Thursday, May 27

Oh kampungku...

Utusan Malaysia Online - Rencana


Mungkin ramai penduduk tempatan beranggapan program percutian homestay atau inap desa hanya untuk pelancong luar negara, walhal hakikat ini tidak benar.

Sebenarnya percutian inap desa turut membuka pintu luas kepada pelancong domestik sebagai pendedahan kepada generasi ketika ini yang lebih mengenali budaya luar berbanding kemewahan warisan masyarakat tempatan.

Baru-baru ini, penulis berpeluang merasai sendiri keasyikan dan keseronokan percutian inap desa anjuran RM Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Program itu, di bawah projek Rail Tourism Kementerian Pelancongan, menyaksikan sekumpulan wakil media dan ejen pelancongan dibawa berkampung selama tiga hari dua malam di sebuah daerah yang mempunyai pelbagai produk pelancongan.

Kumpulan itu dibawa 'mengembara' dari stesen KL Sentral dengan perkhidmatan Senandung Utara ke stesen Butterworth, sebagai platform untuk menuju destinasi utama Homestay Mengkuang Titi di Pulau Pinang.
Biarpun agak letih, ketibaan kumpulan ini disambut meriah oleh pengusaha inap desa dan penduduk Kampung Mengkuang Titi dengan paluan kompang, rebana ubi, gendang silat, bunga manggar, sirih junjung dan tidak lupa juga tradisi utama, sambutan bunga telur.

Mengkuang Titi, terletak kira-kira 25km dari Butterworth dan 32km dari Georgetown, Pulau Pinang dan mula didatangi tetamu dari merata dunia apabila program inap desa diperkenal pada 1997.
Kini, sudah 13 tahun berlalu dan ia banyak membantu penduduk kampung menambah pendapatan sampingan.
Mungkin, ada seribu satu rahsia yang terselindung di sebalik keindahan kampung ini dan kunjungan wakil media ke situ berpeluang merungkai keunikannya apabila diberi kesempatan bermalam di rumah ibu dan bapa angkat masing-masing.

Sejak hari pertama tiba di Mengkuang Titi, pelbagai makanan dihidangkan - kari ikan bawal, sambal belacan, ayam goreng kampung berempah ditambah pula dengan pelbagai ulaman - membawa kepada pengalaman menyeronokkan tinggal di desa.

Kami turut dibawa melawat industri kampung seperti membuat kuih baulu, bedak sejuk, aktiviti memetik buah kelapa, kebun getah dan buah-buahan, ladang kelapa sawit dan juga mendapatkan rawatan refleksologi.
Biarpun begitu, tidak lengkap gayanya jika tidak melihat akitiviti menganyam tikar kerana ia ada kaitan dengan nama kampung ini, Mengkuang Titi.

Menurut penyelaras program Homestay Mengkuang Titi, Rohaizat Othman, kampung itu dinamakan "Mengkuang" kerana sebelum ini kawasan itu dipenuhi dengan pokok mengkuang, yang daunnya menjadi bahan asas membuat tikar.

"Mengkuang Titi dibahagikan kepada beberapa zon iaitu zon A, B dan C. Jadi, setiap zon mempunyai daya tarikan masing-masing.

"Contohnya Zon A mempunyai sebuah rumah tradisional, memang kalau pelancong luar negara terutamanya akan menginap di rumah itu. Di zon B, kita ada perusahaan sate dan ladang getah manakala zon C, ada sungai dan dusun buah-buahan," katanya.

Hari terakhir di Mengkuang Titi membawa kumpulan pelawat ke Muzium Perang yang terletak di Bukit Batu Maung, Pulau Pinang.

Bukan sahaja kagum melihat kubu bawah tanah di situ yang dibina pihak British pada 1930, dan digunakan untuk berlindung daripada serangan udara Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, malah kehadiran pengunjung disambut dengan letupan meriam seolah-olah mereka berada di medan perang.

Menurut Pengarah Muzium Johari Shafie, kubu itu juga berperanan sebagai tempat menyimpan senjata dan peluru.

Kubu itu menerima kunjungan menggalakkan sama ada pelancong luar negara mahupun tempatan dengan tahun lepas sahaja 123,600 pengunjung melawat tempat itu, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin