Terkejut apabila mak memberitahu rumah dimasuki pencuri di siang hari Jumaat, di bulan Ramadhan lagi pula. Sewaktu kejadian, di dalam 9.30+ pagi, anak saudara yang berada di dalam rumah mak terdengar orang memberi salam. Canggih kan, hendak mencuri pun diberinya salam terlebih dahulu. Anak saudara tidak menjawab. Mungkin disangka pencuri itu, rumah mak tidak berpenghuni ketika itu. Kemudian anak saudara saya terdengar bunyi besi jatuh di belakang. Dia mengintai dari celah tingkap bilik di dalam rumah. Dia ternampak besi grill bilik telah jatuh ke bawah. Ketika itu mak sedang menghadiri kuliah agama di K* S*.
Dia cepat-cepat menelefon maknya (kakak ipar saya) dan memberitahu ada orang menceroboh masuk ke dalam rumah. Kakak ipar, mak saudara dan beberapa orang lain cepat-cepat datang ke rumah mak tanpa mengetahui yang pencurinya masih berada di dalam bilik. Anak saudara saya cepat-cepat keluar melalui pintu depan. Pintu bilik yang dimasuki pencuri ketika itu berkunci. Ketika kakak ipar ingin menutup tingkap dari luar, tiba-tiba pencuri itu menolak tingkap dari dalam. Kakak ipar memberitahu, pencuri itu sempat mengacukan gunting yang diambil dari atas mesin jahit mak saya untuk meloloskan diri melalui tingkap tersebut. Secepat kilat, kakak ipar berlari. Pencuri itu juga bertempiaran lari sambil dikejar oleh bapa saudara dan beberapa orang kampung. Pantas benar dia berlari, menyusup antara rumah sehingga tidak terkejar. Rupa-rupanya, kawannya sudah menanti dengan motor di jalan dalam dan mereka terlepas begitu saja.
Sempat juga pencuri itu menggeledah baju-baju di dalam almari mencari barang berharga. Alhamdulillah, dia tidak berjaya mendapat duit atau barangan berharga, hanya mendapat sebilah gunting yang berharga RM17 sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya.
Beginilah keadaannya.
"Reporter" kecik sedang membuat tinjauan.
kayu ini disyaki digunakan untuk mengumpil tingkap rumah
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis P*, dan mereka berjanji akan tiba selepas solat Jumaat. Tetapi apa yang dikesalkan sehingga kini, sehingga berita ini ditulis, tiada bayang anggota 'penyiasat' yang tiba di rumah. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Begitu juga beberapa kes kecurian sebelum ini yang melibatkan mak saudara dan orang kampung, pun begitu juga. Janji tinggal janji. Apalah nasib orang-orang kampung yang mengalami musibah kecurian, sedangkan pihak berkuasa yang sepatutnya menjalankan tugas, tidak mengambil endah masalah mereka. Maka bebaslah si pencuri untuk meluaskan wilayah mereka.
Berhati-hatilah ketika ingin meninggalkan rumah. Sekarang ini pencuri semakin berani kerana boleh melakukan kerja mereka di siang hari. Bacalah doa apa-apa yang patut supaya Allah melindungi rumah dan harta benda kita. Selebihnya, tawakkal kepada Allah. Setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya. Tetapi apa-apa pun, kami tetap bersyukur kerana pencuri itu tidak mendapat hasil dari 'pekerjaan' mereka dan juga tiada sesiapa di dalam rumah yang mengalami kecederaan. Inilah kali pertama rumah itu mengalami kes pecah rumah seperti ini. Hmm... saya pula seakan-akan terbayang kembali peristiwa di mana 2 orang hampir-hampir memasuki rumah sewa saya jam 3 pagi ketika kakak masih kecil. Sepanjang pagi menggigil dan tidak dapat melelapkan mata. Telinga seakan-akan terdengar bunyi yang mencurigakan. Alhamdulillah ya Allah, syukur kerana melindungi keluarga kami.
Alhamdulillah semua selamat..tapi la ni pencuri memang bijak..
ReplyDeleteAlhamdulillah ok. Esok baru polis tiba, itupun anak-anak buah telefon polis tu lagi
ReplyDelete