Thursday, June 18

Kembara Ilmu - Istanbul2 (perjalanan)

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Rentetan perjalanan tertangguh kami, segala urusan pertukaran penerbangan dilakukan oleh pihak MAS.  Ketika membuat tempahan, saya membuat satu tempahan dari Pulau Pinang - Istanbul dua hala, ia memudahkan semua urusan berkaitan yang tidak pernah terlintas akan berlaku di minda ini.  Alhamdulillah.. di dalam kepayahan, Allah memudahkan urusan saya sekeluarga dengan kehadiran penumpang lain bersama kami yang juga terkandas dengan penerbangan transit di Dubai. Merekalah yang banyak menjadi jurucakap ketika berurusan dengan pihak MAS. 


Surah Al-Mulk : 15


Terima kasih pihak pengurusan 'Delay Team' yang cuba melakukan yang terbaik untuk kami walaupun berdepan dengan kes-kes delay yang lain pada hari tersebut.

akhirnya...

6 pagi waktu Istanbul


Hampir 1/2 jam perlu melepasi kaunter imigresen lapangan terbang Ataturk, Istanbul dengan barisan yang panjang.  Oh ya, ada dua laluan untuk warganegara Turki dan warganegara asing.  Kaunter imigresennya dilengkapi dengan kamera kecil untuk scan wajah yang akan dipadankan dengan gambar di passport.  Jika berkumpulan, pastikan setiap seorang memegang passportnya sendiri untuk diserahkan di kaunter untuk memudahkan proses 'pengecaman' (ada kisahnya yang berlaku kepada kami di sini) :D



Pengangkutan/shuttle untuk ke hotel penginapan telah diuruskan secara online terlebih dahulu dan wakil mereka menanti di balai ketibaan memegang kad dengan nama pelanggan.  Jika ada yang ingin ke Istanbul, ini yang kami tempah untuk pengangkutan dari lapangan terbang - hotel dan hotel -  lapangan terbang.  Saya sudah membuat sedikit carian, rata-rata Airport Transfer nya mengenakan €25/sehala untuk ke Sultanahmet.  Zegan Transfers ini menawarkan hanya €20/sehala.  

Ini yang menanti kami... :D Sangat selesa.  Sahabat yang menghadiri persidangan yang sama membayar harga teksi yang lebih kecil yang ditempah di lapangan terbang dengan harga TL80.  

imej dari web Zegan Transfer


Kebanyakan perjalanan kami menggunakan Istanbulkart ini (seperti Touch n Go) yang berharga TL6 dan boleh ditambah nilai dengan bayaran TL5, TL10, TL20 atau TL50.  Setiap perjalanan tram/keretapi/feri menggunakan kad yang sama.  Sekali touch, bayaran dikenakan adalah TL2.15 tidak kira stesen dekat atau jauh, dan transfer kemudiannya dikenakan TL1.45.  Setiap kad boleh digunakan oleh lebih dari seorang pengguna. 

     

penghubung laluan tram dan keretapi

stesen tram

Inilah pengangkutan sehari-hari saya berulang-alik ke tempat persidangan di Yildiz Technical University di Davutpaşa (sebut : Davutpasha).  Pengangkutan awam di Istanbul sangat cekap, kekerapannya adalah setiap 2 minit dan sela masa setiap stesen adalah 2 minit perjalanan.  Dari stesen yang berhampiran hotel, Çamberlitaş  (sebut: Chamberlitash) ke Zeytinburnu (28 minit) dan bertukar keretapi metro dari Zeytinburnu ke Davutpaşa  hanya di dalam lingkungan 5 minit.

tram

keretapi metro

sistem pengangkutan di Istanbul (klik untuk besarkan imej)

Sepanjang kembara, saya perhatikan, tua muda, kecil besar, yang berpakaian kot dan kemas, berkerusi roda, tidak segan-segan menaiki tram dan keretapi.  Ianya pengangkutan untuk pelbagai lapisan masyarakat.  OKU berkerusi roda juga mudah menaiki tram dan keretapi yang disediakan. Hatta dengan penumpang bersama beg-beg besar untuk ke lapangan terbang juga menggunakan perkhidmatan keretapi yang disediakan.  Secara peribadi, walaupun berulang-alik berseorangan menaiki tram dan keretapi, ianya selamat tanpa gangguan dari sesiapa.  Biarpun bersesak, tiada kejadian penyeluk saku mengambil kesempatan di dalam pengangkutan awam ini.

Pada hari Khamis kami mencuba menaiki bas di Istanbul, ternyata ianya pilihan yang kurang tepat. Perjalanannya terpaksa menempuh kesesakan jalanraya seperti mana di tempat-tempat lain.  Lebih mudah jika menggunakan tram dan keretapi metro.

-bersambung- 

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin