Showing posts with label kerja. Show all posts
Showing posts with label kerja. Show all posts

Saturday, September 10

Integriti

"This is your last test before your final exam.  Please do not communicate with each other, do not copy.... " dan senarai tidaknya bersambung. 

Begitulah arahan sebelum pelajar memulakan ujian terakhir mereka pada hari terakhir kuliah mereka.  

Ketika ujian berlangsung, saya lihat pelajar-pelajar mula berbincang sesama mereka.  Bukan seorang dua, tetapi ramai.  Bunyi lebah semakin kuat kedengaran.  Dan saya juga perhatikan, ada yang masih mempunyai integriti untuk menjawab soalan sejujurnya.  Saya masih memerhati.  Saya tidak menegur.  Bukan tidak mahu menegur, akan tetapi saya mempunyai rencana yang lebih 'istimewa' untuk mereka.  

Selesai ujian, masing-masing kelihatan ceria kerana 'ujian terakhir' mereka sudah habis.  

Saya menyambung kuliah yang berbaki dua contoh untuk melengkapkan silibus untuk semester ini.  Di dalam kepala saya, masih merangka ayat yang sesuai untuk dilontarkan kepada anak-anak murid ini.

"Okay, we will have re-test on Monday"

Masing-masing terkejut dengan pengumuman yang tiba-tiba (saya rasa).

"Ujian tadi bukan lagi ujian tetapi discussionI will not mark your paper."

Saya memulakan 'tazkirah' pendek untuk mereka. 

Jika pun mereka mendapat four flat di dalam subjek mereka, saya katakan, ianya tidak menarik perhatian saya jika ianya bukan hasil dari usaha mereka sendiri.  Ujian sepatutnya menguji tahap kefahaman masing-masing, jika masih lemah, boleh dibaiki, akan tetapi, jika meniru dan mengharapkan orang lain, maka ilmu yang diperolehi tidak ke mana dan tiada keberkatannya.  Begitu juga jika ada yang pandai "menolong" kawan-kawannya yang kurang pandai, "bagaimana jika dia berjaya menjadi seorang jurutera, tetapi dengan ilmu yang dia perolehi hasil dari penipuan, dia membina jambatan yang digunakan orang ramai, tetapi jambatan yang dibina tidak kukuh dan runtuh.  Bukankah ianya melibatkan orang lain, bukan dia seorang saja."  Diam.

Jika hanya gred yang dikejar, dan sanggup untuk melakukan penipuan untuk mendapat gred yang baik, di mana keberkatannya.  "Awak adalah pelajar universiti, bukan lagi pelajar sekolah, jadi berkelakuanlah seperti seorang pelajar universiti".

Saya perhatikan wajah setiap mereka.  Diam.

"This is your lesson."  Dan saya amat berharap dengan tindakan saya ini, mereka akan ingat selama-lamanya.  Saya ingin membentuk seorang pelajar muslim yang mempunyai integrati, walaupun tidak diperhatikan, mereka tetap melakukan kerja mereka dengan jujur, bukan hanya semata-mata kerana ada manusia yang memerhati, mereka melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh.

Saya berkongsi cerita dengan rakan pensyarah yang lain.  Ada seorang, pernah beberapa kali menegur pelajarnya yang berbincang ketika ujian berlangsung, langsung tidak dipedulikan.  Akhirnya dia 'menghalau' pelajarnya keluar dari ujian tersebut.

Seorang lagi rakan pensyarah memberitahu lagi, dia mendapat 'jelingan' tajam ketika beberapa kali menegur pelajar yang sama meniru/bertanya kawan ketika ujian berlangsung.  Hmmm....

Kerana sebab itulah saya tidak 'menegur' mereka begitu, kerana pernah saya menegur, tetapi tetap tidak dihiraukan.   Kali ini, saya mengambil tindakan yang lebih 'drastik' lagi, walaupun implikasinya, saya terpaksa menggubal soalan ujian khas untuk mereka.  

Biar mereka 'berdendam' atau 'membawa mulut' tentang tindakan saya ini kerana saya ingin menjadikannya sebagai pengajaran untuk mereka ingati sepanjang hidup mereka supaya jujur dan amanah dengan tanggungjawab mereka.  Harap-harapnya begitu.

Friday, May 20

Selesai sudah

Alhamdulillah, berakhirnya program kemasyarakatan jabatan kami di Rumah Anak-anak Yatim Bekas Perajurit di Kulim, Kedah.  Lega - kesimpulan kami - melihat anak-anak yatim bekas perajurit ini terbela dan berterus-terusan mendapat sumbangan dari pelbagai agensi.  Mereka juga memiliki bangunan sendiri yang  merangkumi ruang pejabat, kantin, dapur, bilik mesyuarat, mini perpustakaan/bilik belajar dan asrama.  Anak-anak yatim yang kami kunjungi adalah di dalam lingkungan Tahun 4 sehingga ke Tingkatan 5 '.

kehadiran kami disambut oleh anak-anak ini
Di asrama tersebut, mereka telah diasuh untuk melakukan tugas-tugasan tertentu mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana kekurangan tenaga kerja di pusat berkenaan.  Kehadiran kami untuk menceriakan anak-anak yatim berkenaan serta memberi sedikit motivasi untuk mereka supaya meneruskan pencarian ilmu tanpa kehadiran ibu atau ayah di sisi.  Ternyata, mereka agak bernasib baik berbanding dengan anak-anak yatim yang lain yang kelihatan lebih daif lagi.


ringan tulang membantu mengangkut barang

Ketua program yang sangat sibuk memastikan program berjalan lancar



Tugas saya, tukang menyebok di dapur serta merangkap 'jurukamera lantik sendiri'.  Sudah lama tidak bergotong-royong begini.  Meriah. 

dapur - persiapan menyediakan juadah

Inilah salah seorang 'master chef' - pensyarah matematik yang minat memasak.


padang - acara sukaneka

belakang dapur - giat menyiang dan membersih ikan
Kumpulan gotong-royong sibuk membersihkan kawasan.  Para jejaka yang hanya beberapa orang itu sibuk bertukang di tingkat atas - bahagian asrama untuk membetulkan pintu-pintu almari yang telah terkopak/tanggal (tiada gambar).

gotong royong membersihkan kawasan - tu dia... sehingga tidak sedar seliparnya berlainan 'jantina'

sabarnya melihat buah kuinin ini

'Master chef' yang lain

Menu tengahari
Petangnya, majlis ringkas untuk penyampaian hadiah sukaneka serta sumbangan kepada anak-anak yatim ini.   


Pertukaran cenderahati

Untuk kenangan
Alhamdulillah, kami mendapat sokongan dari staf-staf UiTM yang turut menghulurkan sumbangan berupa wang ringgit dan juga barangan, orang perseorangan selain UiTM serta agensi penerbitan seperti PTS dan Galeri Ilmu.

Sumbangan ini hanyalah sebahagian dari tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat.

Kerapkali saya mengingatkan anak-anak betapa bertuahnya mereka kerana masih mempunyai ummi dan abah dan rumah sendiri berbanding anak-anak yatim yang terpaksa tinggal di asrama.  Namun, masih ada lagi golongan lain yang bukan yatim-piatu tetapi kehidupan mereka lebih daif berbanding anak-anak yatim ini.  Semoga setiap dari kita mempunyai tanggungjawab sendiri untuk melihat dengan mata hati serta membantu  golongan-golangan ini selagi kita masih bernafas kerana tiada bekalan lain yang akan dibawa ke Sana kecuali : ilmu yang bermanfaat, sadaqah jariah serta anak-anak yang soleh/solehah mendoakan untuk ibubapa.

Thursday, May 19

Sudah bersedia

Persiapan untuk projek jabatan. Nanti saya ceritakan selanjutnya apabila programnya sudah selesai.

Terima kasih PTS
Antara buku sumbangan mereka

Terima kasih Galeri Ilmu

Antara sumbangan dan hadiah



Friday, April 1

Hari Pensyarah 2011


Terima kasih pelajar-pelajar yang sudi meraikan kami para pensyarah.  Tanpa pelajar, tiadalah pensyarah.  Memetik kata-kata Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), kita menjadi pensyarah kerana Allah telah memilih kita.  Benar sekali.  Apa pekerjaan pun kita, kita telah dipilih Allah untuk menjalankan amanah masing-masing.  Jalankan amanah kita dengan penuh dedikasi dan berintegriti.  Setiap kerja adalah ibadah.  Selamat Hari Pensyarah!

Tuesday, December 21

Belum dapat rehat...


Untuk kali kedua saya mengikuti bengkel OBE - Outcome Based Learning.  Tidak mudah juga untuk memahami konsep dan menerapkannya ke dalam pembelajaran di dalam kuliah.  Sebelum ini, para pensyarah sudah terbiasa dengan stail masing-masing di dalam penilaian di dalam kelas, tetapi, dengan adanya OBE ini, penilaian sudah ditetapkan untuk memastikan keseragaman untuk kod kursus yang sama.  Proses pembelajaran akan berterusan, bukan saja untuk pelajar, tetapi juga pensyarah.  Masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan untuk melatih modal insan yang berdaya-saing, kritis pemikirannya serta bersahsiah mulia untuk pembangunan negara di masa akan datang.

 Bloom Taxonomy

 Tekunnya rakan-rakan saya, tidak sedar ada yang sedang meneropong... hehehe

kak Ana dan kak Wan, proses pembelajaran tiada penyudahnya kan...

Bengkel ini bukan saja mengumpulkan pensyarah dari P.Pinang saja, tetapi hampir seluruh negeri di Malaysia, yang paling jauh, Sarawak dan Sabah.  Semoga kita semua mendapat manfaat dari bengkel sehari ini dan dapat pula dimanfaatkan untuk pembangunan anak didik kita.

Sunday, December 19

2 Hari


Persiapan setahun untuk program selama 2 hari.  Segala-galanya perlukan perancangan rapi.  Setiap pihak memainkan peranan masing-masing yang tidak kurang pentingnya untuk menjayakan sesebuah program.  Perasaan saya sekarang ini... lega... kerana telefon sudah tidak kerap lagi berbunyi dan saya kini kembali menjadi diri saya yang sebelum ini 'low profile'.  Cukuplah untuk dua hari itu saya menjadi 'tumpuan', dan sejujurnya, saya tidak berapa gemar menjadi orang di hadapan tabir.  Hehehe... saya lebih suka berada di belakang, menguruskan segalanya di dalam senyap!  

Sekarang ini saya sedang bersedia dengan pasca konferen.  Laporan  penuh perlu dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi serta pengurusan UiTM di dalam masa dua minggu dari tarikh program.  Berpinau biji mata saya memilih gambar yang berjumlah 1700+ untuk dimasukkan ke dalam laporan bertulis itu yang hanya perlu 10 - 20 gambar.  Yang mana satu yang molek untuk dimuatkan.

Saya kongsikan gambar saya yang diambil oleh jurufoto khas untuk program ini.  Terima kasih En. Azri dan En. Mail.

 menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan

 gambar kenangan

 tetamu kehormat, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa),

 iskh... seriusnya saya hehehe...

 kenangan bersama penceramah kedua dan ketiga

 berehat sebentar

 pembentangan kertas kerja

 ucapan aluan ketika majlis makan malam

 cenderahati untuk pengarah kampus

 persembahan dari kumpulan Zulfan

 gambar kenangan AJK bersama pengarah dan timbalan

 kenangan bersama Zulfan

posing dalam kepenatan

Thursday, December 16

Hari Pertama


Lintas langsung dari Hotel Gurney, P.Pinang

Alhamdulillah, dengan limpah Rahmat dan Rahimnya, hari pertama konferen ini telah berlalu dengan jayanya.  Semalam, debarannya sedikit, pagi ini, debaran makin kencang, andainya lah dapat diteropong ketika itu. 

Terima kasih semua yang memberikan kerjasama yang tidak berbelah-bagi untuk menjayakan program ini.  Semoga Allah merahmati kalian.


Thursday, December 9

Bukan Mudah...


Ya... bukan mudah untuk mengendalikan konferensi atau persidangan antarabangsa bagi orang 'biasa-biasa' seperti saya (mungkin bagi orang lain mudah saja). Jika tidak kerana mempunyai sahabat dan rakan-rakan sejabatan  yang amat dedikasi, mustahil, program berskala besar seperti ini dapat dijayakan.  Semakin hampir harinya, semakin terasa beban batu digalas semakin memberat di bahu saya.  

Walaupun ada ketikanya rasa tertekan, tetapi kerana yakin dengan keputusan yang telah dibuat dengan istikharah itu, saya cuba redha dan yakin dengan setiap rintangan yang datang, dan cuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaiannya.  Tempat saya mengadu hanya Dia, tempat pergantungan saya.  Alhamdulillah,surah Al-Insyirah ini sentiasa menjadi ayat penenang saya :

Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
94-1: Bukankah Kami (Allah) telah melapangkan dada engkau?
94-2: Dan Kami (Allah) lepaskan beban yang berat daripada engkau?
94-3: Yang memberatkan punggung engkau.
94-4: Dan Kami (Allah) telah tinggikan bagi engkau sebutan (nama) engkau.
94-5: Maka sesungguhnya beserta kesulitan itu ada kemudahan.
94-6: Sesungguhnya beserta kesulitan itu ada kemudahan.
94-7: Maka apabila kamu telah selesai (suatu urusan), teruskanlah (dengan urusan yang lain pula).
94-8: Dan hanya kepada Rab (Tuhan) engkau hendaknya engkau berharap.
 

Alhamdulillah,  sepanjang berurusan dengan orang 'bukan biasa-biasa' (yang berjawatan tinggi), mereka begitu mudah bekerjasama, serta kedengarannya tidak meninggi diri.  Sesungguhnya pengalaman ini tidak dapat diperolehi dari pembelajaran di kelas, melainkan kita melaluinya sendiri.  Sedikit sebanyak, ianya membina keyakinan diri saya untuk berurusan dengan ahli akademik yang lebih tinggi jawatannya. 

Sepanjang perjalanan ini, saya sangat terhutang budi dengan orang di sekeliling yang banyak membantu saya mengendalikan program ini.  Terima kasih semua.  

 Persediaan cabutan bertuah


antara hadiahnya, ada lagi yang belum dibungkus

Thursday, December 2

"First Baby"



kakak ketika berusia 2 hari (hiasan)

Debarannya ibarat menanti tibanya saat melahirkan anak pertama.  Inilah perasaan saya pada ketika dan saat ini di dalam penantian berlangsungnya hari konferensi antarabangsa pada 16 dan 17 Disember ini.  Inilah pertama kali saya mengetuai jawatankuasa yang berskala besar di peringkat antarabangsa.  Bukan mudah untuk saya membuat keputusan menjadi pengerusi ini.

Setelah hampir setahun bertungkus-lumus bersama-sama rakan-rakan lain yang diberi kepercayaan untuk bergerak bersama-sama, hari yang dinantikan semakin tiba. Semakin hari berganjak mendekati angka 16, semakin debaran di dada saya bertambah.  Bimbangnya hanya Allah saja yang tahu.  Kami hanya merancang, pelaksana yang Maha Agung adalah Dia.  Hanya kepadaNya saja saya memohon agar dipermudahkan, dilancarkan serta dijayakan program ini.  Semoga segala cacat-celanya dipelihara Allah dan semoga perancangan kami ini berjalan dengan lancar.  InsyaAllah.

Kerana itu jugalah terhasilnya beberapa bekas pelbagai guna untuk meredakan debaran di dalam dada saya ini, hehehe.

Wednesday, November 17

UiTM d'Hatiku...

Salam Aidil Adha.  Usah difikirkan apa pengorbanan negara kepadamu tetapi apa pengorbananmu kepada negara.  

Sambutan Aidil Adha kami ala kadar saja.  Baju menggunakan baju raya AidilFitri tempohari.  Selesai solat, suami bersama warga taman perumahan turut serta di dalam acara melapah, memotong dan mengagihkan daging korban.  Saya dan anak-anak bergerak ke rumah mak bersendirian.  Selepas zohor, barulah suami ke rumah mak.  

Sewaktu dalam perjalanan balik dari rumah mak, kami meninjau UiTM Kampus Bertam (angan-angan ingin berpengkalan di sini) dari jalanraya.  Hampir siap binaannya dengan beberapa bangunan sudah nampak warna korporatnya, ungu.  InsyaAllah, UiTM Kampus Bertam akan beroperasi mungkin tahun hadapan atau tahun berikutnya. 




InsyaAllah, saya ingin merasa di persekitaran baru di Kampus Bertam ini.

Thursday, July 15

Kemana?


Minggu yang memenatkan tetapi menyeronokkan.  Lupa sekejap kerja yang menimbun di pejabat.  Sudah berbulan lamanya membuat perancangan, akhirnya, Alhamdulillah, berjaya juga dilaksanakan hari keluarga jabatan.  Kali ini bukan setakat menghadirkan diri, tetapi terlibat secara langsung di dalam perlaksanaan aktiviti ini.  Memang memenatkan tetapi puas kerana orang lain dapat bersama-sama di dalam aktiviti yang dirancang. 

kakak asyik dengan PSP - leka benar dia.


ini model sambilan saya hehehe...suka menyuruh saya mengambil gambarnya

tak dapat lelap menemankan abah memandu... anak-anak sedap zzzzz

destinasi kami

- bersambung -

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin