Tuesday, August 16

Cerita-cerita

Fitnah

Ketika di dalam perjalanan balik ke rumah, saya teringat yang telefon saya di dalam beg kerja, bukannya di dalam beg tangan.  Saya meminta adik mencari di dalam beg kerja saya.  Adik memberitahu tidak ada.  Berkali-kali dia mencari tidak berjumpa dan berkali-kali juga saya menyuruhnya mencari kerana saya pasti ianya di dalam beg coklat itu.

"Ummi ni... fitnah saja!"

Opss... saya dan kakak ketawa, tidak tahan dengan perkataan yang disebut adik itu.  

"Kenapa fitnah pulak adik?", setelah reda ketawa saya bertanya.  Adik terdiam di kerusi belakang.

"Adik tahu tak apa maksud fitnah?", tanya saya.

"Ye la, fitnah tu kan maksudnya tuduh"

Saya ketawa lagi.  Adik marahkan saya.

"Memanglah fitnah tu maksudnya tuduh.  Tapi adik pakai perkataan tu tak betul"


Kacang Kuda


Semalam ketika sedang menanti azan isya', saya mengunyah kacang kuda yang diberikan mak mertua. Leka mengunyah kerana kacangnya lembut.  

Adik juga turut serta kemudiannya.  Saya mencari idea untuk menguji adik.

"Adik, ini namanya horse nut."

Adik memandang saya.  "Kacang apa ummi?"

"Horse nut"

Adik mengerutkan kening sambil mengunyah lagi.  Dia terdiam, kemudian bersuara, "horse nut tu macam kuda kan ummi?  horse tu kan kuda"

"Iyalah, inikan kacang kuda, jadi bahasa Inggerisnya horse nut lah", saya ketawa.  Adik tersengih sambil menampar saya kerana tidak berpuas hati.

"Adik... nak tahu tak?  kacang ini kan asalnya gigi kuda.  Tengok... macam gigi kan?"

Adik tambah mengerutkan mukanya dengan nada tidak percaya.  Dia memperlahankan kunyah.

"Cuba adik tengok, kacang ini kan warna kuning.  Gigi kuda warna kuning.  Sebab itu nama dia kacang kuda"

"Gigi kan keras, kacang ni lembut ja"

"Ya lah, dah kena masak, lama-lama lembutlah..."

"Ya ka ummi?", sambil menjeling dan membuat muka tidak percaya.

Saya ketawa.  Adik juga ketawa.  

Suka mengenakan dia.


Comot
 

Anak-anak 'dara' saya tidak mementingkan penampilan mereka.  Selepas mandi, biasanya rambut dibiarkan tanpa disikat.  Geram saya dibuatnya.  Sudah beberapa kali diberitahu, tidak berkesan.  Kakak juga pernah sekali, baju kurung untuk ke fardu ain, tidak diseterikanya.  Katanya, malas!  Dan dia juga memberitahu ustazahnya tidak kisah.  Kadang-kadang baju sekolah yang diseterika, ada lagi kedutan di beberapa tempat.  Saya menegur, kakak tidak puas hati.  Kali ini, saya cuba pendekatan lain pula.  

"Kakak, kalau kakak jadi cikgu lah kan.... kakak suka pada murid mana?  murid yang pakai kemas ke atau yang selekeh, baju tidak seterika, rambut tidak sikat, tak pakai bedak pun?  Ok... ummi tak nak tahu jawapannya, kakak tak payah beritahu, kakak jawab sendiri saja"

Selepas itu, saya tidak perlu beritahu lagi kakak untuk menyerika bajunya.  Apabila dilihat, baju kurung yang dipakai sudah berseterika elok.  Begitu juga baju sekolahnya.

Dengan adik pula, saya baru bertanya kepadanya.

"Adik...adik suka berkawan dengan budak yang comot ke dengan budak yang kemas, sikat rambut, pakai bedak, wangi."

"Tentulah budak yang bersih ummi..."

"Kenapa adik tidak suka kemas, lepas mandi tak nak sikat rambut, tak pakai bedak.  Orang pun macam tu juga.  Nanti orang tak nak kawan dengan adik".  Adik diam.  

Saya belum lagi dapat melihat hasilnya.  Nanti saya akan perhatikan samada pertanyaan saya itu melekat di fikirannya atau tidak.

Pertanyaan saya lagi kepada adik.  "Jika ada dua coklat, satu coklat tidak balut, dan satu lagi coklat, ada balut.  Adik nak makan coklat yang mana?"

"Adik nak coklat yang ada balut ummi."

"Coklat yang tidak balut mesti nanti ada semut kan?", saya memancing adik

"Yalah ummi, kalau coklat tak balut, nanti mesti semut, lalat pun hinggap.  Adik tak nak coklat tu"

"Ha.... begitulah juga dengan orang perempuan.  Allah perintah supaya orang perempuan pakai tudung, sebab orang lelaki suka tengok t***k orang perempuan.  Sebab itu, orang perempuan kena tutup dada dia dengan tudung.  Sebab itu Allah suruh orang perempuan tutup aurat, supaya, orang perempuan tidak menjadi seperti coklat yang tidak dibalut tu."  

Adik diam.  Kakak juga diam.  Harap-harap pendekatan begini lebih meresap ke dalam hati anak-anak.  Mudah-mudahan.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin