sebagai guru di Sekolah agama menjadikan beliau mendapat kemuliaan ini. Anak-anak murid tidak putus berkunjung serta membacakan ayat-ayat Al-Quran selepas subuh sesudah mendapat perkhabaran duka itu. Begitu juga di saat jenazah diiring untuk disembahyangkan, anak-anak murid ini jugalah yang turut mengiringi beliau.

Semoga roh Mak Cik berada di dalam himpunan orang-orang saleh di Sana. Al-Fatihah. Takziah untuk Pak Cik di atas kehilangan ini.

Di dalam ramai tetamu yang hadir, mak beritahu, ternampak bekas guru sekolah rendah saya, Cikgu Aisyah (Lin ingat lagi tak?). Sempat bersalam, saya memperkenalkan diri padanya. Alhamdulillah, dia masih mengingati saya. Sempat bertanya khabar sebelum beliau menghilangkan diri di kalangan tetamu untuk melihat jenazah untuk kali terakhir. Kami bersaudara rupanya, saudara bau-bau bacang!

Monday, September 15

Pencinta Bedak

Janganlah dapat bedak...habis dikerjakannya. Ini hasil tempelannya sendiri...itu kira ok la setelah ditouch-up, selalunya lagi bertampung-tampung.

Aduhhh...penat!!!

Semalam bawa anak-anak untuk beli kasut raya mereka. Bukan kasut sebenarnya, sandal saja, mudah untuk disarung serta boleh dipakai selalu. Cadangan asal ke the Store Sg. Petani, tetapi, sebelum ke sana, alang-alang berhampiran dengan Giant, singgah saja di situ. Sambil-sambil melihat kasut kanak-kanak, mereka suka dengan pilihan yang ada. Adik pun hendak sepasang serupa dengan kakaknya. Mujur tidak cerewet! Alhamdulillah, selesai.

Selesai membeli-belah, anak-anak teringin bermain pula di Giant. Biarkan mereka seketika untuk bermain. Mainan gerak di sini, percuma, berbanding dengan tempat lain.


Abahnya bersuara ingin membeli seluar. Terus cadangan diberi, ke Parkson yang berdekatan. Di dalam kereta, adik terus memakai sandal yang dibeli. Pakai sajalah...


Sewaktu di Parkson, ketika abahnya sibuk memilih seluar, aduh...mereka berkejaran ke sana ke mari. Penat! Beginilah keletah anak-anak jika dibawa ke pusat membeli-belah, tempat-tempat kain-baju sudah menjadi tempat menyorok mereka.


Mujur orang tidak ramai. Sempat bersembang dengan promoter di situ, katanya, Jumaat dan Sabtu memang penuh dengan orang bershopping, yelah, Kedah kan bercuti Jumaat dan Sabtu. Alhamdulillah, semalam tidak seramai mana, mungkin yang bershopping pun, yang bekerja di P.Pinang kan.

Friday, September 12

Sutera Kasih - In Team

Kian lama terpenjara
Mencari makna cinta
Dalam ungkap kata bersulam dusta

Bila gerbang rahmat terbuka
Menjelma cinta suci
Sehalus dan selembut sutera kasih

Terbentanglah tersingkap kebenaran
Terlerailah terbenam kepalsuan
Tuhan pada-Mu ada kedamaian

Diribaan-Mu kebahagiaan
Tiada lagi rasa kesangsian di hati
Cinta Mu cinta tulus suci murni
Kasih-Mu nan abadi

Bertautlah bercambahlah cinta
Mengharum dalam jiwa
Menemukan kerinduan syahdu
Pada yang Maha Esa

Sutera kasih membelai
Membalut kelukaan itu
Sutera kasih melambai
Mengisi kekosongan pengharapan

Rela pasrahkan kehidupan
Mengharungi cabaran
Rintangan perjalanan di hadapan

Doa dan titis air mata
Mendamba sutera kasih
Agar terus bersemi selamanya



diambil dari sini

Lagu ini sangat mendalam maknanya. Dulu, ketika bersendirian dan hati dirundung kesedihan, lagu ini menjadi sajian halwa telinga saya. Hati menjadi sejuk kerana memikirkan kasih Allah tetap bersama serta Dia sangat dekat dengan saya.

Thursday, September 11

Melatih Berpuasa

Saya berkongsi cerita dari sini tentang proses latihan berpuasa bagi anak-anak dengan rakan-rakan sekerja. Saya sangat teruja kerana mendapat maklum balas yang pelbagai dari rakan-rakan, pandangan ulama serta pengalaman mereka sendiri di dalam melatih anak-anak berpuasa.

Seorang rakan berkongsi cerita ini: "Ada pernah dengar Dr haron din bagi kuliah pasal puasa. Katanya Ibubapa selalunya dah ajar anak2 seawal 5-7 tahun untuk berpuasa, padahal ia amatlah memudaratkan anak kerana usianya masih muda. Ibubapa juga selalunya bangga jika anak2 yg seusia 5-7 boleh berpuasa. Tetapi katanya, sebaiknya usia 5-7 tahun diajar cara bersolat, kerana jika mereka telah mencapai 7 tahun, perlu di pukul(secara baik-ada byk cara) jika tidak sembahyang.

Katanya lagi, jika kita melatih anak2 supaya bersolat seawal usia, automatik dia akan berpuasa bila dah besar nanti. Tetapi bila kita ajar anak berpuasa cukup seawal usia, belum tentu dia bersolat bila dewasa. Jadi seusia 5-7 tahun jgn didera untuk berpuasa penuh. Biarlah sekadar mencuba."

Saya sangat menghargai ilmu yang dikongsi oleh rakan saya ini. Dalam konteks keibubapaan, kita cuma menggalakkan anak-anak berpuasa. Cara saya, jika dapat berpuasa penuh, habuannya RM1/hari. Tetapi, saya terapkan pada anak, bahawa, berpuasa bukan kerana duit, tetapi merupakan salah satu rukun islam yang kita perlu tunaikan. Dia faham. Saya juga berkata pada kakak, jika tidak mampu, jangan diteruskan, kakak boleh makan. ALhamdulillah, dia sendiri yang ingin berpuasa. Katanya jika tidak berpuasa, tidak boleh raya! Hehehe...dan dia beritahu adiknya, "adik tak boleh raya sebab adik tak posa."... Saya tersenyum. Adik menjawab "adik kecik lagi, tak boleh posa"..hehehehe. Budak-budak.

Selama 10 hari berpuasa, cuma 3 hari kakak berpuasa 1/2 hari. Tetapi saya pastikan dia mengambil food supplement supaya dia tidak kehilangan zat yang diperlukan ketika berpuasa.

Tentang solat, kami cuba melatih mereka untuk bersolat. Alhamdulillah, guru tadika juga banyak membantu dengan mengajarkan ayat-ayat yang perlu dibaca di dalam solat serta melazimkan mereka bersolat ketika berada di tadika. Sekarang ini, insyaAllah, kakak boleh bersolat dengan sempurna dengan bacaannya sekali.

Wednesday, September 10

Maaf ye..Donut Lagi

Hehehe... semalam teringin lagi merasa donut. Selepas menjemput kakak dan adik di taska/tadika, kami ke Nash lagi. Kali ini saya biarkan anak-anak membuat pilihan. Abahnya sudah beritahu awal-awal, inginkan donut berperisa strawberi (pink). Dibiarkan buat pilihan, kakak, memilih yang coklat saja, dan adik sempat memilih satu berperisa lemon (hijau kuning). Sedap katanya!

Tuesday, September 9

Kakak-adik

Sewaktu melihat-lihat gambar-gambar lama, saya membandingkan gambar adik dan kakak, cuba lihat betul-betul gambar ini. Sama tak adik dan kakak ketika berumur 3 tahun?

Monday, September 8

Wanita & Bunga

Bunga tidak dapat dipisahkan dengan wanita. Betul ke? Jumaat lepas, Persatuan Wanita menganjurkan bengkel gubahan bunga sudut. Bengkel ini dikendalikan oleh seorang pakar gubahan dari A tu Z Bandar Sunway. Inilah hasil gubahan saya yang "keras tangan" ini...boleh tahan kan? hehehe..sekarang ini bermastautin di rumah mak saya.

Ini bunga gubahan dulu, asalnya berbentuk bujur. Saya sudah bosan dengan bentuk itu yang saya gubah tak menarik, saya ubah suai sendiri menjadi bulat...hehehe.

Friday, September 5

Pembakar Semangat

Seseorang pernah mencadangkan, jika ingin menulis buku, siapkan muka depan (cover) nya dahulu. Tujuannya, sebagai pembakar semangat kita untuk terus menulis.



Begitulah yang saya buat. Awal-awal lagi sebelum memulakan dissertasi saya, saya telah menyiapkannya. Dan juga untuk muka surat penghargaan juga telah disiapkan! hehehe...

Thursday, September 4

Komputer

Anak-anak selalu menggunakan laptop untuk bermain games komputer. Risau pula laptop itu rosak dengan tangan-tangan kecil kerana sudah 3 kali ianya terpaksa di'rawat' sebelum ini.


Hari Selasa lepas pergi ke sebuah pusat komputer untuk mencari komputer budget untuk mereka bermain. Senang nanti mereka dapat menggunakan CD pendidikan di situ. Alhamdulillah, dapat juga CPU Pentium 4 dengan harga RM440 tanpa monitor. Monitor dan keyboard lama kepunyaan suami yang sudah hampir 4 tahun tidak digunakan masih lagi boleh berfungsi.

Semalam, anak-anak kegirangan kerana dapat bermain komputer, umi pula senang hati kerana laptop itu sudah tidak diganggu lagi, hehehe

Yang Pergi Tak Kembali

Takziah kepada Rafizah yang baru kehilangan ayahanda tercinta subuh tadi. Semoga roh ayahanda berada di dalam himpunan orang-orang yang soleh. Takziah juga kepada Mazlina yang kehilangan anakanda semalam. Usahlah bersedih kerana anakandamu sedang menunggu kedatanganmu di Syurga.

Nota: Terkenang saat kehilangan ayahanda tercinta pada 1 Jun 2006 yang lalu.

Al-Fatihah.

Wednesday, September 3

Tragik!

Sewaktu dalam perjalanan untuk mengambil anak-anak di tadika/taska, terpandang kemalangan ini di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth berhampiran Bagan Ajam. Harap-harap tiada kemalangan jiwa berlaku.


Buat rakan-rakan yang akan memandu pulang ke kampung halaman sempena kedatangan Ramadan ini dan Syawal nanti, berhati-hatilah di jalan raya. Jangan disebabkan kita hendak bergegas sampai ke pangkuan keluarga, kita ditimpa kecelakaan pula.

Donut

Semalam sewaktu sembang-sembang dengan suami, dia teringatkan satu kedai Bumiputera yang baru dibuka di Perda, ala-ala Dunkin' Donut. Ada sebuah artikel tentang kedai ini di dalam suratkhabar utama baru-baru ini. Teringin juga merasa donut yang sememangnya menjadi kegemaran anak-anak.



Sedap juga donut-donut ini yang terdapat di dalam pelbagai perasa. Jika sesiapa yang teringin mencubanya, kedainya berhampiran dengan Bank Islam di Bandar Baru Perda.

Tuesday, September 2

Main-main

Kakak selamat berpuasa 1/2 hari pada hari pertama. Alhamdulillah. Ketika ke Pacific semalam, sememangnya sudah membawa bekalan terutamanya untuk adik. Sewaktu berehat sekejap selepas mencari baju untuk mereka, ternampak mainan ini, apa lagi, teruja sakan lah mereka! Berapa kali pusing juga naik mainan ini.

Monday, September 1

Cerita-ceriti Ramadhan

Ini cabarannya bagi para ibu!

Sedang si ayah menunaikan sunat terawih di masjid/surau, para ibu masih sibuk dengan anak-anak. Sudah tentu tidak ingin terlepas pahala sunat terawih yang cuma dilakukan ketika berkunjungnya Ramadhan.

Teringat ketika masih belum berumahtangga, kakak senior yang sudah melalui asam-garam berumahtangga berpesan...ketika masih bujang ini, tumpukanlah sepenuh perhatian pada amal-ibadah kerana nanti, ibadah lebih kepada menjaga anak-anak, suami dan rumahtangga. Saya tersenyum. Selepas beranak-pinak ini, barulah saya mengerti. Namun, jangan bimbang, menjaga anak-anak, suami serta rumahtangga juga merupakan ibadah!

Malam pertama Ramadhan, ketika menunaikan terawih di rumah, anak-anak riuh-rendah diluar bilik, seolah-olah lebih dari 2 orang jadinya! Saya biarkan saja mereka, sekejap kakak menyebabkan adik menangis, ketika lain, kedengaran dia pula memujuk! Kanak-kanak!

Tadi, sewaktu hendak menunaikan 2 solat terakhir terawih, adik datang menghampiri, dia memberitahu dia buang air besar. Hmm...mujur juga sudah memakai diaper. Saya meneruskan solat terakhir. Sesudah memberi salam, dia masih di sisi saya sambil duduk bersila...dia beritahu lagi. Saya ingin habiskan doa terawih. Sambil membaca doa, saya lihat dia sudah tersengguk-sengguk sambil bersila. Gelihati pula melihat gelagat adik.

Selesai urusan saya, saya sudahkan urusan adik. Hmm...malam ini, adik sudah 'tewas' seawal 9.30 malam. Selalunya, masa tidurnya melewati jam 11 kerana dia akan berjaga selagi lampu masih menyala! Sememangnya dia mengantuk kerana pada siangnya, dia tidak langsung melelapkan mata kerana ikut bershopping. Persiapan baju raya mereka telah disiapkan seawal mungkin kerana tidak suka bertembung dengan orang ramai yang berpusu-pusu ke pusat membeli-belah di saat-saat akhir. Alhamdulillah, sudah selesai.

Sesampai di rumah, sambil mencuba-cuba baju baru, dia enggan menanggalkan bajunya. Bila dah berkenan, susah pula! Dia agak cerewet dengan baju, ada saja pilihan baju yang tidak menepati kehendaknya. Alhamdulillah, tadi ketika membeli, tidak seteruk cerewetnya memilih baju seperti tahun lepas, di mana kami menghabiskan masa di 2, 3 pusat membeli-belah untuk memilih baju dia sahaja!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin