Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Friday, August 3

Puasa adik...

hampir-hampir bocor puasanya hari itu...kerana dahaga.  Dia sudah memegang botol itu seawal jam 6 petang!


Adik sudah mula berjinak-jinak dengan puasa ketika di usia 5 dan 6 tahun.  Dahulu, dia berpuasa setakat termampu.  Sahur adik adalah sebelum ke tadika.  Kadang-kadang apabila dia terjaga ketika bersahur, dia akan bersahur bersama.  Puasanya selalu bertahan sehingga jam 5 - 5.30 ketika saya mengambilnya di tadika.  Kenapa begitu?  Di tadikanya, cikgu ada menyediakan makanan bagi anak-anak yang tidak berpuasa, tetapi adik malu katanya ingin makan kerana bulan puasa.

Sehingga hari ini, adik yang sudah berusia 7 tahun, tidak lagi meninggalkan puasanya.  Alhamdulillah.  Sebelum bermulanya Ramadhan, kami sudah memberitahu adik tentang puasa dan dia ingin berpuasa penuh katanya.  Kami bimbang dengan adik, kerana adik seorang yang gemar makan, mampukah dia berpuasa menahan makan dan minum untuk tempoh yang panjang.  

Hari pertama dan kedua di rumah, dia merengek lapar.  Setelah diberi galakan dan motivasi serta memuji-muji bahawa dia kuat untuk berpuasa, dapat juga bertahan sehingga tiba waktu maghrib.  Seperkara lagi yang membuatkan adik leka, saya biarkan dia bermain games di tablet saya sebagaimana saranan di dalam hadith ini:

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Petikan di sini).

Ada juga suara-suara yang berkata, anak-anak diajar berpuasa, tetapi tidak kisahkan tentang solat mereka.  Ya... solat mereka juga dijaga supaya dapat ditunaikan seiring dengan ibadah yang lain.  Mereka juga sudah dilatih bersolat sebelum umur mencecah angka tujuh.

Kisah puasa lagi di sini dan sini.

Friday, September 2

Pra Raya 2

Hari terakhir berpuasa, kami dapat berbuka pula dengan keluarga mertua saya.  Seluruh ipar-duai dan anak cucu berkumpul untuk berbuka kali terakhir untuk Ramadhan ini.  Entah akan bertemu lagikah Ramadhan akan datang pun tidak pasti.    




budak yang membantu

suami dan adik-adik ipar


pak lang melayan anak-anak buah bermain bunga api


Anak-anak yang  teruja untuk menyambut raya.

Pra-Raya 1

Sehari sebelum balik ke Alor Setar, kami berbuka beramai-ramai di rumah mak.  Cornflakes madu terpaksa diulang adun kerana dua adunan pertama sudah hampir separuh dihabiskan.  Riuh-rendah dengan pelbagai tugasan yang telah diagihkan kepada setiap orang dari kecil ke besar.



di luar, bakar sate dan BBQ



well done!

Saya dapat rasakan mak begitu seronok kerana semua anak menantu dan cucu dapat berkumpul bersama untuk berbuka.  InsyaAllah, diharap hubungan adik-beradik ini akan terus diRahmatiNya dengan kasih-sayang. 

Sunday, August 21

JJMK - 1

Jalan-jalan Masuk Kampung 20 Ramadhan 1432H bersamaan dengan 20 Ogos 2011.

Alhamdulillah dan tahniah sekali lagi kepada pasukan Wargakilang.com yang diketuai oleh tuan Monier Mat Din dari Fuji Electric kerana berjaya menganjurkan lagi NGO jalan-jalan masuk kampung.  Usaha mereka untuk memberikan sedikit keceriaan kepada warga miskin berlangsung sepanjang tahun dan selalunya kembara ramadhan merupakan acara terbesar mereka yang turut disertai oleh individu dan juga organisasi lain.

Untuk penganjuran kali ini, lebih kurang 40 buah kereta turut serta di dalam konvoi yang meliputi daerah Sik.   Para peserta terdiri dari pelbagai wargakilang, rukun tetangga dari Mergong, individu dari Perlis, individu dari surau Bertam Perdana, serta kelab Pensyarah, UiTM Pulau Pinang.

mentari pagi yang mengiringi perjalanan kami

Alhamdulillah, saya cuba menjadikan aktiviti kemasyarakatan ini sebagai aktiviti keluarga.  Saya ingin mendidik anak-anak supaya menghargai kehidupan yang mereka ada dengan melihat sendiri mereka yang lebih daif dan serba tidak berkemampuan. 

check point pertama, persimpangan IKS, Jeniang

Jam 8.15pg kami tiba di check point pertama ini.  Peserta-peserta konvoi kemudiannya bergerak untuk ke check point kedua, Masjid Lubok Merbau untuk sesi penerangan ringkas serta pengumpulan dan pengagihan barang sumbangan.  

deretan konvoi

Di perkarangan Masjid Lubok Merbau, segala barang sumbangan dipindahkan ke kereta/pick-up yang telah ditentukan untuk memudahkan pengagihan kepada rumah peserta sumbangan yang berjumlah 40 keluarga kesemuanya.




penerangan ringkas serta doa selamat

Jam 9.30pg, selesai bacaan doa oleh Tuan Haji dari Naza Group, kami bergerak ke destinasi sumbangan yang pertama.



Semoga Allah memberkati perjalanan kami ini.



Monday, August 8

Segar dari dapur...

Cuti-cuti begini adalah masanya untuk melayan 'perut' anak-anak dengan masakan sendiri.  Ramadhan ke-6 berpeluang berbuka bersama mak.  Alhamdulillah, seronok berbuka beramai-ramai bersama anak-anak saudara sekali.  Cuma masih tidak cukup lengkap kerana abang/kakak ipar dan kakak/abang ipar tidak bersama.  InsyaAllah, harap-harapnya di satu hari Ramadhan ini mungkin dapat berbuka bersama seperti tahun-tahun dulu. 

Orang yang paling sibuk, orang yang tidak berpuasa, si adik!

Ramadhan ke-7, ala-ala western.  Saya masakkan spagetti yang juga menjadi kegemaran anak-anak.  Teringat kembali kenangan hari keluarga di Pangkor tempohari, adik dan kakak menghabiskan 3 pinggan spagetti sahaja.  Lega rasanya apabila masakan sendiri menjadi kesukaan anak-anak.  Inilah kepuasan seorang ibu apabila memasak.  Begitu juga yang dirasa oleh mak saya apabila anak-anaknya pulang.  Sanggup untuk masakkan makanan kegemaran anak-anak.


 Ada lebihan sagu yang saya gunakan untuk memasak pengat pisang dahulu, dan ini percubaan pertama memasak sagu gula melaka.   Senang sangat.  Memandangkan anak-anak juga suka, bolehlah dibuat lagi.

Alhamdulillah.

Wednesday, August 3

Dua hari...

Dua hari cuba mendapatkan juadah berbuka dari pasar ramadhan sangat memeritkan!

Pertama, dengan permintaan dari anak-anak yang berkehendakkan itu ini...

Kedua, dengan ramai orangnya.

Ketiga, dengan harga juadah itu sendiri.  Sebungkus kecil tepung pelita, 50sen, roti john RM2.80, itu belum ikan siakap kecil bakar RM17!  Kejutan budaya agaknya saya ataupun kerana sudah lama saya tidak mengunjungi pasar malam?

Saya tidak salahkan penjual.  

Kesimpulannya, saya minta suami belikan lauk saja.  Mudah.  Saya cuma perlu masakkan nasi apabila balik ke rumah kerana itu saja yang sempat dimasak dengan waktu tiba di rumah.  Suami berbuka di masjid saja.  

Tuesday, August 2

Keterujaan pertama Ramadhan

Keterujaan menyambut ramadhan bermula beberapa hari sebelum lagi.  Adik sentiasa melagukan niat berpuasa hampir setiap jam.  Persiapan syawal disiapkan seawal mungkin supaya tidak mengganggu tumpuan di bulan Ramadhan.



Selesai pengumuman tarikh permulaan puasa, lampu warna-warni dipasang sebagai meraikan ketibaannya bulan umat Muhammad ini.  Manakan tidak bulan kegembiraan, bulan di mana segala amal ibadahnya dilipat-gandakan pahala bagi yang mengerjakannya.  Dan juga, keistimewaan solat yang hanya boleh dilakukan di bulan ini saja - tarawih, serta, keistimewaan satu malam di mana jika beribadat menyamai 1000 bulan (83 tahun).  Tidakkah istimewanya Ramadhan ini.  



Rejab, Sy'aban dan Ramadhan adalah gandingan bulan yang mulia. Rejab dikatakan bulan milik Allah, Sya'ban milik Nabi Muhammad dan Ramadhan bulan bagi umat Muhammad. Ini bermakna bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini adalah bulan paling istimewa bagi kita umat Nabi Muhammad. Oleh sebab itu gembira menyambut ketibaan Ramadhan sahaja (belum berpuasa lagi) Allah mengharamkan kita dari api neraka. (sumber)


Yang Bermaksud:  Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda : Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini). ( HR. Ahmad ) - sumber


Malam ketika bertarawih di rumah, kakak dan adik juga turut serta.  Ketika selesai rakaat yang ke-4, adik sudah tidak tahan berdiri.  Saya biarkan saja dia untuk bersolat duduk.  Selesai setiap dua rakaat, dia akan bertanya, berapa rakaat lagi yang perlu dibuat, sehinggalah ke penutupnya witir.  

Di dalam kereta ke sekolah, saya berpesan kepada adik, jika tidak tahan, makanlah.  Adik masih kecil lagi, tetapi, harus juga belajar berpuasa, tetapi dia memberitahu dia ingin berbuka di rumah setelah azan berbunyi (maghrib).  

Ketika menjemputnya di sekolah petang itu, adik memberitahu, dia 'terminum' air di sekolah.  Saya katakan, jika 'ter'minum, tidak mengapa.  Jangan sengaja pula buat-buat minum.

"Ummi, jika kita saja-saja jolok dalam mulut bagi muntah, batal puasa", adik beritahu saya.

"O ya ka?  Mana adik tahu?"

"Cikgu beritahu kat sekolah tadi."

"Betullah tu.  Jika saja-saja muntah, batal.  Jika tidak sengaja, tak mengapalah."

Kakak pula relaks saja.  Dia sudah beberapa tahun berpuasa penuh.  Kakak bercerita, "jika rasa lapar, kakak kata, kenyang, kenyang"... hehehe... agaknya berhasil untuknya.  Jadi, dia terasa bertenaga saja, katanya.

Saya sengaja bertanya, "Tahu tak siapa yang paling-paling-paling gembira bila raya?"

"Syaitan!", jawab kakak...

"Kenapa pula syaitan?"

"Iyalah, masa bulan puasa, syaitan kena rantai, bila dah habis, syaitan terlepas balik.", jawab kakak sungguh-sungguh.

"Jadinya, jika siapa terlebih gembira menyambut raya, walaupun dia tidak berpuasa, nampaknya dia kawan syaitan lah kan?"

"Betullah ummi...  Raya untuk orang berpuasa saja kan.  Kalau adik tak puasa, adik tak boleh rayalah", kata kakak lagi.

"Adik nak puasa......."

Sesudah dibelikan jeli kelapa yang diminta, adik sudah merengek keletihan.  Hmm... nampaknya, dia  tidak tahan godaan jeli kelapa itu.  Sayangnya, jam sudah menunjukkan ke angka 6.  Akhirnya adik sudah berbuka hanya 1.5 jam sebelum waktu azan berbunyi.  Sampai di rumah, dia menghabiskan bubur lambuk/kanji yang diambil di masjid.

Saturday, July 30

Pra Puasa

Beberapa hari ini, adik asyik menyanyikan lagu niat berpuasa yang didendangkan oleh Raihan.  Nampaknya dia sangat teruja untuk berpuasa.  Hari-hari bertanyakan bilakah akan mula berpuasa.  Ketika dia berusia 5 tahun, dia hanya berpuasa separuh hari.  Ada ketika sudah tiba ke waktu petang jam 3 atau 4.  Kasihan melihat dia kehausan.  Itupun saya biarkan adik 'bersahur' pada jam 7 pagi.  Hehehe.  Kadang-kadang dia juga bangun untuk bersahur bersama-sama.




Ketika balik dari sekolah, ketika melalui kawasan kampus, kakak ternampak kain rentang buffet berbuka puasa.

"Ummi, tu ada buffet RM12 untuk orang dewasa, RM9 untuk budak-budak".  Saya sendiri pun tidak mengambil pusing tentang buffet ramadhan yang ditawarkan di mana-mana.

"Kakak, dengan RM12 itu, kita boleh beli lauk untuk makan 4 orang.  Berbuka bukan larat nak makan banyak-banyak.  Tidak tepat juga lah maksud berpuasa untuk merasa kesusahan orang miskin."

"Ummi, orang miskin ada yang tak bersahur pun kan?", sampuk kakak

"Bukan bersahur saja, mungkin berbuka pun tak ada makanan.  Sedangkan kita beli bermacam-macam makanan, tidak habis, buang.  Kan membazir namanya"
Dulu, ketika syarikat lama saya mendapat undangan berbuka di hotel-hotel, kami yang  bujangan inilah terpaksa memenuhi undangan tersebut.  Kakak-kakak senior yang sudah berkeluarga sentiasa menolak.  Terpaksalah kami ini berkorban (kerana bujang) untuk memenuhi undangan walaupun tanpa kerelaan.  Alahai, berapa banyak sangatlah makanan dari berbaris-baris hidangan yang dapat masuk ke perut selepas seharian berpuasa.  Tidak padan dengan harganya RM40-50++ seorang!  Dan mulalah menjadi berat untuk bangun bersolat maghrib kerana kekenyangan.  Saya lebih suka (ketika itu) berbuka bersama teman-teman serumah dengan sejenis menu, jika ada pun, bertukar-tukar dengan rakan-rakan sebilik, terasa ukhuwahnya di situ.  Selalunya teman serumah yang bekerja separuh hari itu akan masakkan lauk beserta sayur kerana hobinya suka memasak!  Untung kami.... Kenangan bersama Yati, K.Maznah dan Allahyarhamah Noriah sentiasa kekal di ingatan.  

Kini, ramadhan bakal menjelma lagi.  Akan bertemu lagikah ramadhan akan datang?  

Ketika mengakhiri kelas semalam, saya sempat bersuara kepada anak-anak murid,

"Hidupkanlah ramadhan seolah-olah ini adalah ramadhan terakhir kita"

"Puan, jangan cakap begitu..."

"Kita pastikah yang kita akan bertemu dengan ramadhan tahun depan?", mereka menggeleng sambil tersenyum.

Semoga titipan yang sedikit itu meresap ke dalam hati saya dan juga mereka.  InsyaAllah.

Friday, August 21

Salam Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Saya ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf seandainya ada bait-bait penulisan, perbuatan dan perkataan ada menyinggung mana-mana pihak. Semoga kita beroleh Rahmat, Barakah dan Keampunan dariNya. Amin.

Rabbani (Asri Ibrahim / Sharifah Maisarah Syed Jamaluddin)

Hikmah Ramadan

Alhamdulillah... Alhamdulillah
Ramadan kini tiba lagi
Alhamdulillah... Alhamdulillah
Syukur pada Yang Esa

Bulan Ramadan tiba lagi
Membawa hikmah dan pengajaran
MEndidik jiwa orang bertakwa
Menginsafkan diri siapa kita

Jagalah adab di bulan ini
Berbukalah dengan sezeki yang halal
Sediakan juadah yang berpatutan
Elakkan diri dari pemmbaziran

Berbagai hikmah dan baraqah
Terkandung di dalam bulan Ramadan
Dikurniakan juga Lailatulqadar
Malam terpilih sepuluh malam terakhir

Puasa bukan hanya berlapar
Tapi ia jalan menuju ketakwaan
Ibadat dibina dari hati maknawi
Redha lagi pasrah penuh kehambaan

Alhamdulillah... Alhamdulillah
Syukur pada Yang Esa

Sunday, August 31

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Ahlan wa sahlan Ramadhan al-Mubarak.

Hayatilah petikan ini yang saya perolehi dari email. Moga kita dapat bermuhasabah tentang diri kita sempena kedatangan Ramadhan ini.

ANDAI INI YANG TERAKHIR


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat
yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ..lorong-lorong ridha Ar- Rahman


Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat
ku

jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati
ku
menyeru ke jalan menuju r
edha serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan
ku di sana nanti

Namun teman...

tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA

"MARHABAN YAA RAMADHAN "

Ampun dan maaf di minta sekiranya ada kesalahan yang dilakukan…..

Semoga keberkatan Ibadah Ramadan bersama kita hingga ke akhirnya ….

Amin….

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin