Friday, October 31

"Kebau"

Apa pula "kebau" ini? Semalam, sewaktu dalam perjalanan menghantar anak-anak ke taska/tadika, adik bersuara,

"umi, adik nak kebau"
"hah? kerbau?" terlopong sekejap uminya
"kebau la umi... dalam dia tu ada sambai..."

.... saya masih kepeningan memikir kuih apa yang dimaksudkan... saya rasa...

"pau goreng ke adik?"
dia mengangguk.

Saya dan kakak ketawa, adik cuma tersipu-sipu malu..kemudian dia pun ketawa. Kakak mengajuk-ajuk adik "kerbau"....

"lah... umi ingatkan adik nak kerbau..."

Thursday, October 30

Biarlah...

Biarlah bagaimana keputusan peperiksaan kakak pun, saya tetap berterima kasih kepada guru-guru tadika yang tekun mendidik anak saya sehingga mengenal huruf, membaca, menulis dan mengira. Hadiah-hadiah ini sudah disediakan awal-awal lagi sebelum kakak memperolehi keputusan peperiksaannya. Ini sebagai tanda penghargaan dari kami untuk mereka. Biar pun tidak semahal mana, namun, ingatan itu lebih penting. Kad untuk gurunya saya sendiri yang membuatnya. Terasa kepuasannya walaupun tidak secanggih dan secantik mana kad-kad itu.

untuk ustaz

untuk guru-guru perempuan

kad untuk mereka

isi kad, kemudiannya kakak menulis nama mereka satu persatu

inilah hadiah yang akan diberikan kepada mereka

Wednesday, October 29

Inilah kerja saya

Apa yang saya buat untuk masters saya? Inilah dia..


Ini baru 1 sampel yang saya analisa. Masih beribu lagi data yang perlu dianalisa...aduh.. saya tertekan!

Sudoku - 2

Tempohari, saya membeli buku ini. Jika terluang, saya cuba-cuba menyelesaikan permainan ini. Hmm... tidak susah sebenarnya, tetapi memerlukan pemerhatian yang tajam serta fikiran yang tangkas. Sekurang-kurangnya saya berjaya menyelesaikan beberapa permainan yang mudah. Bilakah akan saya habiskan buku yang mempunyai 63 permainan mudah ini?

Tuesday, October 28

Seronok

Petang Ahad, taman perumahan saya menganjurkan pertandingan melukis untuk kanak-kanak sekolah rendah serta tadika. Mereka dikehendaki melukis suasana hari raya secara berkumpulan. Kakak sangat teruja. Sambil tangannya melukis, mulutnya turut bersuara. Hinggakan seorang ibu kepada kanak-kanak yang berada di dalam kumpulan itu menegurnya "sama naik dengan suara"... hehehehe. Itulah keletah kakak.





Malamnya upacara penutup jamuan raya adalah penyampaian hadiah kepada pelukis-pelukis muda ini. Kesemua yang menyertai pertandingan melukis mendapat hadiah. Jadi tiada yang merasa ketinggalan. Seawal jamuan, kakak sudah tidak sabar-sabar untuk mengambil hadiah. Begitulah dia, jika menyertai apa-apa pertandingan, dia sangat teruja untuk acara penyampaian hadiah.

kumpulan kakak mendapat tempat ketiga

Monday, October 27

Keputusan

Keputusan peperiksaan akhir kakak...tapi kedudukan masih belum diketahui lagi. Alhamdulillah, segala-galanya cemerlang, Agama, Bahasa Arab, Jawi dan juga Matematik turut ada peningkatan. Bersyukur kepada Allah.




Pengkalan Data : NURUL FARZANA BINTI MOHD FAZAL
Keputusan Peperiksaan Tahun >" type="submit">
Berikut adalah keputusan peperiksaan. Akan tetapi kedudukan anak anda dalam kelas hanya boleh disiarkan selepas guru kelas membuat pengiraan terakhir.

Subjek Peperiksaan Markah Gred
Pen Islam 88 A
Info.Technology 100 A
Sains 83 A
Bahasa Arab 100 A
Matematik 96 A
Bahasa Melayu 94 A
Arithmetik 96 A
Jawi 100 A
UK English 94 A
Pendidikan Seni 100 A
Peratus Keseluruhan 95.1
Kedudukan Dalam Kelas belum ditentukan
Ulasan Guru Kelas

Sunday, October 26

Hari Raya belum berakhir

Hujung minggu, ramai berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka serta jamuan raya. Semalam (Sabtu) sahaja, dua jemputan jamuan raya saya terima. Pertamanya, jamuan raya taska anak saya - Farwiizah. Memandangkan hidangan pagi sudah agak berat dengan nasi goreng di rumah, saya cuma menjamah 5 cucuk sate serta air. Laksa, nasi (beriani ke minyak, saya tak pasti), ketupat, lemang, kuih-muih, kek,memang tidak dijamah. Perut sudah terasa penuh. Anak-anak juga begitu, tidak banyak yang dimakan. Manakan tidak, tiga kali bertambah nasi goreng yang kelihatan ringkas tetapi sedap (bagi mereka!). Puas hati saya menyediakannya. Selesai jamuan, suami mencadangkan kami ke kenduri walimah agak lewat petang sedikit untuk tidak menghampakan harapan yang menjemput. Tiba di kenduri tersebut sekitar jam 4.30+. Selesai berbual-bual seketika dengan pengantin, kami bertolak pulang.


Setibanya di rumah, bersiap-sedia untuk ke jamuan raya anjuran jabatan saya. Acaranya selepas maghrib. Kami bersiap awal serta bersolat di masjid Seberang Jaya. Hmm... banyak juga juadah yang dihidangkan... tetapi yang dapat dijamah, hanyalah segelintir sahaja. Namun, berpuas hati kerana dapat beramah mesra dengan rakan-rakan yang tidak selalu dapat bertukar-tukar cerita lantaran kesibukan masing-masing. Secara bergurau, saya beritahu teman-teman, selepas ini, kena berpuasa semula...asyik makan dan makan dan makan saja. Mereka ketawa.


Antara hidangan semasa jamuan raya jabatan. Lain dari yang lain, BBQ.

Friday, October 24

BAHASA

Topik yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Saya menyalinnya dari laman Saiful Islam.

Bahasa Intan Bahasa Kaca - Kemaskini

74418643.jpg

Ust, sy cdgkan spy ut tulis artikel ttg Badi’zman Said Annursi!”, email seorang pembaca kepada saya.

Sy harap ust dpt update blog ust dgn lbh krp lagi sbb hari2 sy buka n baca. Just 4 ur info!”, tulis seorang pembaca di shoutbox blog saya.

Sukar untuk saya nafikan, bahawa hati saya akan terus tertutup rapat apabila menerima email atau apa-apa pesanan seperti ini. Secara spontan saya akan sinis dan ‘menyampah’ untuk melayan apa sahaja permintaan yang datang dalam bahasa yang ditulis sedemikian rupa.

OBSES?

“Abang obses sangat sebenarnya”, kata isteri saya.

“Mungkin… tetapi adakah sesiapa yang suka dengan benda seperti ini?”, saya cuba mempertahankan pendirian.

“Suka tu tidaklah sampai suka. Tetapi boleh bertolak ansur”, sambung isteri saya lagi.

Menulis dan mengeja dengan betul dan cermat adalah sesuatu yang amat saya tekankan. Bahasa saya bukanlah bahasa tinggi, tetapi saya tidak suka berbahasa rendah, pada ejaan, ungkapan dan tulisan.

“Nak minta abang betulkan table tu sahaja sebenarnya!”, rungut isteri saya.

Walaupun hanya table sahaja yang bermasalah tetapi saya mesti membetulkan sama alignment perenggan agar justified.

Huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ yang didekat atau dijauhkan, adalah ‘tajwid’ asas Bahasa Melayu yang telah saya pelajari semenjak di sekolah rendah, dan saya sukar bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan berlaku.

TAJWID UNTUK SEDAR

Bagi saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat terhadap ejaan dan tatabahasa, dia menulis dalam keadaan ’sedar’ terhadap apa yang ditulisnya. Lebih bertanggungjawab lagi beradab.

Terkini, saya jadi rimas dengan tulisan-tulisan ala trengkas ini. Saya jadi sy, kenapa jadi knp… jika sesekali tentu sahaja saya tidak kisah. Tetapi jika di seluruh tulisan segala-galanya diringkaskan, saya menjadi rimas.

Jika di SMS, ada rasionalnya. Jumlah karakter yang dihadkan untuk satu SMS, menjadikan setiap huruf itu bernilai.. Tetapi jika ia turut sama mempengaruhi tulisan biasa, saya tidak menyukainya.

Teknologi memang bagus. Kerana ICT, banyak perkara yang dahulunya sukar kini jadi mudah. Khidmat telegram pun sudah pupus kerana adanya SMS.

Tetapi banyak juga benda yang dahulunya indah, kini jadi pudar dan hambar.

PANDUAN SMS

Akhirnya Dewan Bahasa dan Pustaka selaku pemegang amanah ke atas penjagaan bahasa kita, telah menerbitkan sebuah manual panduan menggunakan ringkasan perkataan di dalam SMS. Ia suatu usaha yang harus dipuji dan saya mengalu-alukannya.

MUAT TURUN DI SINI

Tetapi setelah selesai membaca panduan tersebut, saya kira ia mungkin tidak akan dipandang sebelah mata pun oleh majoriti pengguna telefon bimbit dan khidmat sms di negara kita. Entahlah, mudah-mudahan saya tidak pesimis, tetapi saya merasakan bahasa hanya dapat dibetulkan penggunaannya selepas dibetulkan jiwa manusia yang menuturkannya.

Jika tiada rasa kasih kepada bahasa, bagaimana mungkin ada kesudian menjaga dan menghormatinya.

Siapakah yang sudi mengasihi bahasa kita, jika bahasa kita sendiri sentiasa menjadi anak tiri di sekolah hingga ke universiti? Apatah lagi perkataan bahasa kita yang popular di Parlimen hanyalah *&^*^%$%%#^!!!

Pemimpin borek, rakyat rintik!

TIDAK PANDAI BERBAHASA

Pernah saya terfikir, kenapa generasi muda hari ini tidak pandai berbahasa? Cakapnya kasar, tidak pandai mengambil hati, tulisnya keras ayatnya pedas. Hingga generasi separuh tua seperti saya ini, ramai yang bosan melayan mereka.

Mungkin ia adalah kesan sampingan teknologi. Jika dahulu, kita banyak berinteraksi dengan manusia, tetapi kini banyak yang bersifat virtual, dengan mesin tanpa jiwa dan rasa. Bercakap dengan skrin!

Maka bahasa yang ditulis semakin pudar dari seni dan warna. Membaca tulisan pun sudah seperti ungkapan matematik tanpa perasaan.

“Ahh, buang masa sahaja. Janji mesej sampai”, alasan yang diberi.

Sedangkan manusia masih memiliki naluri yang sama. Suka pada keindahan bahasa, cenderung kepada pengaruh kata-kata.

Mungkin kerana itu, semakin ramai anak muda yang sesat dalam kehidupan hanya kerana terlalu mudah jatuh ke permainan kata-kata. Cukup sekadar disuntik sedikit rasa, terus rabun dari menilai yang mana intan yang mana kaca.

“cinta itu kurap, makin digaru makin sedap!”

Ayat sebusuk ini pun sudah bisa memutikkan cinta!

Anda yang memperlekehkan bahasa, akhirnya anda sendiri yang menjadi mangsa permainan kata-kata. Anda menulis bahasa kaca, akhirnya anda sendiri yang terluka.

Saya dari generasi yang berbeza, maka maafkan saya jika semua email yang ditulis dengan ejaan yang caca merba, saya bakul sampahkan sebelum habis membaca.

BAHASA BLOG

Saya sering singgah bertamu di halaman blog ramai anak muda yang hebat-hebat ilmu mereka.

Ada kalanya, saya suka mengambil manfaat daripada blog mereka kerana pelajar-pelajar di menara gading ini banyak mengenengahkan topik-topik yang hanya diperolehi oleh mereka yang duduk di dalam dunia kampus. Ia berguna untuk diri saya, juga dakwah yang saya laksanakan.

Isinya hebat, malah rujukan-rujukannya juga mantap.

Tapi sayang seribu sekali sayang, ia ditulis dengan bahasa sampah! Bukan sahaja ejaannya tidak tentu hala, malah pemilihan perkataannya juga buruk lagi merugikan.

“Benda nie kalo korang nak tahu, ulamak kiter dah bahas panjang giler kat dlm bk jar wa ta’dil. Korang tak kesian ke tgk ulamak susah2 buat kajian, pehtu korang main ckp ikut suka jer bab2 muawiyah dgn ali ni. Cb korang baca btl2 dlm bk al-awasim minal qawasim yg ibn al-arabi tulih 2. kire sume benda ader dah disebut kat c2…”

Ini adalah contoh petikan yang tidak dipetik dari mana-mana blog, tetapi saya tuliskan sendiri dalam format bahasa yang sering saya temui di blog anak-anak muda yang berilmu tetapi tidak berbahasa itu. Ungkapan bahasa yang rendah seperti ini tidak melayakkan tulisan tersebut menjadi buku, biar pun potensi isi kandungannya sangat baik. Ia suatu pembaziran.

Malah saya kira, mereka ini membaca tulisan para ilmuan Islam sekadar mengambil ilmu, tetapi tidak terkesan dengan bahasanya.

Sungguh merugikan.

Sahabat saya, Dr. Gabriele Marranci juga, semasa menyemak tesis PhD pelajarnya, pernah memberitahu saya:

“You know brother, I have sometimes to read essays in broken language, but often it ends in broken marks!”

REAKSI

Berikut adalah reaksi Puan Ainon Mohd. Sifu PTS apabila ada penulis yang menulis di dalam mailing list beliau dengan bahasa caca merba:

Gaya bahasa macam gaya bahasa saudara ini tidak digunakan dalam al-Quran, mahu pun dalam sunnah Nabi Muhammad SAW. Semua ejaan dalam Quran adalah ejaan sempurna, dan Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan bahasa macam bahasa budak belum matang dan rendah taraf pendidikannya.

Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih





© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2008)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Thursday, October 23

Sudoku

Bulan ini saja, sudah berapa buah buku saya belikan untuk diri sendiri. Saya tidak kisah kerana ilmu ini tidak akan kering, jika ada yang membacanya, pasti ilmu akan tercurah lagi kepada si pembaca. Selain dari buku yang dihadiahkan itu, saya turut teruja untuk mempelajari Sudoku. Walaupun sudah lama berkecimpung dengan dunia Matematik, sebelum ini, saya cuma melihat tanpa mencuba. Hanya selepas berpuluh tahun, baru ini saya ingin mempelajarinya. Harap tidak terlambat.

Wednesday, October 22

Hadiah lagi

Misi pencarian hadiah untuk rakan yang melangsungkan perkahwinan. Entah kenapa, mood lebih kepada memberikan buku sebagai cenderahati daripada barangan-barangan yang kebiasaannya menjadi hadiah kepada mempelai. Ini yang akan saya hadiahkan kepada rakan saya. Saya sendiri membeli senaskah untuk diri sendiri. Bahaya juga masuk ke kedai buku, saya juga akan turut mengambil sama untuk bahan bacaan saya. Aduhhhh....

Monday, October 20

Si Kembar

Tahniah Lin dan Latif di atas kehadiran dua cahayamata penyeri rumahtangga kalian. Kembar perempuan! Seronoknya dapat dua sekali. Semoga Athirah Hannah dan Awatif Hannah dilindungi Allah selalu serta menjadi anak yang solehah kepada kedua ibu bapanya. Cantik nama-nama itu. Selamat berpantang ye...

Friday, October 17

Tadika

Saya menghantar anak-anak saya ke Tadika/Taska Tahfiz Fitrah.
Di sini, segala ilmu fardu 'ain serta kifayah diajarkan. Sememangnya agama menjadi teras pendidikan tadika ini. InsyaAllah, anak-anak bukan saja cemerlang di dunia, tetapi harapnya cemerlang juga akhiratnya. Anak-anak juga cekap membaca doa hasil dari amalan di tadika/taska serta rumah. Kakak sudah menghafal bacaan di dalam solat ketika berusia 5 tahun. Website yang diwujudkan juga membolehkan ibu-bapa mengetahui tahap pencapaian serta perangai anak-anak di tadika melalui komen yang cikgu berikan. Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan pembelajaran mereka setakat ini.

Thursday, October 16

Belajar 2 - adik

Tengah kakak sibuk-sibuk belajar, adik juga tidak mahu mengalah. Saya melatihnya menulis dengan mengikut garisan. Jawapannya mudah. Adik tak pandai, lantas dia mengambil pembaris untuk menulis garisan itu. Hmm.

Tiba ke helaian kedua, garisan membukit, dia gunakan pembaris juga. Tetapi bila tiba ke akhir, dia sudah letih agaknya, ikut sempat dia tulis saja.

Helaian ketiga, saya perhatikan, dia sudah hilang tumpuan. Saya arahkan dia berhenti, tidak mahu! Dia teruskan, tapi lihatlah apa hasil nya. Tergelak saya dibuatnya.


Sudahnya, beralih kepada buku mewarna pula. Oklah, untuk kanak-kanak 3 tahun mewarna. Cara dia mewarna agak teliti berbanding kakaknya ketika seusianya. Adik juga akan mengambil peperiksaan minggu hadapan. Iskh..pelik juga saya, apalah yang kanak-kanak 3 tahun belajar Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Biarlah, saya tidak bebankan adik untuk belajar. Bagi saya, bermain sambil belajar lebih menyeronokkan.

Belajar - kakak

Sepanjang minggu ini, kakak menghadapi peperiksaan akhir tadikanya. Kakak teramat lemah di dalam matematik (walaupun uminya mengajar matematik) aduhaiii. Saya perhatikan, kakak sangat minat membaca, tetapi dia amat sukar untuk memberikan tumpuan kepada subjek mengira. Dan matlamatnya, hendak cepat siap! Lihatlah keputusan peperiksaan pertengahan tahunnya yang diambil dari laman web tadikanya, Matematik yang paling corot!

Keputusan Peperiksaan Tahun >" type="submit">
Berikut adalah keputusan peperiksaan.

Subjek Peperiksaan Markah Gred
Pen Islam 99 A
Info.Technology 98 A
Sains 91 A
Bahasa Arab 85 A
Matematik 56 C
Bahasa Melayu 100 A
Arithmetik 95 A
Jawi 96 A
UK English 98 A
Pendidikan Seni 95 A
Peratus Keseluruhan 91.3
Kedudukan Dalam Kelas 1/20
Ulasan Guru Kelas Mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan baru2 ini.Cuma perlu diberi lebih latihan untuk matapelajaran matematik.Teruskan berusaha untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang di dalam peperiksaan akhir tahun nnt.



Abahnya berjanji, jika dia dapat keputusan yang cemerlang di dalam Matematik dan pengajian Islam, akan ada hadiahnya. Hmm...

Wednesday, October 15

Kembalinya...

Semalam mendapat perkhabaran duka, anak yang baru dilahirkan seorang sahabat telah kembali ke pangkuan Allah. Tiada apa yang perlu dikatakan... sabarlah dalam menempuh ujian ini. Sesungguhnya Allah menguji hambaNya yang mampu untuk menerima ujian ini. Sesungguhnya anak ini sedang menantinya di Syurga. Sabarlah sahabat!

"Dan, sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar" - Al-Baqarah : 155

Alahai Anak Umi

Si kecik ini sengaja menumpahnya serbuk kuih di karpet. Mungkin tujuannya, supaya dia boleh menggunakan vacuum untuk mencuci. Cepat-cepat dia mengambil vacuum apabila saya menyuruhnya membersihkan serbuk yang ditumpahkan. Hehehe...boleh diharap! tetapi dengan pengawasan juga, kerana ianya melibatkan barangan elektrik.

Padang "BOLEM"

Apa tu? hehehe... dalam perjalanan pulang ke rumah mak, kami akan melepasi satu padang bola di Jalan Permatang Nibong. Sepanjang kami lalu di situ, tiada aktiviti atau permainan bola berlangsung...dan selalunya aktiviti lembu meragut rumput saja. Jadi, saya beritahu anak-anak, itu bukan padang bola, tetapi padang lembu. Kakak lagi kreatif, dia mencipta satu istilah yang menepati kedua-duanya...padang "BOLEM" gabungan bola dan lembu. Boleh ke? Hehehehe.

Tuesday, October 14

Merayap

Selepas balik dari kenduri, bersantai di rumah mertua. Selepas asar bertolak balik ke Penang kerana ada jemputan rumah terbuka selepas maghrib. Anak-anak seperti biasa, jika asyik bermain, naik kereta, terkena sepoi-sepoi air-cond, memang lena! Tiba di rumah sekitar jam 7. Selesai maghrib, bersiap-siap pula untuk ke rumah terbuka.

Singgah sekejap di masjid, suami bersolat isyak sebelum bergerak ke rumah kawan. Sampai di sana, pelbagai juadah sudah terhidang, nasi himpit, sate, kek, makaroni bakar, agar-agar jeli, bihun, dll. Hampir kesemua makanan yang ada, kakak mahu. Ambil sikit saja untuk merasa. Sudahnya, kakak dan adik asyik makan sate, umi juga yang tolong habiskan makanan lain yang diambil. Sayang pula, membazir! Aduh, penuh perut saya! Beginilah para ibu ye..asyik menghabiskan makanan yang tinggal. hehehe.

Monday, October 13

Sesekali "Angin" Datang

Jumaat lepas, sambil mencari hadiah untuk Azma, saya juga terus membelikan "hadiah" untuk saya sendiri. Memang tidak boleh melepaskan peluang jika ke kedai buku. Ada saja buku yang berkenan di mata saya. Sudah terambil beberapa buah buku yang menarik minat saya, tetapi memandangkan terlalu banyak yang sudah diambil, saya letakkan semula.

buku ini dicadangkan oleh Prof. Kamil sebagai bahan bacaan

saya teruja membacanya di Saiful Islam, buku ini sudah sold out. Ketika di kedai buku, hanya 1 naskhah saja, jika tidak, saya ingin hadiahkan kepada pengantin baru.

hati tergerak untuk membaca buku ini (belum sempat dikhatamkan lagi)

Bertambah lagi koleksi bacaan saya.

Sunday, October 12

Kenduri Itu

Alhamdulillah, Azma sudah selamat menjadi isteri. Azma kelihatan manis dengan baju putih berkain biru muda. Tahniah Azma. Semoga jodoh kalian sentiasa diberkati Allah serta dikurniakan anak-anak yang soleh/solehah. Memandangkan Azma akan melanjutkan pelajaran lagi, serta Azma seorang pencinta ilmu, saya hadiahkan buku kepadanya. Semoga Azma beroleh manfaat dari tips-tips yang diberikan. Dan sungguh menarik, cenderahati untuk tetamu, adalah sebuah kompilasi puisi yang ditulis beliau serta sebuah buku matsurat kecil yang amat berharga.

hadiah untuk Azma

Azma agak terkejut apabila diberitahu yang kami mempunyai talian persaudaraan. Hehehe.. tak begitu Mak... (apa ye panggilannya?). Mak mertua memperkenalkan si polan itu si polan ini sebagai saudara. Iskh..dapat ke saya ingat? Saya rasa, jika berjumpa sekali lagi, saya tidak akan ingat lagi.

Friday, October 10

Balik lagi

Malam ini akan bergerak ke Alor Star. InsyaAllah, esok hari bahagia Azma, bekas rakan sekerja. Err, sebenarnya, Azma ini adalah pangkat ibu saudara pupu kepada saya. Hehehe, begitu kecilnya dunia. Semasa balik ke kg tempohari, bercerita dengan mak mertua tentang kenduri ini. Bila saya beritahu nama ayah dan ibu Azma, mak beritahu tentang pertalian saudara antara kami. Hmm...

Sakit Kepala

Seharian ini kepala terasa berdenyut. Hendak dilayan, nanti makin menjadi sakit kepala ini. Dibiarkan saja, makin terasa berat. Adakah kerana power mata sudah bertambah? atau kerana panas? Entahlah... tadi sebelum asar sudah telan ubat. Tekanan darah biasa saja, cuma denyutan agak tinggi, 92. Jika terus berbaring, kerja-kerja tidak menjadi. Biarkan saja! InsyaAllah, nanti hilanglah.

Thursday, October 9

Minyak

Harga minyak se-tong semakin turun.

pada jam 2 petang

jam 2:15 petang

... ... ...

Ingatan

Semalam, bekas pelajar saya datang ke bilik pejabat saya. Sambil-sambil bersembang bertanya khabar tentang sambutan hari raya, beliau menghulurkan sesuatu.


Saya terharu dengan pemberiannya. Saya hargai ingatannya kerana walaupun saya tidak lagi mengajarnya, tetapi sekali-sekala beliau tetap muncul di depan pintu pejabat saya untuk bertanya khabar. Terima kasih Aly!

Wednesday, October 8

Cerita Raya 4

Hari ke-5, tiada aktiviti ziarah. Suami keletihan kerana malam sebelumnya, dia bekerja malam, tetapi hanya sempat tidur beberapa jam sahaja. Bertolak balik ke Penang selepas maghrib ketika bulan sabit syawal sudah memancarkan cahaya.

Sampai di rumah, macam lipas kudung, suruh "bibik" basuhkan baju..hehehehe..mesin basuh lah.. bukannya bibik orang ye.


Cerita Raya 3

Hari raya ke-3. Cuma berehat di rumah. Agak keletihan setelah seharian berjalan jauh hari sebelumnya. Kakak tiba dari kg mertuanya. Meriah semula rumah mak. Riuh rendah! Petangnya berkunjung ke RFC beramai-ramai. Suami tidak ikut kerana akan bekerja pada malamnya. Ramainya orang, terpaksa menunggu selama 40 minit untuk memesan makanan. Tiba giliran kami, habis diborong ayam goreng spicy! Kami pun cuma sempat mendapat 1 kotak ayam goreng. 1 kotak lagi, dihantar kemudian. Kesian orang yang terkemudian. Mereka terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk ayam digoreng semula.

Raya ke-4 sudah bertolak balik ke Alor Star.

Budak ini!tidak lepas dengan botolnya

Ketika tiba di persimpangan traffic light, kedengaran siren peronda polis di belakang. Walaupun lampu isyarat masih merah, kami diberi peluang untuk bergerak. Hmm, merasa jadi VIP sekejap. Hehehe...rupa-rupanya, kereta ini...


Ada rumah terbuka rupanya. Sewaktu melintasi kediaman rasmi menteri besar Kedah, kereta berderetan di tepi jalan. Ramai juga.

keluarga Cikgu Nan

Seharian berjalan lagi ke rumah guru tadika kakak serta mak bapa saudara sehingga jam 11 malam. Beraya sakan!

Tuesday, October 7

Cerita Raya 2

Pagi-pagi lagi sudah bertolak ke Ipoh. Agendanya, melawat mak bapa saudara yang sudah lama tidak bertemu. Sempat berziarah 3 buah rumah, tetapi, suami berpuas hati kerana dapat bertemu kesemua mak bapa saudara yang sudah lama tidak berjumpa.

Petang sebelum beransur pulang, "beraya" di taman permainan DR (orang Ipoh mesti tahu). Hehehehe... kesian pula mereka, asyik berjalan ke rumah tok-tok saudara, kami biarkan mereka bermain seketika.


Dalam perjalanan balik, singgah bersolat maghrib di Sg. Perak. Anak-anak sudah terlena keletihan. Sampai di rumah mak, ingatkan terus tidur, rupanya, tidak, masih cergas lagi untuk bermain. Kanak-kanak! Umi dan abah yang keletihan!

Cerita Raya 1

Hari Raya pertama biasanya ramai sanak-saudara akan berkunjung ke rumah mak. Kami sendiri tidak berpeluang untuk ziarah saudara yang lain.

keluarga Cu memenuhkan rumah

mak dengan cucu-cucu perempuan

mak bersama kami sekeluarga

Sehinggalah selesai asar, baru kami berpeluang ke rumah mak serta bapa saudara. Berjaya juga kami ziarah tiga rumah sehingga waktu isyak. Aduh! Memang meletihkan tetapi puas hati kerana berjaya memenuhi perancangan awal.

Cerita sebelum Raya 2

Kakak ke kg abang ipar manakala kami ke Alor Star untuk bersama-sama meraikan akhir ramadhan bersama keluarga mertua. Hujan turun mencurah-curah sewaktu dalam perjalanan. Hari terakhir puasa, kami "merayap" ke Pekan Rabu untuk membeli-belah di saat akhir, kain pelikat suami serta tudung untuk kakak masih belum dicari. Alhamdulillah, apa yang dicari, semua diperolehi di situ. Jalan kurang sesak serta pengunjung juga berkurangan. Agaknya ketika itu masing-masing sudah membuat persediaan lengkap untuk menyambut lebaran. Malam raya, kami sudah bertemu dengan semua ipar-duai. Alhamdulillah.

Selepas solat isyak, kami bertolak semula ke rumah mak untuk menyambut lebaran. Kali ini giliran mak di Permatang Pauh.

Monday, October 6

Cerita sebelum Raya

Salam rakan-rakan semua,

Apa khabar setelah seminggu bercuti berhari raya. Jangan bermalas-malasan setelah bercuti panjang sudahlah ye. Sedikit ringkasan cerita sebelum raya. Entri yang sudah basi agaknya, apakan daya, hanya hari ini dapat mengemaskinikan "rumah" yang sudah seminggu ditinggalkan.

Hari minggu sebelum hari raya, kami berkumpul di rumah mak. Kakak dari KL sudah pulang ke kg. Berbuka puasa dengan seluruh adik-beradik ternyata kecoh tetapi meriah! Abang ipar sibuk membuat mee nya. Kami di dapur sibuk menyediakan kuih raya serta hidangan untuk berbuka puasa. Menu petang itu, mee kuah serta nasi tetap ada.

anak buah yang teruja melihat pak cik membuat mee

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin