Monday, July 22

Kasih Ramadhan II - Baling/Sik (11 Ramadhan)

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah masih dapat meramaikan konvoi jjmk edisi kedua siri jelajah Ramadhan ini.  Kami dibawa oleh team wargakilang ke ceruk kampung dan jalan kecil yang hanya muat-muat sebuah kereta.  Terdetik di hati kecil, sehingga ke begini ceruk mereka mencari asnaf yang layak menerima bantuan ini.  Cekalnya mereka...kekuatan yang luarbiasa dari Allah untuk mereka. MasyaAllah.  Bukan calang-calang orang yang sanggup melakukannya kerana ganjarannya tidak nampak di hadapan mata, ganjarannya hanya akan dituntut di SANA kelak. Sabarnya isteri-isteri mereka melepaskan suami-suami mereka untuk 'dikongsi' oleh masyarakat.  Mudah-mudahan ganjaran yang setimpal juga buat tulang belakang mereka.  Benarlah kata pepatah, di sebalik suami yang hebat, berdirinya isteri yang hebat di belakang.  Terpanjang pula muqaddimah kali ini :D


tanpa pengarah, masing-masing berebut meraih pahala

Semangat kerjasama tanpa perlu arahan dari sesiapa dapat dilihat di sini :-bd .  Surau An-nur Taman Mesra Kupang ini menjadi saksi bagi kerja-kerja amal yang telah dilakukan mereka. Barang yang dibawa seorang sedikit dapat memenuhkan bonet kereta untuk setiap keluarga penerima.  Mudah-mudahan rezeki ini sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka.

sumbangan bukan makanan

antara kelompok barangan untuk 30 keluarga

Full load
suasana pagi itu... (klik untuk besarkan imej)

bacaan doa oleh ustaz Ku Md Ali dari team Naza Gurun

Alhamdulillah, di dalam keghairahan untuk menyertai jjmk, kami diajak untuk memperbetulkan niat semata-mata mencari keredhaan Allah di bulan Ramadhan yang mulia ini.  Terima kasih ustaz Ku di atas tazkirah ringkas tetapi berkesan untuk mengingatkan diri kembali ke landasan yang sebenar.

sedikit sumbangan dari peserta jjmk untuk penambahan surau An-Nur yang diterima oleh tok imam (berkopiah putih)

Sesi 'lelongan' nombor sangat gamat!  Masing-masing berebut-rebut untuk membawa barang di dalam kereta masing-masing untuk diserahkan kepada keluarga penerima.


saya tidak kisah apa yang berlaku...generasi pelapis wk
antara laluan kami, titi sempit serta jalan kampung yang sempit

Sekalung tahniah buat team marshall yang berempat yang mengawal lebih 40 kereta pada hari itu yang meredah jalan lebih 100km dengan motor mereka.  Kami yang di dalam kereta dengan aircon yang sepoi-sepoi itu pun terasa keletihannya, apatah lagi mereka.  Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan sebagaimana mereka memudahkan urusan lain... Aamiiin.




Penerima pertama.  Tidak sanggup menatap lama wajah bersih anak-anak yatim ini yang kehilangan ayah mereka awal tahun ini.  Ketika menghulurkan sumbangan, wajah mereka kelihatan sayu.  Mungkin terkenangkan suami/ayah yang telah tiada... tiba-tiba dada terasa sebak...apatah lagi melihat si kecil yang didukung oleh ibunya itu. 

ibu tunggal anak 8 bersama team Naza Gurun

Center 1
Nenek wargaemas ini bersungguh-sungguh memeluk saya ketika saya bersalaman dengannya.  Mulanya terasa 'biasa-biasa' tetapi kemudian bertukar sebak....  Sahabat yang berdiri di sebelah tiba-tiba menyuruh 'melakonkan' semula babak itu...hilang syahdunya :)

lakonan semula :D (kredit : Noor 'Aina )

Anak Keluarga penerima ini mengidap penyakit kulit bersisik @ psoriasis. Ceritanya pernah muncul di dada akhbar dan saya ingat saya pernah membacanya.  Rawatan bulanannya sahaja mencecah ratusan ringgit.  Mudah-mudahan ada pakar kulit yang dapat membantu adik ini untuk sembuh.  In Shaa Allah.




Menumpang tuah penerima sumbangan

Khabarnya, di dalam kotak itu mengandungi ikan gelama masam.  Patutlah beriya sakan dia menjengok ke dalam kotak :D


mungkin ini jugalah harapan penerima sumbangan yang kami tinggalkan...

Center 2
Ibu tunggal yang hilang sebelah penglihatan (bertudung hitam) menyara anaknya dengan mengambil upah menggoreng kopi (kampung). Dua anak perempuannya bersekolah di sekolah pendidikan khas - oku pembelajaran.  

Ibu tunggal 4 anak

Center 3
Agar sukar untuk melihat Mak Da tersenyum.  Mungkin beliau cuba menahan sebak melihat sumbangan yang diterimanya.  Entah apalah yang didoakan Mak Da sehingga Allah menggerakkan hati tok ketua dan sahabat-sahabatnya untuk meninggalkan sedikit barang sumbangan di tengah malam ketika mereka riki mencari asnaf yang layak diberi bantuan.  Ketika tok ketua bertanyakan Mak Da, samada beliau terkejut melihat barang sumbangan yang ditinggalkan yang ditutup dengan daun pisang di hadapan pintu rumahnya, Mak Da hanya menggangguk dan tersenyum sedikit.  




Alhamdulillah, penghuni rumah buluh ini bakal mendapat kediaman yang harapnya lebih selesa untuk mereka diami.  Alatan pembinaan sumbangan dari pusat zakat telah memenuhi perkarangan rumah mereka ketika kunjungan kami pada Sabtu lepas.

pemilik sumbangan berbaju ungu

Center 4
Destinasi seterusnya selesai bersolat zohor di Masjid Nurul Huda.  Setibanya di situ, wah... sudah ada yang di atas pokok manggis dan setaq.  

siapalah agaknya yang di atas pokok itu? :D

Antara buah-buahan yang menjadi rezeki peserta konvoi, durian, manggis, dokong dan setaq. Sedang kaum bapa sibuk dengan barang sumbangan, anak-anak peserta teruja melihat sungai kecil di tepi rumah penerima.  Walaupun dapat merendam kaki, jadilah!

ada budak kecil yang tidak mahu keluar dari air :D

anak-anak siapakah itu... he he he... 

Penerima terakhir secara rasmi...

Secara rasminya, program jjmk berakhir di sini.   Tetapi, masih ada 8 keluarga lagi yang perlu dikunjungi oleh AJK WK.  

bergambar kenangan (klik untuk besarkan imej)

Kami turut serta sehingga ke dua rumah lagi penerima sumbangan, dua orang ibu tunggal.  Kami tiba di perkarangan masjid berhampiran rumah beberapa minit lagi tiba waktu berbuka puasa. Alhamdulillah, misi hari itu selesai untuk mendampingi anak-anak yatim dan fakir miskin di dalam mengejar keberkatan Ramadhan.  Sumbangan hasil tajaan sahabat-sahabat juga telah berjaya disampaikan.

penerima kain pelikat tajaan rakan-rakan

Terima kasih kesemuanya di atas kenangan jjmk yang indah ini.  Panjang umur, In shaa Allah, kita berjumpa lagi.  

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin