Tuesday, November 3

Mari Membaca (1)



Buku ini telah saya "khatam"kan berulang-ulang kali sejak saya membelinya pada sekitar 2008 (terlupa mencatatkan tarikhnya).

Buku yang menghimpunkan pelbagai kisah pendek dan ringkas ini penuh dengan iktibar serta pengajaran di dalamnya.  Ada ketika menyelami kisah-kisah yang menyayat hati dan naluri menyebabkan kelopak mata digenangi air tanpa disedari.

Kisah pengalaman yang dialami, didengari atau dari pengamatan penulisnya mengandungi 110 kisah kehidupan sebagai cerminan diri kita tentang sikap sesetengah manusia yang mungkin juga adalah sikap kita sendiri.

Kisah-kisah dihimpunkan di dalam buku yang mengandungi 205 mukasurat ini dikumpulkan di dalam beberapa topik - Tentang Kasih Sayang, Tentang Keibubapaan, Alam Rumahtangga, Tentang Kefahaman Agama, Universiti Kehidupan, Siraman Rohani serta Corat-coret Selebriti.

Antara yang menyentuh perasaan saya merupakan kisah seorang anak yang tidak dapat mengarangkan "Kasih Seorang Ayah" ketika ujian bulanannya dan menyerahkan kertas kosong tanpa bertulis apa-apa.  Keputusannya, markah 0 bertanda merah untuk karangan Bahasa Malaysia tercatat di dalam buku rekod.  Apabila ditanya ibunya, si anak menjawab dengan nada yang sebak, dia tidak mengenali siapa ayahnya kerana ayahnya telah menceraikan ibunya ketika dia masih kecil, ayahnya juga tidak pernah menjenguk mereka adik-beradik selepas itu serta tidak pernah merasa bagaimana belaian seorang ayah.

Ya Allah, pilunya hati saya.  Sebagai seorang yang bergelar ibu, amat terkesan dengan cerita ini.  Biarpun hubungan antara ibu dan ayah sudah terlerai, usahlah dibiarkan anak-anak terkapai-kapai tanpa kasih-sayang seorang ibu dan ayah.  Sungguh malangnya nasib anak ini.  Ketahuilah, tanggungjawab seorang ayah masih tertanggung di bahunya dan kelak, akan dipersoalkan di Sana nanti. 

Oh ya, buku ini hanya RM19.90 (Sem. Malaysia) / RM21.90 (Sabah/Sarawak)

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin