بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته
سبحان الله tidak jemu melihat binaan Masjid di sekitar Istanbul yang rekabentuknya sama di mana-mana sahaja tidak seperti di Malaysia yang memiliki pelbagai ciri rekabentuk mengikut lokasi. Antara yang terkenal dan menjadi tarikan pelancong adalah Masjid Biru (Blue Mosque atau nama Turkinya Sultan Ahmet Camii - sebutan: Jami). Apa yang saya faham, di dalam bahasa Turki, Camii adalah masjid dan Mescit (sebutan Masjid) adalah surau seperti yang tertera di lapangan terbang antarabangsa Ataturk ini :)
Sultan Ahmet Camii
Masjid Biru yang sudah berusia hampir 400 tahun yang dibina ketika zaman pemerintahan Sultan Ahmed I ini masih utuh dan kukuh dan masih digunakan untuk bersolat lima waktu.
dataran masjid |
Mimbar |
Ukiran pada kubah tengah |
Tidak banyak yang dapat saya katakan tentang reka bentuk dalaman masjid ini kerana saya tidak dapat memasuki ruang ini.
Eyüp Sultan Camii
Masjid Eyüp terletak di daerah Eyüp di luar tembok Constantinople, berhampiran Golden Horn di bahagian Eropah. Ianya adalah masjid yang pertama dibina oleh orang Turki Uthmaniyyah selepas penaklukan Constantinople lebih 500 tahun lalu. Di masjid ini terletaknya makam sahabat Rasulullah ﷺ, Abu Ayyub Al-Ansari yang bercita-cita ingin menakluk kota Constantinople selepas mendengar sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud “Kota Constantinople akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” Disebabkan faktor umur tua dan kesihatan yang tidak mengizinkan, Abu Ayyub akhirnya berwasiat agar dikuburkan di bawah tembok kota tersebut kerana ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah dinyatakan oleh baginda Rasul.
Kami menaiki feri dari Eminonu ke Eyüp dan berjalan kaki untuk sampai ke masjid ini. Suasana agak berlainan dengan persekitaran masjid ini dibandingkan dengan Masjid Biru. Di persekitaran masjid ini, lebih ramai wanita menutup aurat. Di sepanjang jalan untuk ke masjid terdapat gerai-gerai jualan seperti bazaar yang menjual pelbagai cenderahati, baju, jubah, tudung, selendang dan wangian. Sesekali hidung menghidu aroma mawar segar yang terkenal di sini ketika melintasi gerai-gerai yang menjual wangian.
Berwuduk bagi wanita perlu dilakukan di dalam tandas di luar masjid yang dilabel dengan WC dengan bayaran 1TL. Di perkarangan masjid inilah terletaknya makam Abu Ayyub Al-Ansari. Mendekati makam sahabat Rasul ini, hati menjadi sebak mengenangkan seseorang yang sangat rapat dengan Rasulullah ﷺ serta perjuangannya ingin membebaskan kota Constantinople ketika itu.
makam Abu Ayyub Al-Ansari |
Ada yang membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan ada yang berdoa di sini.
kanak-kanak lelaki berpakaian seperti sultan |
Ketika berada di situ, kelihatan beberapa orang kanak-kanak lelaki yang berpakaian seperti raja/sultan. Melalui pembacaan, rupa-rupanya anak-anak ini akan melalui proses berkhatan dan mereka dibawa bersolat di masjid ini sebelum dikhatankan.
pohon besar bersebelahan makam Abu Ayyub Al-Ansari yang masih berdiri sejak penemuan makamnya |
Terdapat juga duit syiling yang dilemparkan ke dalam kawasan berpagar pokok itu. Hmm....
Di persekitaran masjid ini terdapat banyak kubur di mana antara salah satunya menempatkan jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Ammar yang menghidupkan banyak jiwa selepas kematiannya.
Lokasi masjid ini berhampiran dengan Pierre Loti yang terletak di atas bukit yang boleh dinaiki menggunakan kereta kabel atau berjalan kaki.
- bersambung -
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?