Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.
Kata Al-Fadzil Ustaz Fadli Yusof, seorang mubaligh yang giat berdakwah di pedalaman Sabah, "Berjuanglah untuk dapat taqwa, yakni berusaha buang perangai jahat seperti sombong, dengki, bakhil, tamak dan lain-lain. Walaupun kerjanya berat, ia perlu ditempuh, inilah perjuangan awal.".
Atas perjuangan inilah, setiap kali kami sekeluarga cuba menyelitkan diri di dalam keterbatasan waktu untuk mengikuti Jalan-jalan Masuk Kampung (JJMK) anjuran NGO WARGAKILANG (WK) ini. Kami 'tamakkan' pahala dan ehsanNya kerana inilah satu-satunya sumber matawang di akhiran kelak di saat RM, USD$$, Euro$$ dllnya tiada nilaiannya di sisi Allah. Dengan RM sekarang inilah dapat membuat tabungan untuk di Sana nanti. Walaupun tidak mewah dengan harta untuk memberi, cukuplah sekadar 'menumpang' barangan sumbangan yang dikirimkan oleh dermawan-dermawan di belakang tabir yang tidak dikenali dengan membawa sumbangan mereka ke merata ceruk kampung meredah beratus-ratus malah beribu-ribu kilometer untuk tiba ke destinasi. Kata-kata ini, "kalau tak bawa (barang), tak sampai juga juga kat (pada) kami" masih terngiang-ngiang di telinga ini. Ya, jika tiada siapa yang membawa ke kumpulan sasaran, tiada gunanya sumbangan menggunung yang ada. Menghulurkan RM adalah mudah, tetapi untuk meluangkan masa, memerah keringat untuk membawanya adalah satu usaha yang tidak kurang penatnya. Mudah-mudahan ada bahagiannya untuk kami ini, InshaaAllah.
perjalanan kami (lebih kurang) kerana laluan sebenarnya adalah sedikit berlainan dari yang ditanda oleh Google Map |
almarhum berjaket putih |
Perjalanan kami menyelusuri perjalanan saujana mata memandang dengan kehijauan alam berbukit-bukau seperti roller coaster. Subhanallah, sangat mengujakan kami. Keindahan alam yang jarang-jarang dinikmati jika tidak mengembara keluar dari kepompong tempat sendiri. Inilah kali pertama menjejakkan kaki di Jerantut, pertama kali melalui Ringlet - Sg. Koyan - Kuala Lipis - Jerantut! :D Saya sangat teruja dengan trip ini kerana pada asalnya perlu ke Jerantut untuk ke stesen meteorologi bersama penyelia yang dirancang pada bulan Jun yang kemudiannya ditunda ke Oktober yang tidak menjadi itu. Allah telah merencanakan sesuatu untuk ke Jerantut atas 'tugasan' yang lebih istimewa Alhamdulillah. Rezeki yang tidak disangka-sangka juga untuk perjalanan ini adalah rahmat dari Allah swt. Ianya menjadi trip yang mempunyai keistimewaan tersendiri secara peribadi.
Hotel Firdaus, hotel bajet dengan hanya RM90/semalam untuk 2 katil Queen. Jika tidak silap, 2 katil single dengan harga RM50 serta single RM35. Sangat berpatutan untuk penginapan bajet yang agak selesa.
Pertemuan bersama peserta lain ditetapkan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah. Sebagaimana kebiasaan, perjalanan konvoi 15 kereta ini didahului dengan bacaan doa, kali ini doa yang mendayu yang menusuk hati oleh saudara Sharuzi dari KL yang turut memanjatkan doa buat saudara wk kami yang telah mendahului kami :(
Misi kali ini menyantuni golongan penoreh getah di Kg Damak (40 penerima), Kg Lada (40 penerima), Kg Aur Gading (47 penerima) dan Kg Chegar Perah (33 penerima). Kisah yang sama dihidangkan kepada kami biarpun lokasi mereka berbeza. Rata-rata terjejas dengan kemerosotan harga getah serta cuaca yang tidak menentu untuk meneruskan pekerjaan demi kelangsungan hidup. Terputus bekalan beras adalah biasa, nasi berlaukkan garam adalah lumrah buat mereka :( Perkara yang lumrah bagi mereka adalah sesuatu yang tidak biasa bagi kita....maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan...
Center 1 : Kg Damak - 40 penerima |
center 2 : Kg Lada - 40 keluarga |
Harap ada rahmatnya buat penerima dan pemberi sumbangan |
Center 3 : Kg Aur Gading - 47 penerima |
Center 4 : Kg Chegar Perah - 33 penerima |
Melihat anak-anak ini berebut-rebut menyusun barangan tanpa disuruh atau diarahkan menjadikan hati sedikit lega. Mudah-mudahan di jiwa mereka meresap semangat untuk memberikan manfaat buat manusia lain di kemudian hari.
Laporan akhbar terkini bahawa sardin bukan lagi makanan orang miskin ada kebenarannya. Bagaimana mahu membeli setin yang berharga RM6 jika sekampit gula RM2.80 pun mereka tidak mampu beli! :(
Demikianlah kisah perjuangan yang belum selesai... selagi adanya si miskin, maka tugas si kaya untuk memberi kepada golongan ini. Selamat berjuang wahai sahabat!
No comments:
Post a Comment
Apa kata anda?