Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

Saturday, February 18

Cerita-cerita

Nyaman, ketika panas.




Tutup telinga

Ketika saya membacakan kisah nabi kepada kakak dan adik, tiba-tiba adik bersuara,

"Ummi, tengok kakak, dia tutup telinga tak mau dengar"

Saya lihat kakak menutup telinga kirinya.

Kakak menjawab,

"Ustazah kata, jangan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.  Sebab tu kakak tutup telinga kiri supaya ia tak keluar telinga kiri"

Aduh... boleh buat lawak pula kakak ni.

Ketika bercerita tentang nabi Adam (a.s), adik banyak bertanya tentang syurga.  Ketika diusir dari syurga, syaitan bersumpah yang akan menyesatkan manusia dari kanan, kiri, depan dan belakang.    Saya katakan kepada mereka, kalaulah kita boleh tengok syaitan di depan, belakang, kiri dan kanan kita,

"Eiiii, takutnya...", mereka cepat-cepat menjawab.





I Lova you Umi

Ketika bersiap-siap untuk masuk tidur, tiba-tiba adik datang kepada saya sambil tangannya dibelakang menyorokkan sesuatu.

"Ni untuk ummi...", kata adik sambil tersenyum-senyum

"Terima kasih.  Siapa suruh buat?"

"Ustazah.  Adik lukis sendiri"

"Cantik.. Ummi suka."

Adik tersenyum-senyum lagi.

"Ada kawan adik lukis gambar bunga, love"


"Adik eja love salah.  Ejaannya L.O.V.E, bukan L.O.V.A"





Keesokannya, saya lihat dia buatkan lagi kad yang lain pula, dengan kertas berwarna yang lain pula.

Thursday, December 22

Rezeki tanah dan pasir

Baru-baru ini, sebuah lori tanah (sebesar lori merah di dalam gambar itu) terjatuh ke dalam longkang besar dan meranapkan pagar rumah mak.  Muatan pasir di atas lori tertumpah ke dalam kawasan pagar.

Tauke lori syarikat pembinaan itu sudah berjanji untuk membaiki pagar dawai yang musnah dan pasir yang tertumpah dari lori itu juga di'hadiah'kan kepada mak.



Inilah yang dikatakan rezeki dari yang tidak diduga.  Kebetulan abang saya sedang berkira-kira untuk membina rumah di kawasan itu.  Pasir dan tanah sudah ada, andai diperlukan lagi, mungkin tidak banyak yang perlu dibeli.  

Sebelum ini, ketika Majlis Perbandaran mengorek longkang dalam di tepi jalan, mereka bertanya jika mak perlukan tanah itu.  Jadi, tanah itu juga diperolehi secara percuma.  


Sunday, April 24

Bisu...

Tiada anak-anak untuk ber'tekak'.  Suami...sibuk di kedai menyiapkan kerja.  Dia juga mempunyai dateline yang harus dikejar. Saya di rumah, berehat yang 'tidak' juga rehat.  Bagaimana boleh rehat, lihat itu, ini... ish... tidak boleh pula melihatnya saja.

Oklah... rehat dengan si hitam manis ok juga.

foto : en suami.  2 titik cahaya di sebelah kiri yang menjadi tandatanya

milik kakak

milik kakak dan adik...
Model kecil saya tidak ada.  Dialah yang menjadi 'jururawat' ketika saya berehat sebelum kedua kakak dan adik dihantar ke rumah tok mereka semalam.  Sunyinya...walaupun tv tetap bersuara.

Thursday, April 7

Buah Nam Nam



Nama Tempatan:Nam Nam
Nama Saintifik:Cynometra Cauliflora
Nama Lain:Pokok katak puru,amphawa, nang-ai, hima,namu-namu, kopi anjing
Famili:Ceasalpinioideae/Leguminosae

Merupakan sejenis pokok kecil nam nam merupakan antara tumbuhan yang dijadikan hiasan laman dikampung-kampung di pantai timur dan kawasan utara di malaysia.ia memerlukan kawasan yang bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur.Buahnya yang berwarna coklat dengan permukaan yang berkerutu boleh dimakan. rasanya masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak (sumber).


Pokok ini ada ditanam di kawasan rumah mak saya.  Mak meminta saya mengambil gambar buah nam nam ini setelah melihat saya mengusung kamera ke sana ke mari di sekitar kawasan rumah mak.  Kata mak, ramai yang tidak mengenali buah ini.  Layankan sajalah anak mak yang teringin menjadi 'jurufoto' yang tidak bertauliah ini.   Hehehe.

Wednesday, December 22

Ini dia...


Habis dikerutup daun-daun baru pokok limau purut saya.  Sedap agaknya.  Saya ini penggeli dengan ulat sebenarnya.  Saya biarkan saja ulat ini di dahan pokok itu... satu hari nanti, ulat ini akan berevolusi menjadi rama-rama yang cantik.  Lagipun, tidak memudaratkan (?) pokok saya kerana daun-daun lain masih ada lagi. 


Friday, August 20

Ini KERJA mereka di bulan Ramadan...

Terkejut apabila mak memberitahu rumah dimasuki pencuri di siang hari Jumaat, di bulan Ramadhan lagi pula.  Sewaktu kejadian, di dalam 9.30+ pagi, anak saudara yang berada di dalam rumah mak  terdengar orang memberi salam.  Canggih kan, hendak mencuri pun diberinya salam terlebih dahulu.  Anak saudara tidak menjawab. Mungkin disangka pencuri itu, rumah mak tidak berpenghuni ketika itu.  Kemudian anak saudara saya terdengar bunyi besi jatuh di belakang.  Dia mengintai dari celah tingkap bilik di dalam rumah.  Dia ternampak besi grill bilik telah jatuh ke bawah.  Ketika itu mak sedang menghadiri kuliah agama di K* S*.



Dia cepat-cepat menelefon maknya (kakak ipar saya) dan memberitahu ada orang menceroboh masuk ke dalam rumah.  Kakak ipar, mak saudara dan beberapa orang lain cepat-cepat datang ke rumah mak tanpa mengetahui yang pencurinya masih berada di dalam bilik.  Anak saudara saya cepat-cepat keluar melalui pintu depan.  Pintu bilik yang dimasuki pencuri ketika itu berkunci.  Ketika kakak ipar ingin menutup tingkap dari luar, tiba-tiba pencuri itu menolak tingkap dari dalam.  Kakak ipar memberitahu, pencuri itu sempat mengacukan gunting yang diambil dari atas mesin jahit mak saya untuk meloloskan diri melalui tingkap tersebut.  Secepat kilat, kakak ipar berlari.  Pencuri itu juga bertempiaran lari sambil dikejar oleh bapa saudara dan beberapa orang kampung.  Pantas benar dia berlari, menyusup antara rumah sehingga tidak terkejar.  Rupa-rupanya, kawannya sudah menanti dengan motor di jalan dalam dan mereka terlepas begitu saja.


Sempat juga pencuri itu menggeledah baju-baju di dalam almari mencari barang berharga.  Alhamdulillah, dia tidak berjaya mendapat duit atau barangan berharga, hanya mendapat sebilah gunting yang berharga RM17 sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya. 

Beginilah keadaannya.




"Reporter" kecik sedang membuat tinjauan.


kayu ini disyaki digunakan untuk mengumpil tingkap rumah

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis P*, dan mereka berjanji akan tiba selepas solat Jumaat.  Tetapi apa yang dikesalkan sehingga kini, sehingga berita ini ditulis, tiada bayang anggota 'penyiasat' yang tiba di rumah.   Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Begitu juga beberapa kes kecurian sebelum ini yang melibatkan mak saudara dan orang kampung, pun begitu juga.  Janji tinggal janji.  Apalah nasib orang-orang kampung yang mengalami musibah kecurian, sedangkan pihak berkuasa yang sepatutnya menjalankan tugas, tidak mengambil endah masalah mereka.  Maka bebaslah si pencuri untuk meluaskan wilayah mereka.  

Berhati-hatilah ketika ingin meninggalkan rumah.  Sekarang ini pencuri semakin berani kerana boleh melakukan kerja mereka di siang hari.  Bacalah doa apa-apa yang patut supaya Allah melindungi rumah dan harta benda kita.  Selebihnya, tawakkal kepada Allah.  Setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya.  Tetapi apa-apa pun, kami tetap bersyukur kerana pencuri itu tidak mendapat hasil dari 'pekerjaan' mereka dan juga tiada sesiapa di dalam rumah yang mengalami kecederaan.  Inilah kali pertama rumah itu mengalami kes pecah rumah seperti ini.  Hmm... saya pula seakan-akan terbayang kembali peristiwa di mana 2 orang hampir-hampir memasuki rumah sewa saya jam 3 pagi ketika kakak masih kecil.  Sepanjang pagi menggigil dan tidak dapat melelapkan mata.  Telinga seakan-akan terdengar bunyi yang mencurigakan.  Alhamdulillah ya Allah,  syukur kerana melindungi keluarga kami. 

Thursday, May 27

Oh kampungku...

Utusan Malaysia Online - Rencana


Mungkin ramai penduduk tempatan beranggapan program percutian homestay atau inap desa hanya untuk pelancong luar negara, walhal hakikat ini tidak benar.

Sebenarnya percutian inap desa turut membuka pintu luas kepada pelancong domestik sebagai pendedahan kepada generasi ketika ini yang lebih mengenali budaya luar berbanding kemewahan warisan masyarakat tempatan.

Baru-baru ini, penulis berpeluang merasai sendiri keasyikan dan keseronokan percutian inap desa anjuran RM Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Program itu, di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan, menyaksikan sekumpulan wakil media dan ejen pelancongan dibawa berkampung selama tiga hari dua malam di sebuah daerah yang mempunyai pelbagai produk pelancongan.

Kumpulan itu dibawa 'mengembara' dari stesen KL Sentral dengan perkhidmatan Senandung Utara ke stesen Butterworth, sebagai platform untuk menuju destinasi utama Homestay Mengkuang Titi di Pulau Pinang.
Biarpun agak letih, ketibaan kumpulan ini disambut meriah oleh pengusaha inap desa dan penduduk Kampung Mengkuang Titi dengan paluan kompang, rebana ubi, gendang silat, bunga manggar, sirih junjung dan tidak lupa juga tradisi utama, sambutan bunga telur.

Mengkuang Titi, terletak kira-kira 25km dari Butterworth dan 32km dari Georgetown, Pulau Pinang dan mula didatangi tetamu dari merata dunia apabila program inap desa diperkenal pada 1997.
Kini, sudah 13 tahun berlalu dan ia banyak membantu penduduk kampung menambah pendapatan sampingan.
Mungkin, ada seribu satu rahsia yang terselindung di sebalik keindahan kampung ini dan kunjungan wakil media ke situ berpeluang merungkai keunikannya apabila diberi kesempatan bermalam di rumah ibu dan bapa angkat masing-masing.

Sejak hari pertama tiba di Mengkuang Titi, pelbagai makanan dihidangkan - kari ikan bawal, sambal belacan, ayam goreng kampung berempah ditambah pula dengan pelbagai ulaman - membawa kepada pengalaman menyeronokkan tinggal di desa.

Kami turut dibawa melawat industri kampung seperti membuat kuih baulu, bedak sejuk, aktiviti memetik buah kelapa, kebun getah dan buah-buahan, ladang kelapa sawit dan juga mendapatkan rawatan refleksologi.
Biarpun begitu, tidak lengkap gayanya jika tidak melihat akitiviti menganyam tikar kerana ia ada kaitan dengan nama kampung ini, Mengkuang Titi.

Menurut penyelaras program Homestay Mengkuang Titi, Rohaizat Othman, kampung itu dinamakan "Mengkuang" kerana sebelum ini kawasan itu dipenuhi dengan pokok mengkuang, yang daunnya menjadi bahan asas membuat tikar.

"Mengkuang Titi dibahagikan kepada beberapa zon iaitu zon A, B dan C. Jadi, setiap zon mempunyai daya tarikan masing-masing.

"Contohnya Zon A mempunyai sebuah rumah tradisional, memang kalau pelancong luar negara terutamanya akan menginap di rumah itu. Di zon B, kita ada perusahaan sate dan ladang getah manakala zon C, ada sungai dan dusun buah-buahan," katanya.

Hari terakhir di Mengkuang Titi membawa kumpulan pelawat ke Muzium Perang yang terletak di Bukit Batu Maung, Pulau Pinang.

Bukan sahaja kagum melihat kubu bawah tanah di situ yang dibina pihak British pada 1930, dan digunakan untuk berlindung daripada serangan udara Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, malah kehadiran pengunjung disambut dengan letupan meriam seolah-olah mereka berada di medan perang.

Menurut Pengarah Muzium Johari Shafie, kubu itu juga berperanan sebagai tempat menyimpan senjata dan peluru.

Kubu itu menerima kunjungan menggalakkan sama ada pelancong luar negara mahupun tempatan dengan tahun lepas sahaja 123,600 pengunjung melawat tempat itu, katanya. - BERNAMA

Saturday, January 23

Terkejut!

Sejak kakak bersekolah sesi petang yang berakhir jam 6.30 setiap hari kecuali hari Khamis, kami sampai ke rumah menjelang maghrib (+ 1/2 jam perjalanan).  Kadang-kadang, kami singgah makan di gerai serta bersolat maghrib di masjid berhampiran sebelum balik ke rumah.


 Kemalangan yang berlaku hampir benar dengan kereta kami yang diletak di luar rumah


Semalam, ketika tiba di rumah lebih kurang jam 8 malam, terkejut melihat beberapa orang berkumpul di hadapan rumah.  Rupa-rupanya baru berlaku kemalangan yang melibatkan dua buah motosikal yang ditunggang oleh dua orang pelajar tingkatan lima.  Kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital sebelum kami sampai.  Kejadiannya hanya 1- 2 meter saja dari kereta kami yang diparking di luar rumah.  Sejurus selepas kami tiba, polis penyiasatan trafik tiba untuk memeriksa dan mengambil gambar tempat kejadian.


Adik meninjau motor yang terbalik... nak jadi ahli forensik ke adik?

Sebaik kami keluar untuk melihat kejadian itu, kakak bersuara,

"Umi, kereta kita kena tak?"

"Kakak tengok lah, kena tak..."

Dia menjenguk ke sebelah kanan kereta, tiada apa-apa.  Alhamdulillah.




keadaan motosikal setelah diangkat

Menurut jiran, kejadiannya berlaku ketika maghrib.  Penunggang dari hala yang berlawanan menunggang di laluan yang salah.  Akibatnya berlaku head on collision.  Kata mereka, seorang dari mereka terperosok di bawah motor.  Tidak dapat dibayangkan keadaannya. 

Kemudian adik pula bersuara.  "Mujur tak kena kereta kita"

Hehehe.... namanya budak-budak, bercakap mengikut apa yang hendak dikatakan.

Berhati-hatilah ketika menunggang.  Hatta di dalam taman perumahan juga boleh berlaku kemalangan jika tidak berhati-hati.  Pastikan anda menunggang dengan mempunyai lesen kerana padahnya jika berlaku kemalangan, siapa yang akan menanggung akibatnya.



LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin