Monday, December 16

JJMS

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum wbt.


Perjalanan masuk kampung untuk menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan ke daerah Selama - Ijok, Perak 8 Disember lalu  menempuh perjalanan pelbagai pemandangan - dari laluan sebesar-besar jalanraya hinggalah ke sekecil-kecil denai di pinggir hutan. 


Ianya membangkitkan kembali nostalgia bagi anak-anak desa yang membesar di dalam suasana yang serba sederhana.  Erti hidup pada yang memberi, rezeki dikongsi bukan sekadar untuk diri sendiri.  Setiap rezeki, ada hak orang lain yang perlu dipenuhi. Setiap senyuman, tangisan terharu menjadikan ianya pemangkin kepada saya untuk turut serta lagi di lain waktu.  Tidak semua dilahirkan di dalam keluarga yang mampu menyediakan segala-galanya, ianya hikmah yang hanya Dia mengetahuiNya.  




Medan kerja amal ini tidak mengira latar belakang, pangkat, jawatan serta pendidikan, semuanya berkumpul atas niat sukarela untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan.  Sama-sama berganding bahu mengangkat bebanan tanpa perlu arahan.


  

:-bd untuk marshall yang membantu kelancaran lalulintas konvoi.  

Setiap kali JJMK, wajah terharu, senyuman yang terukir di wajah penerima sumbangan pasti terpahat di ingatan para peserta konvoi.  Inilah 'penawar' bagi kepenatan berkonvoi di penghujung hari!



Mudah-mudahan dengan sumbangan dari pelbagai agensi ini dapat mengurangkan sedikit bebanan buat keluarga-keluarga ini untuk menyediakan kelengkapan dan peralatan persekolahan menjelang pembukaan penggal baru persekolahan 2014.



Generasi pelapis inilah diharapkan dapat meneruskan legasi semangat kesukarelawanan di kalangan generasi akan datang.



Biarpun serba kekurangan, mereka gigih mencari rezeki sesuap nasi tanpa mengharap simpati dari orang.

 Abang Nan OKU yang membuka bengkel motosikal di kampung Masjid

Dalam serba kekurangan, anak-anak dari Pak Sahak ini cemerlang di dalam akademik mereka.  Dua antara anak-anaknya berada di Jordan dan Mesir sedang melanjutkan pelajaran di sana tanpa biasiswa! Bagaimana mereka dapat ke sana di dalam keadaan serba kekurangan, sesungguhnya Allah datangkan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka untuk mereka.  

Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 
"Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". - At-Talaq : 2-3.



Adik ini tidak berenggang dengan beg baru yang diberikan.  Sehingga kami melangkah pergi, dia masih dengan beg panda ini.  Mudah-mudahan anak-anak ini dapat membebaskan keluarga mereka dari belenggu kemiskinan di masa akan datang.


Realiti kemiskinan yang masih wujud di abad ke-21 ini menjelang negara maju 2020.  


Di penghujung perjalanan, ini yang menanti kami...kicauan unggas dan deruan air yang tidak berhenti-henti, tenang dan damai dapat melupakan sekejap akan keletihan sepanjang hari.



Alhamdulillah masih diberi kesempatan umur, kesihatan dan masa untuk mengikuti program ngo wargakilang ini. 

Nikmat yang dikongsi, kepuasan tidak terperi, mudah-mudahan ianya menjadi perisai dari maraknya api, di akhirat nanti... InshaaAllah.

No comments:

Post a Comment

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin