Showing posts with label masyarakat. Show all posts
Showing posts with label masyarakat. Show all posts

Saturday, September 20

Di sini lahirnya sebuah cinta...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.

Hari Malaysia... di sinilah kami sekeluarga meluangkan masa menzahirkan keperihatinan kepada insan-insan yang ditakdirkan hidup di dalam serba kekurangan.  Ini bukan kali pertama kami menjadi peserta kepada konvoi jjmk anjuran ngo wargakilang (wk) ini, dan juga bukan kali pertama hati tersentuh melihat masih ada lagi keluarga yang masih mendiami rumah buluh/pondok/semuqok (kata orang utara).  Di kala negara bergembira menyambut ulangtahun ke-51 kelahirannya, di daerah-daerah pedalaman sana, masih ada yang tinggal di kediaman seperti 51 tahun dahulu!  Mana ada orang miskin sekarang ini yang dhaif... mungkin itu kata-kata sesetengah yang hidup di dalam serba kecukupan... tetapi.. HAKIKATnya... yes! HAKIKATnya.. masih ada... inilah buktinya... antara 2 keluarga berumah buluh yang konvoi kami santuni pada hari lahirnya sebuah cinta...



Bukan di daerah ini sahaja yang pernah diketemukan dengan pondok sebegini, ada lagi di daerah lain.  Itu yang dapat dikenalpasti oleh team wk, tidak mustahil masih ada lagi yang tersorok yang masih tidak ditemui.  Beruntunglah mereka yang mempunyai sebuah rumah yang sempurna untuk didiami dan berlindung dari hujan dan panas berbanding mereka ini.


Setiap kali jjmk, saya diamanahkan oleh rakan-rakan yang tidak dapat turut serta untuk membawa barangan sumbangan mereka. Mudah-mudahan dengan membawa barangan mereka, pahalanya turut tertempias kepada saya dan keluarga hendakNya... InshaaAllah.

sumbangan rakan-rakan bersama-sama 5kg beras x 22 kampit yang tiada di dalam gambar
Ini antara sumbangan baju terpakai yang turut dibawa bersama.  Senang hati melihat pakaian di dalam bungkusan plastik seperti baju baharu...mudah-mudahan penerima juga gembira dengan 'hadiah' untuk mereka ini.


jalan-jalan masuk kampung
Setiap pangkat dan gelaran diketepikan di dalam konvoi ini apabila masing-masing tanpa paksaan berlumba-lumba untuk membanyakkan catatan di bahu kanan.  Mudah-mudahan setiap anggota tangan yang mengangkat dan kaki yang melangkah ini menjadi penyaksian di kala mulut tidak mampu berkata-kata lagi di padang masyhar nanti.    


antara sumbangan yang diterima oleh setiap keluarga

Di setiap jjmk sentiasa menyajikan 'kejutan' terutamanya buat anak-anak.  Ketika melihat anak sungai kecil ini, apalagi, yang bernama kanak-kanak, sangat teruja untuk berendam.... merendam kaki sahaja pun memadai!  Inilah agaknya 'hadiah' yang dapat meredakan keletihan mereka ketika mengikut mak ayah dan keluarga ke hulu ke hilir ke kampung penerima sumbangan.  

  
Keesokan harinya, di persidangan akademik di sebuah hotel 5 bintang, menu pelbagai pilihan tersedia untuk dipilih sewaktu makan tengahari.  Ingatan masih pada penerima-penerima semalamnya, pilihan makanan mereka tidak semewah pilihan yang ada di hotel terkenal itu.  Begitu juga ketika menjamah makanan yang diambil secara minima, masih terkenang mengadap hidangan di bawah pokok berhampiran ladang kelapa sawit yang ditaja oleh seseorang. Dengan gulai (kari) ikan, ikan kering goreng bersama ulaman dan sambal belacan, ianya tetap menyelerakan berbanding pelbagai makanan yang terhidang di depan mata di hotel itu.  Alhamdulillah.


kredit gambar : Tursina Yaacob

Di sini lahirnya sebuah cinta.. 
cinta yang akan terus subur di segenap jiwa
cinta untuk berbakti sesama manusia
InshaaAllah selagi hayatku masih ada...

Monday, July 21

JJMK Pengkalan Hulu, 7 Ramadhan 1435 - yang tersurat dan tersirat

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.

Lamanya tidak mengemaskini blog ini.  Ramadhan ini, genap 4 tahun kami menyertai aktiviti jalan-jalan masuk kampung (JJMK) anjuran NGO Wargakilang.  Kali pertama saya menyertai di bawah payung kelab pensyarah UiTM Pulau Pinang, terima kasih pengerusi kelab pensyarah (ketika itu) Saudara Syazwan yang menjadi pencetus kepada aktiviti saya sekeluarga ini. Padang ingatan ini sentiasa terkenangkan wajah bersih mak lang yang kami temui pada edisi jjmk yang pertama itu.  Mak lang kembali menemui penciptaNya Ramadhan tahun berikutnya.  Semoga mak lang tenang di sana.  

kenangan JJMK Ramadhan 1431

Sepanjang menyertai JJMK, pelbagai kisah masyarakat yang dapat diperlihatkan untuk peringatan dan tazkirah diri yang menulis ini.  Tidak semua dilahirkan di dalam keluarga yang mampu menyediakan segala kelengkapan keluarga.  Tidak semua dilahirkan di dalam keluarga yang mampu untuk menyara pendidikan anak-anak :( namun ianya menjadi pembuka mata bahawa di dalam serba keterpayahan, masih ada keluarga yang masih menitik-beratkan pendidikan dunia dan akhirat.  Pak Sahak di Selama, Puan Fatimah di Kuala Krai serta Puan Rabayeah di Gerik antara keluarga yang menongkah arus untuk memastikan pendidikan anak-anak terjamin.   Bukan calang-calang anak mereka yang dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Alhamdulillah.

JJMK Pengkalan Hulu ini kami ikuti dengan membawa amanah dari rakan-rakan penaja menyediakan sedikit buah-tangan untuk keluarga di sini.  Saksi penyerahan buat rakan-rakan yang telah bermurah hati berkongsi rezeki dengan mereka yang diuji dengan kemiskinan/kedaifan serta ketidakupayaan.  Barakallahu fikum.


klik untuk besarkan imej

Apa perlunya beramai-ramai melawat keluarga-keluarga ini?  Bukankah mudah jika segala sumbangan diserahkan kepada AJK terlibat dan hanya mereka saja yang menyampaikan segala amanah.  Ianya tidak sama dengan hanya 'menghulurkan' dengan merasai sendiri pengalaman bertemu mereka.  'Perasaan' merasai penderitaan itu tidak meresap ke jiwa.  Seeing is believing... itulah live tazkirah yang dapat dikutip dari pengalaman masuk kampung ini.  Ianya pengalaman di luar bilik darjah yang paling berguna untuk anak-anak merasai penderitaan orang lain, bukan hanya melihat di kaca televisyen.  Pengalaman dikirim du'a yang tulus ikhlas dari penerima, itu yang diharapkan dari jelajah ini.  





Pengkalan Hulu sekali lagi mengumpulkan peserta dari pelbagai latar-belakang dan negeri.  Tidak keterlaluan jika kekaguman saya kepada para peserta yang bertolak dari Kelantan, Perlis seawal jam 6 pagi, dari Kuala Lumpur, jam 2 pagi semata-mata untuk meraih pahala yang ganjarannya berlipat ganda di bulan Ramadhan yang barakah ini.  CEMBURU! saya dibuatnya :) .  Pastinya pahala mereka berganda-ganda berbanding kami yang dekat ini tetapi masih mengeluh letih dan penat!  Tabarakallahu fikum buat peserta-peserta JJMK yang datang dari jauh.   



simbolik penyerahan :D

Pemandangan yang jarang-jarang dapat diperolehi...



Inilah yang menanti kami... pengalaman yang jarang-jarang dapat dikutip selama hidup...



:D :D Praktis menoreh kononnya... puas menjawab soalannya kerana getah sekerap yang dilihat di dalam rancangan upin ipin berwarna putih! sedangkan ini berwarna sedikit keperang-perangan :D :D :D


Jika berminat, sudi-sudikanlah bersama kami jalan-jalan masuk kampung :)

Monday, April 7

Takdirnya begitu...

Di dalam masa yang singkat, seorang sahabat ini didiagnos dengan kanser yang pelbagai.  Pertama kali melihat dia yang sebelum ini cergas ceria sebelum ini terbaring lemah di katil hospital, menitik juga air mata dari takungannya. Rakan-rakan lain yang menziarahinya juga dilihat mengesat mata yang 'dimasuki habuk'.  

Kali kedua menziarahinya sesudah selesai menjalani pembedahan di wad ICU.  Agaknya kesan ubat@dadah yang dimasukkan ke dalam tubuhnya menyebabkan saya dan seorang lagi sahabat hampir tidak mengenalinya.  Ya Allah.. tertahan-tahan airmata melihat keadaannya ketika itu yang mamai dengan kelopak mata yang sekejap dibuka dan ditutup perlahan-lahan.  

Kali ketiga bersemuka dengan sahabat ini pasca pembedahan dan sedang menjalani rawatan kemoterapi untuk menyusutkan sel-sel kansernya, ternyata sisi ceria sahabat itu sudah kembali.  Hati lega melihatnya kembali tersenyum dan ketawa sambil menceritakan pengalamannya dari sebelum didiagnos dengan kanser , pengalamannya menginap di hospital dan bermacam-macam lagi.  

pemandangan dari tingkat 16 hospital
Allahu Akbar..Subhanallah... dia sangat positif dan dikurniakan semangat yang tinggi untuk berjuang dengan ujian yang diberikan.  Ianya merupakan 'tazkirah secara langsung' yang saya perolehi dari setiap kata-katanya.  "Kita mampu berusaha, apa-apa pun kita berbalik kepada Allah yang akan menyembuhkan"... begitu positif dan tinggi keyakinan dan kebergantungannya kepada Allah s.w.t.  Saya meneropong ke dalam diri...yang kadang-kadang berkeluh-kesah dengan ujian yang sedikit tetapi masih dikurniakan kesihatan yang baik.  Ada-ada saja yang difikirkan...

Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah bersabda, “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi orang yang baik maka dia akan diberi-Nya cubaan.” (H.R.Bukhari)

“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya (H.R. Bukhari dan Muslim)

Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Sungguh menakjubkan sikap seorang mukmin itu, segala keadaan dianggapnya baik dan hal ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka itu lebih baik baginya, dan apabila ditimpa penderitaan, dia bersabar, maka itu lebih baik baginya.”(H.R.Muslim)

Setiap insan dikurniakan ujian kehidupan yang berbeza.  Ada yang diuji dengan kesakitan, kesusahan, kekayaan dan sebagainya, tetapi semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meningkatkan keimanan masing-masing.  Begitu juga ujian peperiksaan di dalam dewan kuliah, ianya sebagai aras ukur tahap kefahaman seseorang di dalam sesuatu matapelajaran, begitulah juga dengan ujian kehidupan. 

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (Al-Ankabut:2-3).

Begitulah takdirNya...

Didoakan sahabat ini dikurniakan kesembuhan dari penyakitnya dengan sebenar-benar kesembuhan yang tidak berbaki.

Saturday, March 29

JJMK ERM

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah... dengan inayahnya kami diberi kelapangan masa dan kesihatan untuk mengikuti program jjmk yang julung kalinya dilangsungkan di bumi Endau-Rompin-Mersing ini.  Biarpun merentas beratus km serta berjam perjalanan, saat melihat keterujaan penerima serta kejernihan wajah anak-anak menerima goodies @ jajan, melenyapkan segala keletihan yang dirasai... satisfaction indeed...



Ya Allah... mudahkanlah urusan kami.. lindungilah perjalanan ini...



By all means...(Endau, Johor) sumbangan tetap disampaikan untuk mengembirakan kumpulan sasaran yang kurang bernasib baik.



Di Kg. Kelantan...kerana ramai keluarga yang berhijrah ke daerah ini datangnya dari Kelantan.




Pengorbanan oleh marshall bidan terjun untuk memastikan kelancaran 21 buah kenderaan konvoi pelbagai saiz dan plet nombor.  



Pohon pinang di bumi Endau...



 


Meredah terik mentari menuju ke destinasi seterusnya di Endau.



Pelbagai kisah kehidupan di kalangan keluarga yang hidup di dalam serba kepayahan ini.  Berat mata memandang, tidak seberat bahu mereka yang memikulnya.



Bergambar kenangan di destinasi terakhir di daerah Endau, Johor.



Hati terkesan melihat anak seorang penerima yang hanya berusia kurang 1 tahun yang dimasukkan alat untuk mengawal rentak jantungnya.  Alatan tersebut mampu bertahan selama 5 tahun dan anak itu akan bergantung dengan alat itu sepanjang hayatnya.  Bersyukur anak-anak sendiri dikurniakan kesihatan yang baik berbanding anak kecil ini.  Tiada lain yang diingini oleh ibubapa selain melihat anak-anak membesar dengan sihat tanpa sebarang komplikasi penyakit.    



Kami menapak beberapa ratus meter untuk ke perhentian ke-2 di Kg Pianggu ini.  



Rumah ini tidak dilengkapi dengan kemudahan air paip dan bergantung harap dengan 'telaga' yang tidak serupa telaga terutamanya di musim kemarau ini.  Rumahnya beralaskan tikar getah yang berlantaikan tanah.  Ini antara rupa kemiskinan yang masih wujud di era millenium ini.  Rumah ini tidak jauh beza dengan rumah-rumah berlantaikan tanah yang pernah saya saksikan di daerah pedalaman di utara semenanjung.  


'telaga'

Up-close to nature.  Inilah dia anak yang tidak mengenali buah kelapa sawit!  Pokoknya sudah kerap dilihat, tetapi tidak buahnya secara dekat.  Aktiviti masuk kampung ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada anak-anak tentang alam semulajadi.



Destinasi terakhir di daerah Rompin ini adalah rumah kecil di kawasan sawah padi (bendang - kata orang utara).  Kami difahamkan bendang ini diusahakan oleh orang Kedah yang berhijrah ke sana.  




Rumah yang tidak dilengkapi dengan kemudahan asas air dan elektrik...


kibaran sulung di bumi Rompin

Untuk kenangan jelapang padi Rompin...



Kami tinggalkan bumi Rompin ini dengan pelbagai kenangan.  Berada di kalangan keluarga yang ditemui seolah kami berada di tempat sendiri - utara - kerana bahasa percakapan mereka sama seperti percakapan kami. Jauhnya mereka mengembara dari utara untuk memakmurkan bumi Rompin dengan khazanah padi yang sememangnya lebih sinonim dengan Kedah - Jelapang Padi Malaysia.  Sehingga kita berjumpa lagi andai hayat masih dipanjangkan olehNya.  


Untuk kisah lebih lanjut di sini.  

Thursday, March 27

Pra JJMK ERM

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.

Tiba-tiba teringatkan lagu ini...lagu yang diilhamkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.  

Melenggang hai
Melenggang dengan tari lenggang
Kalau baik hati
Nanti orangpun sayang (2x)

Dari Melaka ke negeri Pahang
Singgah di Johor beli berangan (2x)

Kami ucapkan selamatlah datang
Apa yang kurang dicaci jangan(2x)

Melenggang hai
Melenggang dengan tari lenggang
Kalau baik hati
Nanti orang pun sayang (2x)

Pukullah gendang hai kulit kerbau
Dalam majlis tari menari (2x)

Sayalah ini bang hoi dagang merantau
Mengharap belas orang di sini (2x)

Melenggang hai
Melenggang dengan tari lenggang
Kalau baik hati
Nanti orang pun sayang (2x)

Negeri Pahang aman sentosa
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan (2x)

Niat di hati bang oii...
Nak buat jasa
Mudah-mudahan Tuhan kabulkan (2x)

Melenggang hai
Melenggang dengan tari lenggang
Kalau baik hati
Nanti orang pun sayang (2x)

Inilah dia... kami mengembara sejauh 650+ km dari Pulau Mutiara ke Darul Makmur membelah pagi 22 Mac lalu untuk menyertai program jalan-jalan masuk kg (JJMK) edisi Endau-Rompin-Mersing (ERM) anjuran ngo Wargakilang. Bagai lirik Joget Pahang itu, Niat di hati ...Nak buat jasa..Mudah-mudahan Tuhan kabulkan.  




Di dalam perjalanan, kami singgah di Pekan Waterfront.  Ini yang dihidangkan kepada kami, rojak ayam serta cendol yang marvellous! Masih teringat-ingat kesedapan cendol Saleem itu...





Sempat juga meregang urat di perkarangan Muzium Sultan Abu Bakar.  Menarik kelihatannya, tetapi kami hanya sempat bergambar di bahagian luar sahaja.  Masa tidak mencukupi untuk kami meninjau di dalam muzium.  Gambar-gambar di perkarangan muzium...









klik imej untuk besarkan (teknik stiching)

Inilah destinasi kami...



Bersambung... JJMK ERM

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin