Tuesday, July 16

Kasih Ramadhan - JJMK Kemaman (4 Ramadhan)

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum wbt.

Salam Ramadhan Kareem buat pembaca blog BC.  Didoakan kesemuanya dikurniakan kesihatan dan kekuatan yang optimum untuk memanfaatkan pengisian madrasah Ramadhan kali ini.  

Alhamdulillah, kami diberi kesempatan, peluang dan kekuatan oleh Allah s.w.t untuk turut serta lagi di dalam misi jalan-jalan masuk kg (JJMK) ke Kemaman pada 4 Ramadhan yang lalu.  Kepenatan tidak terasa (rasa juga lah sebenarnya ;;) ) apabila melihat senyum tangis gembira wajah-wajah penerima sumbangan. Entah apa yang di fikiran mereka agaknya tidak dapat kami selami.  Kalaulah ada 'kuasa psikik' (tak mungkinlah begitu :) ) yang dapat membaca hati nurani mereka, dapatlah diselami apa yang tersirat di hati mereka.  Inilah antara sebabnya yang mengikat kami untuk mengikuti jjmk setiap kali penganjurannya oleh NGO wargakilang. Sebak,mata berkaca melihat titisan airmata terharu di pipi penerima.  

25 beg tajaan sahabat-sahabat UiTM dan lain-lain- Terima kasih para penaja

Kami membelah langit petang 3 Ramadhan menuju ke Kemaman dengan beban amanah yang memenuhi boot kereta kami.  Inilah amanah yang perlu dilunaskan pada JJMK Ramadhan Kemaman ini.  Selesai menyerahkan kesemua 25 beg beserta baki kain pelikat yang ditaja, terasa ringan beban digalas! Alhamdulillah, selesai....(bukti bergambar untuk sahabat-sahabat yang menaja)

Loading barang di lokasi pertemuan - Masjid Geliga Kemaman

Alhamdulillah, cuaca tenang mengiringi perjalanan 14 buah kereta peserta konvoi ini dengan nawaitu untuk berkongsi sedikit kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Mudah-mudahan ini dapat menceriakan mereka

Doa oleh otai lama WK sebelum memulakan perjalanan

jalan kami punya! :D

Orang kuat WK Kemaman dan WK Utara

ibu menjaga anak perempuan OKU

warga emas 85 tahun sebatang kara 

Bertemu dengan ibu tunggal yang kematian suami di usia muda dan anak-anak kecil yang kehilangan bapa mereka memberikan sedikit 'tazkirah' kepada diri sendiri akan betapa beruntungnya diri sendiri di usia begini masih mempunyai ibu ayah serta suami di sisi.  Nikmat yang mana lagi yang hendak engkau dustakan?  Didoakan ibu-ibu muda ini tabah membesarkan anugerah Allah ini walaupun di dalam serba kekurangan... :(



Bagaimanalah nasib mereka nanti setelah kehilangan ketua keluarga baru 25 hari (hari jjmk) di dalam keadaan serba kekurangan.


apalah yang anak sekecil 2 1/2 tahun ini faham tentang erti kepayahan hidup

nenek yang memelihara anak yatim


Hati ini tersentuh melihat puan Maimon yang berusia separuh abad ini yang menitiskan airmata di hadapan khalayak kerana terharu dengan sumbangan yang diterima.  Gambar ini menceritakan segala-galanya.  


"mak, jangan le nangis mak".. Radhi, anak OKU yang cuba menenangkan ibunya

Kata tuan Monier, YDP WK ini, hanya yang mempunyai anak OKU yang memahami bagaimana perasaannya.  Menitis airmata saya membaca coretan beliau di sini.  Allah...

Radhi dan Iman

teruja... biarpun hanya yang terpakai

Ketika berbual bersama ustazah yang menjadi contact person, ramai yang masih tidak tahu caranya untuk anak mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

puan ini anaknya mendapat 4A di dalam SPM yang lalu

UiTM telah membuka ruang dan peluang bagi anak-anak yang kurang berkemampuan yang kurang cemerlang untuk mengikuti program pra-diploma melalui programnya Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB). Maklumat lanjut, bolehlah layari laman web ini (klik).

PERANAN PROGRAM MDAB
Antara tujuan utama program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) adalah untuk mengubah landskap masa depan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang miskin dengan memberikan :

Bantuan Kewangan
Bantuan pembangunan diri dan motivasi
Lain-lain bantuan atau sokongan sama seperti pelajar UiTM yang lain


SYARAT-SYARAT KEMASUKAN KE PROGRAM MDAB
1. Bumiputera sahaja
2. Pelajar dari golongan kurang berkemampuan atau miskin ;

Tidak dapat meneruskan pengajian disebabkan kemiskinan
Pelajar kategori kurang kemampuan dan tidak dapat meneruskan pengajian ke diploma (SPM kurang daripada 5 Kepujian)
Pendapatan kasar keluarga kurang dari RM3,000.00 sebulan


SYARAT-SYARAT KEMASUKAN :
1. Bumiputera warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas
2. Lulus SPM (dalam tempoh 5 tahun terkini) dengan 3 kredit termasuk Bahasa Melayu
3. Syarat bagi Program Pra Diploma Perdagangan

Lulus Matematik
Lulus Bahasa Inggeris
4. Syarat bagi Program Pra Diploma Sains

Kepujian Matematik
Lulus Bahasa Inggeris
Dan lulus satu dari subjek Fizik, Kimia, Biologi, Sains Tambahan
Syarat Tambahan : sihat tubuh badan, tidak menghadapi penyakit mental dan berupaya mengikuti program yang dirangka oleh UiTM

ANTARA KEISTIMEWAAN YANG DIBERIKAN KEPADA PELAJAR PROGRAM MDAB :
1. Kolej disediakan
2. Pengecualian yuran pengajian

PELUANG MELANJUTKAN PENGAJIAN
Pelajar yang berjaya pada program Pra Diploma akan dibenarkan menyambung pengajian ke peringkat Diploma UiTM


- petikan dari laman web UiTM, N.Sembilan

Diharapkan sesiapa yang mengetahui adanya anak-anak lepasan SPM yang kurang cemerlang dari golongan kurang berkemampuan dan masih berminat untuk belajar dapat menghebahkan maklumat ini.

kiri kanan menjinjing barang

Pak Syed
Pak Syed ini diuji dengan masalah kesihatan yang hebat, hilang penglihatan, hilang sebelah pendengaran, dan penyakit tiga serangkai - sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.  Di rumah kecil inilah mereka berdua menghabiskan sisa umur mereka.

pak cik ini masih meniaga aiskrim dengan motor untuk menyara keluarga

Ibu tunggal dengan anak yang paling kecil berusia 9 bulan.



Ibubapa hebat melahirkan anak-anak yang hebat. Tahniah kepada ibubapa yang berjaya mendidik dengan akhlak yang terpuji ini yang berebut-rebut membuat amal walaupun di usia yang masih kecil.



Sedih melihatkan keadaan keluarga yang tidak terurus ini.  Ketika tiba di rumah mereka dengan membawa beg-beg tajaan yang berwarna merah jambu itu, anaknya yang kecil bertanya, "itu hadiah untuk kita ke mak?".  Allah...kemiskinan yang membelenggu mereka sejak sekian lama berterusan sehingga ke hari ini di mana anak-anak mereka sudah tercicir dari bangku sekolah sejak kecil lagi.  Blog tuan monier menceritakan segala-galanya. Ketika di sana, beliau kelihatan mencari-cari seseorang, rupanya, yang dicari itulah adalah suami kepada puan Pisah ini.  Itu kisah hampir 10 tahun yang lalu.  Jika beginilah keadaannya, hurm... entahlah... saya tidak mampu berkata apa-apa di atas kapasiti sebagai 'orang luar' dari daerah kijal ini :-? 



Nenek kepada tiga orang anak yatim piatu ini bercerita dengan mata yang berkaca-kaca.  Airmata sudah berada di takungan mata, cuma ditahankan supaya tidak meleleh saja.  Katanya si abang yang sulung itulah yang menjaga maknya yang sakit sebelum meninggalkan mereka buat selama-lamanya.  Abang long, anak yang soleh, setiap kali diminta maknya untuk mengurut/memicit badan maknya yang sakit, abang long tanpa bantah menurut permintaan maknya.  Tinggallah mereka bersama nenek dan wan yang semakin dimamah usia bersama dengan ibu saudara mereka.



Rumah puan Fauziah adalah rumah terakhir yang kami singgah  di dalam gerimis petang 4 Ramadhan. Walaupun di dalam keadaan tidak sihat, ibu tunggal yang cekal ini ceria menyambut kami.  Harapan kami agar senyuman di wajah puan Fauziah ini tidak akan pudar biarpun hidup di dalam serba kekurangan untuk membesarkan anak yang masih kecil berseorangan.



Bersyukur saat diuji kerana ujian didatangkan kepada orang yang Allah kasihi.  Allah telah memilih insan-insan ini untuk memberi 'live' tazkirah kepada diri ini untuk menjadi orang yang lebih bersyukur dengan apa yang ada (qana'ah).  Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin