Showing posts with label PhD. Show all posts
Showing posts with label PhD. Show all posts

Monday, August 17

Kembara Ilmu - Istanbul6 (Topkapı Palace)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Istanbul memiliki pelbagai Müzesi atau Muzium yang mempunyai konsep tersendiri.  Antaranya, Muzium Archaeological, Ataturk, Calligraphy, Modern Arts, Fine Arts, Islamic Art, MiniaturkAya Sofya (Haghia Sophia)Topkapı Palace dan Transport.  Tidak semua yang sempat dikunjungi di dalam tempoh yang singkat berada di Istanbul.

Topkapı Palace (Turkish : Topkapı Sarayı)

Topkapı Palace adalah kediaman utama sultan dan ahli keluarganya yang terletak di dalam sebuah kota ketika tamaddun keagungan kerajaan Uthmaniyyah.  Di perkarangan pintu utama, kota ini 'dikawal' oleh dua orang pengawal di kiri kanan pintu gerbang yang berdiri tegak ala-ala pengawal di Istana Buckingham.  


Muzium ini terbahagi kepada beberapa bahagian atau Avlu.  Setiap bahagian terdapat beberapa galeri mengikut temanya yang tersendiri.  Di dalam ruangan galeri tidak dibenarkan untuk mengambil gambar dan perlu mengikut giliran di dalam barisan yang panjang (jika ramai pengunjung).

Layout Topkapı Palace ini diperolehi dari laman web ini. (klik untuk besarkan imej)






Galeri Harem adalah kawasan berbayar (15TL) tambahan kepada bayaran masuk ke muzium. Ruangan ini mempamerkan bilik serta ruangan peribadi Sultan dan ahli keluarganya.  Jubin yang tersusun rapi serta susunan ayat-ayat Quran yang terdapat di bahagian dalam Harem serta di dinding sangat mengagumkan. Jika kesuntukan masa, lawatan bahagian Harem boleh dikeluarkan dari aturcara lawatan.   



Satu-satunya matlamat utama ingin berkunjung ke Topkapı Palace ini ialah ingin menyaksikan sendiri barang peninggalan Rasulullah ﷺ, namun, disebabkan kesuntukan masa, ditakdirkan kami tidak bertemu dengan bahagian ini yang terletak di Chamber of the Sacred Relics :( Mungkin perlukan kunjungan yang lain pada masa akan datang :D .

pemandangan dari Topkapı Palace




Bayaran masuk untuk ke muzium adalah 30TL.

Sedikit tips:
  1. Kuatkan fizikal kerana muzium ini memerlukan banyak berjalan kaki.
  2. Sediakan payung/baju hujan kerana kunjungan kami di awal musim panas (awal Jun) diiringi dengan hujan lebat.
  3. Sediakan wang yang mencukupi kerana bayaran makanan/minuman di dalam muzium agak mahal.  Kami perhatikan air mineral 500ml yang berharga 1TL di luar dijual dengan harga 6TL.
  4. Perlukan masa (melebihi 1 jam) untuk mengunjungi semua bahagian di dalam muzium ini terutamanya ketika ramai pengunjung.


Friday, July 10

Kembara ilmu - Istanbul5 (closed up)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

peta asal dari web ini... (klik untuk besarkan imej)

Lamanya entri ini tertangguh... baru berkesempatan untuk mencoretkan perincian setiap lokasi yang dikunjungi.

Tugu-tugu (obelisk) yang terletak di perkarangan Masjid Biru ini adalah kesan peninggalan tamaddun Rom.  

Serpent Column
Pada asalnya dibina di hadapan Temple of Apollo di Delphi setinggi 8 meter dengan lilitan 3 ekor ular.  Tiang yang dapat dilihat sekarang adalah setinggi 5 1/2 meter sahaja tanpa kepala ular.  


Obelisk of Theodosius
Juga dikenali sebagai Egyptian Obelisk pada asalnya dibina oleh Tutmoses III pada kurun ke-18 dinasti Mesir.  Ianya dibawa dari Mesir ke Rom dan ketika pemerintahan Theodosius I ianya ditegakkan di tempatnya yang sekarang ini.  Ketinggiannya 19.59 meter hanyalah 2/3 dari ketinggian asalnya. Lukisan yang terdapat di tiang adalah lukisan Greek dan Latin kuno.      

lukisan di tiang
wajah-wajah di batu asas tiang

The Column of Constantine
Dibina oleh Maharaja Constantine Porphyrogenitus pada abad ke-10 di Hipoodrome of Constantine (sekarang ini dikenali sebagai Sultanahmet Square).  Ianya juga dikenali sebagai Walled Obelisk.


-bsersambung-

Friday, July 3

Kembara Ilmu - Istanbul4 (Sultanahmet)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Seakan tidak percaya pada pagi Ahad, 7 Jun 2015, diiringi angin sejuk yang menyapa wajah, saya telah menjejak kaki di bumi Kota Constantinople yang terkenal dengan sejarah kerajaan Uthmaniyyah ini.  Alhamdulillah... beberapa hari sebelum itu, tidur seakan tidak nyenyak memikirkan kembara ilmu ini.  Teruja sekali...  Oh ya, hampir berbulan lamanya membuat carian google tempat-tempat yang 'harus' dikunjungi dan kaedah/cara untuk sampai ke sana tanpa menggunakan khidmat tour agency.  Hampir kesemua pengangkutan awam kami naiki di Istanbul, kecuali teksi... Tram, keretapi, feri dan bas..kami sukakan adventure yang menjadikan ianya lebih bermakna untuk dikenang, termasuklah sesat menaiki bas di Istanbul! bas yang betul, tetapi destinasi akhir yang berlawanan dari destinasi yang ingin ditujui :D :D :D Maka merasa jugalah menaiki sambungan keretapi bawah tanah.  Yang pentingnya, peta pengangkutan awam perlu ada untuk mengetahui lokasi serta stesen pengangkutan awam yang berhampiran.


Di Istanbul ini kami lebih banyak berjalan kaki, namun, permulaan musim panas ini dengan angin sejuk dengan suhu 20°C, kurang berpeluh.    

Fatih Belediyesi (Majlis Perbandaran Fatih) berhampiran Beyazit
Kami tiba di Istanbul dengan 0 Lira...dan segala-galanya memerlukan Lira untuk berurusniaga.  Maka menapaklah dahulu (kami tiba di hotel sekitar 7.30 pagi) sementara menanti money changer beroperasi.  


Sebagaimana yang telah disebut di Catatan Istanbul2, segala pengangkutan memerlukan IstanbulKart yang hanya boleh dibeli dengan matawang Lira di mesin automatiknya. Ianya hanya di dalam bahasa Turkiye... Alhamdulillah, ada orang tempatan yang baik hati membantu kami untuk mendapatkan kad ini walaupun beliau tidak fasih bercakap di dalam bahasa Inggeris.  

mesin automatik 

Kita jalan-jalan dan lihat saja ye... masa saya amat terhad untuk bersenang-senang menikmati Turkish Bath yang sering diperkatakan ini :D



Di mana-mana akan kelihatan haiwan kesayangan Rasulullah  ini, dan hampir ke semuanya gebu-gebu dan comel belaka.  Geram!! :D 



Ada kisahnya dengan kucing di sini.  Pada  satu malam ketika dalam perjalanan balik ke hotel, kami singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli roti dan air, ketika keluar, seekor kucing berwarna hitam mengekori kami.  Wah.. jika dibiarkan harus sampai ke hotel! Agaknya lapar... kami berpatah balik ke kedai runcit tersebut...

Saya : "Do you have cat food?"

Pekedai : ...... (tidak faham.. apabila ayam dan itik berbicara :D)

Saya : Sambil menunjukkan jari ke mulut (seperti isyarat makan) sambil berkata... "meow meow"... :D :D anak-anak ketawa!

Pekedai : Menunjukkan susu

Saya : No..no (sambil menggelengkan kepala) menunjukkan lagi jari ke mulut serta berkata "meow meow"... :D :D

Pekedai : .... (hampir tergelak) menunjukkan daging keping (salami).

Saya : Ok lah... (terkeluar bahasa melayu pula :D :D )

Anak-anak sudah ketawa besar di luar kedai! :D :D Sungguh, kucing itu kelaparan! Sesudah itu kucing tersebut makan dengan lahapnya daging tersebut... mewah lah makan malamnya.

***************************

Di hujung sana adalah laut Marmara... kami tidak sampai ke hujung sana kerana pastinya tidak sanggup untuk memanjat kawasan yang curam untuk balik.


Marmara dari kejauhan
Sultanahmet ini letaknya beberapa tumpuan perlancongan yang terkenal, Masjid Biru atau Sultan Ahmet Camii, Ayasofya dan Muzium Topkapı (sebut : Topkape).  Di sini kerap kedengaran bunyi burung camar yang bebas berterbangan.    
Di mana-mana (bukan di Sultanahmet sahaja) ada dijual Simit - sejenis roti seperti pretzel dengan harga 1 TL  


kiosk Simit
dan Kestane (kacang Hazel) ini.  Ianya dijual secara gram (100gram = 5 TL)


kiosk Kestane

Layankan tetamu kecil ini dengan Simit... 


-bersambung-
  

Monday, June 29

Kembara Ilmu - Istanbul3 (Conference)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Lama tertangguh entri kembara ilmu ini.  Inilah tujuan yang sebenarnya kembara ilmu ke Istanbul, Turki selama 6 hari.  Persidangan akademik yang berlangsung di Yildiz Technical University, Davutpaşa, Istanbul.

pintu masuk ke universiti



Posing sebelum conference bermula :D


Ada sedikit kekecewaan ketika menghadiri conference ini. Jangkaan saya perlaksanaannya lebih tersusun dan teratur, namun ianya tidak.  Saya berharap perkongsian ilmu di dalam bidang yang lebih menjurus kepada keperluan bidang saya, tetapi ianya tidak begitu.  




Kehadiran peserta juga tidak begitu memberangsangkan.  Dewan besar yang sepatutnya dapat memuatkan beratus orang peserta kelihatan lengang dengan hanya lebih kurang 50 peserta.  Kasihan melihat penceramah jemputan yang terdiri dari professor-professor Matematik dari pelbagai negara yang ingin berkongsi ilmu dengan para peserta, pastinya mereka kecewa... 

ketika sesi penceramah jemputan - lengang!





Walaupun dari satu segi, matlamat asal kembara tidak kesampaian... :(  tetapi ianya satu perjalanan yang amat bermakna di dalam hidup.  


pemandangan dari stesen metro

Selamat tinggal Yildiz Technical University.  Semoga diberi kesempatan untuk menimba ilmu lagi di sana suatu hari nanti, InshaaAllah.

-bersambung-

Thursday, June 18

Kembara Ilmu - Istanbul2 (perjalanan)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Rentetan perjalanan tertangguh kami, segala urusan pertukaran penerbangan dilakukan oleh pihak MAS.  Ketika membuat tempahan, saya membuat satu tempahan dari Pulau Pinang - Istanbul dua hala, ia memudahkan semua urusan berkaitan yang tidak pernah terlintas akan berlaku di minda ini.  Alhamdulillah.. di dalam kepayahan, Allah memudahkan urusan saya sekeluarga dengan kehadiran penumpang lain bersama kami yang juga terkandas dengan penerbangan transit di Dubai. Merekalah yang banyak menjadi jurucakap ketika berurusan dengan pihak MAS. 


Surah Al-Mulk : 15


Terima kasih pihak pengurusan 'Delay Team' yang cuba melakukan yang terbaik untuk kami walaupun berdepan dengan kes-kes delay yang lain pada hari tersebut.

akhirnya...

6 pagi waktu Istanbul


Hampir 1/2 jam perlu melepasi kaunter imigresen lapangan terbang Ataturk, Istanbul dengan barisan yang panjang.  Oh ya, ada dua laluan untuk warganegara Turki dan warganegara asing.  Kaunter imigresennya dilengkapi dengan kamera kecil untuk scan wajah yang akan dipadankan dengan gambar di passport.  Jika berkumpulan, pastikan setiap seorang memegang passportnya sendiri untuk diserahkan di kaunter untuk memudahkan proses 'pengecaman' (ada kisahnya yang berlaku kepada kami di sini) :D



Pengangkutan/shuttle untuk ke hotel penginapan telah diuruskan secara online terlebih dahulu dan wakil mereka menanti di balai ketibaan memegang kad dengan nama pelanggan.  Jika ada yang ingin ke Istanbul, ini yang kami tempah untuk pengangkutan dari lapangan terbang - hotel dan hotel -  lapangan terbang.  Saya sudah membuat sedikit carian, rata-rata Airport Transfer nya mengenakan €25/sehala untuk ke Sultanahmet.  Zegan Transfers ini menawarkan hanya €20/sehala.  

Ini yang menanti kami... :D Sangat selesa.  Sahabat yang menghadiri persidangan yang sama membayar harga teksi yang lebih kecil yang ditempah di lapangan terbang dengan harga TL80.  

imej dari web Zegan Transfer


Kebanyakan perjalanan kami menggunakan Istanbulkart ini (seperti Touch n Go) yang berharga TL6 dan boleh ditambah nilai dengan bayaran TL5, TL10, TL20 atau TL50.  Setiap perjalanan tram/keretapi/feri menggunakan kad yang sama.  Sekali touch, bayaran dikenakan adalah TL2.15 tidak kira stesen dekat atau jauh, dan transfer kemudiannya dikenakan TL1.45.  Setiap kad boleh digunakan oleh lebih dari seorang pengguna. 

     

penghubung laluan tram dan keretapi

stesen tram

Inilah pengangkutan sehari-hari saya berulang-alik ke tempat persidangan di Yildiz Technical University di Davutpaşa (sebut : Davutpasha).  Pengangkutan awam di Istanbul sangat cekap, kekerapannya adalah setiap 2 minit dan sela masa setiap stesen adalah 2 minit perjalanan.  Dari stesen yang berhampiran hotel, Çamberlitaş  (sebut: Chamberlitash) ke Zeytinburnu (28 minit) dan bertukar keretapi metro dari Zeytinburnu ke Davutpaşa  hanya di dalam lingkungan 5 minit.

tram

keretapi metro

sistem pengangkutan di Istanbul (klik untuk besarkan imej)

Sepanjang kembara, saya perhatikan, tua muda, kecil besar, yang berpakaian kot dan kemas, berkerusi roda, tidak segan-segan menaiki tram dan keretapi.  Ianya pengangkutan untuk pelbagai lapisan masyarakat.  OKU berkerusi roda juga mudah menaiki tram dan keretapi yang disediakan. Hatta dengan penumpang bersama beg-beg besar untuk ke lapangan terbang juga menggunakan perkhidmatan keretapi yang disediakan.  Secara peribadi, walaupun berulang-alik berseorangan menaiki tram dan keretapi, ianya selamat tanpa gangguan dari sesiapa.  Biarpun bersesak, tiada kejadian penyeluk saku mengambil kesempatan di dalam pengangkutan awam ini.

Pada hari Khamis kami mencuba menaiki bas di Istanbul, ternyata ianya pilihan yang kurang tepat. Perjalanannya terpaksa menempuh kesesakan jalanraya seperti mana di tempat-tempat lain.  Lebih mudah jika menggunakan tram dan keretapi metro.

-bersambung- 

Monday, June 15

Kembara Ilmu - Istanbul1

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Alhamdulillah... diberi kesempatan dan kesihatan yang baik untuk mengembara ke kota Byzantine @ Kota Constantinople @ Islambol @ Istanbul, kota bersejarah yang sinonim dengan kegemilangan Empayar Uthmaniyah itu. Ianya kembara 2 dalam 1 untuk menghadiri persidangan ilmiah serta menjejak kota warisan empayar Islam yang terkenal itu.




Untuk pemegang biasiswa dari Kementerian Pelajaran Malaysia, kesempatan diberikan untuk membentangkan kertas kerja sekali dengan pembiayaan penuh di luar negara sepanjang pengajian. 

Untuk pemegang biasiswa, permohonan dibuat 4 bulan sebelum menghadiri persidangan:
  1. Isi maklumat di http://esp.mohe.gov.my/ bahagian Pemantauan > Permohonan Kemudahan PhD > Pemohon > Menghadiri Persidangan Untuk Membentangkan Kertas Kerja -Borang A1 dan muatnaik dokumen sokongan  yang diperlukan.
  2. Untuk yang masih terikat dengan majikan, seperti saya (UiTM), isi maklumat di dalam borang yang boleh diperolehi di http://canseleri.uitm.edu.my/muat-turun.html - Borang keluar negara (rasmi) bersama dokumen sokongan yang diperlukan dan dihantar ke Canselori UiTM sebagai makluman kepada majikan.
  3. Sebagai pelajar, kebenaran dari institusi pengajian  juga perlu. Untuk pelajar USM, isikan borang yang boleh diperolehi di http://www.ips.usm.my/index.php/current-students/student-affairs dan dihantar bersama dokumen yang diperlukan ke Bangunan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar.
Kesemua borang ini boleh diisi setelah abstrak kertas kerja diterima oleh sekretariat persidangan. 

Segala urusan yuran persidangan, perjalanan dan penginapan, perlu diuruskan sendiri dan pembayaran balik akan dibuat selepas kembali dari persidangan. 


Senarai semak 



Passport                                                           þ
Tiket kapalterbang                                          þ
Slip tempahan hotel                                        þ
Slip tempahan shuttle                                      þ
Surat kelulusan Kementerian                          þ
(mengandungi telefon kedutaan, jika kecemasan)

Kesemua urusan tempahan hotel, shuttle untuk ke tempat penginapan telah dibuat secara online seawal mungkin untuk memudahkan perjalanan.  Pertukaran wang ke Euro dibuat di Malaysia, dan pertukaran ke Turkish Lira (TL) dibuat di merata money changer sekitar Sultanahmet, Istanbul.
  


Ianya kembara yang sedikit mencabar di awal perjalanan akibat masalah teknikal yang dihadapi oleh MAS.  Segala perancangan awal perjalanan ke Istanbul dengan penerbangan Emirates menjadi kacau-bilau disebabkan masalah teknikal ini.  Semalaman tidak tidur berada di KLIA menguruskan penerbangan ke Istanbul dan akhirnya check in di 'Dubai' Putrajaya - Marriot Hotel Putrajaya menjelang subuh! :D Ianya tajaan sepenuhnya dari pihak MAS.  Merasalah menginap di hotel 5 bintang secara percuma! :D Jadual penerbangan awal dengan Emirates dengan transit di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke Istanbul telah bertukar ke Turkish Airlines, penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Istanbul yang harga sehalanya saja mencecah 75% dari harga tiket dua hala yang ditempah.

Ahli keluarga berlawak mengatakan ianya 'Dubai' Putrajaya


2 bilik connected untuk kami berempat :D

makan tengahari diiringi nyanyian dari kumpulan muzik hotel

Ianya 'percutian' yang tidak diduga, kami menghabiskan masa di dalam hotel sahaja 'menikmati' sepuas-puasnya penginapan percuma yang diperolehi.

Ianya qada' dan qadar yang telah termaktub di Luh Mahfuz.  Redhalah, InshaaAllah hati akan menjadi tenang.  Ada hikmah di sebalik semua kejadian.  Hanya Dia yang Maha Mengetahui.  Pengalaman yang amat bermakna di dalam hidup.

- bersambung - 

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin