Saturday, January 2

Zoo Taiping

 بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Perjalanan sehari sudah memadai.  Ianya perjalanan yang tiada di dalam perancangan juga.  Ketika kunjungan  terakhir ke zoo Taiping pada Februari 2008, kami hanya melawat night safari zoo Taiping.  Tidak banyak gambar yang dapat dirakamkan ketika itu.  Banyak perubahan di bahagian pintu masuk zoo taiping selepas 7 tahun berlalu.  


Sedikit info mengenai zoo Taiping adalah ianya terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill).  Saya sentiasa teruja mengunjungi Taman Tasik Taiping yang kaya dengan kehijauannya, pohon-pohon lama yang seolah-olah menjadi pintu gerbang jalanraya.

Zoo Taiping berkeluasan 34 ekar mempunyai lebih kurang 180 spesis haiwan dan menggunakan konsep terbuka di mana ianya mengambilkira habitat asal haiwan-haiwan tersebut.

Mari kita lihat haiwan yang terdapat di zoo ini.

Oopss, kita makan dulu... :D

Popia Taiping

Katanya popia yang terkenal boleh diperolehi di Pasar Besar Taiping.  Di sinilah kami menikmati popianya.



Jom kita!
Ini namanya kancil.



Buaya jejulong (False Gharial)



Nota dari papan tanda
  • Buaya jejulong adalah buaya air tawar yang besar.  Ianya dinamakan False Gharial sebab muncungnya yang panjang lagi tirus mirip buaya Gharial yang terdapat di utara India. Buaya jejulong pula hanya ditemui di Asia Tenggara.  
  • Buaya jejulong betina bertelur sebanyak 20 - 60 butir sekali dan menetas selepas 90 hari.


Orang Utan 



Nota:
  • Orang Utan adalah antara mawas besar.  Ia satu-satunya mawas yang terdapat di Asia dan yang lain-lainnya (Bonoo, Cimpanzi dan Gorilla) ditemui di benua Afrika.  Orang Utan adalah amat cerdik. Mereka menggunakan alat ringkas di dalam aktiviti harian.  
  • Orang Utan betina mengandung selama 8 bulan dan melahirkan anak setiap 6 - 8 tahun. 

Ungka Tangan Putih (White Handed Gibbon) 

asyik menguap saja!

lain sedikit warnanya...
Nota:
  • Ungka Tangan Putih setia kepada satu pasangan.  Mereka tinggal di dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada pasangan yang telah mengawan dan anak-anak mereka.  Anak-anak ungka tinggal bersama ibu bapa mereka sehingga remaja lalu dihalau keluar dari kumpulan itu.
  • Ungka Tangan Putih mengandung selama 7 bulan dan jangka hayat mereka adalah selama 25 tahun.

Lemur Perang (Brown Lemur)



Nota:
  • Lemur Perang berinteraksi antara satu sama lain selalunya melalui komunikasi bauan dan vokal. Raut muka dan postur badan juga penting sebagai isyarat visual.  
  • Lemur perang tinggal berkumpulan yang terdiri daripada 3 hingga 12 ekor.  Membersihkan bulu antara satu sama lain adalah aktiviti sosial setiap hari.  
  • Lemur mengandung selama 120 hari.  Jangka hayat lemur adalah antara 20 - 25 tahun. 


Cimpanzi (Chimpanzee)


Nota:
  • Mereka boleh berkomunikasi dengan baik secara vokal.  Laungan untuk memberi amaran akan adanya bahaya atau adanya makanan kepada ahli-ahli kumpulan dapat didengari sejauh 3km.
  • Tempoh mengandung bagi Chimpanzi betina adalah 230 hari.  Jangka hayat Chimpanzi adalah 60 tahun.
Ikan Arapaima


yang merah itu adalah ikan arapaima - ia timbul sekejap sahaja.  Saiznya sangat besar
Saya letakkan gambar dari carian google untuk menunjukkan saiznya yang besar itu.

sumber
Nota:
  • Ikan air tawar yang terbesar di dalam sungai terbesar di dunia iaitu Sungai Amazon.
  • Penemuan fosil ikan  ini menunjukkan bahawa gergasi air tawar ini telah wujud sejak zaman Jurasik lagi.
  • Boleh mencapai 5m panjang dan berat 200kg.
  • Perlu bernafas oksigen dari udara oleh sebab pengubahsuaian organ pernafasannya yang menyerupai paru-paru. 

Buaya Tembaga



air yang tenang jangan disangka tiada buaya

Binturong



Binturong ini sedang berehat di atas dahan pokok.

Nota:
  • Binturong adalah spesis musang yang terbesar.  
  • Dalam bahasa inggeris, ia juga disebut Asian Bearcat atau Bearcat sahaja mungkin disebabkan haiwan berbulu hitam lebat ini mirip seekor beruang yang berekor panjang.
  • Jangka hayatnya 20 tahun.


Landak Raya (Malayan Porcupine)


Nota:
  • Landak Raya berkongsi lubang dengan pasangan dan anak-anaknya.
  • Tempoh mengandung adalah 110 hari.
  • Melahirkan anak 1 - 2 ekor seperinduk setahun dan boleh menghasilkan 2 seperinduk setahun.

Landak Nibong (Brush Tailed Porcupine)


Nota:
  • Landak Nibong mempunyai tubuh berbentuk panjang bak tikus yang dilitupi oleh deduri yang lebih pendek dan tidak begitu ketara berbanding Landak Raya.
  • Ia mempunyai sejambak bulu keras di hujung ekornya.
  • Tempoh mengandung 100 hari
  • Jangka hayat 23 tahun

Musang Jebat (Large Indian Civet)



Ketika kami tiba, musang ini sedang berehat.  

Nota:
  • Musang Jebat ini didapati di Asia Selatan dan Tenggara.  
  • Ia hidup bersendirian dan lebih aktif di waktu malam.
  • Walaupun ia boleh memanjat dengan tangkas, ia biasanya berada di atas tanah.  
  • Boleh melahirkan 1 - 4 ekor anak setahun.
  • Jangka hayatnya sekitar 15 - 20 tahun.

Musang Pulut (Asian Civets)


Nota:
  • Musang Pulut bersaiz kecil, berbulu kelabu hitam dan mirip seekor kucing berhidung pandang.
  • Ia paling mudah dikenali melalui 3 jalur gelap di sepanjang belakangnya dan bertopeng hitam di mukanya yang serupa seperti pada rakun.
  • Musang Pulut amat penting bagi memelihara ekosistem hutan hujan sebab ia penyebar utama biji benih buah-buahan dan beri.
  • Manusia mendapat biji-biji kopi yang telah melalui sistem penghadamannya menghasilkan kopi bermutu tinggi serta bercitarasa unik.
  • Percubaan untuk meniru proses ini masih gagal sebab itulah Kopi Luwak adalah kopi yang termahal di dunia!

Rusa Bawean (Bawean Deer)







Nota:
  • Rusa Bawean adalah rusa bersaiz kecil yang hanya boleh didapati di Pulau Bawean, sebuah pulau kecil di antara Pulau Jawa dan Pulau Bornea.  
  • Spesis ini sangat terancam oleh aktiviti pemburuan dan pembalakan kayu jati di pulau itu.  
  • Rusa Bawean aktif pada waktu subuh, senja dan malam.  
  • Ia berehat pada siang hari di dalam hutan tebal dan keluar ke kawasan hutan terbuka pada waktu senja.  
  • Tempoh mengandung antara 225 - 230 hari.  Bilangan anak seekor, kadang-kadang 2 ekor.





Burung Hantu Ketumbuk Ketampi



Nota
  • Burung Hantu Kuning atau Ketumbuk Ketampi ialah sejenis burung hantu tempatan.
  • Ia dipanggil Ketumbuk Ketampi kerana pergerakan kepalanya yang naik turun seperti melakukan ketuk ketampi
  • Habitatnya berhampiran air, paya bakau dan sawah padi kerana makanan utamanya ialah ikan dan hidupan akuatik yang lain.

Burung Hantu Bubu (Barred Eagle Owl)



Nota:
  • Burung Hantu Bubu juga seekor burung hantu tempatan. 
  • Ia makan serangga-serangga besar seperti kumbang dan belalang, dan juga tikus dan ular.
  • Oleh itu, burung hantu adalah pengawal haiwan perosak semulajadi  

Babi Hutan (Wild Pig)




Nota:
  • Bentuk tubuh Babi Hutan lebih kurus dan bulunya lebih kasar dari babi ternakan.
  • Ia memiliki gigi taring yang panjang dan sentiasa tumbuh seperti gading
  • Warna bulunya pula pelbagai, ia mungkin berwarna kelabu gelap, perang atau hitam.
  • Saiznya berbeza mengikut kawasan taburan
  • Babi Hutan lebih besar di tempat-tempat yang sejuk tetapi lebih kecil semakin hampir ke kawasan tropika
  • Ia mengandung selama 115 hari dan melahirkan 1 - 7 ekor anak
  • Jangka hayatnya adalah 25 tahun

Singa Afrika



Singa yang sedang berehat

Nota:
  1. Singa adalah satu-satunya kucing yang hidup di dalam sebuah kawanan yang besar yang boleh terdiri sebanyak 20 ekor.  
  2. Singa jantan dapat dikenali dengan mudahnya melalui bulu tebal yang tumbuh di sekeliling muka dan tengkuknya.
  3. Singa betina bukan sahaja melahirkan anak, malah membantu menjaga semua anak-anak di dalam kawanan.
  4. Mereka biasanya membiak pada masa yang lebih kurang sama dan turut menyusukan anak singa betina yang lain
  5. Tempoh mengandung singa betina 110 hari
  6. Bilangan anak adalah antara 1 - 4 ekor.

Serigala - anjing hutan (Red Dhole)



Nota:
  • Serigala hidup dalam kumpulan antara 5 - 12 ekor.  
  • Mereka berinteraksi dengan serigala lain di luar kumpulan mereka sendiri tetapi kumpulan yang asal jarang sekali melebihi 20 ekor.
  • Dholes tidak menyerang manusia malah akan melarikan diri jika ternampak manusia
  • Serigala mengandung selama 60 - 62 hari
  • Jangka hayatnya adalah 15 - 16 tahun.

Beruang Matahari (Malayan Sun Bear)



Flamingo Besar (Greater Flamingo)


Burung Bangau Kendi (Cattle Egret)





Nota:
  • Burung Bangau Kendi ialah burung bersaiz sederhana yang sering berpostur 'bongkok' sebab lehernya yang selalu terlipat walaupun ia berdiri tegak
  • Berbanding bangau-bangau lain, kakinya lebih pendek dan lehernya lebih tebal. 
  • Ia juga banyak mencari makanan di kawasan berumput daripada habitat berair


Keluang (Malayan Flying Fox)



Nota:
  • Keluang tinggal di hutan tropika, hutan sekunder dan kawasan paya.  Ia juga mendatangi ladang buah-buahan semasa mencari makanan
  • Populasi Keluang juga terdapat di pulau-pulau di tengah lautan
  • Pada siang hari, kumpulan Keluang akan bertenggek di atas pohon-pohon besar
  • Dahan bertenggek yang telah digunakan selama bertahun-tahun menjadi licin dan tertanggal kulit kayu dan daunnya oleh sebab kukunya yang tajam
  • Tempoh mengandung 140 - 192 hari.  Kebiasannya 1 ekor anak setiap keluang betina

Zirafah (Giraffe)





Rusa (Deer)




Makaw Sayap Hijau (Green Winged Macaw)


Nota:
  • Makaw Sayap Hijau di dapati di hutan-hutan tropika Amerika Tengah dan Selatan.
  • Ia merupakan spesis Macaw yang kedua terbesar selepas Makaw Hyacinth.  Ia boleh membesar sehingga 100cm panjang dari kepala ke hujung ekor, 1.2 - 1.7kg berat dan ukur sayap 125cm lebar.
  • Makaw biasanya memiliki pasangan seumur hidup
  • Sarang Makaw selalunya di buat di dalam lubang pokok-pokok yang tinggi
  • Kedua jantina menjaga anak-anak mereka selama 90 - 100 hari selepas penetasan


Harimau (Malayan Tiger)


Harimau sedang berehat

Nota:
  • Harimau adalah spesis terbesar di dalam keluarga kucing.  Ianya adalah antara empat spesis kucing besar (Harimau, Singa, Jaguar dan Harimau Bintang)
  • Harimau ini boleh didapati di bahagian timur dan selatan Asia

Ayam Pegar (Crested Firebird Pheasant)



Harapkan Pegar, Pegar makan pagi... inilah dia ayam Pegar yang dimaksudkan di dalam peribahasa ini.

Nota:
  • Ayam Pegar ialah sejenis kuang yang bersaiz sederhana, berukuran sehingga 70cm panjang yang didapati di Malaysia, Sumatera, Bornea dan Negara Thai.
  • Muka Ayam Pegar jantan yang biru terang amat ketara, begitu juga bulunya yang biru pekat serta jambul hitam yang lebat dan segak.  Bulu ekornya di bahagian tengah yang berwarna kuning pula menambahkan kecantikan burung ini
  • Nama inggerisnya "Fireback" adalah kerana bulu merah tua pada belakangnya yang kelihatan seperti api bernyala.

Harimau Kumbang (Black Panther)


Sedang berehat juga....

Nota:
  • Harimau Kumbang yang berwarna hitam ini adalah antara kelainan warna melanistik bagi spesis Harimau Bintang.  Melanisme di dalam Harimau Bintang berlaku disebabkan oleh gen yang resesif.  Jika diperhatikan dari dekat, kulit kucing hitam masih ada bintik-bintik seperti yang terdapat pada Harimau Bintang, tetapi tersembunyi oleh pigmen melanin hitam berlebihan seperti pada sutera yang dicetak.  
  • Jangka hayatnya adalah 21 tahun

Napuh (Greater Mouse Deer)


Perbanding keluarga Rusa di Malaysia

Nota:
  • Napuh betina mempunyai potensi untuk hamil sepanjang hayat dewasanya.  Malah, hanya 1.5 - 3 jam selepas bersalin, ia boleh mengandung semula
  • Anaknya dilahirkan cukup sifat dan boleh berdiri dalam masa 1/2 jam selepas dilahirkan.  Ibu Napuh menyusu anaknya sambil berdiri di atas tiga kaki

Kanggaroo





Di bahagian Fauna Australia ini, pengunjung boleh merasai pengalaman memberi makan kepada kanggaroo.  Daun-daun disediakan di luar pagar untuk pengunjung.

Angsa Putih (Mute Swan)


Nota:
  • Menghasilkan 4 - 6 biji telur sekali bertelur
  • Tempoh pengeraman 35 - 40 hari
  • Jangka hayat 40 tahun
Seladang (Gaur)


Nota: 
  • Seladang adalah spesis lembu liar yang terdapat di Asia Selatan dan Asia Tenggara
  • Seladang adalah yang terkuat dan terberat di kalangan semua lembu liar dan antara haiwan darat yang paling besar.  Hanya gajah, badak sumbu dan badak air adalah lebih besar.
  • Badan seladang yang terbesar sama berat dengan seekor zirafah iaitu lebih kurang 1500kg.  
  • Seladang jantan yang dewasa mempunyai badan yang yang berotot besar, bonjol tulang belakang yang tinggi dan daging dada yang besar membuatkan ia tampak sangat gagah
  • Tempoh mengandung seladang betina adalah 275 hari.  Bilangan anak yang dilahirkan adalah seekor, kadangkala 2 ekor.
  • Jangka hayat seladang adalah 25 tahun.

Badak Sumbu Putih (White Rhinoceros)




Gajah





Akak payung satu video tarian...





Burung Kakak Tua (Parrot)


kacau je tengah makan :D

Di perkarangan pintu masuk ada kedai-kedai cenderamata serta gerai makanan dan minuman.  


Tips perjalanan :
  1. Bayaran masuk : Dewasa - RM16(RM17 dengan GST), Kanak-kanak - RM8 (RM8.50 dengan GST).  
  2. Mini train disediakan jika tidak ingin berjalan mengelilingi kawasan zoo
  3. Sediakan minuman dan snek ringan kerana perjalanan mengelilingi zoo adalah memenatkan.
  4. Sediakan payung/baju hujan.  
  5. Lawatan kami tempohari adalah pada waktu petang dan kebanyakan haiwan (kucing, harimau, singa, musang, memerang) sedang berehat di dalam sarang mereka.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin