Sunday, August 31

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Ahlan wa sahlan Ramadhan al-Mubarak.

Hayatilah petikan ini yang saya perolehi dari email. Moga kita dapat bermuhasabah tentang diri kita sempena kedatangan Ramadhan ini.

ANDAI INI YANG TERAKHIR


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat
yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ..lorong-lorong ridha Ar- Rahman


Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat
ku

jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati
ku
menyeru ke jalan menuju r
edha serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan
ku di sana nanti

Namun teman...

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA

"MARHABAN YAA RAMADHAN "

Ampun dan maaf di minta sekiranya ada kesalahan yang dilakukan…..

Semoga keberkatan Ibadah Ramadan bersama kita hingga ke akhirnya ….

Amin….

Kemerdekaan

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-51. "Perpaduan Teras Kejayaan".

Semoga kita menghayati makna kemerdekaan dengan lebih mendalam, bukan sekadar merdeka diri tetapi merdeka akal fikiran.

Friday, August 29

Alhamdulillah...

Sebulan bonus akan diberi kepada semua kakitangan awam. Bernafas lega lah kanak-kanak ya..dapatlah juga bonus duit raya...hehehe.

Bajet 2009

gambar dari web ini

Pasti ramai terutamanya kakitangan awam yang tertunggu-tunggu bajet 2009 ini. Mari kita dengar pembentangannya pada jam 3 petang ini.

Wednesday, August 27

Kisah cicak

Malam jumaat lepas, ketika sedang menonton tv, mak bersuara...

"Cepat, siapa nak pahala, pergi bunuh cicak di dinding tu"


Kakak menyampuk. Ketika itu, dia sedang melukis.

"Mana boleh bunuh cicak, dia kan makhluk ciptaan Allah", sambil meneruskan lukisannya.

Saya, k.lang, kak Ti dan mak ketawa mendengar jawapan spontan kakak. K.lang menyampuk, "phuyooo...makhluk ciptaan Allah.. bagusnya ayat"

Mak menyambung,

"Cicak kita boleh bunuh sebab dia berbunyi (beritahu) ketika Rasulullah (s.a.w) bersembunyi di gua. Siapa yang bunuh cicak pada malam jumaat, dapat 10 pahala". Mak menyambung.

Kakak terdiam! Kami masih lagi ketawa. Akhirnya cicak pun sudah lari...agaknya faham kami nak bunuh dia! Hehehe...

Tuesday, August 26

Hari Yg Ditunggu

Selesai sudah hari pembuangan undi bagi Parlimen Permatang Pauh P44. Gambar di sekitar tempat pembuangan undi di SK Mengkuang.


Monday, August 25

Undilah Saya!

Hehehe...baik punya tajuk. Jangan marah! Di Permatang Pauh sememangnya hangat! hari penamaan calon di Maktab Tunku Bainun, jalanraya ke lebuhraya ditutup. Mujur abang menelefon kami supaya jangan menggunakan BKE untuk ke rumah mak. Sewaktu meninggalkan rumah mak untuk ke KL, kami terpaksa detour mengikut exit Sg. Dua untuk ke lebuhraya Utara Selatan. Alhamdulillah, selepas itu perjalanan ke selatan adalah lancar.

Sewaktu pulang ke rumah mak, jalanraya sudah penuh dihiasi dengan bendera wakil kerajaan dan pembangkang, mengulangi kemeriahan PRU 12 beberapa bulan yang lalu.


Selamat Mengundi sekali lagi bagi permastautin Parlimen Permatang Pauh.

Cameron Lagi

Semasa dalam perjalanan balik, kami 'melencong' ke Cameron Highlands.

Tidak puas hati semasa kunjungan lepas kerana kekurangan strawberi segar, jadi kami sekali lagi ke sana. Mak beli sayur-sayuran serta beberapa pokok kaktus kegemarannya dan pokok strawberi. Tengok kebanyakan benda di Kea Farm, macam-macam yang hendak dibeli...tahan-tahan. Tapi mujur sudah beli strawberi di ladang KHN, jadi, cuma jengok-jengok perbezaan harga saja. Lebih murah jika beli di ladang strawberi.


Tapi, hati-hati, jangan terpedaya dengan 'jambu kristal'...ini sebenarnya adalah jambu biasa saja yang direndam di dalam bahan kimia untuk menjadikannya nampak berkilat. Saya sudah membelinya, dan suami terperasan tentang jambu tersebut melalui satu artikel di internet. Cuba google tentang jambu kristal ini.

Sunday, August 24

Rindu

Beberapa minggu lepas, asyik teringatkan rakan-rakan di pejabat tempat kerja lama saya. Entah kenapa, hati menjadi rindu ingin berjumpa mereka. Memandangkan hari Selasa tiada agenda yang khusus, saya mengajak suami ke pejabat itu. Sudah lama sejak saya menjejakkan kaki di sana. Ketika itu kakak baru berusia beberapa bulan. Sekarang sudah 6 tahun! Bermakna hampir 6 tahun saya tidak bertemu dengan rakan-rakan sekerja saya dahulu.

Masih ada beberapa orang yang masih dikenali wajah dan nama. Kemesraan mereka tetap sama, walaupun sudah bertahun-tahun tidak bertemu. Yang lain-lain, masuk selepas saya meninggalkan pejabat itu. Entah bila saya akan bertamu di sana lagi.

Permohonan yang pada mulanya ingin mencuba nasib - kakak juga yang menggesa saya (kerana iklan memerlukan seseorang yang berpengalaman - sedangkan saya baru bergelar graduan). Peristiwa pergi ke temuduga dengan tempat yang tidak diketahui, saya hampir-hampir berputus asa, ditambah dengan hujan lebat. Namun, hati bagai ditarik supaya mencari tempat itu untuk kali terakhir. Alhamdulillah, sampai juga ke sana dalam keadaan basah kuyup! Ya, dan saya masuk ke bilik temuduga dalam keadaan basah kuyup! Hehehe...malu jangan cerita. Namun, saya mengadap 5 orang penemuduga dengan yakin. Dan Alhamdulillah, dah memang tertulis rezeki saya di situ untuk 5 tahun 4 bulan berikutnya. Balik ke rumah, bercerita dengan kakak, jenuh dia gelakkan saya....hehehe.

Saya banyak menimba pengalaman di sini. Ilmu baru, melayan kerenah manusia, kerenah birokrasi, dan pelbagai lagi yang mematangkan saya. Juga peristiwa-peristiwa yang berkait dengan emosi, kesemuanya ketika saya bekerja di situ. Walaupun ketua jabatan saya bukan seagama, namun beliau tidak menghalang saya untuk menunaikan kewajipan saya sebelum memulakan sesuatu kerja yang diarahkannya. Alhamdulillah!

Di sana juga saya mengenali seorang insan yang lebih berupa kakak kepada saya. Banyak kisah suka-duka yang dikongsi bersama dengannya. Sehingga kini, kami masih berhubungan dan setiap perkembangan terkini akan disalurkan melalui email atau sms atau telefon. Jika ke KL dan berkesempatan, saya akan berkunjung ke rumahnya.

terima kasih kak di atas layanan mesra akak walaupun sibuk dengan tugas-tugas pejabat

MAHA 2008

Hari Isnin berpeluang pula ke MAHA 2008. Perjalanan ke Serdang mengambil masa hampir 1 jam. Sampai di sana sekitar jam 11 pagi. Alhamdulillah,

orang masih belum begitu ramai, cuma tempat meletak kereta agak jauh dari pintu masuk. Hendak menaiki tram, barisan orang untuk menaikinya agak ramai, jadi, kami berjalan kaki sahaja. Exercise jalan kaki lah nampaknya. Kebetulan pula hujan renyai-renyai.

Beli pas untuk menaiki tram, RM1/seorang. Naiklah ke mana-mana, sehari suntuk pun tidak mengapa. Destinasi pertama kami, ke tempat haiwan ternakan.
adik - berbaju merah, takut-takut menyorok di belakang kakak saudaranya

adik masih takut-takut hendak mengusap kambing

Kebetulan gajah dan unta sedang direhatkan, jadinya hanya sempat menaiki kuda. Bayarannya RM3 seorang. Kemudian, bermain pula dengan arnab, lagi bayarannya RM3 seorang. Bayangkan lah kalau datang beramai-ramai, berapa RM yang terbang! Hehehe...

kakak dan sepupunya sedang menaiki kuda

melayan arnab. Kekenyangan lah arnab-arnab itu dibuatnya kerana ramai yang hendak memberi makan

kakak saja yang berani pegang arnab begini

Kemudian ke tempat sajian makanan popular dari pelbagai negeri. Hmm... orang p.pinang, tetap mencari makanannya... kami menjamah laksa penang serta tidak sah ke KL jika tidak pekena satay Kajang kan!

Penat dan letih, singgah sekejap di gerai tumbuh-tumbuhan. Sempat juga lah mak beli sepohon pokok limau nipis tak berbiji. Di dalam kereta dalam perjalanan balik, masing-masing lena keletihan, kecuali pak cik yang memandu kereta!

Tersangat luas kawasan MAHA itu. Kami tidak habis 'tawaf' pun walaupun berada di sana hampir 4 jam!

Saturday, August 23

Berendam!

Hari Ahad, agenda seterusnya ke Wet World, Shah Alam. Seronok la anak-anak bila dapat berendam di dalam kolam renang serta bermain dengan slide air. Hmmm.. umi, abah, pak cik dan cik pun seronok sama...hehehe.


pak cik yang teramat rajin melayan anak-anak buahnya

Lebih kurang 4 jam di dalam sana. Hmm... lama ke? Tapi memang menyeronokkan melayan anak-anak bermain di dalam kolam. Balik masing-masing keletihan. Tetapi tidak bagi kakak dan anak saudara, masih boleh bermain lagi di rumah! Aduh...aktif sungguh anak itu!

Sambutan bagai VIP

Hari Sabtu minggu lepas, kami sekeluarga, mak dan anak saudara bertolak ke K.Lumpur. Tujuan utamanya untuk menghadiri walimah anak rakan lama di Ampang. Alhamdulillah, sampai di rumah kakak sekitar jam 1.30 petang. Sempat berehat untuk seketika sebelum bertolak ke walimah tersebut.

Sesampai kami di Ampang, kami disambut dengan baiknya oleh rakan lama saya. Layanannya bagai VIP..terharu kami dengan layanan yang sebegitu. Tentunya beliau merasa sungguh terharu dengan kehadiran kami, jauh dari utara...hehehe...perasan sendiri ye. Bersembang sekejap untuk mengetahui perkembangan masing-masing, kami pun mengundur diri dengan ole-ole yang berbagai.

Terima kasih, En. Fudzil dan Kak Umi di atas jemputan dan layanan mesra yang kami terima.

Friday, August 15

Mulut Murai

Adik ini banyak mulutnya... setiap perkataannya pasti ada yang mencuit hati. Semalam, sewaktu makan malam, mulutnya tersangat bising..pot pet pot pet...tak henti-henti. Ada saja yang dibebelkannya, dan selalunya bebelannya ditujukan kepada kakak. Ada ketika saya dan suami ketawa dengan gelagat mak nenek nya.

pandai baca suratkhabar

Kakak juga banyak mulut, tetapi tidak sebising adik. Bila saya tanya, kakak nak jadi apa... nak jadi macam umi...hmmm....sebab itu suka membebel kot ye...hehehe.

Thursday, August 14

Layan Diri

Biasanya, kalau ada abahnya, dia akan mengada-ngada dengan abahnya untuk mandi, ke bilik air atau tidur. Semalam, dia tidak mahu pula tidur dengan abahnya. Hendak tidur dengan uminya juga. Saya masih ada urusan yang belum diselesaikan. Kakak awal-awal lagi sudah melabuhkan kepalanya. Mula-mula dia tidur di lantai, kemudian saya angkat ke atas sofa. Hendak dibawa ke bilik tidak mahu. Alahaiiiii... kasihan dia!

Wednesday, August 13

Disertasi

Alhamdulillah, perjalanan disertasi saya berjalan dengan lancar, walaupun tak secepat guna V-power, tapi tak le selambat kura-kura saya rasa. Petang tadi berkesempatan bertemu dengan penyelia, Alhamdulillah, segalanya berada di landasan yang betul. Data juga telah diperolehi...dan saya tidak akan pandang belakang lagi...meneruskan perjuangan ini. Hmm.. sebelum balik, beliau sempat meniupkan semangat PhD...hehehehe... tersenyum saya...insyaAllah Dr.... jika diizinkan Allah, ingin juga saya mengikut jejak langkah Dr. dan juga teman-teman yang lain.

Tuesday, August 12

Hati-Hati

Hari Ahad lepas, saya menemani mak ke pasar hari untuk membeli barang-barang basah. Singgah di satu gerai sayur-sayuran, mak telah memilih sayuran yang hendak dibeli sambil meminta tokua - orang penang - (tauhu). Sambil-sambil mak bertanyakan tokua dari mana. Hmm...terkejut saya! Dia memberitahu, ini tokua ca ya nun alif. Mak tak jadi ambil. Memang menjadi tabiat mak untuk bertanyakan asal mee/kuew teow yang dibeli kecuali di tempat yang sudah selalu dibelinya. Dalam perjalanan balik, mak berkata, mujur peniaga itu jujur memberitahu, ada juga yang tidak mahu memberitahu. Hmmm....

Ada lagi sembang-sembang saya dengan mak berkaitan dengan sajian mee di kedai-kedai. Katanya, ada juga kedai yang mengambil bahan-bahan mentah mee dan tauhu di kedai cina kerana mak pernah melihatnya sendiri. Saya menjadi semakin was-was apabila ingin menikmati mee di kedai-kedai melayu kita. Teringat-ingat cakap mak. Memang lah, kita tidak bersalah kerana kita tidak tahu, tetapi, di hati saya tetap was-was tentang itu. Saya sekadar menyampaikan dan terpulanglah kepada masing-masing untuk difikirkan. Tepuk dada tanya iman.

Monday, August 11

Malang yang tidak berbunyi...

Semalam sewaktu ke rumah emak saudara, suami terperasan suhu kereta sudah mencecah "H". Kenapa pula? Setelah diperiksa, rupanya tangki air bocor. Selama saya memandu kereta itu, ok je saya tengok tolok suhu itu. Alhamdulillah, tidak berlaku ketika saya sedang membawa anak-anak semasa pergi atau pulang dari taska/tadika. Berkat doa yang dibaca tiap-tiap hari ketika menaiki kenderaan saya yakin Allah pelihara kami anak-beranak. Mujur rumah emak saudara cuma beberapa km saja dari rumah. Sebelum pulang, diisi semula air ke dalam tangki yang bocor itu.

Hari ini, suami ke kedai spare part untuk mencari penyambung paip ke tangki yang bocor itu untuk diganti semula esok. Alhamdulillah ianya berlaku ketika suami bercuti, dapatlah dia menengok kereta itu. Memang saya akui, bab kereta, saya memang out. Ketika masih bujang dulu, abang ipar yang sentiasa menyelenggara kereta saya itu. Bila sudah berumahtangga, suami pula yang membela kereta itu. Saya? itulah perempuan kan...tahunya isi minyak dan jalan..hehehe.

Teringat dulu, sewaktu cermin hadapan kereta retak seribu ketika memandu pulang dari rumah mak ketika bulan Ramadan. Suami sudah pulang ke rumah dahulu selepas berbuka puasa. Saya dan anak-anak menyusul kemudian. Sewaktu di Sg. Dua, seketul batu? (saya tak pasti) telah menghentam cermin hadapan kereta, lantas retak seribu. Dengan tangan yang menggigil, saya terus memandu hampir ke Tol Sg. Dua. Di situ saya berhenti dan menelefon suami dengan harapan dia belum lagi ke masjid untuk berterawih. Alhamdulillah, beliau masih di rumah sedang bersiap-siap untuk ke masjid. Keesokannya, beliau yang menguruskan untuk menghantar kereta itu ke bengkel untuk diganti semula dengan cermin yang baru. Hmm... kalau saya seorang, entahlah bagaimana!

Terima kasih suamiku di atas keperihatinan ini. Saya bersyukur di atas anugerah yang Allah beri ini!

Friday, August 8

Kemalasan

Kuota gambar saya untuk album blog ini sudah hampir penuh. Untuk saya memuatkan gambar lagi, saya perlu muatkan ke satu tempat yang lain sebelum dapat saya pautkan ke sini. Aduh... bermakna 2 kerja untuk memuatkan gambar-gambar tersebut. Internet pula tidak memuaskan kebelakangan ini, lambat seperti kura-kura. Bertambah-tambah lagi kemalasan saya. Jika anda tidak dapat membaca 'bebelan' baru saya, samada saya sakit, agak sibuk atau.... malas! hehehe....yang akhir mungkin jarang-jarang sekali (saya suka muatkan cerita bergambar, lebih menarik bukan?).

Thursday, August 7

Lawatan

Semalam kakak begitu teruja untuk ke lawatan hari ini. Lawatan ke TUDM Butterworth. Tadi pagi, awal bangunnya untuk bersiap-siap. Selalu kalau dikejut, agak "liat" untuk buka mata.

Tadi sewaktu ambil kakak dan adik dari tadika/taska, seronok dia bercerita tentang lawatan tadi. Hmm... umi yang mendengar pun teruja untuk pergi ke sana! Hehehe...

Wednesday, August 6

Seronok

Kakak - Nurul Farzana akan melangkah kaki ke alam persekolahan tahun hadapan. Dia sangat teruja mendapat surat pengesahan untuk ke sekolah itu, sehinggakan hendak dibawa untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan di tadika. Saya menghalang-takut-takut hilang pula surat itu, bagaimana hendak mendaftar nanti.


Semalam ketika pulang dari tadika, saya bawakan dia ke kedai untuk diambil gambar berukuran paspot. Banyak pula soalnya. Kenapa dia banyak bertanya? Kerana selama ini, tidak pernah menjejaki kedai untuk bergambar, selalunya berposing di rumah sahaja.


Saya turut teruja untuk melihat anak dara saya berpakaian lengkap sekolah. Teringat ketika saya kecil-kecil dahulu, sehari sebelum ke sekolah, saya sudah mencuba uniform sekolah, lengkap berkasut dan berlari-lari menuju ke rumah tok (arwah) untuk menayangkan uniform baru saya. Terkenang! Sekarang ini, giliran anak saya. Hmm..alangkah cepatnya masa berlalu!

Tuesday, August 5

Al-kisah

Kenal kan Yong Tau Fu (YTF)? OK...ini cerita saya. Seumur hidup saya, memang saya TIDAK menggemari YTF ini. Hari ini dalam sejarah hidup saya...terpaksa juga makan YTF ini.

Kenapa?

Lauk pauk di cafe sudah tinggal 2,3 kerat, laksa, nasi ayam, bihun sup, semua sudah licin! Hmm... yang tinggal YTF saja. Berfikir panjang, nak makan ke tak nak makan? Kenapa saya tidak pernah makan YTF? Kerana saya sememangnya tidak makan fish ball, fish cake dan sewaktu dengannya. Hehehe. Jadi, apa yang saya ambil, Kuew Teow gulung (ala-ala laksam itu), Tauhu goreng, kulit tauhu dan apa lagi benda yang bulat (saya pakai ambil saja)...kelakar pula rasanya. Saya ambil sup, boleh tahan juga dengan adanya cili padi potong..itu saja saya rasa yang boleh menyelerakan saya untuk menikmati YTF.

Selepas ini?

Saya TIDAK teringin lagi untuk makan YTF. Ini pilihan saya..hehehe. Jangan marah bagi yang meminati YTF ye.

Monday, August 4

Dalam kesamaran

Pening kepala buat kerja dalam cahaya yang kurang cukup.


Alhamdulillah, sebahagian lampu ini masih menyala, kalau tidak, harus gelap gelita di dalam bilik ini.


Ketika ini teringat pula pada yang kurang bernasib baik, yang tidak dapat melihat warna-warni alam, bagaimana mereka hidup di dalam kegelapan. Perasaan ini juga wujud ketika berkelana di Gua Gendang dahulu, di mana keadaan di situ gelap pekat, di kiri kanan, bunyi cengkerik dan lain-lain binatang, tiada tempat untuk berpaut kecuali seluruh pergantungan kepada yang Maha Esa supaya perjalanan itu selamat ke destinasi.

Syukurlah kerana semuanya selamat!

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin