Showing posts with label aktiviti. Show all posts
Showing posts with label aktiviti. Show all posts

Tuesday, September 13

Jalan-jalan hari Ahad

Walaupun namanya tinggal di Pulau Pinang, kami sudah lama tidak ke sebelah pulau dan sudah agak lama tidak menaiki feri kerana tiada urusan di Tanjung (panggilan orang tempatan kepada pulau).  Sekali-sekala menaiki feri, anak-anak sangat teruja.  Gambar-gambar hasil bidikan saya atau suami dengan menggunakan Canon IXUS 105 dan juga EOS 1000D.






sakit mata melihat sampah yang bertaburan

Teman tempat kerja lama suami menjemput kami serta dua keluarga yang lain makan-makan di Hotel bertaraf 5-bintang.  Memandangkan ada yang mengajak, kami menerima saja.  






terima kasih "tuan rumah"

nasi + ayam + daging kambing kapitan - suami

saya - tanpa nasi



Walaupun bertaraf 5-bintang, tetapi makanannya biasa-biasa saja (bagi saya).  Ada yang sudah kehabisan tetapi tidak ditambah semula.  Ketika waktu makan hampir berakhir, pengunjung beratur panjang untuk mendapatkan minuman panas.  Rupanya sudah kehabisan, maka adalah yang bising-bising kerana tidak dapat merasa Cappucino atau King Coffee yang ada!




Atas segala-galanya, terima kasih k.Ina kerana menjemput kami sekeluarga.  Adik menjadi 'ratu makan' sehingga tersandar kekenyangan.  Dia mengulang pasta/spagetti yang menjadi kegemarannya.  Begitu juga kakak.   

Sedari awal, adik sudah bertanya tentang 'mandi kolam'.  Mind set nya hotel = kolam mandi hehehe.  Untuk tidak menghampakan anak-anak, kami bawa ke Taman Majlis Perbandaran (Taman Belia).  Ada beberapa kolam (percuma) yang boleh digunakan.  Sebelum ini, ketika rombongan adik (cerita di sini), mereka ke kolam yang berlainan.  Memadailah berendam untuk beberapa ketika sebelum balik.




seronoknya mereka




Saya sukakan kehijauan di Taman Belia ini, tetapi kehadiran monyet yang mengintai-intai beg untuk mencari makanan agak menggugat keselamatan pengunjung ke situ.  Bimbang juga diterkam beg-beg yang ditinggalkan di kerusi-kerusi di tepi kolam, atau anak-anak kecil di situ.  Jangan ada yang membawa beg plastik yang disangkanya berisi makanan, pasti diikutnya, bukan seekor dua, tetapi beberapa ekor.

Puas berjalan sehingga jam 11.00 malam tiba di rumah!  Hujung minggu ini juga sudah dipenuhi dengan undangan makan lagi, sehingga habis Syawal lah nampaknya.

Tuesday, July 12

Ekspo

Cerita beberapa hari lalu.  Bersempena ekspo usahawan bumiputera yang berlangsung baru-baru ini, kami juga meninjau-ninjau apa yang menarik di sana.  Apabila nampak 'nenas' ini, kakak cepat-cepat meminta saya mengambil gambarnya bersama nenas tersebut.  Gerai ini memasarkan hasil produk yang berasaskan nenas. 


Ini satu lagi kegemaran mereka.  Tidak sanggup saya memenuhi permintaan mereka untuk membela arnab.  Pertama, kerana siapa yang akan menjaganya?  Kedua, jika hendak ke mana-mana, agak susah untuk meninggalkan haiwan peliharaan ini.  Boleh lihat dan main-main sajalah ya anak-anak.


Saya juga teruja melihat burung dan arnab yang agak unik ini.



Puas anak-anak merasa sampel yang disediakan digerai-gerai.  Oh... ini sampel yang ditukarkan dengan duit untuk mendapatkannya.  Buah-buahan celup coklat.  


Pendek kata, puas menjamu mata dan menjamu poket dengan barangan yang ada.

Saturday, June 11

Cerita

Cerita 1


Dari saya dan dia.  Sama-sama memberi.  Itulah "ertinya hidup pada memberi", memetik kata-kata Ustaz Cinta.  Hidup berumahtangga perlunya ada "memberi", janganlah kita menjadi penerimanya saja.  Dan ada ketika, memberi sebagai "kejutan" itu lebih manis untuk dikenang.  


Cerita 2


Beginilah skrinnya jika dilihat dari telefon mobile.  Saya telah meletakkan setting berkenaan kerana zaman serba canggih ini, ramai yang mengakses blog melalui telefon mereka.


Cerita 3

Adik sangat teruja untuk menyertai pertandingan mewarna yang diberitahu oleh tadikanya.  Saya tidak tahu apa majlisnya, tetapi kata pihak sekolah, ianya bertempat di Shell Seberang Jaya.  Menjadi seorang mak yang 'penyibuk' untuk melihat aktiviti anaknya, saya juga turut hadir sebagai 'pemerhati' ,  dan adik saya biarkan dengan kawan-kawannya.  Rupa-rupanya ada majlis Shell Fuelsave Challenge.  Jika tahu ada cabutan bertuah, boleh juga mengisi minyak di situ kerana sebelum menghantar adik, telah diisi minyak sepenuh tangki.  Ah, jikapun ada, tidak pernahnya bertuah untuk menerima hadiah hehehe.



oh..rupa-rupanya ada dutanya hadir

bergambar kenangan dengan Fahrin Ahmad

Jadilah...saguhati
Adik "mengamuk" inginkan hadiah 2 kerana kawannya mendapat hadiah tempat ke-2.  Alahai adik, adik warna cantik, tetapi kurang berbanding dengan orang lain.  Nanti bila ada peraduan lain, adik warnalah elok-elok. 

Sunday, December 12

Dino Trek 2


Kebelakangan ini agak sibuk.  Kasihan pula dengan anak-anak yang masih belum berkesempatan untuk kemana-mana sejak bercuti sekolah kecuali ke rumah tok mereka.  Perancangan telah diatur selepas selesai konferensi berlangsung serta satu lagi program pada 21hb Disember ini.  Selepas itu, saya akan bercuti untuk meredakan tekanan sebelum semester baru bermula pada 3 Januari 2011 nanti.  

Pengumuman untuk warga PP dan juga jiran sekitarnya, sekarang ini  sedang berlangsungnya Dino Trek 2 di Jusco AEON Seberang Perai dengan kerjasama Petrosains.  Kami berkesempatan membawa anak-anak ke sana Sabtu lepas.  Anak-anak sangat  teruja dengan pameran dan aktiviti yang ada.  Paling kelakarnya, si adik, ketika di pintu masuk, dia ketakutan sambil memegang kaki abahnya.  Tetapi, akhirnya, dia yang paling teruja dan tidak ingin melangkah keluar dari ruang pameran dan aktiviti.

Di pintu masuk, petak kuiz disediakan untuk kanak-kanak menjawab soalan  ya atau tidak berkaitan dinosaur.  Tetapi kebanyakannya, ibubapa yang lebih banyak menjawab atau dibantu oleh abang-abang petrosains itu! 

kakak sedang beraksi!

Pada mulanya adik tidak mahu mencuba, tetapi selesai di sekitar ruang pameran yang lain, adik dan kakak mencuba sekali lagi aktiviti ini.  Di kiri pintu masuk, maze ini menguji tahap pengetahuan pengunjung tentang dinosaur sambil mencari jalan keluar dari maze tersebut.  Masa untuk mencari jalan keluar mengukur tahap pengetahuan masing-masing.


Setiap persimpangan  disertakan soalan untuk dijawab.  Pengunjung akan menggunakan jalan mengikut jawapan yang diberikan.  Jawapan kepada soalan itu juga disediakan di dalam maze tersebut.


 adik masih lagi ketakutan

Trisorotops - bertanduk tiga, pengunjung boleh menggerakkan bahagian-bahagian dinosour mekanikal ini dengan menekan butang di bahagian tertentu.


Di setiap bahagian, maklumat umum tentang dinosaur turut disediakan.


Stegosaurus - biawak bersirip


Maiasaurus - biawak bersifat keibuan


Protoceratops

T-Rex, anak-anak sangat mengenali dinosaur ini.




Spinosaurus - biawak berduri





Apatosaurus - biawak mengelirukan



Antara aktiviti-aktiviti yang boleh disertai oleh kanak-kanak (dan juga ibubapa hehehe) turut dicuba oleh anak-anak.

Mengejar dinosaur - berkayuh basikal untuk menggerakkan dinosaur itu


 Puzzle



 Feed the dinosaur - merah untuk karnivor dan hijau untuk herbivor


Meletakkan rangka dinosaur di tempatnya



Acara bergambar yang tidak boleh dilepaskan.  Lima keping gambar yang diemelkan terus ke alamat emel kita.  Lihat saja aksi anak-anak yang kelihatan kaku pada mulanya.






Mereka sangat-sangat teruja.  Sehingga balik ke rumah, perbualan masih lagi berkisar isu dinosaur.  Mereka dengan gembiranya memberitahu tok dan bapa/mak saudara mereka melalui telefon.  Begitulah gelagat mereka jika ada sesuatu yang benar-benar mengujakan mereka, terutamanya si adik!

Dino Trek ini dibuka sehingga jam 8 malam, tetapi jam terakhir untuk masuk adalah 6 petang (waktu masuk tidak perasan, mungkin jam 10pg).  Bayaran untuk dewasa/RM6 dan kanak-kanak (5 - 11thn)/RM3.  Kami mengambil pakej keluarga, 2 dewasa dan 2 kanak-kanak dengan hanya RM14 sahaja.

Saya mencadangkan rakan-rakan membawa anak-anak ke sana.  Memang mengujakan terutamanya kanak-kanak yang dapat belajar sambil berhibur.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin