Monday, July 25

Kelip-kelip, Kg. Kuantan, Kuala Selangor

Sudah beberapa kali kunjungan ke Puncak Alam, timbul keinginan untuk melihat sendiri kelip-kelip, Kg. Kuantan, Kuala Selangor.  Ketika kecil dahulu, kelip-kelip sentiasa hinggap di pohon rambutan di sekeliling rumah mak, tetapi bukan dalam kuantiti yang banyak.

Kali ini, tanpa benar-benar merancang, kami tiba ke Kg. Kuantan untuk melihat sendiri keajaiban si kelip-kelip.  Ketika tiba di sana, kelihatan 3 bas rombongan sekolah sudah berada di situ.  Barisan untuk menaiki bot juga agak panjang bersekali dengan pelancong dari Timur Tengah.  

Perjalanan ke kg. kuantan ini lebih mudah jika menggunakan lebuhraya baru - LATAR - sehingga tol terakhir, Ijok.  

garisan hijau - LATAR (klik untuk besarkan imej)


Bayarannya RM40/sampan untuk maksimum 4 orang dewasa.  Kami dibenarkan untuk menaiki sampan tersebut dengan 3 dewasa dan 2 kanak-kanak.  Kawasan perlancongan ini diusahakan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor.  Waktu lawatan adalah dari jam 7mlm.

sedikit maklumat tentang kelip-kelip di kg. kuantan
Di Kg. Kuantan, terdapat 3 spesis kelip-kelip yang ada.  Panjang kelip-kelip ini hanyalah 5 - 10mm sahaja.  Kelip-kelip ini mendiami pokok Berembang yang terdapat di sepanjang Sg. Selangor.  Kelip-kelip jantan berkelip lebih terang dan lebih cepat, 3 kali/saat berbanding kelip betina yang hanya berkelip sekali/saat.  Makanannya pula adalah cairan nektar dari pokok Berembang tersebut.

utamakan keselamatan


Agak susah untuk mengambil gambar kelipan dari kelip-kelip ini kerana cahayanya tidaklah seterang lampu biasa.  Kita hanya dapat menghayati keindahan kelipan dari serangga ini dengan mata kasar sahaja.  Subhanallah, cantik kerlipan yang seakan berirama dan serentak itu.

Pengayuh sampan kami rancak bercerita tentang kelip-kelip yang ada di situ.  Dia juga beberapa kali mendekatkan sampan yang kami naiki ke pokok untuk mendekati serangga ini.


Terpesona melihat kerlipan di pokok di temani kerlipan bintang di langit.  kata pengayuh sampan tersebut, waktu yang paling sesuai untuk melihat kelip-kelip ini adalah ketika 'bulan gelap' kerana cahaya kelip-kelip lebih terang dari cahaya bulan.  Cahaya bulan akan menenggelamkan cahaya kelip-kelip yang sedikit itu. 

Rupa-rupanya di Nibong Tebal juga ada menurut laman web ini.  Mungkin, akan ke sana juga suatu hari nanti.

2 comments:

  1. salam
    klip-klip semakin susah untuk kita jumpai skearang kan...

    ReplyDelete
  2. w'salam,
    Betul kak ummu, dulu di rumah mak, ada juga kelip-kelip, sekarang sudah jarang/hampir tak nampak. Ketika saya 'google' tentang kelip-kelip, ada seorang pengunjung ini beritahu, dahulu ketika tahun 2000, masih banyak kelip-kelip di Kg. Kuantan itu, tetapi kunjungan balas selepas itu (tidak pasti tahun bila), dia kata sudah kurang. Bagi yang pertama kali, mungkin rasa macam banyak saja

    ReplyDelete

Apa kata anda?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin