Sunday, March 4

Aglio Olio


Resepi ringkas untuk makan tengahari - spageti goreng @aglio olio.  Bahan-bahannya saya gunakan apa yang ada di dapur dan juga di dalam peti ais.

Bahan-bahannya:
1 paket spageti (direbus) - saya gunakan 3/4 saja untuk hidangan 4 orang
2 ulas bawang besar - dipotong dadu
2 ulas bawang putih - dititik
1/2 batang leek - diracik halus
3 biji cili padi (tiada capsicum) - diracik
3 keping daging burger
1 paket cendawan butang - potong dadu
sedikit sos bbq
sedikit lada hitam
sedikit oregano
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1.  Tumiskan bawang, cili dan leek sehingga naik bau
2.  Masukkan daging burger dan goreng sehingga garing
3.  Masukkan sos bbq dan kacau
4.  Masukkan cendawang butang
5.  Masukkan spageti yang sudah direbus.  Taburkan sedikit lada hitam, oregano dan garam secukup rasa.  Kacau sehingga semuanya sebati.

Ketika menggoreng, adik sudah tidak sabar-sabar ingin merasa.  Saya memintal beberapa urat spageti dan berikan kepadanya.  

"Hmm... sedappppp", kedengaran dari ruang tengah rumah.

Friday, March 2

Kenangan bersama mereka

Selesai sudah tanggungjawab yang diamanahkan untuk semester ini.  
Di dalam debaran menanti, 
apakah hasilnya nanti

Ilmu yang dicurah adakah terpahat kemas di dada?
berjayakah mereka atau sebaliknya?
atau akukah yang seronok sendiri tidak terkata?
merasakan yang kusampaikan cukup belaka?

Anak-anak muridku yang elok paras rupa
ilmu yang dicurah bukan sekadar suka-suka
bukan juga semata hanya untuk lulus periksa
gunakan ia untuk di masa akan datang juga
untuk dimanfaatkan kepada agama
juga bangsa dan negara

Anak-anak muridku yang indah pekertinya
jagalah diri agar tidak terpedaya
dengan bisikan syaitan durjana
yang sentiasa berusaha mengajak manusia
mengikut jalan pilihannya
jalan yang dimurkai Allah Taala

Selamat maju jaya
buat kalian semua
semoga tidak bertemu lagi untuk sekian kalinya
di dalam subjek yang sama...

HS1132B

HS1132A

Juga untuk EM1104M dan EH1105A

Jumaat, 9 Rabi'ul Akhir, 2 Mac 2012
Kampus Permatang Pauh

- ketika hujan turun lebat di luar sana



Monday, February 27

Wish list...

26 Februari 2012

Hari ulangtahun kelahiran saya yang ke-39.  Hari semalam berlalu seperti biasa.  En. suami membawa kami ke restoren ala timur tengah yang berhampiran untuk meraikan saya.  Sayangnya restoren tersebut tidak dibenarkan merakamkan sebarang gambar.  Sebenarnya, sebelum ini saya pernah mengambil gambar menu-menu pilihan kami di restoren tersebut.  

Ingatkan raikan ummi, tup-tup menu budak berdua yang terlebih mahal dari ummi... hehehe. 

Dinding FB saya dipenuhi oleh ucapan dari keluarga, sahabat, kenalan dan pelajar-pelajar saya sehingga ke hari ini.

Petang tadi, ketika melangkah ke dalam kelas di kampus Bertam, anak-anak murid saya (dari program Sains Persekitaran) beramai-ramai menyanyikan lagu "Allah selamatkan kamu"... Terima kasih (huhuhu.. terharu)

Dan inilah 'wish list' yang panjang yang disiapkan oleh mereka.  Kreatif juga mereka ini... 

stitch 2 foto
Dan ini ucapan balas saya kepada semua yang saya letakkan di dinding FB saya:

"Terima kasih keluarga, sahabat, kenalan dan pelajar di atas ingatan dan doa di hari lahir saya. Semakin meningkat umur, semakin hampir waktunya untuk kembali ke kampung abadi. Ya Allah, berkati dan rahmatilah hidup kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami di dunia dan akhirat. Permudahkanlah urusan kami tika tiba saat untuk kami kembali kepadaMu"

Terima kasih kerana hadir dan turut mewarnai perjalanan hidup saya di alam persinggahan ini.  

Friday, February 24

Dari tingkap...

Pemandangan dari tingkap bilik di Kampus Bertam.  Di hadapan sana masih lagi tanah kosong.  Nun di sebelah kanan sana, bangunan biru oren adalah bangunan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, USM.  

#Hasil cantuman dari 3 foto


Kenangan lagi...


Foto mesin getah lama ini dirakamkan ketika saya sedang bersarapan di sebuah restoren.  Sudah beberapa kali menjamu selera di sini, baru kali ini terperasan mesin yang menggamit kenangan ini.

Ketika meletakkan gambar ini di FB, rakan-rakan serta keluarga berkongsi pelbagai kenangan berkaitan dengan mesin ini.

Kenangan ketika menolong tok mengusahakan getah keping masih tersimpan di sudut kecil ingatan ini.  Susu getah yang masih cair diletakkan di dalam bekas segiempat tepat (selalunya tin minyak tanah yang dipotong secara memanjang) serta dicampur dengan cuka getah untuk mengeraskannya.  

Setelah keras, getah tersebut dikeluarkan dan ditekan dengan tangan untuk meleperkannya.  Acara yang paling seronok apabila memijak-mijak getah tersebut dengan kaki.  Ianya menjadi 'permainan' bagi kami ketika itu.

Selesai dipijak untuk meleperkan lagi getah itu, berebut-rebut pula untuk menggelek menggunakan mesin licin di atas.  Proses ini diulang beberapa kali sehinggalah getah tersebut benar-benar nipis.  Proses terakhir, yang hampir semua mengelak adalah untuk memusing mesin yang bercorak bunga.  Ianya agak berat berbanding mesin yang licin ini.  Tujuannya supaya getah keping tersebut tidak melekat antara satu sama lain ketika ditindan.

Keseluruhan proses boleh dilihat di sini, tetapi proses di pautan ini menggunakan penggelek kayu untuk menipiskannya sebelum dimasukkan ke dalam mesin.

Kenangan lalu...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin