Saturday, November 12

Perkongsian tentang etnomatematik

Bukan etnik kreatif ya, tetapi etnomatematik... apa itu?

Inilah yang dihuraikan oleh Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail dari Institut Penyelidikan Matematik, UPM, penyampai ucaptama pada seminar baru-baru ini.

Tajuk "Epistemologi, falsafah dan etnomatematik : ke arah kesepaduan kuantitatif dan kualitatif" ini mengupas etnomatematik dari sudut sejarah dan epistemologi falsafah.  

Katanya, ilmu falsafah silam boleh digambarkan secara hierarki berikut.


Dr. Mat Rofa Ismail (2011)

Menurut epistemologi falsafah, matlamat kajian sains adalah tauhid dan iman.  Ketertiban dan keindahan aturan dan hukum perjalanan alam yang dikaji menggunakan hujah mantik dan matematik menunjukkan bahawa alam ini ditadbir oleh Pencipta yang Maha Sempurna.  Teknologi adalah hasil sampingan, dan bukannya yang utama yang terhasil dari kajian tersebut.

Tetapi berlainan dengan falsafah sains moden yang melihat sains sebagai ilmu objektif, emperikal, bebas nilai, berkaitan data statistik atau model matematik, analisis, penghujahan dan kesimpulan.  Tiada unsur kualitatif yang terlibat dengan kegiatan sains.  Metodologi sains mengkaji hukum alam secara objektif, logik dan matematik.  Persoalan akal, roh, perasaan, akhirat dan ketuhanan bukan domain sains dan ramai pendokong sains moden menolak semua aspek metafizik tersebut.

Katanya, ini adalah bersongsangan dengan falsafah silam seperti berikut yang melihat teknologi sebagai yang utama.



Aritmetik ialah ilmu berkaitan nombor.  Alam semesta dijadikan Tuhan dalam nisbah yang terbaik.  Kejadian manusia tercipta dalam ukuran yang indah bagi seluruh anggotanya yang boleh dikaji secara aritmetik.

Aljabar diasaskan oleh Al-Khawarizmi untuk menyelesaikan masalah zakat, faraid dan urusan perniagaan.  Ilmu trigonometri pula diasaskan oleh rangkaian al-Tusi, Abu'l-Wafa al-Buzajani dan al-Kashi yang berkaitan dengan kajian falak syar'i yang mengkaji tentang takwim solat, kalendar, gerhana dan pentarikhan.

Setiap tajuk penting Matematik dikembangkan daripada keperluan ummah.  Fakta sejarah yang berkaitan dengan umat Islam telah diselindung di dalam teks sejarah yang ditulis oleh barat.

Menurut beliau, kerana itulah wujudnya kajian baru yang dinamakan etnomatematik untuk mengkaji falsafah kelahiran sesuatu ilmu di dalam sesuatu pemikiran ummah atau etnik supaya ummah itu dapat mengenali kekuatan budaya mereka di dalam penciptaan bidang matematik yang baru.

---------------------------------------
Nota saya : Sedikit perkongsian tentang etnomatematik yang lebih menjurus kepada penggalian sejarah dan falsafah matematik itu sendiri.  Saya sendiri tidak arif di dalam bidang ini kerana saya lebih menjurus kepada aplikasi statistik.

2 comments:

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin